Khamis, 25 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tiga kriteria utama jadi penentu

Posted:

Tiga kriteria utama jadi penentu

Tiga kriteria utama jadi penentu

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

ELYAS OMAR


KEBOLEHAN kepimpinan, kreatif dan berani antara tiga kriteria yang harus dimiliki oleh calon yang berhasrat menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bekas Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar berkata, ketiga-tiga ciri itu penting untuk menjadikan badan induk tersebut sebagai persatuan sukan yang mantap dan tidak lapuk dimakan zaman.

"BAM merupakan persatuan yang berprofil tinggi. Jadi BAM seharusnya diterajui oleh orang yang dinamik serta mempunyai kebolehan pengurusan yang tinggi.

"Untuk menguruskan persatuan sukan dengan baik, pemimpin itu sendiri harus berani memberikan idea yang kreatif dan unik yang mampu mencetus bakat baharu, sekali gus mampu melahirkan pemain-pemain bertaraf dunia," kata Elyas ketika dihubungi Kosmo! semalam.

BAM akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Sabtu ini bagi memilih presiden baharu badan induk tersebut selepas Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh enggan mempertahankan kedudukannya itu.

Nadzmi mengumumkan hasrat beliau untuk melepaskan kerusi panas itu kerana mahu memberikan tumpuan selaku presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) sejak dilantik pada Mac lalu.

Difahamkan, jawatan presiden BAM bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan Naib Presiden BAM, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Arif.

Mengakui tidak mengenali rapat dengan calon-calon terbabit, Elyas menasihatkan presiden baharu BAM nanti memberi keutamaan kepada program pembangunan.

"Kalau hendak cakap mengenai calon saya rasa tidak sesuai kerana saya sendiri tidak mengenali mereka dengan lebih dekat tetapi pesanan saya, jangan abaikan program pembangunan.

"Cetus idea dan berikan cadangan yang mampu memantapkan lagi program pembangunan, kita bukan tidak ada bakat, tetapi hendak mengekalkan konsistensi mereka menjadi kesukaran," tambah Elyas yang menerajui BAM pada 1985 hingga 1993.

Ketika Elyas menerajui BAM, Malaysia berjaya meraih gelaran keempat Piala Thomas pada 1992.

Beliau juga merupakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 1992 yang menyaksikan beregu lelaki badminton negara, Razif dan Jalani Sidek meraih gangsa.

Tiada unsur pilih kasih

Posted:

Tiada unsur pilih kasih

Tiada unsur pilih kasih

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


IMBAS... Rayzam (kanan) beraksi dalam acara 110m lari berpagar pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.


PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad menepis dakwaan sesetengah pihak berhubung isu pemilihan atlet acara 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian ke Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow, Rusia bulan depan.

Sebaliknya, Zainal menegaskan bahawa pemilihan itu telah dibuat oleh barisan panel penilai KOM berdasarkan persembahan dan prestasi semasa yang dipamerkan atlet kelahiran Sabah itu.

Jelasnya, KOM telah membuat pertimbgangan sewajarnya terhadap penilaian itu sebelum membuat keputusan rasmi menghantar Rayzam sebagai wakil tunggal negara ke Moscow.

"Isu pilih kasih tidak pernah timbul kerana pemilihan Rayzam dipersetujui sebulat suara oleh Jawatankuasa KOM sendiri.

"Kita telah membuat penilaian dan keputusan kenapa Rayzam dipilih berbanding (atlet lompat tinggi), Lee Hup Wei kerana kami percaya dia masih berupaya memperbaiki catatan peribadinya.

"Oleh kerana KOM mendapat satu tiket wildcard ke kejohanan tersebut, jadi saya yakin pemilihan Rayzam adalah keputusan yang tepat," kata Zainal Abidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, terdapat 'cakap-cakap' daripada pihak luar yang mempertikai pemilihan Rayzam ke Moscow selepas atlet tersebut gagal melepasi catatan masa kelayakan ke Sukan SEA iaitu 13.86 saat (s).

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Rayzam ialah 13.96s yang dilakukannya ketika beraksi pada Grand Prix (GP) Asia di Colombo, Sri Lanka Mei lalu.

Terbaharu, dia hanya merekodkan catatan masa 14s pada Terbuka Vietnam minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, Zainal juga tidak mahu perkara itu dijadikan sebagai isu untuk disensasikan oleh mana-mana pihak.

"Suasana KOM sekarang ini cukup harmoni. Tiada sebarang pertelingkahan berlaku berhubung pemilihan Rayzam buat masa ini.

"Saya tidak pasti jika ada orang 'bercakap belakang' kerana itu di luar kuasa saya.

"Namun, saya pasti bahawa tiada sebarang masalah akan berlaku apabila Rayzam dipilih beraksi pada Kejohanan Dunia atas tiket wildcard," katanya.

'Saya terkejut dipilih bimbing Barca'

Posted:

'Saya terkejut dipilih bimbing Barca'

'Saya terkejut dipilih bimbing Barca'

ROSARIO, Argentina - Gerardo Martino menganggap pemilihannya selaku jurulatih baharu Barcelona telah dibantu oleh bintang juara Liga Sepanyol itu, Lionel Messi.

"Saya tidak tahu secara terperinci apa yang diperkatakan oleh Jorge (bapa Messi) serta Lionel bagi mempengaruhi pemilihan saya (sebagai jurulatih), tetapi saya yakin mereka ada terlibat dengan pemilihan ini.

"Saya sangat pasti mereka ada memberi sokongan kepada lembaga pengarah kelab Barcelona untuk memilih saya," kata Martino yang berasal dari bandar yang sama dengan Messi iaitu Rosario di Argentina.

Pemilihan Martino sebagai pengendali baharu Barcelona ternyata mengejutkan ramai pihak kerana beliau kurang dikenali, baik ketika bergelar sebagai pemain mahu pun jurulatih.

Bulan lalu, nama Martino tiba-tiba muncul apabila beliau berjaya membantu kelab Argentina, Newell's Old Boys muncul juara Piala Argentina.

"Sejujurnya, jika saya tidak dibantu oleh sesiapa, saya pasti tidak berpeluang mendapat jawatan ini.

"Saya sangat terkejut dan saya juga tidak menyangka terpilih membimbing sebuah kelab terbaik di dunia," kata Martino pada sidang akhbar khas semalam.

Martino meninggalkan Newell's Old Boys dua minggu lalu selepas skuad kendaliannya tersingkir pada saingan separuh akhir Piala Libertadores.

Barcelona yang terdesak untuk mencari jurulatih baharu selepas Tito Vilanova terpaksa melepaskan jawatannya kerana perlu membuat rawatan lanjut terhadap kanser tekaknya.

"Tugasan ini sangat penting dan berat. Ia hadir dalam keadaan tergesa-gesa selepas jurulatih (Vilanova) terpaksa menerima rawatan susulan.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada saya dan juga staf-staf kejurulatihan saya bagi membawa Barcelona ke satu tahap lebih tinggi," kata Martino.

Martino yang dijangka tiba di Barcelona hari ini berharap mendapat kerjasama daripada semua pihak bagi meneruskan legasi kelab terbaik di dunia itu. - Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved