Jumaat, 13 September 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Semua pemain tampil aksi positif

Posted:

Semua pemain tampil aksi positif

Semua pemain tampil aksi positif

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

PEMAIN skuad Harimau Muda kini berlumba-lumba membuktikan kemampuan mereka dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.


PARA pemain Harimau Muda telah membuatkan pengendalinya, Ong Kim Swee bertambah pening kepala.

Bagaimanapun, situasi tersebut merupakan satu perkembangan positif dalam kalangan para pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu bagi menghadapi perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 menentang Myanmar malam esok.

Selain itu, skuad muda negara itu juga akan turun dalam misi mengekalkan pingat emas di Sukan SEA Disember depan.

Menurut Kim Swee, para pemain yang berada dalam skuadnya kini sangat positif serta mereka berlumba-lumba untuk mencuri perhatian saya untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.

"Mereka (pemain) telah membuatkan saya pening kepala.

"Tetapi, sakit kepala saya itu sesuatu yang positif buat pasukan Harimau Muda kerana mereka berlumba-lumba memberikan persembahan terbaik ketika diberi peluang beraksi.

"Saya berharap sikap positif begini akan terus dikekalkan dalam diri para pemain bukan sahaja bagi menghadapi perlawanan akhir Sabtu ini (malam esok) dan pada Sukan SEA nanti, tetapi perlu dikekalkan sampai bila-bila," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Thailand kelmarin, Kim Swee berkata, beliau telah merehatkan beberapa tonggak utama pasukan yang kepenatan serta digantung perlawanan bagi memberi peluang seramai enam pemain yang masih belum diturunkan dalam kejohanan itu.

Kata beliau, ternyata para pemain yang diberi peluang telah membalas kepercayaan yang diberikan olehnya dengan menampilkan permainan sangat berkualiti bagi membenam musuh tradisi, skuad Gajah Perang.

"Inilah yang saya harapkan selama ini, apabila dipanggil untuk menggalas cabaran, mereka (pemain-pemain simpanan) bersedia pada bila-bila masa dan mampu memberikan satu persembahan meyakinkan.

"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa tiada gunanya kita mengutip mata maksimum dalam peringkat kumpulan tetapi gagal dalam final.

"Saya berharap para pemain mengambil kesempatan masa rehat selama dua hari ini sebelum turun pada perlawanan akhir bertemu Myanmar pada malam Sabtu ini (esok) untuk mengembalikan kecergasan dan fokuskan dalam fikiran untuk menang.

"Saya serba sedikit telah mengetahui corak permainan Myanmar namun, saya tidak mahu para pemain terlalu yakin walaupun kami menewaskan mereka 2-1 dalam aksi kumpulan sebelum ini," kata Kim Swee sambil mengingatkan pemainnya waspada dengan rentak Myanmar.

Rozaimi belum puas

Posted:

Rozaimi belum puas

Rozaimi belum puas

PENYERANG Harimau Muda, Md. Rozaimi Ab. Rahman masih belum berpuas hati dengan prestasinya setakat ini dan kini bertekad untuk mencapai tahap tertinggi dalam kariernya.

Penyerang kelahiran Sabah itu telah meledak dua gol ketika membantu skuad Harimau Muda membelasah Thailand 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam kelmarin.

Md. Rozaimi yang pertama kali disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara pada kejohanan ini ternyata telah membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih, Ong Kim Swee.

Kata Md. Rozaimi, dia juga tidak kisah jika tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir bertemu Myanmar malam esok kerana yang penting adalah kejayaan pasukan negara menjulang trofi Pestabola Merdeka kali ini.

"Secara keseluruhan, saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi diri saya dalam perlawanan bertemu Thailand semalam (kelmarin).

"Masih banyak perlu saya pelajari dalam menghadapi perlawanan-perlawanan besar seperti itu terutama ketajaman melakukan penyudah.

"Walaupun berjaya menghasilkan dua gol, tetapi saya melepaskan hampir lima peluang terbaik untuk melakukan jaringan.

"Bagaimanapun, saya dedikasikan dua jaringan serta kejayaan kami melangkah ke final itu buat semua rakyat Malaysia," kata Md. Rozaimi kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Md. Rozaimi telah dipilih sebagai pemain terbaik dalam pertemuan dengan Thailand itu.

Sementara itu, penjaring gol sulung skuad Harimau Muda dalam perlawanan itu, Md. Nasir Basharuddin turut senada dengan Md. Rozaimi.

Menurut Md. Nasir, masih terlalu awal untuknya untuk berpuas hati dengan pencapaian singkat itu namun dia berharap akan lebih kerap diberi peluang oleh jurulatih untuk beraksi selepas ini.

Md. Nasir yang juga pemain tengah pasukan Perak itu, berkata, dia sangat gembira kerana dalam penampilan sulung bersama skuad Harimau Muda di pentas antarabangsa dia berjaya menjaringkan gol buat skuad negara.

"Saya akan berusaha lebih keras selepas ini dan sesiapa juga yang diturunkan oleh jurulatih pada perlawanan akhir nanti wajib berjuang habis-habisan untuk mengharumkan nama negara.

"Dalam aksi semalam (kelmarin), saya sangat berpuas hati dengan komitmen rakan-rakan sepasukan. Saya juga berharap, para peminat setia pasukan Harimau Muda akan membanjiri Stadium Darul Makmur pada Sabtu (esok) untuk membakar semangat para pemain," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Selain Md. Rozaimi dan Md. Nasir, Kim Swee telah memberi peluang kepada Shahrul Mohd. Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Saiful Ridzuwan Selamat dan Muhd. Ariff Farhan untuk beraksi buat pertama kali pada Pestabola Merdeka kali ini.

Transformasi badminton negara

Posted:

Transformasi badminton negara

Transformasi badminton negara

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


RAZIF (kiri) berbicang dengan Jeremy Gan selepas langkah penyusunan semula barisan kejurulatihan BAM semalam.


BADMINTON negara kini sedang melalui transformasi dengan harapan mampu melahirkan lebih ramai jaguh terbilang.

Sebagai permulaan, Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah membuat penstrukturan semula tenaga kejurulatihan baharu.

Penyusunan semula itu dibuat selepas TMG mengadakan pertemuan selama tiga hari dengan para jurulatih yang mengendalikan skuad negara serta kumpulan yang ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

TMG membentuk dua kumpulan dalam skuad negara iaitu Kumpulan A akan diketuai Razif Sidek yang bakal menguruskan pemain-pemain elit, manakala Kumpulan B membabitkan pemain pelapis, dipertanggungjawabkan kepada Hendrawan.

Perubahan itu dilihat sebagai satu langkah yang lebih tersusun untuk melahirkan pemain yang berpotensi menyumbangkan kejayaan kepada negara.

Selain itu, pembangunan skuad pelapis turut menjadi keutamaan.

Dalam Kumpulan A, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock akan bersama-sama jurulatih daripada SSBJ, Zhou Kejian untuk melatih barisan pemain perseorangan lelaki.

Beregu lelaki pula akan dibimbing jurulatih dari Indonesia yang menyertai skuad negara pada awal tahun ini, Paulus Firman dan seorang lagi jurulatih SSBJ, Chang Kim Wai.

Perseorangan wanita juga akan mendapat jurulatih baharu apabila TMG melantik Rony Agustinus dan bekas pemain negara, Ng Mee Fen dan beregu wanita dibimbing bekas ratu beregu negara, Wong Pei Tty.

Jeremy Gan kekal sebagai jurulatih beregu campuran dalam skuad elit.

Bagaimanapun, barisan jurulatih Kumpulan B yang dibarisi pemain-pemain pelapis akan diterajui Wong Tat Meng selaku jurulatih perseorangan lelaki, Mohd. Hazwan Jamaluddin (perseorangan wanita), Rosman Abd. Razak (beregu lelaki), Chin Eei Hui (beregu wanita) dan Chong Kien Ling (beregu campuran).

Mengulas mengenai perubahan barisan jurulatih itu, Razif yang dilantik sebagai penilai bebas TMG percaya susunan baharu itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana mereka berkongsi matlamat yang sama untuk melahirkan juara.

"Saya lihat penerimaan semua jurulatih baik. Ia bukannya soal turun atau naik pangkat melatih skuad elit atau pelapis tetapi hanya susunan semula barisan jurulatih," kata Razif ketika ditemui pemberita di pejabat BAM, Bukit Kiara semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her dilantik sebagai pembantu kepada Pengarah TMG, Tan Aik Mong bagi melaksanakan pelan strategik lima tahun kumpulan itu.

"Tugas saya lebih kepada analisis dan membantu Aik Mong untuk membuat pelan strategik. Saya anggap ia sebagai tugas baharu dan cabaran baharu untuk saya," kata Kim Her.

Struktur baharu itu akan berkuatkuasa sepenuhnya minggu depan selepas berakhirnya Kejohanan Badminton Remaja Antarabangsa Malaysia Bawah 19 Tahun 2013, Ahad ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved