Ahad, 13 Oktober 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Penyakit jantung pembunuh wanita

Posted:

Penyakit jantung pembunuh wanita

Penyakit jantung pembunuh wanita

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

WAN AZMAN (kiri) bersama Pengarah PPUM, Datuk Dr. Ikram Shah Ismail menunjukkan kaedah pemasangan sten ke dalam saluran arteri pesakit CHD.


MALANG tidak berbau. Itulah pepatah Melayu yang sesuai dikaitkan dengan penyakit jantung apabila ia menyerang tanpa sebarang amaran atau petanda.

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor mendedahkan 73 peratus daripada 414 responden tidak pernah menjalani ujian kesihatan jantung secara berskala sebelum didiagnosis menghidapi penyakit jantung koronari (CHD).

CHD berlaku apabila lebihan lemak yang dipanggil plak bergumpal pada dinding arteri lalu menyebabkan saluran tersebut semakin sempit. Apabila ia berlaku, jantung tidak mendapat darah dan oksigen yang mencukupi, lalu berlakunya episod CHD.

Lebih mengejutkan, wanita merupakan penyumbang peningkatan jumlah kematian akibat serangan jantung dengan hanya 18 peratus penghidap CHD mendapatkan rawatan di hospital berbanding lelaki.

Laporan tersebut merupakan hasil kajian berhubung pengetahuan rawatan penyakit jantung dalam kalangan pesakit PPUM yang dilaksanakan pusat perubatan itu sempena Hari Jantung Sedunia pada 29 September lalu.

Menurut Ketua Unit Kardiologi PPUM, Prof. Dr. Wan Azman Wan Ahmad, ramai penghidap CHD mengetahui keperluan mendapatkan rawatan, bagaimanapun enggan mendapatkan rawatan terlibat terutamanya dalam kalangan wanita.

"Ia mungkin disebabkan oleh kekangan masa atau masalah kewangan yang dialami pesakit," katanya pada satu taklimat media yang diadakan di PPUM baru-baru ini.

Tambahnya, pesakit CHD lebih cenderung memilih pil-pil oral yang dibeli di farmasi seperti asprin.

Sten

Wan Azman memaklumkan, kaji selidik itu turut mendedahkan hampir 80 peratus penghidap CHD di PPUM tidak mengetahui tentang sten iaitu sejenis jaringan besi tahan karat yang biasanya digunakan dalam prosedur angioplasti koronari.

Prosedur angioplasti koronari adalah teknik pembedahan yang dilakukan untuk membaiki atau memulihkan saluran darah yang rosak.

Teknologi canggih pada hari ini menawarkan lima jenis sten iaitu sten logam terdedah, sten ubatan pelarut, sten biokejuruteraan, bioresorbable vascular scaffold dan sten dwiterapi.

Bagaimanapun, Wan Azman memberitahu, kesemua sten mempunyai kebaikan dan kekurangannya tersendiri.

Jelasnya, pemilihan sten dibuat oleh pakar-pakar kardiologi berdasarkan tahap kesihatan jantung dan mengambil kira faktor kewangan pesakit.

"Kita harus berdepan dengan realiti bahawa rawatan penyakit jantung merupakan antara yang menelan belanja paling besar berbanding rawatan-rawatan penyakit lain. Namun, itu hanya berlaku sekiranya keadaan jantung pesakit menjadi sangat lemah dan tersumbat.

"Perkara ini boleh dielak jika pesakit mengamalkan pengambilan pemakanan yang sihat dan melakukan aktiviti senaman seperti yang disarankan pengamal perubatan," katanya.

Harga terendah untuk setiap sten ialah RM2,000 dan keperluan jumlah sten bergantung kepada keadaan jantung pesakit.

Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidapi penyakit diabetes ataupun tekanan darah tinggi, sarankan mereka untuk membuat pemeriksaan jantung atau elektrokardiogram (ECG) untuk mencegah CDH.

Ini kerana CHD yang berpunca daripada masalah diabetes yang menyebabkan lapisan lemak menyekat saluran arteri, sementara tekanan darah tinggi adalah pemangkin pembinaan lemak tersebut.

Menurut Wan Azman, dengan membayar RM25 untuk satu ujian ECG di PPUM contohnya, rakyat Malaysia boleh menghindari CHD yang menelan belanja ribuan ringgit.

"Orang ramai seharusnya peka dan mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan keadaan jantung yang sihat," katanya.

Tidak perlu takut berkongsi karya

Posted:

Tidak perlu takut berkongsi karya

Tidak perlu takut berkongsi karya

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

NORASYIKIN gemar menulis karya-karya berkaitan cinta dengan menyelitkan elemen jenaka.


LEBIH baik mati berjuang daripada menanggung malu kerana menyerah kalah. Peribahasa Inggeris itu menjadi pembakar semangat novelis, Norasyikin Zainal, 36, untuk terus menuntut ilmu dan mempersembahkannya dalam sebuah aksara indah.

Norasyikin mula mencabar kebolehan diri dalam penulisan sastera sejak di bangku sekolah lagi, namun bakat itu dipendam untuk tatapan sendiri dan hanya dikongsikan bersama rakan-rakan rapat.

"Saya berminat untuk menulis ketika di tingkatan enam lagi, tetapi saya malu untuk mengetengahkan bakat yang ada," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Tamat persekolahan, Norasyikin menyambungkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam jurusan Komunikasi. Di situ, bakatnya mula diasah dengan pelbagai pendedahan mengenai cara penulisan drama dan skrip.

Bagaimanapun, Norasyikin lebih selesa menggayakan penulisannya dalam bentuk novel dan mula menulis secara berperingkat.

Nekad mengetepikan perasaan malu dan takut dikritik, akhirnya Norasyikin menghantar karya pertamanya kepada Buku Prima Sdn. Bhd. (Buku Prima).

Novel pertamanya yang berjudul Indahnya Takdir telah diterima oleh pihak penerbit dan diterbitkan pada tahun 2010.

"Pada mulanya saya malu untuk menghantar karya saya, tetapi saya memberanikan diri dan alhamdulillah penulisan saya diterima," katanya.

Tidak pernah berpuas hati dengan kejayaan pertama, Norasyikin terus mencabar daya kematangan dan kreativiti diri dengan menulis novel kedua berjudul Demi Cinta, diekori Suamiku Encik Sotong.

Setiap orang mempunyai cara sendiri untuk mencari idea bagi dicoretkan dalam nukilan masing-masing.

Tempat awam

Bagi Norasyikin yang merupakan ibu kepada seorang anak lelaki dan isteri sepenuh masa, dia berjaya memintal idea apabila berada di tempat-tempat awam seperti di pusat-pusat beli-belah.

"Saya lebih suka mencari idea di tempat awam sambil melihat gelagat orang ramai yang lalu-lalang. Dengan cara ini, saya dapat menyalurkan gambaran sebenar kehidupan ke dalam karya-karya saya," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai genre buku yang dipilih, Norasyikin memberitahu, dia lebih ligat dan kreatif dalam menyampaikan sebuah kisah cinta.

"Novel pertama saya, Indahnya Takdir membawa genre yang agak berat dan penuh dengan konflik, namun masih mengalunkan kisah-kisah kasih-sayang di dalamnya.

"Begitu juga dengan Demi Cinta, tetapi untuk Suamiku Encik Sotong saya cuba menyelitkan unsur-unsur jenaka di dalamnya," ujarnya.

Di sebalik keindahan kisah percintaan yang diceritakan dalam novel-novelnya, Norasyikin turut berdepan masalah untuk menyajikan yang terbaik buat pembaca.

"Antara cabaran lain ialah mencari nama watak yang sesuai. Saya sering berdepan dengan masalah ini dan untuk menanganinya saya selalu meminta pertolongan dari teman-teman menerusi laman sosial Facebook," katanya.

Novel terbaharunya, Suamiku Encik Sotong telah diterbitkan pada Jun lalu dengan harga pasaran RM25.90. Novel genre cinta komedi itu mengisahkan perkahwinan paksa antara Erica Soffea dan Farish.

Farish merupkan seorang lelaki yang bersifat lembut dan ciri-ciri itu telah menyebabkan Erica merasa marah kerana dijodohkan dengan jejaka itu demi menunaikan wasiat neneknya.

Bagaimanapun, Erica mencintai sepupunya, Izhan dan Farish menyintai Dhia Adirra, seorang gadis yang menerima dia seadanya.

Tambah Norasyikin, jika berkesempatan, dia akan cuba melahirkan karya dengan genre seram dan khusus untuk remaja.

Masakan desa di Hotel Intercontinental

Posted:

Masakan desa di Hotel Intercontinental

Masakan desa di Hotel Intercontinental


CHEF ZAM bergambar dengan pelbagai hidangan Melayu desa yang ditawarkan sempena promosi Cita rasa Perak dan Pulau Pinang di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.


MENGETENGAHKAN masakan Melayu desa, Hotel Intercontinental di Kuala Lumpur bakal memperkenalkan promosi hidangan terbaharu, Cita rasa Perak dan Pulau Pinang bermula 15 Oktober ini.

Sebanyak 30 menu hidangan Melayu asli ditawarkan kepada pelanggan yang ingin merasai masakan tradisi hasil air tangan oleh Chef Mohd. Zalizam Mohd. Rasidi. atau lebih mesra dengan panggilan Chef Zam.

Menurut Chef Zam, dia memilih untuk menyediakan menu masakan Perak dan Pulau Pinang adalah kerana beliau sendiri telah dilahirkan di Taiping, Perak.

"Saya telah mempelajari semua resipi hidangan tradisi daripada arwah nenek. Semua hidangan dimasak dengan cara tradisional seperti menggunakan batu giling dan bahan-bahan segar.

"Bagaimanapun, saya telah mengolah resipi itu kepada sesuatu yang lebih kreatif dan bersesuaian dengan permintaan pelanggan pada hari ini," katanya.

Memberi contoh, beliau berkata, masyarakat Perak suka menggunakan santan yang pekat dan banyak dalam masakan mereka. Namun, dari aspek penjagaan kesihatan, ia bukan satu amalan gaya hidup yang sihat.

"Oleh demikian, saya mengurangkan jumlah penggunaan santan dan menggantikannya dengan bahan-bahan alternatif yang lebih sihat tanpa mengabaikan cita rasa asli masakan Melayu," katanya.

Tambahnya lagi, dalam menu masakan Pulau Pinang, beliau menggunakan gaya masakan India Muslim atau 'mamak' yang suka bermain dengan rempah. Antara menu istimewa yang disediakan ialah kari kepala ikan.

Sempena promosi ini, hidangan-hidangan yang disediakan Chef Zam termasuk juadah popular masyarakat Perak iaitu rendang tok, pajeri nanas, kerabu pucuk paku bersama kerabu mangga muda dan ikan haruan masak tempoyak.

Bagi masakan Pulau Pinang pula adalah sup kambing berempah dengan kentang, beriani kambing, sotong masak kunyit, pasembor dan ayam goreng berempah.

Promosi Cita rasa Perak dan Pulau Pinang ditawarkan pada harga permulaan RM82 untuk makan tengah hari dan RM98 bagi hidangan malam untuk seorang dewasa. Promosi ini akan berlangsung sehingga 15 November ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved