Jumaat, 11 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Remaja pejuang pendidikan

Posted:

Remaja pejuang pendidikan

Remaja pejuang pendidikan

KANAK-KANAK kadangkala mengalami kesukaran untuk tidur sepanjang malam kemungkinan diganggu lembaga menakutkan yang mereka tidak kenali.

Bagaimanapun, Malala Yousufzai, 11, mengetahui dengan tepat bagaimana bentuk lembaga berkenaan.

Pada pandangannya, lembaga itu berjanggut panjang, memakai jubah berwarna kusam dan kini menguasai tempat kelahirannya di lembah Swat, barat laut, Pakistan.

Swat terkenal sebagai lokasi pelancongan yang indah, subur dan kerap menjadi tumpuan peminat-peminat ski dari serata dunia. Bagaimanapun, pada tahun 2003 lokasi itu telah dijadikan markas operasi pengganas Taliban.

Tentera Taliban percaya wanita tidak layak mendapat sebarang pendidikan apatah lagi untuk keluar rumah. Di Swat, mereka melaksanakan undang-undang tegas bagi memastikan setiap penduduk mematuhinya.

Bagaimanapun, Malala mempertahankan pendiriannya. Sokongan bapanya, Ziauddin Yousafzai, yang juga seorang guru besar di sebuah sekolah di wilayah itu menyebabkan dia langsung tidak gentar ke sekolah.

"Tentera Taliban sering menyerang sekolah-sekolah di Swat," tulisnya melalui blog Diary of a Pakistani Schoolgirl yang turut dikongsi di seluruh dunia dalam laman web agensi penyiaran dari Britain, British Broadcasting Corporation.

Menggunakan nama samaran, Malala menulis pelbagai isu mengenai penindasan tentera Taliban termasuk arahan melarang kanak-kanak perempuan ke sekolah pada Januari 2008.

Di blognya yang ditulis dalam bahasa Urdu itu, dia memuji tindakan bapanya yang menyokong dan memperjuangkan isu itu.


TENTERA membawaMalala menggunakan helikopter tentera untuk dihantar ke hospital tentera Peshawar selepas beliau ditembak Taliban.


Kepala ditembak

"Ayah beritahu seseorang telah mencetak diari di dalam blog saya dan menyatakan ia sesuatu tindakan yang berani.

"Ayah hanya tersenyum mendengarnya dan tidak bersuara biarpun mengetahui ia ditulis oleh anak perempuannya," tulis Malala.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Malala yang ketika itu berusia 15 tahun terpaksa membayar pada harga yang tinggi di atas perjuangannya selama ini.

Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, bas yang dinaikinya telah ditahan dua lelaki bersenjata. Selepas mengenal pasti identitinya, penyerang terbabit telah menembak leher dan kepalanya sebelum melarikan diri. Dua rakannya turut cedera.

"Kami tidak akan bertolak-ansur dengan mereka yang cuba menentang seperti Malala," kata seorang jurucakap Taliban sejurus selepas serangan. Jurucakap itu juga mengancam untuk memburunya sekali lagi jika remaja itu terselamat.

Malala telah diterbangkan ke hospital tentera di Penshawar dan menerima rawatan rapi di sana. Satu pembedahan berjaya mengeluarkan serpihan peluru di leher dan otaknya.

Pakar juga terpaksa membuang sebahagian kecil daripada tempurung kepalanya. Malala ditempatkan di unit rawatan rapi selama tiga hari.

Seorang doktor dari Britain yang kebetulan melawat negara itu mencadangkan Malala dibawa ke United Kingdom untuk menerima rawatan lanjut.

Sekumpulan doktor pakar melakukan beberapa pendedahan lain untuk menyelamatkan nyawanya. Lubang pada bahagian tempurung kepalanya turut ditampal dengan plat titanium.

Ekoran kecederaan parah yang dialaminya, Ziauddin menggesa ahli keluarganya bersedia untuk melakukan upacara pengkebumian.

"Kami tidak menyangka mereka sanggup menyerang Malala, ia bukan tradisi di tempat kami. Undang-undang rotan atau sebat memang sudah lama dipraktikkan, tetapi bukan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Saya sangat kecewa kerana ia merupakan tidakan pengecut untuk menghentikan apa yang telah diperjuangkan Malala selama ini," katanya ketika ditemuramah wartawan.

Berita serangan itu tersebar ke seluruh Pakistan dan menerima reaksi orang ramai.


ZIAUDDDIN (dua dari kanan), bapa Malala sentiasa memberi dorongan kepada anak gadisnya meskipun nyawa Malala terancam.


Masa depan

Sebuah akhbar tempatan menyiarkan gambar Malala dalam keadaan kepala berbalut sambil diusung oleh kakitangan hospital. 'Kebencian menentang harapan' kata tajuk muka depan akhbar Express Tribune.

Presiden Pakistan, Perdana Menteri dan barisan menteri dalam kalangan pelbagai parti di negara itu turut menyertai pertubuhan hak asasi, Amnesty International dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengutuk serangan itu.

"Masa depan Pakistan terletak pada gadis muda dan berani seperti Malala. Sejarah tidak akan melupakan si pengecut yang cuba membunuhnya," kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Susan Rice dalam mesej Twitternya.

Hari ini, Malala dan keluarganya menetap di Birmingham. Sejak bulan Mac lalu, dia telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Edgbaston High School.

Bagaimanapun, Malala bertekad untuk kembali semula ke negaranya selepas tamat pengajian.

"Pakistan merupakan negara tempat asal saya. Saya perlu kembali ke sana dan berjuang untuk masyarakat. Saya perlu bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan. Namun, apa yang penting ketika ini saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu," katanya.

Dia tahu risiko yang bakal dihadapinya, lebih-lebih lagi tentera Taliban masih berdendam dan meletakkan namanya sebagai sasaran utama sekiranya dia kembali semula ke negara itu.

Bagaimanapun, kemungkinan-kemungkinan itu langsung tidak mematahkan semangat Malala.

"Saya tahu mereka pengganas, namun saya tidak perlu takut. Saya perlu teruskan perjuangan ini dan saya percaya kematian itu pasti bagi setiap manusia, jika ia datang lebih awal sekali pun, saya reda," ujarnya.

Kelantangan dan keberaniannya menerima pengiktirafan di seluruh dunia. Malala turut diberi peluang berucap di PBB ketika ulang tahun kelahirannya yang ke-16 pada Julai lalu.

Ucapannya yang disaksikan jutaan penduduk dunia, berkisar terhadap nasib golongan wanita di negaranya sehingga kepada peristiwa serangan berdarah yang dilalui sebelum ini.

Ditanya mengenai rahsia ketenangannya ketika berucap di hadapan jutaan penduduk di pentas sebesar itu, Malala berkata, dia hanya berfikir tentang masa depan penduduk di negaranya.

Tercalon

"Apabila mula bercakap, saya lupa segala-galanya dan hanya membayangkan pelbagai penderitaan dan wajah-wajah yang menjadi mangsa kekejaman pengganas di negara saya.

"Hati saya berkata, 'Malala bercakaplah dari hatimu. Jangan bimbang, yakin dan katalah apa yang kamu rasakan wajar'," katanya.

Biarpun telah menjalani pelbagai pembedahan untuk menutupi kecacatan pada wajahnya, namun ia masih kelihatan sekiranya dilihat dari beberapa sudut. Malala juga tidak boleh menutup mata kirinya dengan baik ekoran kerosakan saraf.


KANAK-KANAK perempuan Pakistan dalam sebuah kelas pembelajaran.


"Saya bersyukur kerana masih hidup dan kesihatan juga semakin baik setiap hari. Sekarang saya boleh tersenyum, biarpun ia kelihatan senget sedikit tetapi ia tetap sebuah senyuman," ujarnya.

Senyuman itu semakin melebar selepas namanya tercalon Anugerah Hadiah Nobel tahun ini di samping 259 calon yang lain.

Terdahulu, dia telah menerima Teenager of Courage Award yang merupakan sebahagian daripada Pride of Britain Awards di ITV yang disampaikan oleh bekas ketua pasukan bola sepak England, David Beckham.

Pada 18 Oktober ini, Malala telah dijemput untuk bertemu Ratu Elizabeth di Istana Buchingham manakala buku bibiografi dirinya, I Am Malala juga telah berada di pasaran sejak minggu lalu.

"Saya tidak kisah jika orang ramai tidak menyokong saya secara peribadi, namun apa yang penting mereka menyokong perjuangan saya," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua rakyat di negaranya menyenangi perjuangan Malala. Salah seorang daripadanya ialah Maulana Gul Naseeb, pemimpin berpengaruh dari JUI-F, salah sebuah parti politik utama di Pakistan.

"Barat mencipta Malala untuk mempromosikan budaya mereka dan memburuk-burukkan imej Islam dan Pakistan di mata dunia.

"Mereka hanya bercerita tentang kecederaan beliau, tetapi terlupa ratusan kanak-kanak Afghanistan dan Pakistan yang terbunuh akibat dibom sebelum ini," katanya.

Eksentrik gaya rambut di St. Petersburg

Posted:

Eksentrik gaya rambut di St. Petersburg

Eksentrik gaya rambut di St. Petersburg


DANDANAN rambut ini menjadikan model kelihatan seolah-olah permaisuri dari planet asing.


IMAGINASI kreatif seorang pereka memang tidak boleh dijangka oleh minda manusia biasa, apatah lagi jika diberikan cabaran menata rias mahkota wanita iaitu rambut.

Hiasan pada rambut model wanita tinggi bak menara dengan rekaan rumit membuatkan seni pendandan rambut biasa hilang taring. Malah, keupayaan pendandan muda menterjemahkan seni rekaan rambut kepada reka bentuk bangunan benar-benar mengagumkan.

Ribuan lembaran benang dan bahan ditenun serta disusun letak untuk mencipta struktur unik dan pelik. Seni unik di setiap rekaan menakjubkan itu dipamerkan pada Festival Kecantikan Antarabangsa Tebing Sungai Neva di St. Petersburg, Rusia baru-baru ini.

Festival tahunan tersebut menarik artis dan pakar kecantikan dari seluruh dunia untuk berkumpul dan mempamerkan kebolehan masing-masing. Selain menyerlahkan karya-karya rambut yang mengagumkan, solekan dan pakaian elegan turut dipamerkan sebagai pelengkap gaya.


SELAIN rambut, bahagian mata turut diberi sentuhan rapi oleh jurusolek.


Salah satu gaya yang menarik perhatian pengunjung ialah apabila seorang model di pentas peragaan mempamerkan rekaan pada rambutnya yang menyerupai sarang labah-labah yang tinggi. Rekaan tersebut kelihatan seperti mahkota dengan struktur emas yang tegak di atas kepala hingga ke bahagian dahi model berkenaan.

Buat masa ini, festival tersebut diadakan dua kali setahun iaitu pada bulan Februari dan September. Ia berjaya meraih sambutan yang menggalakkan dan dianggap sebagai acara terbesar yang berjaya menghimpunkan pengurus salun kecantikan, pakar kosmetik, artis solekan dan pendandan rambut terbaik dunia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved