Sabtu, 21 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Permainan interaktif lolos diri

Posted:

Permainan interaktif lolos diri

Permainan interaktif lolos diri


TANGAN pemain akan digari sebelum di bawa masuk ke dalam bilik tema Prison Break.


SEKUMPULAN kanak-kanak lelaki kelihatan cukup fokus ketika mendengar penerangan yang diberikan oleh salah seorang petugas di lobi Escape Room yang terletak di e@Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu.

Segala apa yang diberitahu perlu difahamkan dengan teliti bagi membolehkan mereka membebaskan diri dalam tempoh yang ditetapkan sebaik bilik dikunci.

"Anda semua perlu mendapatkan harta karun yang terdapat di dalam kapal lanun itu nanti.

"Terdapat beberapa petunjuk yang diperlukan bagi membolehkan anda menemui harta karun tersebut.

"Masa yang diberikan hanyalah selama 45 minit," ujar petugas tersebut, Mel Alex, 25.

Sebaik diberikan penerangan, kesemua mereka dibawa masuk ke dalam ruang bilik mengikut tema yang dipilih para pemain.

Ketika pintu ditutup, jam detik digital yang tergantung di bahagian atas penjuru dinding memulakan kiraannya.

Bermula dari saat itu jugalah, otak mereka ligat memikirkan cara bagi memastikan misi mencari harta karun itu berjaya dilaksanakan.

Berbekalkan sinaran lampu yang minima, kesemua mereka perlu mencari petunjuk satu demi satu bagi membolehkan mereka menjumpai kunci jalan keluar.

Setiap perincian peralatan yang terdapat di dalam bilik tersebut perlu diteliti dengan betul bagi mendapatkan petunjuk.

Dalam tempoh masa yang diberikan, mereka perlu membebaskan diri masing-masing. Jika tidak, mereka dianggap gagal.

"Kami tidak berjaya untuk meloloskan diri. Ia betul-betul menguji minda.

"Ketika berada di dalam, kami berasa keliru dengan petunjuk yang diberikan. Ia memerlukan kita berfikir secara kreatif," ujar pelajar Sekolah Antarabangsa Sri KDU, Ethan sebaik masa tamat.


PEMAIN akan diberikan penerangan sebelum memulakan permainan.


Ethan yang berumur 12 tahun itu datang bersama lima lagi rakannya untuk bermain di dalam ruang bilik bertemakan Pirate Ship.

"Ia sangat susah tetapi sangat menyeronokkan," keluh rakannya, Naveen, 11.

Tema bilik

Pirate Ship merupakan satu daripada enam bilik yang terdapat di Escape Room berkenaan.

Ia merupakan antara bilik tema permainan yang dianggap memiliki tahap kesukaran yang tinggi dan benar-benar menguji daya kreativiti dan gerak hati pemain.

Selain daripada itu, tema The Slaughter House diklasifikasikan sebagai permainan tahap lima kerana dianggap paling sukar.

Bagi tema The Mysterious dan Prison Break masing-masing mempunyai kesukaran tahap empat.

Bilik bertemakan The Mummy dan The Abandoned Factory pula dikategorikan memiliki kadar kesukaran yang paling rendah iaitu tahap tiga. Ia bersesuaian bagi peserta yang mahu mencubanya buat pertama kali.

"Permainan ini membuatkan pemain berasa seperti betul-betul berada di dalam dunia sebenar mengikut tema yang dipilih.

"Malah di sini jugalah ia dapat mengajar seseorang erti bekerjasama sebagai satu kumpulan bagi mencapai misi yang ditetapkan," ujar Pengarah Operasinya, Victor Lo yang memberitahu permainan itu diperkenalkan di negara ini pada pertengahan Julai lalu.

Kata Victor, jumlah maksimum pemain yang dibenarkan pada satu-satu masa ialah seramai enam orang.

Katanya, biarpun permainan ini membenarkan penyertaan secara seorang diri sahaja, namun, ia lebih seronok jika dimainkan secara berkumpulan selain mampu membantu daripada segi mencurahkan idea dalam menyelesaikan teka-teki yang diberikan.

Uji minda


PENGGUNAAN teknologi tinggi seperti laser digunakan dalam permainan ini.


Kekuatan fizikal bukanlah menjadi kayu ukur bagi peserta untuk menamatkan permainan ini.

Apa yang lebih penting ialah permainan ini menguji kekuatan daya pemikiran dan logik akal.

Cerita Victor, jika peserta menghadapi kesukaran untuk mendapatkan jawapan, mereka dibenarkan mendapatkan bantuan dari petugas kami sebanyak dua kali sahaja.

"Terdapat loceng disediakan di dalam bilik itu.

"Sebaik ia berbunyi, petugas kami akan datang ke dalam bilik untuk memberikan bantuan petunjuk yang lebih mudah," katanya yang memberitahu setiap bilik turut dikawal dengan kamera rakaman litar tertutup.

Sekiranya mereka tidak dapat melepaskan diri dalam tempoh yang ditetapkan, pemain dianggap sudah gagal dalam menyelesaikan misi permainan tersebut.

Bagaimanapun, kesemua pemain akan tetap didedahkan dengan jawapan dan kedudukan kunci yang disembunyikan di akhir permainan sekiranya mereka gagal meloloskan diri.

Atas faktor itulah, katanya, pemain yang pernah berkunjung sebelum ini tidak digalakkan untuk bermain tema yang sama jika berkunjung ke Escape Room pada masa akan datang.

Sungguhpun begitu, bagi mpeserta yang telah bermain kesemua enam tema yang ada di sini, mereka tetap berpeluang untuk merasai pengalaman tersebut selang enam bulan kemudian.

"Ini kerana, kami akan menukar tema sedia ada setiap enam bulan bagi memastikan ia dapat memberikan pengalaman yang berbeza-beza kepada setiap individu.

"Jadi, mereka berpeluang untuk merasai pengalaman baharu dengan tema yang berlainan," ujarnya yang memberitahu bayaran caj masuk ialah RM36 setiap seorang.

Rekaan bilik


SAMA ada berjaya meloloskan diri atau tidak selepas dikurung di dalam bilik, pemain akan bergambar untuk membuktikan kejayaan mereka.


Selain Victor, idea asal rekaan ruang bilik yang dibina di kawasan premis seluas 297 meter persegi ini datangnya dari Pengarah Urusannya, Jason Leung.

Menurut Jason, jalan cerita permainan yang cuba ditonjolkan ini banyak diadaptasi menerusi filem yang pernah ditayangkan kepada umum.

"Setiap permainan ada jalan ceritanya tersendiri. Sebagai contoh, tema Pirate Ship diadaptasi menerusi watak yang dilakonkan Johnny Deep dalam filem Pirates of the Carribean," katanya yang mengakui agak sukar untuk merangka petunjuk permainan.

Kongsinya, peralatan yang digunakan di dalam setiap bilik tersebut juga ditempah khas bagi membolehkan konsep asal yang ingin ditonjolkan dapat direalisasikan.

"Ada yang ditempah di dalam negara dan ada juga peralatan yang diperoleh dari luar negara," katanya yang memberitahu ia menelan kos kira-kira RM500,000 bagi tujuan tersebut.

Malah, katanya, setiap bilik juga dilengkapi dengan penggunaan teknologi tinggi seperti menggunakan alat pengesan tersembunyi.

"Sistem pengubah suai keterangan cahaya, sistem bunyi dan kesan khas seperti semburan asap diguna pakai bagi menjadikan ia nampak seperti berada di lokasi sebenar," ujarnya yang memberitahu setiap bilik dipasang dengan kamera rakaman litar tertutup bagi memantau pergerakan pemain.

Menangis, berpeluh keluar darah

Posted:

Menangis, berpeluh keluar darah

Menangis, berpeluh keluar darah


WANITA ini pernah cuba untuk membunuh diri dengan mengambil sedatif pada dos yang tinggi akibat tertekan.


SEORANG remaja wanita mengalami keadaan yang jarang berlaku menyebabkan dia menangis dan berpeluh secara tiba-tiba sehingga mengeluarkan darah.

Delfina Cedeno, 19, mula mengalami gangguan pelik sejak empat tahun lalu dan dia juga turut mengalami masalah keguguran rambut yang serius.

Cedeno yang berasal dari Veron, Republik Dominica, pernah menjalani proses pemindahan darah disebabkan darahnya keluar berterusan sehingga 15 hari lamanya.

Walaupun sudah menjalani pelbagai ujian, doktor yang merawatnya seperti kebingungan.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi dan saya sebenarnya masih terkejut. Pada mulanya, tidak ada yang boleh membantu saya dan mereka memandang saya seperti orang gila apabila saya memberitahu apa yang berlaku," jelas Cedeno.

Katanya, dia berasa rendah diri kerana beranggapan keadaan dirinya pelik sehinggakan takut untuk meninggalkan rumah yang didiami bersama ibunya, Mariana, 36.

Ujarnya, dia terpaksa berhenti sekolah sehingga kebanyakan rakannya mula menjauhkan diri kerana takut dijangkiti.

Bunuh diri

"Orang ramai takut untuk berada berdekatan dengan saya kerana mereka fikir jika menyentuh saya, diri mereka akan dikotorkan dengan darah saya.

"Kanak-kanak pula mentertawakan kekurangan tetapi menjerit ketika bertemu saya. Disebabkan itu, saya hanya berkurung di dalam bilik tidur sahaja," katanya.

Cedeno menjadi begitu tertekan disebabkan pengalaman pahit yang dihadapinya sehingga dia berhasrat untuk menamatkan hidupnya dengan mengambil sedatif dalam dos yang tinggi.

"Saya tak sanggup nak teruskan hidup tetapi apabila keluarga ternampak saya di dalam keadaan mulut yang berbuih, mereka menghantar saya ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi selama seminggu.


TEMAN lelaki Cedeno, Avila banyak menyokongnya meneruskan hidup.


"Apabila saya tersedar, doktor memberitahu saya telah meninggal dunia secara teknikalnya sehinggakan terpaksa memberi saya kejutan elektrik.

"Tetapi menakjubkan saya dapat sedar semula dan kini, saya benar-benar gembira kerana hidup saya berubah menjadi lebih baik," ujarnya.

Beberapa bulan kemudian dia bertemu teman lelakinya, Recaris Avila, yang melawatnya di hospital selepas mendengar kisahnya.

"Dia memberitahu saya cantik dan saya akan ingat saat itu untuk sepanjang hidup saya," katanya.

Selepas empat tahun berlalu, akhirnya pakar-pakar perubatan telah membuat penemuan penting dan mendapati, Cedeno menderita dengan keadaan yang jarang berlaku dipanggil hematidrosis, bermakna dia mempunyai 20 kali ganda tahap adrenalin berbanding individu normal.

Keadaan itu menyebabkan peningkatan pada tekanan darahnya dan membuatkan dia berpeluh yang kemudiannya bertukar menjadi darah.

Menurut kajian yang dimuatkan dalam Jurnal Dermatologi India, hematidrosis ialah fenomena saluran darah yang mengelilingi kelenjar peluh menjadi sempit akibat peningkatan tekanan darah.

Saluran darah pecah

Disebabkan itu, saluran darah pecah dan menyebabkan darah masuk ke dalam kelenjar peluh sehingga mengeluarkan titisan darah bercampur peluh.

Cedeno diberikan ubat untuk mengawal kebimbangannya, sekali gus membantu untuk mengawal pendarahan.

"Kini, saya berasa bebas dan sudah tidak berasa hidup saya kosong lagi dengan adanya Avila. Saya masih mengalami pendarahan, tetapi saya tahu akan dapat mengawalnya kerana dia ada untuk membantu dan melindungi saya," tambahnya.

Sementara itu, seorang warga Turki, Michael Spann turut mengalami simptom sama seperti Cedeno tetapi lelaki itu mengeluarkan darah melalui mata, mulut dan hidungnya.

Malah dia juga sering menderita sakit kepala dan mengakui sukar untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan penyakitnya itu.

"Saya selalu kehilangan pekerjaan kerana mata saya sering mengalami pendarahan," ujar Spann.

Akibat tidak bekerja, Spann mendapatkan dana khas untuk mengubati penyakit tersebut.

Situasi ini juga pernah dialami oleh seorang individu berusia 15 tahun dari Tennessee, Amerika Syarikat yang mengeluarkan air mata darah hingga tiga kali dalam sehari dengan durasi 15 minit hingga satu jam.

Permainan memanggil roh

Posted:

Permainan memanggil roh

Permainan memanggil roh


RITUAL jelangkung kini hanya berfungsi sebagai persembahan kebudayaan dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Indonesia.




PERMAINAN jelangkung juga dikenali 'Nini Thowong' atau 'Nini Thowok' bagi masyarakat Jawa bertujuan untuk menolak bala.


JELANGKUNG sudah terkenal secara meluas di Indonesia kerana ia merupakan sebuah cerita turun temurun sehingga ada filem seram yang menjadikan permainan misteri itu sebagai tajuk utamanya.

Asal-usul istilah jelangkung dipercayai mempunyai kaitan dengan kepercayaan tradisional Tionghua yang sudah tidak diamalkan lagi.

Ritual itu dikatakan berikutan terdapatnya kekuatan dewa 'poyang' dan 'moyang' iaitu Cay Lan Gong dan Cay Lan Tse yang dipercayai sebagai dewa pelindung anak-anak.

Permainan Cay Lan Gong juga bersifat ritual dan dimainkan oleh golongan remaja ketika festival bulan mengambang.

Dalam ritual Cay Lan Gong, dewa 'poyang' dan 'moyang' diseru untuk masuk ke dalam sebuah patung yang boleh bergerak di bahagian tangannya.

Di penghujung tangan patung tersebut pula diikatkan dengan sejenis alat tulis dan pada kebiasaannya ialah kapur.

Patung tersebut akan dikalungkan kunci dan dihadapkan ke sebuah papan hitam.

Petanda patung itu dirasuk dapat dilihat apabila ia tiba-tiba menjadi berat dan bergerak sambil mengangguk kepalanya sebagai tanda setuju untuk menjawab soalan-soalan yang bakal diajukan.

Jawapan pertanyaan yang diajukan kepada patung itu pula akan ditulis oleh dewa yang merasuk patung tersebut pada papan hitam yang disediakan.

Bagaimanapun, ritual Cay Lan Gong sudah tidak diamalkan lagi namun dipercayai ritual tersebut hampir sama dengan permainan jelangkung yang terkenal di Indonesia.

Seni pertunjukan

Pelbagai versi cerita berkenaan asal-usul jelangkung ini antaranya permainan jelangkung dikenali dengan sebutan 'Nini Thowong' atau 'Nini Thowok' bagi masyarakat Jawa.

Bagi mereka, permainan itu tidak hanya dikenali sebagai permainan tradisional kanak-kanak, tapi juga dilakukan sebagai usaha menjaga keselamatan sesebuah kampung dan menolak bala.

Permainan jelangkung bagi masyarakat Minangkabau pula dikenali sebagai 'Lukah Gilo'.

Permainan ini berkembang dalam bentuk seni pertunjukan di beberapa daerah dan dimainkan oleh seorang bomoh yang dikenali 'Dukun Lukah' manakala seorang hingga empat orang pemain ditugaskan memegang 'lukah' tersebut.

'Lukah' adalah alat untuk menangkap ikan air tawar yang diperbuat daripada anyaman buluh menyerupai pasu bunga.

Tangannya diperbuat daripada kayu atau buluh manakala kepalanya daripada labu atau tempurung kelapa.

'Lukah' itu juga dihias dengan kain, baju, selendang dan wajahnya dihiaskan seperti seorang wanita.

Pertunjukan 'Lukah Gilo' ini biasanya pada majlis perkahwinan atau majlis-majlis khusus untuk masyarakat Minangkabau.

Waktu pertunjukan biasanya dilakukan pada waktu malam kerana mereka yakin lebih mudah untuk memanggil makhluk halus ketika itu.

Di Indonesia, jelangkung biasanya dibuat menggunakan pencedok air daripada tempurung kelapa dan dihiasi pakaian sambil memegang sebatang kayu.

Tempurung kelapa

Setelah melakukan beberapa ritual, maka jelangkung tersebut akan bergerak dan itu menandakan patung itu sudah dirasuk.

Pada zaman dahulu, pencedok air diperbuat daripada tempurung kelapa berhulukan kayu, sehinggakan ada yang menggelar permainan jelangkung ini lebih kepada ritual pemanggilan dewa patung berkepala tempurung kelapa yang dihiasi pakaian.

Dikenali sebagai permainan kanak-kanak, patung ini akan dipegang oleh dua orang kanak-kanak sambil mantera dibacakan oleh seorang bomoh.

Ritual ini mula digunakan untuk hal-hal selain permainan seperti untuk mencari maklumat tentang sejenis penyakit dan kaedah perubatan secara tradisional.

Permainan ini pada kebiasaannya dilakukan di lokasi-lokasi yang diyakini berhantu dan biasanya pada waktu lewat petang.

Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan juga meliputi nama makhluk halus yang merasuki patung tersebut, tahun bila meninggal dunia dan sebab tetapi ada juga yang bertanyakan soalan berhubung masa depan dan untuk tujuan perjudian.

Permainan ini menjadi cukup sederhana, dapat dilakukan hanya dengan menggunakan angka dan abjad yang ditulis di atas kertas sambil diiringi mantera.

Permainan ini juga memiliki pelbagai macam versi bahasa manteranya dan kata-kata tersebut diulang beberapa kali, dan setelah makhluk halus itu diyakini sudah masuk ke dalam patung berkenaan, maka pemain dapat bertanya apa sahaja soalan yang mereka mahukan.

Permainan ini kemudiannya berkembang sehingga mewujudkan mitos-mitos kesan daripada bermain permainan ini.

Mitos tersebut sering diperkatakan terutamanya apabila permainan ini diakhiri tanpa melepaskan makhluk halus yang masuk ke dalam patung tersebut sehinggakan ada yang menjadi marah dan menimbulkan masalah kepada pemainnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved