Rabu, 18 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tiga tahun tidak naik bertelur

Posted:

Tiga tahun tidak naik bertelur

Tiga tahun tidak naik bertelur

LANGKAHNYA diatur perlahan saat dia berpijak di atas deraian pasir pantai yang sesekali membenam kakinya. Bayu petang menerpa wajah tuanya. Ya, lelaki itu sudah berumur 74 tahun. Fizikalnya tidak lagi gagah, namun tenaga dan semangatnya mungkin mengatasi orang yang jauh lebih muda.

Kedua-dua anak matanya dihamparkan ke arah ombak yang berlumba-lumba menghempas pantai. Apa yang bermain dalam minda Mohd. Nor Hamid ketika itu, tiada siapa pun mengerti. Apa yang pasti, gelora resahnya bukan bersifat peribadi, malah lebih kepada igauan nostalgia terhadap keagungan fauna yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

"Dahulu, waktu petang macam ini sudah boleh nampak ia berenang menghampiri pantai. Bila malam, ia naik mendarat dan mencari tempat terbaik untuk bertelur," dialek Terengganu mengisi setiap butir kata Mohd. Nor tatkala bercerita tentang spesies penyu kesayangannya itu.

Tambah imam Masjid al-Huda, Rantau Abang itu: "Sejak saya kecil, Rantau Abang sudah popular dengan penyu belimbing. Dahulu bilangannya penyu yang naik untuk bertelur boleh mencecah 100 ekor tetapi selepas tahun 1984, jumlahnya merosot sampai sekarang."

Keluhan Mohd. Nor itu bukan baru ini disuarakan. Namun, ancaman kepupusan penyu belimbing terus dipandang sepi.

Kali terakhir spesies penyu terbesar di dunia itu naik mendarat di pantai Malaysia adalah pada tahun 2010. Tiga ekor penyu itu menghasilkan sebanyak 385 biji telur melibatkan lapan buah sarang.

Seekor daripada penyu betina itu dikenal pasti sebagai Puteri Rantau Abang iaitu antara penyu belimbing yang dilepaskan di pantai yang sama pada program penetasan pada tahun 1978 anjuran Jabatan Perikanan Malaysia.

Ketika kepulangan bersejarah Puteri Rantau Abang ke tempat kelahirannya itu, Mohd. Nor dipanggil bagi memastikan kesahihan identiti penyu tersebut. Selepas melihat ekor penyu itu, Mohd. Nor yakin ia penyu yang sama ditanda olehnya 35 tahun lalu.

"Ketika itu, saya mengambil tender memungut telur penyu di pantai Rantau Abang daripada Jabatan Perikanan," singkap Mohd. Nor yang sanggup bersusah payah menjadi pemungut telur penyu demi kecintaannya yang mendalam terhadap hidupan marin prasejarah itu.

Telur tidak menetas


KESEMUA telur penyu diambil dan diserahkan kepada pusat santuari penyu bagi tujuan perlindungan dan penetasan.


Berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Pusat Penyelidikan Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, pendaratan penyu belimbing mengalami kemerosotan sebanyak 90 peratus sejak tahun 1991.

"Bagaimanapun, kita belum boleh mengisytiharkan penyu belimbing sebagai spesies yang telah pupus. Beberapa tahun lepas, ia masih mendarat dalam bilangan kecil untuk bertelur.

"Mengikut jangkaan, penyu belimbing sepatutnya naik bertelur pada tahun lalu. Ramalan itu dibuat berdasarkan pola pendaratan spesies itu sejak tahun 2000 yang naik bertelur setiap dua tahun.

"Namun sehingga kini tidak ada seekor pun penyu belimbing naik bertelur," jelas Ketua Tumec, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir.

Tambah kritikal apabila Syed Abdullah memberitahu, sejak tahun 2004, tidak ada sebiji pun telur penyu belimbing yang menetas bagi membolehkan usaha pemuliharaan spesies itu diteruskan.

Kajian awal ke atas embrio, darah dan telur penyu itu mendapati, ia mungkin disebabkan ketiadaan persenyawaan yang berlaku antara penyu jantan dan betina. Sebelum penyu-penyu betina bertelur di daratan, mereka perlu melakukan persenyawaan terlebih dahulu dengan penyu jantan bagi membolehkan telur-telur yang mereka hasilkan dapat menetas

Sebab yang sama turut didedahkan oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia yang menyatakan bahawa kemungkinan kekurangan penyu belimbing jantan sebagai antara faktor telur-telur tersebut tidak disenyawakan.


PENYELIDIK memasang alat pengesan radio pada seekor penyu di Rantau Abang bagi mengesan pergerakan reptilia itu.


Pengurus Program Marin Semenanjung Malaysia, WWF-Malaysia, Gangaram Pursumal berkata, nisbah penyu jantan kepada betina dipengaruhi oleh suhu sarang penyu yang menjadi penentu kepada jantina anak penyu yang menetas.

"Secara amnya, sarang yang panas (lebih daripada 29 darjah Celsius) menghasilkan lebih banyak anak penyu betina manakala suhu sarang kurang daripada 29 darjah Celsius mempunyai kemungkinan tinggi menetaskan anak penyu jantan.

"Usaha pemuliharaan yang dijalankan sekitar tahun 1960 dan 1970-an itu tidak mengambil kira faktor suhu yang menentukan jantina haiwan ketika proses pengeraman. Kesemua telur didedahkan kepada suhu panas dan tidak diteduhkan menyebabkan penyu yang menetas adalah betina.

"Faktor suhu itu hanya diketahui pada tahun 1990-an dan ia mungkin sedikit terlewat memandangkan penyu betina yang dilepaskan ke laut tidak boleh melalui proses persenyawaan akibat kekurangan penyu belimbing jantan," ujar Gangaram.

Obor-obor kurang

Dalam tempoh 50 tahun lepas, pada musim penyu belimbing bertelur, kira-kira 10,000 sarang boleh ditemui. Namun situasi itu kini tinggal memori yang mungkin hanya menjadi rujukan sejarah untuk generasi akan datang.

Aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda atau jaring pukat pari sering mengakibatkan penyu (tanpa mengira spesies) terperangkap dan menyebabkan kecederaan dan kematian.

Syed Abdullah menjelaskan: "Kes penyu tersangkut dalam pukat memang menjadi masalah di peringkat antarabangsa.

"Namun dalam konteks penyu belimbing, ia boleh dilihat dari skop yang luas termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan. Ada juga penyu yang berhijrah ke negara lain sehingga ke Jepun dan Amerika Syarikat bagi mencari habitat yang lebih sesuai.

"Apabila ia berada di perairan negara asing, ancaman buruan ke atas spesies ini sangat tinggi. Ada pihak yang menangkap penyu belimbing bagi tujuan komersial dan dijadikan hidangan eksotik.

"Tidak lupa pencemaran laut seperti tumpahan minyak yang memberi kesan langsung kepada makanan utama penyu belimbing iaitu obor-obor.

"Di Terengganu sendiri, nelayan memberitahu sejak 10 tahun kebelakangan ini, obor-obor kian sukar ditemui walaupun menjelang musimnya pada bulan Mei sehingga Ogos."

Sementara itu, Gangaram menambah bahawa sebelum penjualan telur penyu belimbing diharamkan oleh kerajaan negeri Terengganu, pemakanan dan penjualan telur tersebut begitu berleluasa sekali gus menyumbang kepada ancaman kepupusan reptilia itu.

TED elak penyu tersangkut pada pukat

Posted:

TED elak penyu tersangkut pada pukat

TED elak penyu tersangkut pada pukat


TED mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan.- Gambar hiasan


BERMULA pada tahun 1984, Peranti Penyisih Penyu (TED) yang dipasang pada pukat tunda diperkenalkan di Malaysia buat pertama kalinya di Pantai Remis, Perak. Alat itu kemudian diadaptasi Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (Seafdec) pada tahun 1997 di lokasi sama selain di Sandakan, Sabah.

Yayasan Penyelidikan Marin (MRF) meneruskan keberkesanan TED di Sandakan selama dua tahun iaitu pada tahun 2007 dan 2008. Selang tiga tahun kemudian, Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Rantau Abang, Terengganu memulakan kajian penggunaan TED ke atas pukat tunda udang musim tengkujuh di Kemaman.

Ironinya, peralatan itu mula diperkenalkan pada tahun 1970-an oleh nelayan dari Amerika Syarikat (AS) sebelum digunakan kebanyakan negara maju lain.

Objektif utama TED adalah bagi menjamin keselamatan semua spesies penyu di laut yang sering terperangkap pada pukat hanyut, pari, tunda, pancing dan bubu.

"Pengenalan TED yang kami jalankan di Kemaman menjadi antara usaha pihak Jabatan Perikanan dan Tumec dalam mengekang ancaman kepupusan penyu di negara ini. Program ini dijalankan selama tiga tahun bermula 2011 sehingga sekarang.

"Kami memilih Kemaman memandangkan ia merupakan pantai yang mencatat pendaratan penyu agar tertinggi di Semenanjung Malaysia. Pendaratan itu berlaku sepanjang tahun dengan purata 900 sehingga 1,200 sarang setahun," jelas Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabkhi Mahmood ketika ditemui Kosmo!.


AHAMAD SABKHI (duduk dua dari kiri) melepaskan penyu yang dipasang peranti satelit ke laut pada program Kenali Penyu, Sayangi Penyu 2013.


TED yang berdiameter 0.5 meter mempunyai beberapa bentuk seperti bulat, separa bulat dan segi empat. Bentuk ini bergantung pada jenis pukat tunda yang digunakan. Biasanya bentuk TED yang digunakan di Malaysia berbentuk separa bulat. TED diperbuat daripada besi galvanis yang tahan karat dan mempunyai empat bahagian utama, iaitu kerangka luar, jeriji tegak, penyambung pukat dan injap bagi keluar masuk penyu.

Hasil meningkat

AS telah memperkenalkan beberapa jenis TED seperti Georgia Jumper, Super Shooter, Matargorda TED dan Weedless TED. Kebanyakan negara termasuk Malaysia lebih gemar menggunakan TED daripada jenis Super Shooter kerana keberkesanannya melepaskan penyu dan material lain seperti sampah yang besar dan tongkol kayu.

Sebagai permulaan, seramai 20 nelayan dipilih bagi menjalani latihan menggunakan TED.

"Nelayan kita sudah biasa menggunakan pukat sedia ada. Jadi bila ada benda baharu begini, kami terangkan secara terperinci agar mereka faham fungsinya. Proses pemindahan teknologi memang memakan masa tapi kami harap nelayan dapat melihat keberkesanan TED dalam membantu meningkatkan hasil tangkapan mereka, dan dalam masa yang sama menyelamatkan nyawa penyu.

"Kalau program ini berjaya, kami akan laksanakan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat," jelas Ahamad Sabkhi.

Berdasarkan kajian selama program itu berlangsung, pukat tunda udang yang dipasang TED mencatatkan hasil tangkapan sebanyak 48 kilogram (kg) untuk enam kali tundaan dengan purata tangkapan sebanyak 8kg setiap tundaan.

Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding pukat tunda tanpa TED yang menyaksikan hasil tangkapan sebanyak 42.5kg untuk jumlah tundaan sama dengan purata 7.1kg setiap tundaan.


EKSPLOITASI dan kekejaman nelayan asing ke atas penyu juga menjadi punca kepada penurunan populasi penyu di seluruh dunia.


"Pasaran udang pada musim tengkujuh adalah pada harga antara RM30 sehingga RM60 setiap kg. Justeru, nelayan yang memasang TED memperoleh pendapatan tambahan antara RM60 sehingga RM180 sehari.

"Kami juga mendapati TED berjaya mengurangkan tangkapan ubur-ubur sebanyak 34 peratus. Pengurangan hidupan ini juga membantu meningkatkan hasil tangkapan komersial sekali gus memudahkan kerja pengasingan ikan dijalankan.

"Sebanyak 10 peratus sampah yang tersangkut pada pukat dapat dikurangkan menerusi TED dan penjimatan bahan api diesel turut berkurangan sebanyak 1.4 liter bagi setiap tundaan," demikian maklumat yang disampaikan Ahamad Sabkhi.

Sementara itu, pelaksanaan pukat TED itu juga diharapkan dapat membuka kembali pasaran pengeksportan udang negara yang kini disekat oleh AS. Sekatan yang telah berkuat kuasa selama lebih 10 tahun itu adalah atas faktor kegagalan Malaysia mencapai status negara yang memulihara spesies penyu secara menyeluruh. -ALIF ABU BAKAR

Mercu tanda baharu The Intermark

Posted:

Mercu tanda baharu The Intermark

Mercu tanda baharu The Intermark

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


LOKASI perniagaan eksklusif, The Intermark di Jalan Tun Razak menjadi pilihan Jaya Grocer untuk membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur.


SEBELUM ini, pasar raya makanan segar, Jaya Grocer yang dimiliki Trendcell Sdn. Bhd., banyak bertumpu di kawasan perumahan. Antara lokasinya ialah cawangan sulung yang terletak di pusat beli-belah Jaya 33, Kelana Jaya diikuti Damansara Perdana, Sierramas, Mutiara Tropicana, Empire Shopping Gallery dan Plaza Jelutong.

Kini, ia semakin mengorak langkah melalui pembukaan cawangan ketujuh yang lebih canggih dalam tempoh lima tahun. Bangunan The Intermark, Kuala Lumpur yang dipenuhi deretan pejabat eksklusif, gedung barangan berjenama dan Hotel Double Tree Hilton menjadi saksi kehadiran Jaya Grocer.

Dengan keluasan 9,144 meter persegi, cawangan terbaharu pasar raya ini ternyata lebih besar dan eksklusif. Baik dari aspek hiasan dalaman mahupun pilihan makanan import premium, produk hasil organik sehingga pilihan hidangan menjamu selera yang pelbagai.

Pengarah Operasi Jaya Grocer, Daniel Teng berkata, keberadaan pasar raya itu di The Intermark menyebabkan mereka perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu.

"Justeru, hiasan dalaman dan susun atur di dalamnya haruslah lebih menarik perhatian pengunjung dan membangkitkan suasana beli-belah yang mengujakan.

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting, kami tetap mengutamakan keselesaan pelanggan seperti menyediakan ruang yang luas untuk menolak troli," ujar pemuda berusia 26 tahun yang mempunyai kelulusan Ijazah Perakaunan dari Australia itu.


SUSUN atur buah-buahan dan sayur-sayuran sama seperti pasar pagi cuma lantai di sini sentiasa kering.


Menurut Teng, bagi memenuhi tujuan tersebut, dua pasukan reka bentuk telah diberi tanggungjawab menghasilkan susun atur pasar raya itu.

"Laluan pejalan kaki yang disediakan oleh pakar dalaman kami cukup luas sehingga beberapa pelanggan boleh menolak troli mereka tanpa bertembung sesama sendiri.

"Lebih menyenangkan ialah laluan di seluruh pasar raya ini yang membolehkan pelanggan pergi ke mana-mana bahagian pilihan mereka dengan mudah," katanya yang juga anak sulung kepada pengasas Jaya Grocer, Teng Sek How.

Menjelas lanjut, beliau berkata, sebagai contoh, sekiranya anda telah selesai membeli barangan di kaunter keju dan tidak lagi memerlukan sebarang produk tenusu, anda hanya perlu mengambil jalan pintas untuk sampai ke bahagian barangan runcit.

Selain itu, deretan gerai sepanjang 33.5 meter dipenuhi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan segar, sama seperti suasana di pasar pagi atau pasar basah. Cuma, lantainya tidak licin dan basah berbanding di pasar-pasar tradisional.

Tambah Teng, matlamat Jaya Grocer adalah setiap gerai atau sudut jualan akan dikendalikan oleh seorang petugas khas yang akan membantu pelanggan mencari keperluan yang diinginkan.

Sementara itu, perunding luaran Jaya Grocer juga telah mencipta reka bentuk yang ceria dan menghiburkan di laluan keluar kaunter bayaran ke Medan Makan.


LALUAN pejalan kaki yang luas memudahkan pelanggan menolak troli tanpa bergesel dengan pelanggan lain.


Di sini, ciri utama yang menjadi tumpuan ialah sebuah jam besar seakan-akan lukisan yang dicat dan memenuhi keseluruhan siling. Ia sebenarnya dalam bentuk 3D dan akan berbunyi pada permulaan setiap jam.

Mereka yang sudah biasa membeli-belah di Jaya Grocer pasti teruja mengetahui barangan yang sedia ada di cawangan-cawangan yang lain juga boleh didapati di The Intermark.

Ia termasuk konsainan hantaran makanan laut yang segar dari Kuala Selangor setiap pagi. Pelanggan juga berpeluang memilih daging atau makanan laut yang pelbagai yang boleh dimasak oleh chef di restoran Fresco secara percuma.

Tidak ketinggalan, kedai roti Baker's Son yang akan menjamu selera anda dengan aroma roti yang dibuat dalam premis Jaya Grocer manakala Bonjour Cafe menggoda dengan pastri dan kek yang lazat.

Bayaran letak kereta adalah percuma untuk dua jam yang pertama bagi sebarang pembelian melebihi RM30.

Teng memaklumkan, pihaknya merancang untuk membuka dua cawangan baharu Jaya Grocer iaitu di pusat beli-belah Bangi Gateway and Cheras Central (dahulu dikenali sebagai Plaza Phoenix).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved