Ahad, 13 Oktober 2013

Kosmo Online - Kesihatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Sedu setiap dua saat

Posted:

Sedu setiap dua saat

Sedu setiap dua saat

EMILY turut mengamalkan memakan cuka untuk menahan pernafasannya.


MUNGKIN biasa bagi seseorang untuk mengalami sedu dalam beberapa saat sebelum ia hilang dengan sendirinya tetapi apa yang dialami oleh seorang pelajar, Emily Marsh, 13, agak aneh kerana dia pasti tersedu setiap kali hendak ke sekolah.

Akibat sedu, hidup Emily mula berubah malah keadaan semakin kronik apabila sedu itu tidak berhenti sehingga kini walaupun ketika dia sedang tidur.

Pakar perubatan yang merawatnya juga masih belum menemui cara untuk menyembuhkan penyakit itu.

Gadis itu juga sudah melalui beberapa siri imbasan, X-ray dada, pemeriksaan endoskopi, ujian pernafasan serta kajian gastrik.

Malah, doktor juga memberikan Emily pelbagai jenis ubat bagi mengubati sedu itu tetapi semuanya tidak berhasil. Emily juga mencuba kaedah osteopati dan hipnosis, keputusannya juga gagal.

Dia mencuba pelbagai kaedah tradisional seperti memakan cuka untuk menahan pernafasan selain mencuba rawatan akupuntur tetapi prosedur itu amat memenatkan.

Menurut ibunya, Cathy Barrett, 45, mereka sanggup mencuba segala kaedah perubatan bagi membolehkan anaknya itu kembali normal.

"Keadaannya itu membuatkan tekaknya menjadi sakit tetapi dia berjaya mengawalnya.

"Setiap kali dia mengalami sedu, dia akan diberikan segelas air dan mujurlah pihak sekolah sangat memahami keadaannya itu dan dia sering diberi perlepasan setiap tengah hari di sekolahnya untuk membolehkan dia berehat sebelum menyambung semula pembelajaran," ujar ibunya yang bekerja sebagai pekerja kebajikan.

Emily berkata, dia sudah melakukan pelbagai cara untuk menghilangkan sedunya termasuk meminum cuka.

"Sudah tentu rasa cuka masam dan tak sedap. Saya tidak akan mencubanya lagi," jelasnya.

Sedu kronik

Dia kini sedang dirawat dengan bantuan dua ubat iaitu domperidone, sejenis ubat antiloya dan omeprazole yang digunakan untuk merawat penyakit refluks gastro.

Tambah ibunya, kesemua cara untuk mengubati penyakit sedu kronik anaknya itu tidak menjadi.

"Kami sudah ketandusan idea tentang cara untuk mengubatinya dan dia juga sudah bosan dengan penyakitnya itu.

"Saya faham sekiranya seseorang itu mengalami sedu dalam tempoh beberapa saat sahaja tetapi ia sangat menyusahkan apabila mengalami sedu untuk tempoh yang lama," katanya sambil memberitahu anaknya itu tiada sebarang masalah kesihatan.

Jelasnya, ubat-ubatan yang sering digunakan untuk merawat sedu memberi kesan kepada orang dewasa tetapi ia tidak bersesuaian untuk digunakan kepada kanak-kanak.

"Anak saya sudah mencuba ubat haloperidol tetapi ubat itu membuatkannya terpaksa dimasukkan ke hospital hampir seminggu.

"Ada seorang gadis Amerika yang mencipta 'hiccupop' dan saya percaya produk itu mampu memberi kesan kepada anak saya kerana gadis itu telah mencubanya terlebih dulu tetapi malangnya ia belum berada di pasaran," beritahu beliau.

Penyakit yang dideritai Emily turut dialami oleh seorang pemuzik, Charles Osborne, yang mengalami penyakit itu selama 68 tahun tetapi hilang dengan sendirinya seperti yang tercatat di dalam Guinness Book of World Records.

Pada tahun 2010, pemuzik itu terpaksa menjalani pembedahan otak akibat masalah itu.

Sementara itu, pakar perunding perubatan Pusat Perubatan Kajang Plaza di Kajang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, sedu berpunca apabila otot diafragma mengecut secara tidak terkawal dan diikuti penutupan peti suara.

"Ini menyebabkan berlakunya rangsangan dan radang pada saraf vagus serta saraf phrenic.

"Sebab terjadinya sedu berdasarkan faktor minuman bergas, alkohol, jangkitan kuman atau ketumbuhan pada tekak dan reflux asid (gastrik).

"Simptomnya juga bergantung kepada sebab berlakunya sedu dan jika ia berlaku disebabkan jangkitan kuman, simptom seperti demam, batuk dan sakit tekak akan terjadi," jelasnya.

Tambahnya, cara untuk mengurangkan sedu ialah dengan menjaga pemakanan serta mengurangkan pengambilan minuman bergas atau alkohol.

"Normal bagi seseorang mengalami sedu dalam tempoh 24 jam, tetapi perlu merujuk kepada pakar sekiranya ia melebihi tempoh tersebut bagi memastikan punca berlakunya penyakit itu," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved