Ahad, 3 November 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pahang akhiri penantian dua dekad

Posted:

Pahang akhiri penantian dua dekad

Pahang akhiri penantian dua dekad

CONTI muncul wira Pahang selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada aksi final menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam tadi.


PAHANG berjaya menamatkan kemarau trofi Piala Malaysia selama lebih dua dekad apabila mengejutkan juara bertahan, Kelantan 1-0 dalam aksi final edisi ke-87 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Lebih manis, ia kejayaan ketiga skuad Tok Gajah mendakap trofi Piala Malaysia selepas muncul juara pada 1983 dan 1992.

Gol tunggal penyerang import Pahang, Matias Ruben Conti pada minit ke-58 sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan dalam aksi yang penuh dramatik itu, sekali gus mengecewakan hasrat Kelantan mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dijulang mereka musim lalu.

Terdahulu dalam perlawanan itu, kesilapan tonggak pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya seawal minit pertama nyaris dihukum rangkaian penyerang Kelantan namun hantaran kapten, Mohd. Badhri Radzi gagal disambar Indra Putra Mahyuddin.

Tersentak dengan asakan itu, skuad Tok Gajah yang kembali mengatur gerakan bagaimanapun kecewa apabila beberapa percubaan Conti dan Azamuddin Akil gagal menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.

Sorakan lebih 30,000 penyokong Sang Kijang dilihat bergemuruh seketika pada minit ke-22 namun jaringan Norfarhan Mohamed dibatalkan selepas terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan kontroversi pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed yang tidak memberikan sepakan penalti selepas Dickson Nwakaeme dikasari Stewart pada minit ke-25 juga mengundang kemarahan pengendali Kelantan, Bojan Hodak.

Peluang terbaik Pahang memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada minit ke-27 namun rembatan R. Surendren sekadar terkena tiang sementara percubaan susulan Conti melewati palang gol ketika Khairul Fahmi sudah tertewas.

Di sebalik penguasaan Tok Gajah sepanjang babak pertama, kebijaksanaan The Red Warriors melancakan serangan kilat juga hampir membuahkan hasil, namun rembatan deras Norfarhan berjaya ditepis keluar penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid pada minit ke-34.

Masalah komunikasi di benteng pertahanan Tok Gajah terutamanya pada penghujung babak pertama juga nyaris dihukum Mohd. Badhri, namun Khairul Azhan dilihat lebih pantas mengawal keadaan.

Skuad kendalian Dollah Salleh yang bertambah garang pada babak kedua semakin kecewa apabila percubaan pemain gantian, Mohd. Fauzi Roslan melambung tinggi sementara percubaan Azamuddin juga tidak menemui sasaran meskipun Khairul Fahmi telah tertewas.

Conti akhirnya muncul wira Tok Gajah apabila bijak menanduk masuk gol kemenangan yang melepasi jangkauan Khairul Fahmi hasil hantaran pemain terbaik perlawanan, Azamuddin pada minit ke-58.

Usaha keras Kelantan untuk menyamakan kedudukan selepas itu juga dilihat menemui jalan buntu apabila rembatan deras Dickson dari luar kotak penalti berjaya ditepis Khairul Azhan dua minit kemudian sebelum dia sekali lagi bertindak cemerlang menepis keluar sepakan penjuru berbahaya Mohd. Badhri pada minit ke-65.

Peluang The Red Warriors untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan juga akhirnya terkubur apabila Khairul Azhan sekali lagi berjaya menepis percubaan Ahmad Fakri Saaraini dan Norfarhan pada penghujung babak kedua.

Kali terakhir Pahang menjuarai Piala Malaysia apabila mengecewakan Kedah 1-0 di pentas final.

Gelombang merah, kuning di Stadium Shah Alam

Posted:

Gelombang merah, kuning di Stadium Shah Alam

Gelombang merah, kuning di Stadium Shah Alam


STADIUM Shah Alam dibanjiri penyokong Pahang dan Kelantan pada final Piala malaysia 2013 yang menemukan kedua-dua pasukan malam tadi.


STADIUM Shah Alam bertukar wajah pada final Piala Malaysia 2013 antara Pahang dengan Kelantan malam tadi.

Warna merah kuning memenuhi setiap ruang stadium yang berkapasiti 75,000 tempat duduk itu.

Penyokong kedua-dua pasukan dilaporkan sudah tiba di Stadium Shah sejak petang kelmarin dan mereka telah berkampung di perkarangan stadium bagi menunggu detik sepak mula kejohanan paling berprestij tanah air itu.

Situasi itu menyebabkan laluan trafik sesak teruk apabila ribuan kenderaan dilihat telah membanjiri sekitar kawasan stadium.

Tinjauan Kosmo! mendapati majoriti penyokong kedua-dua pasukan terpaksa berjalan kaki menuju ke stadium sejauh lebih 10 kilometer gara-gara tempat meletak kenderaan yang terhad.

Pada masa sama, suasana dalam stadium yang dipenuhi lebih 75,000 penyokong kedua-dua pasukan seawal pukul 3 petang lagi juga bertambah hangat apabila penyokong kedua-dua pasukan mula melancarkan perang psikologi awal apabila tidak membenarkan penyokong lawan memasuki kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk mereka.

Ada juga peminat yang dilihat terpisah dengan anak masing-masing gara-gara stadium yang sesak, mujurlah situasi itu berjaya dikawal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila mengarahkan peminat berkenaan segera ke bilik pihak pengurusan untuk menyaksikan perlawanan menerusi skrin gergasi yang disediakan.

'Perang' antara peniaga juga dilihat tidak kurang hebat apabila menawarkan harga runtuh termasuk jersi dan mafla pasukan kesayangan masing-masing sejak pagi.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di perkarangan stadium mendapati kira-kira 400 buah bas membabitkan penyokong kedua-dua pasukan telah tiba di stadium sejak petang semalam.

Kedua-dua penyokong juga diasingkan ketika memasuki stadium menerusi pintu masuk berbeza, namun situasi bertukar sedikit kecoh apabila terdapat segelintir penyokong Kelantan dilihat mula memenuhi ruang kosong yang sepatutnya memisahkan penyokong kedua-dua pasukan.

Hujan lebat yang membasahi stadium sebelum sepak mula juga dilihat tidak mengekang keghairahan penyokong kedua-dua pasukan yang bersorak riang sejak pukul 5 petang.

Mereka juga dilihat menyalakan lampu telefon bimbit masing-masing berbanding menggunakan suar yang dilarang keras FAM untuk dibawa masuk ke stadium.

Tahap keselamatan juga cukup ketat.

Para penonton perlu melalui pemeriksaan rapi oleh anggota keselamatan sebelum memasuki stadium.

Unit Polis Berkuda juga ditugaskan untuk memantau aspek keselamatan di sekitar stadium.

Malaysia terus kempunan

Posted:

Malaysia terus kempunan

Malaysia terus kempunan

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


PEMAIN Thailand, Anuwat Chaichana (jersi merah) melakukan libasan sambil cuba dihalang oleh pemain negara, Hanafiah Dolah (jersi Oren) dalam perlawanan akhir semalam.


HAJAT Malaysia untuk merangkul kejuaraan Siri Super 3 Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2013/14 tidak kesampaian apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand 2-3 pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu semalam.

Kekalahan itu sekali gus mengulangi pencapaian mengecewakan skuad negara selepas turut bergelar naib juara pada edisi Siri Super di New Delhi dan Bangkok sebelum ini.

Pada aksi semalam, anak-anak buah Jamaluddin Hassan berpeluang mencipta sejarah apabila mendahului dua set pertama sebelum Thailand bangkit dengan memenangi tiga set berikutnya dengan keputusan penuh 12-15, 11-15, 15-4, 15-12 dan 15-7.

Perlawanan akhir yang berlarutan selama hampir dua jam itu itu menyaksikan Malaysia menurunkan trio utama, Nor Azman Hamid, Syazreen Qamar dan Hanafiah Dolah.

Thailand pula selaku juara edisi di Bangkok bulan lalu menurunkan tekong simpanan, Tanawat Chumsena pada set ketiga untuk bergandingan bersama Panupong Petlue dan Anuwat Chaichana.

Bagi Jamaluddin, percaturan lawan yang menurunkan tekong simpanan pada set ketiga jelas mengubah rentak permainan sehingga memaksa pemain-pemain negara melakukan beberapa kesilapan mudah.

"Kita berjaya menguasai dua set pertama sekalipun Thailand menurunkan tekong utamanya, namun segalanya berubah apabila Tanawat masuk dengan melakukan variasi servis yang mengelirukan," katanya ketika ditemui sebaik perlawanan tersebut berakhir.

Tambah Jamaluddin lagi, percaturannya untuk menurunkan Fazil Mohd. Asri di posisi tekong juga tidak membawa hasil apabila servis kencang yang dilakukan pemain itu sering dibatalkan pengadil.

"Seharusnya saya meminta maaf kepada penyokong terutamanya yang memenuhi dewan hari ini (semalam) kerana kami gagal memenuhi impian mereka untuk menjuarai kejohanan ini.

"Saya kecewa apabila kita tewas lagi dalam perlawanan akhir sedangkan pasukan kita telah memenangi dua set awal," ujarnya.

Bagaimanapun, Jamaluddin tetap optimis trio yang diturunkan semalam mampu menghadirkan kejayaan kepada negara terutamanya pada Sukan SEA akan di Myanmar penghujung tahun ini.

"Kita tewas dalam pertarungan lima set dan saya cukup bangga dengan regu yang kita ada ini. Mereka menunjukkan permainan yang baik sekali pun ada pemain yang pertama kali beraksi tahun ini," jelasnya.

Dalam dua perlawanan akhir Siri Super sebelum ini, Malaysia turut gagal bergelar juara apabila tewas kepada Korea Selatan di New Delhi sebelum dijinakkan Thailand pada aksi di Bangkok.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam kategori wanita menyaksikan trio negara sekadar berkedudukan keempat selepas tewas 10-15, 9-15 kepada Indonesia pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved