Selasa, 27 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pertaruhan Siti, Melly, Faizal buat AF 2013

Posted:

Pertaruhan Siti, Melly, Faizal buat AF 2013

Pertaruhan Siti, Melly, Faizal buat AF 2013

SEBUT sahaja nama Datuk Siti Nurhaliza, Melly Goeslow dan Faizal Tahir, ramai yang tahu tentang pengaruh mereka bertiga dalam industri muzik serantau.

Justeru, bukan sesuatu yang menghairankana apabila mereka dipilih oleh pihak Astro sebagai pengilham menggantikan jawatan pengetua yang pernah wujud dalam Akademi Fantasia musim sebelum ini.

Meskipun kredibiliti mereka tidak boleh disangkal, namun ada yang melihat pemilihan mereka umpama strategi terdesak daripada pihak Astro untuk mengembalikan kepercayaan penonton serta rating terhadap program yang pernah dijanjikan akan berakhir selepas penyanyi Hazama bergelar juara AF musim kesembilan yang lalu.

Tersenyum mendengar kenyataan tersebut, ketiga- tiga mereka mempunyai jawapan tersendiri apabila bersetuju untuk terlibat dalam program yang sentiasa mencetuskan kontroversi itu.

Program baharu - Siti

Menurut Siti, dia menerima tawaran daripada pihak Astro untuk terlibat dalam program tersebut kira-kira dua bulan yang lalu.

Ujarnya, dia tidak terus bersetuju ketika tawaran itu tiba, sebaliknya berfikir dengan mendalam. Selepas diterangkan bahawa program AF 2013 telah diubah formatnya dan tidak sama dengan program musim terdahulu, barulah Siti memberikan persetujuannya.

"Selepas saya diberitahu formatnya telah diubah dan tidak sama dengan musim sebelum ini, saya ber- setuju kerana ia sesuatu yang baharu.

"Lagipun seronok dapat bekerjasama dengan dua orang hebat seperti Melly dan Faizal. Tugas kami se- bagai pengilham adalah membantu pelajar daripada pengalaman yang kami miliki," katanya.

Tambahnya, pengalamannya sebagai penyanyi yang bermula dari bawah tanpa mengikuti kelas vokal dan muzik secara formal juga membuatnya terpanggil untuk menyertai program itu.

"Penyanyi terbahagi kepada dua iaitu golongan yang mempunyai asas vokal dan muzik secara formal dan golongan yang hanya dikurniakan bakat tanpa seba- rang asas.

TIADA PENGETUA. Akademi Fantasia 2013 cuba menonjolkan kelainan dengan menampilkan (dari kiri) Melly Goeslow, Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir sebagai pengilham.


"Saya tergolong dalam golongan penyanyi yang di- kurniakan bakat sahaja ketika mula-mula menyanyi. Sebab itu, saya ingin memberi inspirasi dan membantu mereka yang benar-benar berminat dan berbakat dalam bidang nyanyian untuk menjadi penyanyi yang berjaya," balasnya.

Walaupun tidak terlibat dalam pemilihan pelajar AF 2013 dan belum berjumpa dengan pelajar yang telah pun dipilih menerusi uji bakat, tegas Siti, jika boleh dia mahu terlibat secara langsung sebagai tenaga penga- jar dalam AF 2013.

"Kami diberi masa selama tiga minggu setiap seorang pengilham untuk memantau perkembangan pelajar tetapi kami tiada ada kuasa seperti pengetua AF sebelum ini.

"Namun, jika boleh saya mahu terlibat secara langsung seperti menegur mana yang patut sebelum konsert bermula dan mengajar mereka, bukan hanya bercerita tentang pengalaman sahaja," jawabnya.

Dalam pada itu, Siti sedar tanggungjawab yang besar digalas mereka bertiga kerana harapan penonton terhadap program ini pastinya tinggi menggunung memandangkan mereka bertiga bukannya penyanyi picisan.

"Nampak tugas kami mudah tetapi sebenarnya tanggungjawab yang diberikan itu besar. Kami bertiga akan mencuba yang terbaik kerana reputasi kami juga menjadi taruhan," balasnya.

Tidak mahu penyanyi klon - Melly

Komposer, penerbit dan penyanyi terkenal Indonesia, Melly Goeslow bukan pertama kali terlibat dalam program realiti nyanyian.

Sebelum ini di negara kelahirannya, Melly pernah menjadi juri program Indonesia Idol dan beberapa program realiti TV nyanyian yang lain tetapi tawaran yang diberikan Astro begitu menarik hatinya.

"Program ini sangat besar dan mungkin bintang yang lahir daripada program ini boleh menjadi inspirasi, bukan sahaja kepada masyarakat Malaysia tetapi juga di Indonesia juga," katanya.

Jelasnya lagi, meskipun menampilkan tiga orang pengilham tetapi karakter dan cara pendekatan mereka dengan pelajar juga sangat berbeza.

"Tidak akan timbul kekeliruan kerana diberikan ruang dan masa yang berbeza iaitu tiga minggu setiap seorang. Siti dan Faizal dengan caranya, begitu juga saya.

"Jika tiada perbezaan antara kami, nanti yang lahir daripada program ini hanyalah penyanyi klon seperti contoh klon Siti Nurhaliza. Kami mahu elakkan perkara itu berlaku dan pelajar harus mempunyai identiti tersendiri," balasnya.

Tegas Melly yang dikenali dengan karakter garangnya sebagai juri atau mentor program realiti, kehadiran mereka sekadar membantu pelajar untuk menjadi penyanyi yang lebih baik, selebihnya usaha itu harus datang dari- pada pelajar itu sendiri.

"Kami hanya membantu sekadar yang boleh. Jika pelajar itu tidak berusaha dan membantu diri mereka sendiri, kami bertiga tidak boleh berbuat apa-apa.

"Ingin saya ingatkan, semua pelajar AF kali ini tidak boleh bermanja dan main-main. Saya tidak akan memberi muka kepada pelajar yang hanya mahu kejar populariti, bukannya impian sebagai penyanyi," ucapnya.


BARISAN tulang belakang AF 2013 pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Cabaran besar menanti - Faizal

Jika hendak dibandingkan antara Siti dan Melly, Faizal Tahir antara yang paling muda usia penglibatannya dalam industri seni suara.

Terpilih sebagai pengilham AF 2013 telah membuatkan bekas peserta program One In A Million musim kedua itu berasa terharu.

"Saya cukup terharu dan teruja dalam masa yang sama kerana jika hendak dibandingkan dengan Siti dan Melly, saya masih mentah, baru tujuh tahun dalam industri sedangkan pengaruh mereka cukup besar," ucapnya.

Disoal adakah dia terkejut dengan pemilihannya dalam sebuah program terbitan Astro sedangkan sebelum ini dia umpama wajah eksklusif sebuah stesen televisyen yang lain.

"Saya tidak pernah rasa saya anak emas atau wajah stesen televisyen yang dimaksudkan kerana wajah saya tidak pernah terpampang di papan iklan mereka," katanya.

Jelasnya, AF kali ini sangat berbeza kerana pelajar tidak dikuarantin di sebuah rumah tanpa informasi dunia realiti, sebaliknya mereka akan menggunakan laman sosial untuk berinteraksi dengan peminat dan mengetahui apa yang berlaku di dunia luar.

"Bagusnya pelajar AF kali ini lebih bebas. Mereka lebih terbuka kepada dunia realiti kerana mereka akan mempunyai laman sosial seperti Twitter dan Instagram masing-masing.

"Bagi saya, pendedahan itu bagus kerana apabila jadi penyanyi kelak, mereka tidak akan dipuji sahaja, sebaliknya akan ada orang mengutuk dan membenci mereka. Itulah realiti, bukan mudah untuk jadi penyanyi.

"Jika itu pun mental mereka tidak boleh tahan, baik lupakan sahaja niat untuk jadi penyanyi kerana cabaran yang lebih besar menanti apabila mereka semua bekerja dalam industri hiburan yang sebenar," tegasnya.

Pertarungan klimaks M. Nasir, Faizal Hussein

Posted:

Pertarungan klimaks M. Nasir, Faizal Hussein

Pertarungan klimaks M. Nasir, Faizal Hussein

Oleh ZAKI SALLEH


M. NASIR dan Faizal Hussein (kanan) merupakan tarikan utama filem Rajawali: Aku Abang Long.


PERTEMBUNGAN antara dunia siber, kuasa mistik dan persilatan Melayu menjadi latar layar filem Rajawali: Aku Abang Long (RAAL).

Merujuk kepada sedutan yang ditayangkan kepada pihak media, RAAL yang diterbitkan oleh Muradijaya Sdn. Bhd. (Muradijaya) itu dijangka muncul sebagai filem Melayu yang cukup hebat serta luar biasa.

Ia ekoran daripada barisan nama-nama besar yang terbabit dalam filem ini.

Dari sisi kreativiti, RAAL merupakan kolaborasi sulung S. Amin Shahab selaku pengarah bersama Mamat Khalid sebagai penulis skrip.

Menampilkan pula pelakon-pelakon hebat seperti Datuk M. Nasir, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su serta dua pelakon generasi baharu, Siti Saleha dan Razali Hussain, tenaga lakonan RAAL dimantapkan dengan barisan pelakon baharu yang mula mencipta nama seperti Bil Azali, Yaya Ma'embong, Hafiz Bahari dan Niena Baharun.

Tidak ketinggalan gitaris kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar yang membuat penampilan istimewa.

Pemilik Muradijaya, Zaid Harisah Zakaria memberitahu, hampir 65 peratus pengambaran filem tersebut yang berlokasi di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar, Perak telah disiapkan.

Selaku penerbitan sulung syarikatnya, Zaid mengakui, dia cukup teruja apabila berjaya mendapatkan khidmat Mamat Khalid untuk mencorakkan jalan cerita RAAL serta kesediaan nama-nama besar industri seni yang menyertai produksinya.

"Perspektif saya menerusi filem ini sudah tentu mahu mengetengahkan tradisi Melayu melalui seni persilatan yang disesuaikan dengan elemen-elemen moden di dalam sebuah filem cita rasa hari ini," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar RAAL di Hotel Vistana, Pulau Pinang baru-baru ini yang dianjurkan baru-baru ini.

Semi fantasi

RAAL mengisahkan sekumpulan remaja yang merupakan penceroboh atau hackers terhandal bertaraf dunia iaitu Maya (lakonan Siti Saleha), Harun (Razali Hussein), Shahrul (Bil Azali) dan Jimi (Hafiz Bahari).

Mereka mengucar-ngacirkan sistem ekonomi antarabangsa dengan menggodam akaun-akaun institusi kewangan demi mengejar kemewahan.

Selain diburu pihak berkuasa, mereka turut dijejaki oleh Komang (M. Nasir) yang menghabiskan usianya mencari hackers terhandal untuk melengkapkan satu perisian komputer unik bersifat mistik.

Ketika inilah munculnya Abang Long (Faizal), yang tinggal di desa dijaga oleh Tok Wan (Wan Hanafi) mendalami ilmu persilatan sejak kecil dan berlakulah pertembungan antara dunia siber, mistik dan persilatan Melayu.

Kehadiran Abang Long untuk menyelamatkan adik-adiknya (Maya dan Shahrul) bagaimanapun mempertaruhkan nyawanya sendiri.

Mengulas mengenai jalan cerita filem itu, ujar Mamat, RAAL merupakan sebuah filem separuh fantasi yang menggambarkan kuasa jahat melawan kuasa baik dengan gabungan unsur-unsur siber yang tidak keterlaluan.

"Skrip filem ini perlu segar, justeru saya kuatkan dengan aksi-aksi dan unsur suspens tanpa meminggirkan budaya tradisi Melayu yang menjadi tunjang kekuatan penceritaannya termasuk kekeluargaan.

"Klimaks filem ini ditonjolkan menerusi pertembungan Abang Long sebagai adi wira untuk berhadapan kuasa jahat Komang, dan di sinilah para pelakon diuji perwatakan masing-masing," ujar Mamat.

Sarat aksi lasak

Dalam pada itu, S. Amin menegaskan, dia mempunyai sebab penting kenapa memilih Pulau Pinang sebagai lokasi utama RAAL.

Jelas S. Amin, dia memerlukan feri Pulau Pinang kerana banyak adegan pergaduhan telah difikirkan perlu berlokasi di kawasan lain daripada yang lain jika ingin menyajikan perspektif berbeza kepada audiens.

"Tinggalan arkitektur kolonial sekitar George Town masih ada dan masih tidak banyak diteroka dalam sesebuah filem, jadi mengapa tidak digunakan untuk RAAL," ujarnya.

Ditebak soalan kenapa dia kembali mengarah selepas sekian lama tidak aktif mengarah drama, ujarnya: "Tidak banyak yang berubah (dari segi arahan).

"Cuma kali ini skrinnya besar, maka banyak yang perlu diisi (berbanding drama-drama arahannya sebelum ini). Sebagai pengarah, saya mengutamakan visual dan syot yang cantik.

"Dengan persediaan yang cepat, apa yang boleh saya buat adalah mencantikkan sahaja filem ini.

"Sebenarnya belum tiba masa untuk saya memuji diri sendiri sehinggalah RAAL dinilaikan sendiri oleh audiens," tuturnya mengenai percubaan sulungnya sebagai pengarah filem.


NASKHAH Rajawali: Aku Abang Long merupakan kolaborasi sulung Mamat Khalid dan S. Amin Shahab (kanan).


Faizal lepas geram

Bukan senang untuk mendengar jawapan 'ya' daripada M. Nasir untuk diambil berlakon setelah menolak puluhan lamaran. Bukan memilih tetapi M. Nasir mengakui yang beliau punya sebab tersendiri jika membuat pilihan bersetuju.

"Saya bukan tidak mahu berlakon tapi bergantung kepada projek-projek yang menarik. Saya suka filem ini sebab watak yang diberi adalah dalam dimensi sungguh berbeza.

"RAAL sangat menarik bagi saya bukan sebab S. Amin Shahab itu sahabat baik saya tetapi cerita dan wataknya serta tidak ketinggalan ada (sentuhan skrip) Mamat Khalid.

"Watak saya ringkas iaitu daripada seorang yang baik bertukar menjadi jahat dan akhirnya diselamatkan oleh anaknya sendiri untuk menerima kebaikan," ujar M. Nasir.

Sementara itu, Faizal Hussein melahirkan kesyukuran kerana dapat terlibat dalam produksi yang membariskan nama-nama besar termasuk kekaguman peribadinya terhadap gabungan S. Amin dan Mamat.

Setelah lebih 30 tahun membabitkan diri dalam industri lakonan, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) melalui lakonannya dalam filem Bunohan itu menyifatkan RAAL umpama bulan jatuh ke riba.

Dia yang sememangnya peminat filem lasak dan pergaduhan mengakui mencurahkan sepenuh tumpuan terhadap pembikinan RAAL, termasuk melakonkan sendiri aksi stunt termasuk jatuh dari tempat tinggi.

"Cerita tentang Abang Long sendiri seolah-olah watak yang direka untuk saya oleh Mamat. Kemungkinan dalam filem yang lepas-lepas penonton kurang melihat aksi persilatan Faizal Hussein tetapi tidak dalam RAAL.

"Kali ini saya berpeluang 'melepaskan geram' untuk melakukan aksi-aksi silat termasuklah satu adegan yang memakan masa dua malam pengambaraan. Paling mencabar adalah untuk beraksi dalam becak sawah," kata aktor yang mula berlakon pada tahun 1982 itu.

Tidak menafikan ada sedikit tekanan untuk melakonkan filem ini selepas kejayaan Bunohan, bagaimanapun Faizal menyifatkan ia merupakan perasaan biasa yang kerap dialaminya.

Syanie tidak mahu bertunang lama-lama

Posted:

Syanie tidak mahu bertunang lama-lama

Syanie tidak mahu bertunang lama-lama

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SELEPAS 11 tahun menjanda, kini sudah tiba masanya untuk Syanie kembali bergelar isteri.


KEGAGALAN dalam perkahwinan pertama tidak bermakna pelakon Syanie Hisham enggan lagi mendirikan rumah tangga. Ternyata, kehadiran lelaki yang bernama Nadi Putera Mohd. Zainol berhasil mengisi kekosongan hatinya.

Ketika umat Islam masih sibuk meraikan sambutan Aidilfitri, Syanie dan Nadi telah selamat mengikat tali pertunangan pada 10 Ogos lalu dalam satu majlis yang diadakan di rumah pelakon itu di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Syanie, sebelum kata putus dibuat untuk menerima lamaran Nadi, dia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan.

"Pertama sekali, saya membuat perbincangan dengan ibu serta adik perempuan mengenai hasrat kami ini. Banyak perkara yang kami bincangkan seperti pertimbangan terhadap keputusan yang akan dibuat.

"Lagipun, perkahwinan bukanlah suatu perkara suka-suka dan kami sekeluarga memang mengambil serius mengenainya.

"Sekiranya saya dan Nadi ditakdirkan berkahwin, sudah tentu saya mengharapkan sebuah hubungan yang kekal sehingga akhir hayat," ujarnya.

Apabila ditanya tentang hasratnya yang mahu kembali mendirikan rumah tangga setelah 11 tahun bergelar janda, pelakon tersebut meluahkan bahawa sudah tiba masanya untuk dia memiliki teman hidup.

"Setiap wanita pastinya mempunyai keinginan memiliki seorang suami yang sentiasa berada di sisi. Lagipun, keputusan yang dibuat ini merupakan gerak hati dan yakin Nadi merupakan pilihan yang tepat," luahnya.


IBU SYANIE menyarungkan cincin pertunangan pada jari manis Nadi.


Bercerita lebih lanjut mengenai perkenalan mereka berdua sehinggalah mengikat tali pertunangan, Syanie menyatakan bahawa semuanya terjadi secara kebetulan.

Ujarnya, mereka sebenarnya sudah lama mengenali diri masing-masing apabila Nadi bekerja dengan syarikat milik keluarganya kira-kira tujuh tahun lalu.

"Setelah berhenti kerja, saya dapat tahu Nadi telah mendirikan rumah tangga tetapi hubungan kami masih lagi kekal sebagai teman biasa sehinggalah dia bercerai dengan bekas isterinya itu.

"Walaupun sudah jarang bersua muka kami tetap lagi bertanya khabar.

"Kemudian, hubungan kami mula menjadi rapat apabila sama-sama pergi ke Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang rakan," jelasnya.

Cerita Syanie lagi, sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, mereka berbual pelbagai perkara sehinggalah membabitkan hala tuju dan perhubungan bersama.

"Setelah masing-masing meluahkan perasaan dari hati ke hati, sebulan kemudian kami mengambil keputusan untuk menjadi pasangan kekasih," ujarnya.

Berkenaan dengan pemilihan 1 Mac 2014 sebagai hari perkahwinan mereka, Syanie memberitahu bahawa tiada sebarang yang istimewa berkenaan tarikh tersebut.

Menurutnya, tarikh berkenaan dipilih kerana dia dan Nadi sepakat untuk tidak mahu mengadakan upacara perkahwinan ketika musim cuti persekolahan.


KELUARGA Syanie dan Nadi gembira dengan keputusan mereka untuk bersatu di alam rumah tangga.


"Selain itu, kami memang enggan bertunang dalam tempoh yang lama dan ia merupakan kehendak bapa Nadi sendiri yang mahu ia diadakan secepat mungkin.

"Saya fikir elok juga kalau kami tidak bertunang lama-lama. Lagipun, kalau sudah bertunang ini memang banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi nanti.

Mama Syanie

Berbanding Syanie yang tidak dikurniakan cahaya mata ketika perkahwinan terdahulu, Nadi pula mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Mohd. Putera Danish, 5, dan Mohd. Putera Dafiq, 4.

Menurut Syanie, setakat ini hubungannya dengan kedua-dua anak tunangnya itu cukup baik terutama sekali dengan Dafiq yang menetap dengan bapanya.

"Anak sulung Nadi iaitu Danish kini tinggal bersama bekas isterinya dan kami cuma sempat berjumpa sekali sahaja manakala Dafiq pula menetap bersama ayahnya.

"Jadi, saya dan Dafiq memang selalu berjumpa, terutamanya kalau saya dan Nadi keluar bersama. Malah, dia juga memanggil saya dengan panggilan Mama Syanie," ujarnya.

Mengenai harapannya selepas selamat bergelar isteri Nadi kelak, Syanie memohon agar semua peminat dapat mendoakan kebahagiaan mereka berdua sehingga ke akhir hayat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved