Ahad, 22 Disember 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tangis ketawa seorang Rossa

Posted:

Tangis ketawa seorang Rossa

Tangis ketawa seorang Rossa

ROSSA mengakui hatinya kini dimiliki seorang lelaki dan perhubungan mereka kini sudah diketahui oleh keluarga.


DIA tidak ubah seperti laut madu yang berpantaikan gula. Ungkapannya semanis senyuman, tawanya berderai walaupun jam di tangan sudah menjengah lewat malam.Laut fikirnya sudah terasuh untuk menjadi seorang yang akur tentang keberadaan di mata umum. Lantas, meluangkan waktu untuk sesi fotografi yang berlarutan dari pukul 4 petang sehingga 11 malam juga bukan suatu bebanan buat dirinya. Komitmen itu sekali lagi memupuk rasa kagum terhadap wanita cantik bernama Datuk Rossa Roslaina Sri Handayani ini.

Sepertinya, banyak lagi gunung-gunung impian yang mahu di daki sedangkan di tangannya sudah tergenggam pengaruh dan kemewahan.

"Saya ada banyak lagi keinginan, jadi kerjanya juga harus berganda. Kata bapa saya, kenapa saya harus penat-penatkan diri bekerja sebegini kuat. Tapi saya okey. Lebih baik penat tetapi masih mempunyai kerja berbanding penat memikirkan tiada pekerjaan," ujarnya pantas meninggalkan satu pegangan buat sesiapa sahaja yang mendengar bicaranya.

Di sebalik glamor dan pencapaian yang dimiliki, di hatinya, Rossa masih seorang wanita biasa. Di sebalik derai tawa yang memekar rasa nyaman saat mendampinginya, Rossa membuka cerita tentang kesepian yang adakalanya menghimpit kamar malamnya.

"Saya ini secara natural seorang ceria tapi saya juga seorang wanita biasa yang mudah menangis dan mudah ketawa. Saat yang paling mudah membuat saya menangis ialah saat capek (letih). Biasanya apabila pulang ke rumah, solat dan menangis. Ketika itu fikir apa-apapun boleh menangis," katanya yang mengakui boleh didatangi rasa sepi yang secara tiba-tiba jika masih berjaga kala anaknya Rizky Langit Ramadan, sudah masuk tidur.

"Tambah lagi saya jenis yang sukar tidur. Tidak boleh tidur juga boleh buat saya sedih. Jadi kalau tidak bisa tidur walaupun sudah pukul 1 atau 2 pagi, saya turun ke ruang tamu dan mula mengemas rumah. Kadang-kadang saya akan memadamkan lampu, kemudian berdiam dalam gelap. Biarkan diri berbalut privasi buat seketika," tambah Rossa membuka rahsia malam-malam keseorangan yang dilalui sejak lima tahun lalu.

Dalam tempoh yang ditatang itu juga, hidup Rossa tidak pernah sepi daripada hambatan karier dan kisah lelaki yang mendampingi dirinya. Dua sisi itu menjadikan Rossa seorang wanita matang yang memiliki segala-galanya namun masih mencari titik kesempurnaan.

Sejak bercerai dengan Yoyo, anggota band Padi pada tahun 2009, sampai ke hari ini, hati Rossa tidak henti dirisik. Pesona yang dimiliki membuatkan mudah sahaja cinta tumpah ke dalam hatinya, namun kegagalan hidup berumah tangga tidak mudah melunakkan jiwa Rossa untuk kembali bergelar isteri.

"Dahulu saya pernah berasa serik untuk berumah tangga lagi. Saya sendiri tak mahu gagal buat kali kedua dan itu yang membuatkan hati sedikit tertutup.

"Tapi bila melewati hari-hari mendatang saya mula terfikir sudah tiba masanya untuk saya menikah semula andai sudah sampai jodoh. Saya tidak lagi menolak untuk kembali membina rumah tangga," jelas Rossa tersenyum menyimpan sedikit rahsia agar keterlaluan bersifat terbuka.

Satu-satunya penawar segala rasa, anak lelakinya yang kini mencecah usia tujuh tahun itu juga antara pembuka jendela hati untuk kembali memandang jauh soal hidup keluarga.

"Rizky sudah mula bersekolah. Apabila pulang dia akan merungut soal adik. Katanya, teman-teman di sekolah semuanya mempunyai adik tetapi dia tidak.

"Saya tak mahu dan tidak boleh terus menipu diri untuk bersikap tertutup kepada mana-mana lelaki. Selain Rizky yang mahukan adik, saya juga ada keinginan untuk melahirkan anak lagi," ujar Rossa memberi bayangan yang tidak pasti.

Dalam canda dan lirikan mata yang tidak mampu ditahan, kebahagiaan yang sedang berkicau nyaman di jiwa terluah juga. Akui Rossa, ada lelaki yang sedang mengisi kekosongan di ruang hatinya. Namun jelas Rossa, biarlah hubungan yang sedang terbina itu tidak digegas soal jodoh dan janji setia.

"Apa? Pacar? Ya, ada. Orangnya lebih berusia daripada saya. Baru setahun kami kenal tapi bukankah jodoh itu sesuatu yang tidak perlu dikejar. Kalau belum waktunya, tetap tidak berjodoh. Pokoknya saya sedang bahagia dan dia juga seorang lelaki yang menepati kriteria yang saya mahukan," tutur Rossa bersahaja dan kemudian tertawa lagi.

Berseri-seri saat cerita hati dapat dikongsi, namun secara peribadinya, masih berbaki rasa gusar buat Rossa jika tajuk perkahwinan mula serius berputar difikiran. Jika fasa itu mahu dilangkahi, ia bakal menjadi perkahwinan kedua buat dirinya.

"Cuma jodohnya belum sampai. Sehingga sekarang, kami berkawan dan saling mengenali bukan hanya diri masing-masing tetapi dia juga sudah mengenali keluarga dan anak saya," lanjut Rossa lagi.

Duda jadi sahabat

Ke mana sahaja melangkah, Rossa tidak akan mampu untuk membuang jauh nama Yoyo. Bukan sahaja kerana Yoyo itu bapa kandung kepada Rizky, pemain drum kumpulan Padi itu dikatakan mahu rujuk kembali.

Bagi Rossa, cerita yang bertebaran itu tiada asasnya. Gosip itu muncul hanya bersandarkan hubungan baik mereka atas dasar kerja dan bapa kepada Rizky.

"Sejak bercerai, antara saya dan Yoyo memang tidak pernah ada apa-apa perasaan selain soal anak yang kami kongsi bersama. Rizky memang tinggal bawah jagaan saya tetapi Yoyo bebas mengambilnya untuk keluar atau bermalam di rumahnya.

"Situasi itu disedari semua, mungkin itu yang menjadi alasan dan mengundang bermacam-macam cerita. Keakraban saya dan Yoyo juga boleh menimbulkan spekulasi.

"Sebetulnya saya tidak pernah terfikir untuk ke fasa yang dahulu. Semuanya sudah berlalu dan sekarang bukan masanya untuk mengenang kembali apa yang telah terjadi. Kami sama-sama melakukan kesilapan, kesilapan itu sedang diperbaiki tetapi dengan cara masing-masing," tegas Rossa yang mengakui sudah lama membuang egonya.

Dalam masa yang sama, dia tidak mampu untuk mengembalikan perasaan dan kehidupan yang telah ditinggalkan.

"Apa yang dilakukan hanyalah memperbaiki perhubungan. Mana mungkin kami dapat mengundurkan masa lalu. Kami saling memaafkan di antara satu sama lain. Yoyo masih teman curahan hati saya, dia yang paling akrab.

"Sebetulnya kami sering bertemu sejak akhir-akhir ini. Selain bercerita hal peribadi, saya juga selalu keluar makan bersamanya. Tapi setiap kali keluar pasti Yoyo akan ditemani teman wanitanya. Hubungan kami bertiga rapat dan tak ada apa-apa masalah untuk keluar makan malam bersama," cerita pelantun single duet terbaharu Salahkan itu sambil sempat mendoakan jodoh terbaik hadir ke dalam hidup Yoyo.

Tunggu Anuar Zain

Hadir ke Malaysia untuk mempromosikan paduan suara terbaharunya bersama Hafiz Suip, single bertajuk Salahkan itu menjadi lagu runut bunyi (OST) drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu sebenarnya tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan. Baru-baru ini, Rossa dan Hafiz turut mempersembahkan lagu berkenaan semasa Anugerah Industri Muzik di Bukit Jalil.

"Meskipun ini merupakan kolaborasi sulung kami, tetapi prosesnya agak mudah. Sebenarnya, lagu itu sudah dua tahun berada dalam simpanan saya. Asalnya itu material untuk projek album saya studio saya, rencananya lagu lagu ciptaan Charly Setia Band itu mahu dibikin duet bersama Anuar Zain, tapi kekangan masa membuatkan ia akhirnya jadi nyanyian saya bersama Hafiz," bisik Rossa yang tidak pernah membuang hasratnya untuk merakamkan lagu bersama Anuar Zain.

"Kebetulan apabila pihak Astro minta saya menyanyi menyanyikan lagu untuk OST drama berkenaan, saya fikir lagu biarpun lagu Salahkan itu sangat melankolik, ia sesuai dengan sinopsis drama berkenaan," ujar Rossa yang turut mengundang Yoyo sebagai pemuzik untuk memasukkan bunyi drum bagi memaksimumkan kekuatan lagu berkenaan.

"Vokal Hafiz juga sangat bagus. Lagu ini sama seperti jodoh. Kalau tidak kena yang secocoknya tak mungkin ia akan meledak," ujar Rossa.

Belanja anak-anak sekarang mahal

Posted:

Belanja anak-anak sekarang mahal

Belanja anak-anak sekarang mahal

RITA RUDAINI tidak kisah digelar 'ratu mahkamah' kerana tidak habis-habis turun naik mahkamah sepanjang tahun 2013.


SELESAI kes pergolakan rumah tangga, perhitungan antara Rita Rudaini dan bekas suaminya Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak tidak mudah diselesaikan hanya dengan pengesahan talak satu yang telah dibuat di mahkamah.

"Sekarang perbicaraan tuntutan nafkah anak-anak pula akan saya teruskan. Tuntutan yang difailkan baru-baru ini baru permulaan, lama lagi masa akan diambil bagi menyelesaikan perkara itu. Awal-awal lagi macam-macam dalih sudah keluar, kita tengoklah nanti," ujar Rita saat mengulas ketidaksediaan Aidil menunaikan tuntutan nafkah untuk dua orang anak mereka sebanyak RM5,000 sebulan.

Bakal muncul menerusi filem terbaharunya berjudul Balistik, Rita juga tidak terkejut apabila keluar cerita mengatakan bekas suaminya itu akan berkahwin dengan seorang wanita bernama Zarema Zainal.

Minggu lalu, sebuah portal melaporkan Aidil, 26, yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan Zarema bakal mendirikan rumah tangga pada Mac tahun depan. Aidil sendiri sudah mengesahkan berita itu.

"Sebelum kami bercerai lagi cerita itu sudah kedengaran. Jadi berita tentang perkahwinan ini mengiakan segala khabar angin sebelum ini. Saya tak mahu masuk campur hal dia (Aidil), tetapi Aidil kena ingat dan tidak lupa nafkah anak-anak," kata Rita selamba.

Awal Disember baru-baru ini Rita menuntut nafkah saraan untuk dua orang anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang berjumlah RM5,000 sebulan. Tuntutan Rita bagaimanapun mendapat reaksi terkejut daripada Aidil yang menganggap jumlah itu tidak munasabah.

"Tuntutan yang saya buat itu kena dengan situasi semasa. Hanya orang yang mempunyai anak sahaja yang faham kos menjaga anak, tambah lagi apabila anak mula masuk sekolah. Duit itu untuk anak-anak juga, bukan untuk orang lain," jelas Rita yang mengakui sudah menjadi muka mahkamah sepanjang tahun ini dan untuk masa-masa akan datang.

Rita dan Aidil telah sah bercerai talak satu pada 5 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.

Ikatan perkahwinan pasangan itu terlerai selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Aidil kepada Rita menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 4 Ogos lepas.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.

Aril, Erma tak harap duit penaja

Posted:

Aril, Erma tak harap duit penaja

Aril, Erma tak harap duit penaja

MAJLIS pernikahan Aril dan Puteri hanya berlangsung secara sederhana di rumah keluarga isterinya di Kelantan. Mereka merancang untuk mengadakan resepsi di Melaka, pertengahan Mac nanti.


TIDAK sampai setahun berkenalan dengan pramugari Saudi Airlines, Puteri Erma Adlinda Megat Aminuddin akhirnya dilamar menjadi permaisuri hati penyanyi serta pengacara popular, Aril. Jumaat lalu pasangan itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz selepas dinikahkan oleh Imam Mukim Padang Enggang, Abdul Halim Mat Isa di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan.

Pada majlis yang disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak serta saudara-mara terdekat itu, Aril membawa sembilan dulang hantaran termasuklah seutas jam tangan, beg tangan, senaskah al-Quran, minyak wangi, kasut, sirih junjung, sejadah, kain dan cincin beserta cek mas kahwin berjumlah RM15,000.

Meluahkan rasa gembira dan syukur, Aril bagaimanapun terpaksa melepaskan Puteri untuk terbang semula ke Jeddah, sebelum sempat mereka menghirup nikmat berumah tangga.

"Saya dan Puteri hanya bercuti selama seminggu, selepas ini saya akan pulang semula ke Kuala Lumpur dan Puteri pula akan berlepas ke Jeddah pada 25 Disember nanti sebelum mula bekerja pada 26 Disember. Jadi hendak bercuti lama-lama pun tak guna juga sebab isteri jauh di mata," jelas Aril ketika dihubungi Sensasi Bintang, semalam.

Aril atau Khairil Azam Pilus, 28, yang juga penyampai radio Era FM itu menyifatkan fasa baharu yang sedang dilalui itu sebagai momen terbaik yang pernah dirasai.

Mertua best

"Semestinya perkahwinan bukan sekadar ikatan di antara saya dan Puteri, ia juga membina sebuah lagi keluarga baharu buat saya dan Putri sendiri. Saya tambah bahagia kerana keluarga mertua, abang ipar dan kakak ipar saya semuanya best. Sekarang saya dibawa makan nasi ulam di sebuah restoran yang cukup popular di Kota Bharu," katanya dengan nada gembira.

Mengajak Aril bercerita tentang rencana masa depan, katanya, dia dan Puteri sedang menunggu berita baik dari Saudi Airlines. Jika segalanya dipermudahkan, Puteri tidak perlu menetap di Jeddah, sebaliknya akan berpusat di Kuala Lumpur sebaik sahaja syarikat penerbangan berkenaan membuka pejabat serantau di Malaysia.

Duit sendiri

"Saya harap Puteri hanya akan berulang-alik dari KL ke Jeddah dalam tempoh beberapa bulan ini sahaja. Sebaik sahaja syarikat penerbangan itu memulakan operasi di KL, senanglah sikit.

"Saya juga tidak menghalang isteri daripada terus bekerja. Setidak-tidaknya, bukan saya seorang sahaja yang bekerja untuk menampung kehidupan kami. Banyak perkara yang perlu difikirkan apabila hidup sudah berumah tangga," jelas pengacara Ceria Popstar itu optimistik.

Aril sebelum ini dilaporkan berkahwin secara sederhana dan tidak menggunakan mana-mana pihak sebagai penaja majlis pernikahannya itu.

"Cabaran untuk berkahwin yang utama apabila kita perlu mempunyai duit yang banyak. Namun saya ada buat simpanan sejak mula bekerja sebagai persediaan untuk kegunaan majlis penting seperti ini.

"Saya juga lebih selesa menggunakan duit sendiri daripada mahu mencari penaja mana-mana pihak," ujar Aril yang turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan di kampung halamannya di Nyalas, Melaka sekitar Mac nanti.

Tambah Aril, Puteri juga sudah memohon untuk bercuti selama sebulan menjelang Mac. Sementara menunggu tarikh majlis resepsi pada 14 Mac, dia kini sibuk membuat persiapan dan mengatur urusan jemputan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved