Jumaat, 13 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Diam-diam berisi Aeril Zafrel

Posted:

Diam-diam berisi Aeril Zafrel

Diam-diam berisi Aeril Zafrel

SUDAH lama tidak mendengar sebarang berita mengenai aktor Aeril Zafrel. Kali terakhir berita tentangnya hangat diperkatakan selepas dia secara terbuka memberitahu dirinya sedang mendalami ilmu agama.

Sejak itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari bagai hilang seketika daripada direktori dunia hiburan.

Namun dalam diam, Aeril telah terlibat dengan sebuah filem Hollywood lakonan bersama aktres Christina Ricci. Tahun depan dia bakal mengembangkan sayap seni ke Indonesia menerusi filem Islamik berjudul Sabda Kekasih.

Terbaharu, peminat boleh menatap wajahnya saban hari menerusi drama bersiri Cinta Jannah di TV3.

"Saya akui, sejak keluar daripada pengurusan MIG, saya agak senyap tetapi bukan bermakna saya sudah tidak berminat dengan lakonan.

"Sebaliknya, saya masih sibuk dengan lakonan. Cuma, jadual saya tidak sepadat dahulu kerana kini saya lebih selektif memilih karya," ujarnya.

Tegas anak muda berusia 25 tahun itu, kini matlamatnya terhadap dunia lakonan agak berbeza sejak mendalami agama kerana karya yang dipilih haruslah memberi kesan positif pada penonton dan dirinya sendiri.

"Kalau dahulu saya pernah mengambil dua tawaran dalam satu masa, kononnya untuk meraih pendapatan yang lebih akhirnya memakan diri kerana tidak mampu membahagikan masa.

"Saya belajar daripada kesilapan dan sekarang saya hanya mengambil satu tawaran dalam satu masa supaya saya ada masa untuk mengkaji watak yang diberikan.

"Bukan itu sahaja, tawaran yang dipilih harus memberi kesan yang bermanfaat kepada penonton serta diri saya sendiri," katanya.

Tambahnya, setiap karya yang datang diteliti terlebih dahulu dan andai pihak produksi boleh mengikut peraturannya barulah dia akan bersetuju dengan tawaran tersebut.

AERIL bakal membintangi sebuah filem Indonesia berjudul Sabda Kekasih di samping barisan pelakon yang pernah membintangi filem Ayat-Ayat Cinta dan Cinta Bertasbih.


"Saya bukan diva. Sebaliknya, saya tidak mahu adegan-adegan yang keterlaluan dengan pelakon wanita.

"Selepas menyatakan perubahannya kepada pihak media, pihak produksi tidak teragak-agak memberi tawaran kerana mereka sudah tahu pantang larangnya.

"Setakat hari ini, semua tawaran yang datang tidak ada sebarang masalah. Walaupun saya sudah berubah tetapi tidaklah terlalu ekstrem.

"Saya tidak meletakkan sebarang had dalam pemilihan watak kerana saya masih melakonkan karakter yang pelbagai," jawabnya.

Masih Aeril yang sama

Walaupun setiap hari Jumaat dia akan berjumpa guru agamanya di Masjid Muadz Bin Jabal di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Aeril menjelaskan, perubahan dirinya tidak menjejaskan kehidupan sosialnya.

"Saya masih Aeril yang sama, saya memang suka bersendiri dan tidak ramai rakan daripada kalangan artis. Saya juga jarang-jarang hadiri majlis hiburan. Cuma saya cukup rapat dengan Ellie Suriati dan suaminya, Azri Iskandar. Mereka ibarat mentor saya dalam dunia lakonan.

"Selebihnya, selesai sahaja penggambaran, saya akan pulang ke rumah. Rakan-rakan lama saya masih berhubung tetapi kami hanya jumpa jika ada hal yang penting. Bukan tidak mahu tetapi sekarang masing-masing sudah mempunyai komitmen kerjaya," tuturnya.

Katanya, tidak semestinya dirinya semakin dekat dengan agama dia harus meninggalkan bidang seni walhal ia merupakan periuk nasi utamanya sehingga hari ini.

"Saya tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana saya cukup minat dengan seni lakonan. Bagi saya, pendapatan berlakon agak lumayan berbanding pengalaman saya bekerja di bidang yang lain sebelum ini.

"Pada masa akan datang saya tidak tahulah bagaimana perjalanan yang diaturkan Allah untuk saya tetapi sampai hari ini fokus saya hanya pada lakonan kerana saya tidak mempunyai pekerjaan yang lain," terang anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

Bahkan, bakat Aeril sudah pun diperakui sehingga ke Hollywood dan dia bakal ke Indonesia pada tahun hadapan bersama produksi dari seberang.

"Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki. Selepas filem Hollywood, pada awal tahun depan saya akan terlibat dengan sebuah filem islamik Indonesia berjudul Sabda Kekasih.

"Saya difahamkan, semua pelakon yang terlibat merupakan tenaga lakonan daripada filem Ayat-Ayat Cinta dan Cinta Bertasbih.

"Mungkin filem ini merupakan batu loncatan untuk melebarkan kerjaya lakonan saya di sana. Doakan yang terbaik untuk saya," ucapnya.


LEBIH MATANG... Aeril kini belajar daripada kesilapan lalu.


Paksa diri

Mungkin ramai yang beranggapan Aeril lebih mendekatkan diri dengan agama selepas mendapat hidayah. Bagaimanapun, tegas Aeril, dia yang memaksa dirinya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

"Saya tidak tahu apa pandangan orang terhadap saya tetapi saya cuba dan paksa diri saya berubah untuk menjadi Aeril hari ini dan lebih baik pada masa akan datang.

"Jika hendak tunggu diri saya memperoleh hidayah Allah tidak tahu bila atau mungkin tidak akan dapat sampai bila-bila. Jadi, saya harus jentik hati saya sendiri untuk berubah," akuinya.

Jelasnya, mungkin ada orang yang tidak senang dengan perubahannya yang masih kekal berlakon walaupun sudah semakin dekat dengan agama tetapi sebagai anak seni, Aeril mempunyai pendiriannya tersendiri.

"Lain orang, lain caranya. Bagi saya, sebagai artis saya cuba untuk memberi contoh yang terbaik buat penonton dan peminat saya.

"Kalau ada yang tidak suka, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana lain orang lain pendapatnya.

"Sukar untuk saya memuaskan hati semua orang. Selagi niat saya ke arah yang positif, saya akan terus terlibat dalam lakonan sehingga saya bertemu dengan suatu bidang lain yang lebih sesuai," bicaranya panjang lebar.

Hazama, Genervie sedang kenal hati budi

Posted:

Hazama, Genervie sedang kenal hati budi

Hazama, Genervie sedang kenal hati budi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


HAZAMA mengakui sedang akrab dengan Genervie sejak empat bulan lalu.


SEPANJANG bergelar artis setelah muncul juara Akademi Fantasia 9, agak jarang kedengaran cerita sensasi yang membabitkan penyanyi Hazama. Bagaimanapun, Kosmo! Ahad hujung minggu lalu melaporkan yang pelantun lagu Cinta Teragung itu dilaporkan sedang akrab dengan seorang pemuzik Cina dikenali sebagai Genervie Kam.

Ketika dihubungi baru-baru ini, Hazama, 29, tidak menafikan tentang perkara tersebut dan mengakui bahawa Genervie merupakan gadis yang paling rapat dengannya sekarang.

Sudah mengenali pemuzik yang berkebolehan bermain violin dan piano itu sejak tiga tahun lalu, hubungan mereka mula rapat sejak empat bulan lalu.

Kosmo!: Hujung minggu lalu akhbar Kosmo! Ahad mendedahkan tentang hubungan Hazama dengan seorang pemuzik Cina yang dikenali sebagai Genervie Kam. Boleh anda komen mengenai perkara tersebut?

HAZAMA: Saya dan Genervie sudah lama kenal dan hubungan kami bermula atas dasar kerja selepas saya menjuarai Akademi Fantasia 9 dahulu.

Pada mulanya, saya anggap dia tidak lebih daripada sekadar teman biasa. Namun begitu, lama-kelamaan saya rasa selesa berkawan dengan dia.

Bagaimanakah hubungan kamu berdua menjadi rapat?

Ia berlaku ketika kami menjayakan sebuah persembahan hiburan kira-kira empat bulan lalu. Selepas acara berakhir saya ajak dia pergi minum di sebuah restoran.

Ketika itu banyak perkara yang telah saya dan Genervie bualkan. Ia merupakan detik awal yang membuatkan hubungan kami menjadi rapat dan sejak itu kami selalu keluar berdua.

Sekarang ini apakah status hubungan kalian?

Apa yang boleh saya cakap, kami sedang dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing dan sedang ke arah hubungan yang lebih serius.

Kalau ditakdirkan kami memang bercinta sudah tentu saya tidak akan sembunyikannya daripada pengetahuan peminat. Lagipun, saya ini bukan jenis individu yang suka berahsia sangat.


GENERVIE dan Hazama mula berkenalan kira-kira empat bulan lalu.


Apakah kelebihan yang ada pada Genervie?

Dia seorang wanita yang banyak memberikan sokongan kepada saya dalam kerjaya dan kehidupan. Memandangkan usianya yang tua empat tahun, setiap kata-kata semangat yang diberikan membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan lagi diri agar menjadi seorang insan yang lebih baik.

Umum mengetahui Hazama dan Genervie berlainan kaum dan agama. Adakah anda tidak risau sekiranya hubungan cinta yang terjalin nanti mendapat tentangan keluarga?

Mengenai perkara ini, saya sukar untuk jelaskan kerana ia merupakan isu yang agak sensitif. Namun, dalam soal jodoh saya tidak kisah kalau ditakdirkan berkahwin dengan gadis yang berlainan kaum atau agama.

Berhubung dengan soal keluarga pula, setakat ini kedua-dua keluarga kami mengetahui tentang hubungan yang terjalin dan mereka tidak menghalang.

Sebelum ini anda sudah mempunyai kekasih yang dikenali sebagai 'Nor'. Bagaimanakah hubungan anda dengan gadis berkenaan?

Sebenarnya kami sudah berpisah sejak lima bulan yang lalu, cuma saya tidaklah beritahu kepada umum mengenainya. Kalau ada yang bertanya, barulah saya akan memberitahu perkara sebenar.

Perpisahan saya dan Nor dilakukan secara baik setelah berbincang dan saya anggap tiada jodoh antara kami. Kalau berjumpa di mana-mana tempat kami masih lagi bertegur sapa.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?

Kini saya sedang sibuk mempromosikan single terbaharu saya berjudul Penglipur Lara. Maklum balas yang diterima daripada peminat sangat positif dan mereka suka dengan lagu tersebut.

Untuk lakonan pula saya sedang berehat setelah selesai membintangi filem Hantu Nan Sempit dua bulan lalu. Mungkin tahun depan saya akan kembali berlakon.

Sahabat kisah tujuh remaja

Posted:

Sahabat kisah tujuh remaja

Sahabat kisah tujuh remaja

Oleh HARYATI KARIM


ROSYAM (tiga dari kiri) bersama barisan karyawan drama Sahabat.


BUAT pertama kalinya, syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. milik aktor Rosyam Nor menerbitkan sebuah drama remaja ringan berjudul Sahabat.

Sebelum ini, produksinya lebih cenderung menerbitkan drama berat. Rosyam yang ditemui pada sesi sidang media baru-baru ini mengatakan, ini adalah langkah pertamanya untuk memikat golongan remaja belasan tahun.

"Sebelum ini Suhan Movies pernah menerbitkan drama remaja Jangan Ambil Padang Kami. Drama itu mendapat sambutan hangat walaupun isinya agak berat.

"Jadi, timbul idea untuk terbitkan sebuah drama remaja yang lebih ringan dan berkisar tentang persahabatan sahaja. Bukan itu sahaja, menerusi drama Sahabat, buat pertama kalinya produksi menampilkan laman komuniti interaktif untuk lebih dekat dengan penonton," katanya.

Bercakap tentang pemilihan pelakon drama Sahabat yang dibarisi Liyana Jasmay, Izzue Islam, Syukri Yahaya, Iezah Diyana, Sara Ali, Aedy Ashraf dan Syarif daripada kumpulan Sleeq, kata Rosyam, mereka dipilih berdasarkan kesesuaian watak.

"Semua pelakon yang dipilih mempunyai kekuatan tersendiri yang kita tahu cukup popular dalam kalangan remaja terutama golongan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang merupakan penonton sasaran drama ini.

"Mereka juga memang pelakon yang bagus dan mampu menarik minat penonton untuk mengikuti drama ini," balasnya.

Disoal mengapakah beliau mengambil Syarif daripada kumpulan Sleeq yang tidak pernah berlakon dalam mana-mana drama di Malaysia, Rosyam mempunyai jawapannya.

"Dia seorang pelakon di Singapura dan selepas menjalani uji bakat, kami dapati dia memang boleh berlakon. Lagipun, kami memerlukan Syarif untuk menarik peminat di Singapura menonton drama ini," ujarnya.

Liyana Jasmay dan Izzue Islam yang sering bergandingan dalam beberapa buah telefilem sebelum ini seperti Tudung Tweet dan Cik Paris Diva Kampung tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan sekali lagi dalam drama Sahabat.

"Bila saya ditawarkan drama ini, mulanya agak risau kerana mempunyai 36 episod. Saya terpaksa berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur tetapi melihat barisan pelakonnya seperti Izzue Islam, saya terus bersetuju kerana kami pernah bergandingan dan cukup serasi.

"Pihak produksi juga cukup memahami, membenarkan saya cuti selama beberapa hari dalam seminggu kerana jadual penggambaran yang agak panjang.

"Jika produksi boleh mengikuti jadual saya, memang saya tidak ada masalah untuk menerima mana-mana tawaran," terang Liyana.

Izzue yang berusia 23 tahun dan telah berkahwin menjelaskan, dia tidak ada sebarang masalah untuk membawa watak Toi, pelajar lepasan SPM dari Kelantan yang memburu impian sebagai pemuzik di kota Kuala Lumpur.

"Permulaan cerita untuk watak Toi sama dengan kisah realiti hidup saya ketika saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Memang saya tidak ada masalah untuk melontarkan dialog dalam dialek Kelantan kerana saya memang anak jati Kelantan.

"Watak pelajar lepasan SPM bukan satu masalah besar walaupun ada cabarannya kerana saya masih muda (ketawa). Saya tidak kisah sering diberi watak remaja, asalkan saya mampu bawa watak itu dengan baik, saya akan terima tawaran tersebut," ujarnya.

Drama Sahabat yang akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 5.30 petang bermula 16 September ini di Astro Ria mengisahkan perjalanan hidup tujuh remaja lepasan SPM berlainan latar belakang yang memburu impian hidup masing-masing.

Peminat yang ingin menyertai laman komuniti interaktif Sahabat yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik boleh melayari laman web www.mysahabat.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved