Jumaat, 13 September 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Pengenalan Earth Dreams Technology Honda

Posted:

Pengenalan Earth Dreams Technology Honda

Pengenalan Earth Dreams Technology Honda

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

HONDA boleh dikatakan sebagai jenama yang bernasib baik di Malaysia. Walaupun sering berhadapan dengan cabaran sengit daripada para pesaingnya, kebanyakan model Honda yang ditawarkan tetap mendapat sambutan hangat.

Sejak kebelakangan ini, Honda sering hadir dengan berita gembira untuk pengguna tempatan. Sebagai satu pasaran yang amat sensitif dengan harga, tawaran harga berpatutan untuk produk keluarannya memang disambut baik.

Harus tahu bahawa inisiatif pengurangan harga itu dilakukan sendiri oleh Honda atau lebih spesifik lagi Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB). Tiada kena mengena dengan sebarang insentif daripada kerajaan.

Kesan penurunan harga dapat dilihat dengan pantas. Contoh terbaharu, apabila model kompak Honda Jazz versi petrol ditawarkan pada harga RM74,800 seunit, HMSB mencatat jualan tertinggi pada Julai lalu iaitu sebanyak 6,038 unit. Sebelum ini, jualan tertinggi yang dicatatkan ialah 5,045 unit pada Julai 2012.

Penawaran harga yang kompetitif dibuat menerusi usaha meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan memaksimumkan komponen tempatan. Alangkah bagusnya jika semua pengeluar ada kesungguhan sebegitu.

Minggu lalu HMSB sekali lagi menggunakan formula hampir sama. Kali ini, harga yang ditawarkan cukup kompetitif bersama barisan ciri baharu yang nilainya mencecah belasan ribu ringgit.

Generasi kesembilan Honda Accord sememangnya ditunggu-tunggu kerana pesaingnya seperti Toyota Camry dan Mazda6 sudahpun tampil dengan model baharu. Menurut HMSB, sedan itu menerima pelbagai penambahbaikan yang signifikan untuk bersaing dalam segmen D yang sangat kompetitif.

Accord kini sudah berusia 37 tahun. Menerusi lapan generasi, Accord menjadi antara model utama Honda. Di peringkat global, sebanyak 19 juta Accord telah terjual di 160 buah negara sejak generasi pertamanya menemui pengguna pada tahun 1976.

Pada tahun 1982, Accord menjadi model CKD pertama yang dihasilkan di Amerika Syarikat. Sedan itu juga menjadi kenderaan terlaris di Jepun selama 15 tahun berturut-turut.


UENO (kiri) bersama Pembantu Ketua Projek Honda Accord generasi kesembilan, Masao Nakano melancarkan Honda Accord baru-baru ini.


Untuk pasaran Malaysia, Accord tampil pada tahun 2001 apabila generasi ketujuhnya diperkenalkan. Sejak itu, ia mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 51,500 unit sehingga 31 Ogos 2013. Accord generasi kelapan sahaja terjual lebih 29,000 unit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSB, Yoichiro Ueno menyatakan Accord baharu menetapkan satu penanda aras baru dalam segmen D. Ia dibina berdasarkan kemahuan pengguna, di samping menggabungkan aspek kemewahan, prestasi, sistem keselamatan inovatif dan teknologi canggih.

Nadi Accord adalah 'Honda DNA'. Nilai-nilai dan DNA Accord seperti gaya yang tidak ditelan zaman, keselesaan dan kesenyapan terbaik dalam kelasnya dikekalkan. Bukan itu sahaja, Accord juga menjanjikan peningkatan tahap penjimatan bahan api, seronok untuk dipandu serta bernilai untuk wang.

Dengan penambahan teknologi termaju, sofistikasi, kemewahan dan kualiti, Accord serba baharu dikonsepkan agar menjadi 'Pakej paling efisien pada sebuah Sedan Premium Pintar.'

Accord serba baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L. Varian paling premium dikuasakan oleh enjin Earth Dreams Technology Honda yang revolusionari. Earth Dreams Technology merupakan satu set inovasi teknologi generasi akan datang yang dicipta untuk menawarkan kualiti pemanduan berprestasi tinggi dan jimat bahan api.

Jentera ini merupakan model pertama HMSB yang menggunakan rangkaian kuasa Earth Dreams Technology. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan.

Ketiga-tiga varian ini dilengkapi ECON Mode. Apabila diaktifkan, ECON Mode akan menggabung dan mengoperasikan satu siri fungsi ECO Assist. Kombinasi pintar ini mampu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api kenderaan dengan hanya menekan satu butang sahaja.

Kabin luas

Satu fakta menarik tentang Accord ialah jentera itu lebih kecil dan ringan berbanding model terdahulu. Ruang kabin Accord dibina berasaskan kepada falsafah kejuruteraan dan reka bentuk Honda iaitu 'Man Maximum, Machine Minimum' (Manusia Maksimum, Mesin Minimum), Honda berjaya meningkatkan ruang dalaman untuk menjadikannya lebih luas dan selesa buat para penumpangnya.


REKAAN lampu belakang yang kemas dan elegan.


Ruang kaki penumpang belakang telah ditingkatkan sebanyak 35.5mm, manakala bahagian butnya pula 23 liter lebih besar. Secara keseluruhannya, ruang dalamannya mengutamakan kemewahan dan berkualiti tinggi bersama rekaan yang bersih untuk meningkatkan lagi keselesaan.

Perkakasan penyerapan bunyi bising yang efisien, Kawalan Bunyi Bising Aktif (Active Noise Control, ANC) dan Kawalan Suara Aktif (Active Sound Control) berfungsi untuk menawarkan kesenyapan di dalam kabin yang terbaik dalam kelasnya.

Aspek kebisingan, getaran dan kekasaran (Noise, Vibration, Harshness atau NVH) ditingkatkan secara signifikan melalui pakej pemasangan pad penyerapan. Ini membolehkan pemandu dan penumpang menikmati pemanduan menyeronokkan di dalam kabin Accord serba baharu yang luas dan selesa.

Accord dibina berdasarkan kepada kemahuan para pelanggan Honda terhadap ciri-ciri keselamatan pintar dan maju, di samping teknologi bantuan penglihatan yang sememangnya membantu pemandu. Salah satu contohnya ialah LaneWatch Camera yang ada pada varian 2.4VTi-L dan menjadi model pertama Honda Malaysia yang menerima ciri keselamatan tersebut.

Visual titik buta akan dipaparkan pada Paparan Multi Maklumat pintar (i-MID) VGA LED sepenuhnya bersaiz lapan inci. Accord (2.0VTi-L and 2.4VTi-L) juga menampilkan Kamera Pandang Belakang Pelbagai Sudut (Multi-Angle Rearview Camera) yang mampu memaparkan ruang sehingga 180 darjah untuk pandangan lebih jelas ketika mengundur kenderaan.

Ciri isyarat berhenti kecemasan (Emergency Stop Signal) dan One Touch Lane Change nyata meningkatkan lagi aspek keselamatan inovatif Accord.

Varian 2.4VTi-L turut dilengkapi sistem Active Cornering Lights (ACL) yang menawarkan pencahayaan tambahan secara automatik apabila pemandu mengaktifkan indikator atau memusingkan stereng melebihi 90 darjah. Ini adalah satu ciri baharu buat Honda. Lampu utama LED pada varian 2.4VTi-L juga merupakan yang pertama ditawarkan pada model keluaran HMSB.

Sehingga 31 Ogos lalu, HMSB telah menerima lebih 330 tempahan untuk Accord. "Kami menyasarkan untuk menjual 2,800 unit Accord sehingga hujung tahun ini dengan purata jualan sebanyak 700 unit sebulan," tambah Ueno.

Ini bermakna Accord dijangka mampu menguasai 30 peratus perkongsian pasaran untuk kenderaan segmen D eksekutif bukan nasional.

Dalam usaha memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik, HMSB telah melanjutkan selang servis kenderaannya kepada 10,000 kilometer. Accord juga hadir dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Accord didatangkan dalam lima warna menarik iaitu kelabu, emas, hitam, putih dan perak.

Kalau berminat, anda boleh menempah Accord di salah satu daripada 64 pengedar Honda di seluruh negara. Bagi membolehkan kenderaan Honda lebih mudah diakses dan menambah baik perkhidmatannya, HMSB mengumumkan bahawa jumlah pengedar akan ditambah menjadi 80 menjelang akhir tahun ini.

Corolla E30 enjin Mazda

Posted:

Corolla E30 enjin Mazda

Corolla E30 enjin Mazda

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
www.mekanika.com.my


WARNA kuning Ferrari membuatkan penampilan Toyota KE30 ini begitu menyerlah.


KETERLALUAN? Mungkin. Toyota Corolla E30 itu sangat melampau apabila dipasangkan dengan enjin Mazda rotary 13B.

Jarang dibuat orang dan saya tidak fikir ramai yang sanggup membuat modifikasi hingga ke tahap ini. Enjin rotary 13B pada Toyota KE30 mungkin sudah jadi perkara biasa. Tetapi pada model E30 dengan casis yang tua, takut tercabut pula ruang enjin bila pecut nanti.

Namun, kalau hati sudah suka dan duit bukan penghalang, modifikasi begini adalah 'permata' bagi peminat kereta yang telah diubah suai.

Enjin itu bukan masuk begitu sahaja. Sebaliknya ia dipasang dengan kemas dan sangat cantik berbanding projek Kancil L2 yang pernah saya lihat sebelum ini.

Dalam geran, model sebenar kereta itu ialah Toyota Corolla KE55R CS Sedan. Ia tergolong dalam keluarga E30 dan lebih popular disebut sebagai KE30. KE30 mempunyai banyak varian seperti coupe, hardtop, sport coupe, wagon, malah versi van pun ada (di pasaran Jepun).


ENJIN 13B Mazda RX7 yang tidak mengalami sebarang proses ubah suai ketara.


Ketika kereta itu mula-mula dikeluarkan dahulu, ia menjadi Corolla paling berjaya di pasaran Amerika Syarikat. Kecil, ekonomikal, tidak banyak kerenah dan minyaknya super jimat. Waktu itu krisis minyak sedunia sedang melanda dan orang sudah tidak terima idea gila enjin V8 atau kereta muscle yang pelahap petrol.

Modifikasi paling penting pada jentera itu ialah ekzos 5Zigen. Kalau sudah nama enjin rotary, pasang ekzos yang boleh mengejutkan orang satu pekan barulah seronok. Bunyi enjin 13B N/A (aspirasi biasa) itu semakin galak apabila dipadankan dengan paip ekzos salur terus.

Enjin itu langsung tidak diusik. Pasang paip tahan karat, hos Samco dan penapis udara K&N sahaja. Modifikasi penting ialah gandar belakang dengan bahan kitar semula Mitsubishi Lancer A174 dengan LSD. Ada lagi, klacnya ialah Twinplate OS Giken!

Apabila kereta sudah laju, suspensi mestilah berada dalam kondisi cemerlang. Jadi, ia dipasang dengan set suspensi boleh laras TRD depan belakang. Rim replika Enkei RS Evolution itu 17 inci saiznya. Nampak besar betul pada kereta itu. Tayarnya ialah Falken Ziex 215/40 depan dan 215/45 Continental di belakang.


PAPAN pemuka jentara lama ini nampak cukup ringkas.


Bagi memastikan kereta dapat diberhentikan dengan selamat, brek FD Efini depan dan belakang digunakan.

Kalau anda rasa projek begini asal boleh atau cuma harap kepada enjin dan badan sahaja yang terjaga, memang anda silap.

Bahagian dalamannya dikemaskan dengan sepasang tempat duduk Recaro merah hitam yang telah dibalut semula. Papan pemuka pula nampak kemas dengan pelekat karbon. Sementara meter asal FD ditanam dalam casis dengan kelongsong asal KE55 dibiarkan pada posisinya. Bijak bukan?

Kemasan akhir ialah warna kuning Ferrari yang nampak sangat menyerlah. Bukan sahaja catnya kemas, malah kerja restorasi badannya juga memang cemerlang.

Bukan senang hendak membaik pulih kereta lama jadi tahap sebegini. Perlu sabar dan beri kepada mekanik yang betul.

Teana 2.5 V6 wajah baharu

Posted:

Teana 2.5 V6 wajah baharu

Teana 2.5 V6 wajah baharu

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com


JENTERA ini tampil dengan rekaan yang agak konservatif.


SAYA pernah memandu uji Nissan Teana 2.5 V6 sebelum ini. Boleh dikatakan bahawa ia satu pengalaman yang memuaskan hati. Dibandingkan dengan pesaing lain dalam segmen D, konsep binaan Teana sangat berbeza.

Jika reka bentuk pesaing lain seperti Honda Accord, Kia Optima, Hyundai Sonata dan Toyota Camry lebih tajam dan aerodinamik, Teana pula melawan arus dengan reka bentuk agak konservatif.

Disorot model segmen D Nissan terdahulu seperti Cefiro A31, ia sangat berbeza kerana model itu lebih sporty dengan bumbung rendah, badan lebar dan yang paling popular hingga kini ialah pacuan roda belakang.

Ini kerana model tersebut sebenarnya berkongsi platform dengan Nissan Skyline R32. Tahun berganti tahun, Cefiro semakin hilang sifat itu yang dizahirkan kepada model pengganti seperti Cefiro A32, Cefiro A33 (Excimo & Brougham) dan kemudiannya Teana generasi pertama (J31) dan paling baharu generasi kedua (J32).

Boleh jadi pasaran yang disasarkan Nissan kurang berminat dengan reka bentuk sporty dan mahukan imej yang lebih eksekutif dan mewah. Di pasaran global, Teana dikenali dengan beberapa nama seperti Altima di Amerika Syarikat yang telah dipasarkan menerusi model serba baharu.

Di China pula, jenama Teana masih dikekalkan. Tetapi sudah dibuat wajah baharu (facelift). Pada Mac lalu, model baharu yang sama seperti Altima di Amerika Syarikat dilancarkan.

Semasa berita Teana tempatan ingin dilancarkan semula saya menjangkakan model yang akan dikeluarkan sama seperti Teana wajah baharu pasaran China. Nampaknya Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mempunyai pendapat lain dengan mengekalkan reka bentuk sama dengan model sedia ada. Tetapi dengan sentuhan minor seperti jeriji hadapan dengan bilah berwarna hitam serta aerokit yang lebih minimalis.

Walaupun begitu, ada satu perubahan besar yang mendahului pesaing lain dengan penggunaan teknologi Blind Spot Warning System (BSW).

Bagaimana BSW berfungsi? Konsep penggunaannya sama seperti sistem amaran lorong lain iaitu memberi amaran jika terdapat sebarang objek yang berada di sisi kenderaan.


ENJIN 2.5L V6 yang penuh kuasa.


Sistem amaran titik buta

Pemandu diberi amaran melalui nyalaan dua lampu kecil yang dipasangkan di tapak kanan dan kiri cermin sisi sama seperti lampu BLIS Volvo. Jika objek terlalu dekat dan pemandu tetap menukar lorong bunyi amaran pula akan dikeluarkan sebagai peringatan kali kedua.

Teknologi BSW menggunakan dua sensor yang dipasangkan di sebalik bampar belakang. Ia akan mengimbas objek pada lingkungan titik buta yang tidak dapat dilihat oleh pemandu.

Sistem amaran titik buta sebenarnya sangat berguna dan amat dialu-alukan jika ia dijadikan syarat wajib untuk semua kenderaan di Malaysia. Ini kerana ada segelintir pemandu yang lalai menukar lorong sesuka hati.

Lebih penting lagi, ia dapat memberi amaran apabila terdapat motosikal yang entah muncul dari mana dan mencelah semasa memandu dalam kesesakan jalan raya. Saya ucapkan tahniah kepada ETCM kerana prihatin dan berjaya memperkenalkan teknologi itu.

Selain daripada perubahan luaran yang minor dan teknologi BSW, Teana baharu juga didatangkan dengan warna interior baharu iaitu hitam berbanding warna beige sebelum ini. Walaupun warna beige sering dikaitkan dengan suasana mewah dan luas berbanding warna hitam yang lebih sporty, namun perubahan itu dilihat sesuai sekali.

Jika diimbas kembali ulasan model sebelum ini, saya tidak berkenan kerana warna beige tersebut yang menampakkan butang-butang di papan pemuka seperti plastik murah. Warna hitam yang baru nampaknya berjaya mengurangkan imej murah dan dilihat lebih senada dengan imej mewah dan premium yang ingin dibawa Teana.


PAPAN pemuka dan konsol tengah Teana 2.5 V6 ini diserikan dengan kemasan kayu.


Satu lagi perkara yang ingin saya puji dan kongsi adalah tahap keselesaan Teana yang tinggi. Memandu atau menumpang kereta itu terasa seperti duduk di atas sofa yang bergerak di atas jalan raya.

Jurutera Nissan memang handal dalam bab ini, hentakan di jalan berlopak diserap dengan elok. Pada masa yang sama putaran stereng agak jitu untuk sebuah kereta yang besar.

Dari segi luaran pula, saiznya yang besar dan reka bentuk konservatif tetapi mewah. Ia nyata mendominasi jalan raya dan memang sesuai sangat jika dipanggil sebagai kereta besar pada masa pengeluar lain mengecilkan saiz kereta mewah mereka.

Melihat dari luar terasa begitu banyak sekali besi yang digunakan oleh Nissan untuk mengeluarkan model ini. Dari segi mekanikal pula tiada apa yang berubah. Enjin 2.5 V6 CVTC dikekalkan dan dipadankan dengan transmisi CVT yang lancar.

Nissan Teana 2.5 V6 ialah sebuah kereta segmen D yang selesa bersama ruang kabin luas, penampilan luaran mewah, tahap keselesaan tinggi dan deruman enjin V6 yang mengasyikkan.

Semua ciri tersebut disempurnakan lagi dengan kemasan dalaman berwarna gelap yang nampak eksklusif. Apa yang paling penting ialah teknologi BSW yang merupakan penanda aras baharu dan sudah menjadi arus perdana dalam segmen D tempatan.

Tidak kira sama ada profail pemiliknya tauke besar, pengurus atau berkeluarga, ia cocok belaka. Saya sebenarnya tidak kisah jika Nissan Teana 2.5 V6 dijadikan kenderaan rasmi kerajaan. Diperakui dan lulus!

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved