Ahad, 13 Oktober 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terpaksa tarik diri saat akhir

Posted:

Terpaksa tarik diri saat akhir

Terpaksa tarik diri saat akhir

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

ZULFAHMI (tengah) memberi kata-kata semangat kepada rakan sepasukannya selepas dia tidak dapat beraksi di Litar Sepang semalam ekoran kesakitan yang dialami di bahagian pergelangan tangan.


HASRAT peminat tempatan untuk menyaksikan Muhammad Zulfahmi Khairuddin menggegar Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2013 tidak kesampaian.

Ini kerana Zulfahmi tidak turun bersaing dalam kelas Moto3 semalam ekoran kecederaan pergelangan tangan kanannya yang semakin serius.

Zulfahmi, 22, mengalami kecederaan itu selain dibelenggu kesakitan di bahagian belakang badan setelah terbabit dalam kemalangan ketika beraksi pada GP Aragon, Sepanyol bulan lalu.

Pada mulanya, pelumba Red Bull KTM Ajo itu dibenarkan beraksi oleh doktor perubatan MotoGP, namun dia bergelut dengan kesakitan pada latihan bebas pada Jumaat lalu dan sesi kelayakan masa kelmarin.

Meskipun bertekad mahu melawan kesakitan yang dialami, Zulfahmi bagaimanapun terpaksa melupakan hajatnya itu selepas mendapati kecederaan tangan kanannya semakin bengkak, sekali gus menyukarkannya mengawal jentera.

"Sehari sebelum perlumbaan, saya ada menjalani fisioterapi dan menggunakan ubat yang diberikan oleh doktor, namun apabila bangun pagi tadi (semalam) saya berasa tangan saya semakin sakit.

"Saya memutuskan untuk mengambil ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan tetapi ketika sesi memanaskan badan sebelum perlumbaan, saya dapati tangan berasa kebas dan sukar untuk mengawal jentera.

"Saya juga sukar untuk menekan brek menggunakan tangan, mungkin kerana skru yang dimasukkan ketika pembedahan di Barcelona tempoh hari mengganggu pergerakan tulang tangan saya," jelas Zulfahmi yang sepatutnya bermula di petak ke-14 semalam.

Sambil meminta maaf kepada peminat Malaysia yang hadir untuk memberi sokongan kepadanya, Zulfahmi menjelaskan, dia terpaksa akur kepada keputusan doktor perubatan yang tidak membenarkan dia beraksi semalam.

"Walaupun telah menerima tujuh suntikan ubat penahan sakit, namun kesakitan itu masih tidak berkurangan.

"Jadi, atas nasihat doktor perubatan dan pasukan, saya memutuskan untuk tidak meneruskan perlumbaan kerana bagi saya agak sukar untuk mengutip mata dalam keadaan sebegini.

"Keadaan ini juga boleh membahayakan diri saya dan juga pelumba lain. Jadi, lebih baik saya tidak berlumba," kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu.

Dua pelumba wildcard negara bagi kelas Moto3, Amirul Hafiq Mohd. Azmi dan Husni Aizat Abdul Malek dari pasukan Touchline SIC Ajo gagal menamatkan perlumbaan setelah masing-masing terjatuh pada pusingan kedua dan ketiga.

Perlumbaan Moto3 dimenangi oleh rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom dengan catatan masa 40 minit 42.441 saat (s) diikuti Alex Rins (40:42.510s) dan Miguel Oliveira (40:42.849s).

Benteng sedia kekang Bahrain

Posted:

Benteng sedia kekang Bahrain

Benteng sedia kekang Bahrain

Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
sukan@kosmo.com.my


AIDIL (kanan) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.


TONGGAK pertahanan kental, Aidil Zafuan Abdul Radzak menganggap kecederaan yang dialami Mahalli Jasuli sedikit sebanyak memberi kesan kepada benteng pertahanan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Aidil berkata, situasi itu tidak bermakna barisan pertahanan akan mudah untuk dibolosi dalam pertemuan menentang Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam esok.

Menurut Aidil, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal sudah pasti mempunyai pilihan pemain yang akan sedia menggalas tugas sekiranya Mahalli terpaksa diketepikan.

"Untuk latihan hari ini (semalam) saya digandingkan dengan Amirizdwan Taj, K. Reuben, Asraruddin (Putra Omar) serta beberapa pemain pertahanan yang lain.

"Bagi saya, jika Mahalli terpaksa diketepikan saya rasa jurulatih masih mempunyai pilihan yang boleh menggantikan posisinya seperti K. Reuben," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Aidil menambah, setiap pemain Harimau Malaya harus fokus dan memberikan komitmen 100 peratus pada pertemuan penting itu nanti.

"Kami telah banyak menimba pengalaman dan pengajaran yang sangat berharga ketika bertemu UAE (Emiriyah Arab Bersatu) walaupun kalah 1-3.

"Daripada situ kami dapat pelajari serta meneliti kelemahan yang mungkin boleh kami kurangkan ketika bertemu Bahrain nanti," ujar anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu.

Aidil berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan memberi persembahan yang terbaik dan cuba untuk meraih tiga mata penuh di Stadium Shah Alam.

"Walaupun masing-masing dalam mood berhari raya tetapi kami akan berkorban demi pasukan negara dan memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya.

"Oleh itu, saya berharap penyokong dapat meluangkan masa untuk hadir beramai-ramai untuk memberi semangat kepada pemain-pemain Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan menentang Bahrain nanti," kata pemain Johor Darul Takzim itu.

'Mungkin silap saya'

Posted:

'Mungkin silap saya'

'Mungkin silap saya'

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

"IA kemahuan para pemain dan kami perlu menghormati kemahuan mereka."

Itu reaksi jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan ketika diminta mengulas isu pertukaran venue aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan pada 18 Oktober ini.

Kelmarin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima rayuan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) yang pada mulanya meminta aksi tersebut diadakan di Stadium Shah Alam.

Namun, disebabkan banyak rungutan daripada barisan pemain ATM, PBAT meminta aksi itu kembali diadakan di gelanggang asal mereka - Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sathianathan mengakui kesilapannya sebelum ini yang terburu-buru mahu mengadakan perlawanan itu di stadium lebih besar dan selesa serta memiliki aspek kawalan keselamatan lebih bagus.

"Mungkin silap saya kerana sebaik sahaja kami melangkah ke separuh akhir, saya ada berbincang dengan pengurusan tertinggi pasukan dan mereka mencadangkan untuk mencari venue yang lebih besar dan selamat untuk aksi separuh akhir pertama itu.

"Saya tanpa berfikir panjang terus mengemukakan permohonan kepada FAM untuk kami bermain di Shah Alam.

"Namun, pemain-pemain meluahkan kepada saya mereka tidak mahu bermain di Shah Alam kerana lebih selesa di Selayang.

"Saya terus mengemukakan perkara itu kepada pihak pengurusan dan mereka minta saya memohon untuk kami bermain di Selayang," kata Sathianathan kelmarin.

Sathianathan berkata, beliau telah menuruti segala kemahuan para pemainnya dan berharap mereka dapat memberikan aksi terbaik ketika melayan kunjungan Kelantan di Selayang nanti.

"Kami akan menjalani latihan seperti biasa dan saya hanya memberi para pemain pelepasan sehari untuk Hari Raya Aidiladha dan selepas itu, kami akan kembali berlatih sebelum menentang Kelantan Jumaat ini.

"Saya lihat motivasi para pemain sangat baik dan saya harap ia dikekalkan sehingga sepak mula separuh akhir nanti," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved