Ahad, 22 Disember 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Bazar ala Perancis di Carcosa Seri Negara

Posted:

Bazar ala Perancis di Carcosa Seri Negara

Bazar ala Perancis di Carcosa Seri Negara

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

WALAUPUN bazar amal ini diadakan cuma sehari, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.


SAMBUTAN Hari Krismas hanya tinggal dua hari lagi. Penganut agama Kristian semakin membanjiri kompleks-kompleks beli-belah untuk membeli kelengkapan rumah, pakaian baharu dan hadiah buat keluarga tersayang.

Perayaan itu dilihat bukan sekadar satu sambutan tahunan tetapi turut dianggap sebagai musim pemberian hadiah.

Memasuki tahun ketiga penganjuran, Bazar Krismas Perancis atau Le Marche de Noel telah diadakan di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertujuan mengumpul dana bagi dua organisasi amal, bazar tersebut telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan apabila berjaya membuat kutipan mencecah RM102,000 dalam sehari, melebihi sasaran awal iaitu RM80,000.

Kutipan dana tersebut akan diagihkan kepada badan Make A Wish Malaysia dan program A-Heart for A-Heart bagi membantu kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik yang mengancam nyawa dan pesakit barah hati di seluruh negara.

Menariknya, bazar tersebut diilhamkan oleh empat wanita Perancis yang sudah lama menetap di negara ini. Mereka terdiri daripada Florence Lambert Lee, Flavie Causse-Fournial, Elodie Michel dan Nadege Lubrano.

Lambert Lee berkata, dia dan rakan-rakannya ingin memberikan sesuatu kepada kanak-kanak di Malaysia kerana menganggap negara ini tidak ubah seperti rumah kedua mereka.

"Kutipan dana diperoleh daripada bayaran sewa tapak kepada peniaga dan tiket yang dikenakan kepada 340 tetamu bagi majlis makan malam amal di sini.


UNIK. Seorang pengunjung tertarik dengan rekaan patung anak beruang bercorak batik tempatan.


Saringan

"Setiap peniaga dikehendaki menghantar borang penyertaan bazar melalui e-mel dengan melampirkan keunikan produk yang ingin dijual," ujarnya yang sudah menetap di Kuala Lumpur selama 20 tahun sejak berkahwin dengan seorang warga tempatan.

Jelasnya, proses saringan peniaga dibuat bagi memastikan produk yang dipamerkan di bazar berkenaan tidak sama dengan produk lain yang ada di pasaran.

Sebanyak 55 gerai dibuka dan menawarkan pelbagai jenis barangan seperti aksesori, pakaian kanak-kanak dan wanita serta peralatan hiasan dalaman rumah. Antara gerai yang berjaya menarik perhatian pengunjung ialah gerai pakaian kanak-kanak oleh Whimsigirl Design dan Dandelion yang mendapat sentuhan pereka dari Perancis.

Pemilik Whimsigirl Design, Syazana Sukiman berkata, rekaan yang dihasilkannya cuba mengangkat pakaian tradisional tempatan menjadi lebih versatil dengan sentuhan antarabangsa.

"Jenama kami menggunakan nama seperti Jebat, Mahsuri, Juanita, Tuah, Bedah dan Rani pada koleksi rekaan yang sesuai dipakai oleh bayi sehingga kanak-kanak berumur empat tahun.

"Kami cuba menjadikan pakaian tradisional seperti baju kurung, baju Melayu, dan kebaya sesuai dipakai oleh kanak-kanak bukan sahaja pada musim perayaan tetapi sebagai pakaian harian," katanya yang turut memiliki sebuah premis di kompleks beli-belah Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Realiti kehidupan lelaki Melayu

Posted:

Realiti kehidupan lelaki Melayu

Realiti kehidupan lelaki Melayu

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


SELAIN sinonim dengan panggilan Mie Mambo, ilustrator ini turut terkenal menerusi penampilan karakter tapir dalam kebanyakan karyanya.


SETIAP lukisan ada falsafah tersendiri. Itulah pandangan ringkas yang diluahkan ilustrator kanak-kanak, Nur Azmi Mokhtar, 33, tentang nilai seni sebuah lukisan.

Biarpun hanya secalit warna dicorengkan ke atas kanvas lukisan, ia tetap boleh diangkat menjadi karya seni jika mempunyai subjek untuk diketengahkan.

"Kadang-kadang ada orang pergi merantau satu dunia untuk mencari subjek lukisan, namun akhirnya yang dicari rupa-rupanya ada depan tangga rumah.

"Saya suka gaya lukisan naif dan bersifat langsung. Tidak semestinya lukisan seni halus sahaja yang ada falsafah," ujarnya yang gemar menonjolkan cara hidup kampung melalui lukisan.

Tambahnya, lukisan naif boleh dilihat di mana-mana sahaja dan ia wujud sejak zaman purba. Lukisan tersebut telahpun diukir pada dinding gua sejak berjuta tahun lampau.

Cintanya terhadap aliran lukisan 'keanak-anakkan' itu membuatkan Nur Azmi yang lebih dikenali dengan nama Mie Mambo berjaya menerbitkan lebih 100 naskhah ilustrasi buku kanak-kanak dengan kerjasama bersama penulis lain.

Novel grafik

Bukan itu sahaja, Mie Mambo turut menghasilkan sebanyak 13 novel grafik dan 33 buku kanak-kanak yang ditulis dan dilukis sepenuhnya oleh beliau sepanjang 23 tahun mendedikasikan hidupnya kepada lukisan.

Seperti mana orang lain, cinta pertama pasti akan dikenang sampai bila-bila. Begitulah perasaan Mie Mambo terhadap novel grafik pertamanya iaitu Mambo di Kuale!! Hikayat mencari cinta.

Novel grafik tersebut mengisahkan tentang perjalanan pemuda bernama Putera Hj. Hassan dalam mencari cinta. Ia diceritakan menerusi ilustrasi grafik yang santai dan dipenuhi visual simbolik tentang asam garam perjalanan hidup Putera atau si Mambo.

NOVEL grafik ini merupakan yang pertama dihasilkan oleh Mie Mambo.


Dua tiga muka surat awal sudah mampu membuatkan pembaca tertarik dengan perwatakan Mambo yang bersahaja, gila-gila dan gemar berjenaka. Tidak keterlaluan jika dikatakan jejaka tersebut mempunyai perwatakan tipikal lelaki Melayu ketika dibuai dalam alam percintaan.

"Kita tau awak ni bukan tak baik. Tapi ada sikit pelik la! Kalau bukan calang-calang orang macam kita ni, rasanya la, malu berkawan dengan awak.

"Tapi yang penting awak bukan jenis hipokrit!," begitulah antara dialog mencuit hati si kekasih hati Mambo kepadanya.

Namun, novel grafik tersebut bukan sekadar mengetengahkan kisah cinta sang Arjuna dan sang Dewi semata-mata, ia lebih kepada realiti kehidupan seorang pemuda yang menjalani liku kehidupan di ibu kota.

Mambo digambarkan sudah tiga tahun tidak pulang ke kampung halamannya di Kampung Hilir, Kuala Kangsar, Perak kerana mahu mengejar impian menjadi seorang pelukis dan penulis sebagai punca rezeki.

Ketegaran

Ketegarannya tidak pulang menjenguk ibu ayah berpunca daripada cabaran ayahnya yang memberi amaran jangan pulang ke kampung selagi tidak menjalani kehidupan seperti orang biasa. Mambo bukan lagi seorang kutu embun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Sepanjang kepulangannya di kampung, Mambo memerhati setiap kebaikan yang berlaku di depan matanya. Sesekali dia terdetik untuk menjadi pelaku ke arah kebaikan dan menerap nilai-nilai keagamaan yang selama ini hanya dianggap agenda sampingan bukannya keutamaan dalam kehidupan.

Menurut Nur Azmi, novel tersebut memberi impak yang besar kepada perjalanan kariernya sebagai ilustrator sepenuh masa sehingga watak Mambo berkenaan melekat pada namanya hingga ke hari ini.

Biarpun novel setebal 201 muka surat itu diterbitkan pada tahun 2006 bagi cetakan pertama, ia masih terdapat di pasaran dan dijual pada harga RM19. Novel tersebut diterbitkan Al-Ameen Serve Holdings.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved