Isnin, 22 Julai 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Busana perkahwinan diraja ciptaan Bernard

Posted:

Busana perkahwinan diraja ciptaan Bernard

Busana perkahwinan diraja ciptaan Bernard

Oleh HAFIZ AHMAD

KETIKA melangkah masuk ke Dewan Balairong Seri, Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang mata terpaku melihat deretan busana tradisional yang sarat dengan perincian klasik tetapi direka dengan garapan sentuhan moden.

Setiap busana kontemporari itu merupakan karya agung pereka antarabangsa, Datuk Bernard Chandran yang mempunyai pelanggan berprofil tinggi antaranya kerabat Diraja Brunei, Malaysia, selebriti tempatan dan antarabangsa.

Melalui Pameran Perkahwinan Melayu Kontemporari, pengunjung dapat melihat sendiri keindahan dan kehalusan estetika rekaan agung Bernard itu dengan lebih dekat. Istimewanya, setiap busana merupakan pilihan yang dibuat penuh teliti selama berbulan-bulan bagi memastikan nilai eksklusif setara dengan hasilnya.

Malah terdapat busana yang berharga mencecah RM619,000 yang direka dengan perincian mewah menggunakan fabrik mahal dan batu-batuan seperti kristal dan swarovski.

Tumpuan utama semestinya busana-busana pengantin diraja yang diterbangkan khas dari Brunei. Beberapa rekaan menggunakan fabrik tradisi negara tersebut iaitu Jong Sarat.

Jong Sarat merupakan kain signatur Brunei yang sering digunakan dalam majlis perkahwinan diraja. Ia menekap unsur-unsur alam dan Islamik dalam rekaannya berdasarkan kehidupan harmoni negara yang kaya dengan hasil minyak itu. Tempoh pembuatan mengambil masa hampir tiga bulan atau lebih bergantung kepada kerumitan motif selain kemahiran dan kepakaran seseorang penenun.

Ketinggian artistik Jong Sarat menjadi pilihan utama kepada pengantin Diraja Brunei untuk diterjemahkan kepada busana hari persandingan mereka.


KURUNG pendek moden merah dan jong sarat emas digayakan Dayangku Ratna Siti Nooraishah pada majlis Muleh Tiga Hari pada tahun 2012.


Persandingan Diraja Brunei

Keindahan fabrik itu dapat dilihat melalui busana yang disarungkan oleh puteri kepada Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah. Pakaian pengantin rasmi itu menggunakan 80 peratus rona emas dan 20 peratus merah hati dikemaskan dengan perincian kristal, sekuin dan manik bermutu tinggi.

Persandingan Dayangku Ratna Siti Nooraishah turut menggunakan material sama dalam perkahwinannya yang dilangsungkan pada tahun 2012. Busana bermotifkan bunga-bunga tradisional dilatari rona perak sebagai warna asas.

Dalam tempoh dua dekad, Bernard diberi kepercayaan untuk mereka busana pengantin Diraja Brunei. Gabungan moden dan klasik sentuhannya menambah seri dan kejelitaan si pengantin.

Selain Puteri Majeedah, Bernard turut mempamerkan busana untuk beberapa kerabat Brunei lain antaranya Puteri Hajah Hafizah Sururul Bulqiah, Puteri Hamidah Jamalul Bulqiah dan Pengiran Yura Halimatussa'dah.

Lebih 10 pasang busana dari Brunei dipamerkan dalam muzium itu. Beberapa rekaan pada awal pembabitan Bernard dalam industri fesyen turut dibawa masuk untuk ditunjukkan kepada masyarakat tempatan.

"Salah satunya ialah baju kebaya panjang renda Lurex yang direka untuk pertunjukan fesyen Rias pada tahun 1996. Ia merupakan koleksi tertua yang dipamerkan dalam muzium ini," ujarnya. Kebaya dengan perincian kristal itu antara percubaan awal Bernard dalam mereka busana tradisional.

"Pada waktu itu, harga kristal sangat mahal. Saya mengingatkan pekerja untuk mengira jumlah kristal agar tidak berlebihan digunakan dalam penghasilan kebaya tersebut," imbas Bernard.

Turut dipamerkan ialah kebaya yang menggunakan enam meter kain, direka pada tahun 1994. Ketika itu, kata Bernard, orang ramai mengatakan rekaan tersebut tidak masuk akal kerana lari daripada rekaan tradisi biasa.


BERNARD menjadi tumpuan di Muzium Sultan Abu Bakar baru-baru ini menerusi ciptaan busana perkahwinan kontemporari dan mewah yang berjaya diarkibkan.


"Tetapi beberapa tahun selepas itu, ramai mula membuat kebaya dalam rekaan serupa.

"Saya mahu memberi inspirasi kepada pereka baharu dan tukang jahit kecil untuk mempunyai stail tersendiri melalui penerapan daripada rekaan asli saya. Jika mereka dapat melakukannya, ia memberi kesan yang baik kepada masyarakat kita," jelasnya.

Idea mempamerkan busana itu tercetus ketika Bernard melawat Muzium Permaisuri Sirikit, Thailand. Dalam muzium itu, koleksi busana permaisuri kesayangan negara jiran tersebut dikumpulkan sejak 1950-an. Setiap persalinan merupakan ciptaan pereka dari Perancis, Pierre Balmain.

"Koleksi selama 25 tahun itu sangat menakjubkan dan ia memberi ilham kepada saya untuk melakukan perkara yang sama suatu hari nanti," kata Bernard.

Busana untuk pameran

Bapa kepada lima orang anak itu, menambah, jiwanya yang dekat dengan muzium dipupuk sejak menuntut di Paris, Perancis 20 tahun dahulu. Banyak yang dipelajari Bernard ketika mengunjungi satu per satu muzium di negara itu.

Sekembalinya ke tanah air, dia terus ke Muzium Negara untuk melihat sejarah susur galur busana tradisional masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Bernard cuba mencari informasi mengenai sejarah di sebalik busana seperti cheongsam atau baju kurung Kedah.

"Saya masih belum jelas dengan maklumat yang diperoleh. Disebabkan itu, saya nekad untuk mengarkibkan setiap perkara yang berlaku di sekeliling saya.

"Sehinggakan, ada seorang pekerja yang akan mengambil gambar baju yang saya pakai setiap hari selain gambar anak-anak. Ia akan disimpan secara bersistem seperti yang dilakukan dalam sebuah muzium," jelasnya.

Cita-cita untuk mempamerkan busana dalam muzium akhirnya terlaksana apabila mendapat pelawaan daripada Pengarah dan Kurator Muzium Sultan Abu Bakar, Ahmad Farid Abd. Jalal.


BUSANA pengantin ini disarungkan Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah pada resepsi perkahwinannya pada tahun 2007.


Mereka bersama-sama merangka perancangan dengan mengumpul busana-busana selain mendapatkan maklumat penting untuk pameran tersebut.

Hampir setahun mereka cuba merealisasikan impian itu sehinggalah menempah khas patung mannequin dari Perancis. Ia bertujuan untuk mendapatkan bentuk asal baju tersebut tanpa perlu diubah.

Malah, susun atur muzium juga mendapat sentuhan peribadi Bernard bagi memberi impak yang lebih berkesan. Melangkah masuk ke Balairong Seri, pengunjung akan melihat foto-foto perkahwinan pengantin Melayu era 50-an hingga 80-an. Pada satu sudut, ditayangkan video persandingan penduduk setempat dengan gaya terkini.

Busana persandingan diletakkan mengikut kedudukan tertinggi takhta Diraja Brunei. Di antara pakaian pengantin diraja itu, turut kelihatan busana yang dipakai oleh isteri kepada angkasawan pertama negara, Datin Dr. Halina Mohd. Yunos. Busana itu sama gah melalui rekaan geometri dengan perincian efek tiga dimensi.

Setiap busana disertakan bersama penerangan maklumat baju yang menggunakan alat gajet tablet bagi memberikan informasi berkaitan pemakai, fabrik dan tahun ia direka.

Penampilan klasik sempena Aidilfitri

Posted:

Penampilan klasik sempena Aidilfitri

Penampilan klasik sempena Aidilfitri

Oleh HAFIZ AHMAD

POTONGAN klasik baju kurung diberi sentuhan kontemporari.


SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri umpama tidak lengkap tanpa menyarungkan busana baharu dan terkini. Di negara ini, lebaran merupakan saat yang ditunggu-tunggu golongan wanita bagi menggayakan busana tradisi dengan acuan kontemporari.

Aidilfitri lebih meriah jika setiap wanita memakai persalinan dengan elemen tradisi dan klasik. Penampilan tampak sedondon bersama si dia yang segak bergaya memakai baju Melayu lengkap bersamping.

Bagi mereka yang inginkan penampilan klasik pada hari lebaran, koleksi cetusan Hazree Wahid mungkin menepati cita rasa penampilan anda.

"Tahun ini, saya mengekalkan potongan klasik dengan kombinasi kebaya dan baju kurung moden. Ia sinonim dengan hari lebaran kerana kebanyakan wanita inginkan penampilan yang lebih tradisi ketika bertandang ke rumah terbuka," ujar Hazree Wahid ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Antara ciri klasik yang dikekalkan adalah potongan belah belakang dan potongan sendat yang mengembalikan aura primadona layar hitam putih.

Pilihan warna berani melalui penataan rona seperti merah, hitam dan putih krim menyerlahkan lagi penampilan anggun seseorang wanita kala melangkah penuh yakin.

Pencinta busana kebaya boleh memilih dua rekaan sama ada rekaan pendek atau diberi sentuhan kontemporari. Memberi kelainan kepada gaya kebaya rona merah, Hazree mencipta sensasi melalui rekaan beropol mengikut trend gaya peplum.

Bagi memberi impak glamor kepada si pemakai, Hazree bijak menata busana dengan hiasan bunga yang direkanya sendiri. Tambah menarik, ia diperindahkan dengan perincian kristal mengubah kebiasaan busana yang ditaburi jahitan manik-manik.

Terdapat 12 rekaan boleh ditempah pelanggan setia Hazree sempena musim perayaan ini. Semestinya personaliti dan penampilan bergaya menjadi keutamaannya bagi menampakkan kejelitaan seseorang wanita.

Dalam pada itu, Hazree turut mencipta koleksi lebaran sedia pakai melalui kolaborasi bersama gedung beli-belah Parkson. Busana sedia pakai itu lebih kasual dan ringkas sesuai bagi mereka yang bergaya ringkas dan minimalis.

Anggun dan menawan di Aidilfitri

Posted:

Anggun dan menawan di Aidilfitri

Anggun dan menawan di Aidilfitri


KOLEKSI Orkid menambah seri di hari lebaran.


KEMERIAHAN Hari Raya Aidilfitri kian terasa dan untuk kesekian kalinya, jenama barang kemas popular, Poh Kong mengeluarkan koleksi terbaharu yang indah mempesona.

Tahun ini, pencinta barangan kemas ditawarkan dengan pelbagai pilihan emas tempawan yang menawan. Rekaan terbaharu Poh Kong di bawah nama Anggun menampilkan tiga koleksi yang mempesona.

Koleksi Orkid, Karya Anggun dan Manja mampu menjadikan Syawal kali ini lebih elegan dan bergaya kepada kaum Hawa.

Rangkaian barang kemas Orkid didatangkan dalam empat set. Ia menjadi lambang kecintaan, kemewahan dan keindahan kepada si pemakai. Setiap item dalam koleksi tersebut dihasilkan menerusi pertukangan halus dan terperinci.

Lebih menarik, koleksi Orkid membolehkan si pemakai menyuai padan pasangan subang yang berbeza untuk digandingkan bersama cincin dan loket atau kalung mengikut cita rasa masing-masing.

Penampilan tampak eksklusif

Set pertama Orkid misalnya menggabungkan rangkaian perhiasan subang, loket dan cincin. Padanan setiap item set tersebut dengan sempurnanya menggambarkan keindahan alam dan menjadikan penampilan tampak eksklusif.

Kelainan corak pada sepasang subangnya juga direka khas agar ia sesuai dipakai pada kedua-dua belah telinga. Berteraskan elemen flora, subang tersebut diadaptasi daripada reka corak semasa bagi melahirkan gaya moden.


LENGKAPKAN busana Aidilfitri dengan barangan kemas edisi istimewa Poh Kong.


Namun, item paling menonjol dalam set pertama Orkid datangnya daripada rekaan cincin. Berlatarkan konsep awan larat, motif bunga dan tangkai halus pohon melingkar indah di jari si pemakai.

Menerusi Karya Anggun, seni kaligrafi khat dapat dilihat menghiasi barang kemas koleksi tersebut. Si pemakai boleh memilih daripada 10 reka corak loket dengan perkataan menarik.

Anggun, Cinta, Malaysia, Rindu, Kasih, Sayang, Kejayaan, Perpaduan, Manja dan Indah merupakan 10 perkataan yang diterapkan dalam loket motif flora tersebut.

Hari raya tidak akan meriah tanpa kehadiran kanak-kanak. Untuk itu, koleksi Manja direka khusus untuk si cilik dengan menampilkan pilihan barang kemas yang cukup molek dijadikan pemberian istimewa sempena Syawal.

Bersandarkan motif bunga raya, orkid, melur dan alamanda, koleksi barang kemas itu terdiri daripada cincin, gelang, subang dan loket.

Kesemua koleksi Aidilfitri Poh Kong boleh didapati di semua kedai barang kemas Poh Kong, Poh Kong Gallery dan Diamond & Gold.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved