Isnin, 22 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Urus anak bersama suami

Posted:

Urus anak bersama suami

Urus anak bersama suami

MEMORI Ramadan ketika berada di kota Madinah dan Mekah pada tahun 2011 membuatkan hati pelakon dan pengacara cantik, Irma Hasmie, dijentik perasaan sayu dan rindu yang mendalam.

Bagi figura berusia 31 tahun itu, perasaan syukur dan nikmat tatkala mengerjakan umrah pada dua minggu terakhir Ramadan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Luahnya, segala memori ketika berada di kota Mekah dan Madinah masih utuh di dalam kotak fikirannya sehingga kini.

"Mengerjakan umrah pada dua minggu terakhir Ramadan bersama sahabat baik, Eenaz Mokhtar pada tahun 2011 membuatkan saya berasa sangat rindu.

"Itulah kali pertama saya menikmati suasana Ramadan di Mekah dan Madinah bersama saudara Islam dari pelbagai negara menjalankan ibadah seperti tarawih dan qiam," ulas pelakon yang mempunyai diploma dalam jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Walau bagaimanapun, lain pula suasana Ramadan Irma pada tahun ini apabila dia tidak lagi menyambutnya berdua bersama suami, Redza Syah Irfhan seperti tahun lalu.

Sebaliknya, kali ini Ramadan dinikmati bertiga dengan kehadiran zuriat sulung mereka, Reza Syah Irfhan.

Di samping perlu menjaga Irfhan dan juga melakukan kerja sebagai anak seni, pelakon drama Awan Dania itu mengakui, perlu menguruskan masa dengan baik bagi melaksanakan tanggungjawabnya terhadap penciptanya.

"Bulan Ramadan tahun ini saya tetap bekerja seperti biasa tetapi akan banyak luangkan masa di rumah bersama keluarga dan keluarga mertua.

"Begitupun, fokus saya lebih kepada mengerjakan ibadah pada bulan Ramadan yang penuh barakah," jelasnya.

Rezeki bangun sahur

Mengulas lanjut mengenai Ramadannya tahun ini, ujar Irma, dia menganggap bangun sahur setiap hari memberikan banyak keuntungan kepada dirinya, juga kepada umat Islam yang melaksanakannya.

Baginya, sahur yang dinikmati bersama suami bukan sahaja memberinya kekenyangan, sebaliknya memberinya kekuatan untuk mengerjakan ibadah di bulan Ramadan.

"Nabi SAW pernah berkata, sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur," tuturnya yang sudah menerbitkan sebuah buku hasil nukilan dirinya sendiri.

KESIBUKAN tidak menghalang Irma dan suami bangun sahur di sepanjang bulan Ramadan.


Berbicara lanjut mengenai buku hasil tulisannya itu, ujar Irma, dia bersyukur kerana buku berjudul Smile, nukilannya bersama penulis Zambri Mohd. itu sudah diulang cetak sebanyak dua kali.

Selain itu, jelas Irma, dia juga baru menceburi dunia perniagaan busana Muslimah, Debumas sejak awal Jun lalu.

"Idea untuk membuka perniagaan busana Muslimah ini timbul atas permintaan ramai.

"Ini kerana sebelum ini ramai yang datang kepada saya dan beritahu mereka suka jubah yang saya pakai. Mereka tanya beli di mana dan saya kata ia adalah hasil rekaan sendiri.

"Jadi, sejak itu saya mula terdetik untuk membuka perniagaan busana Muslimah. Saya reka dan kemudian hantar pada tukang jahit. Setiap rekaan adalah eksklusif dan hanya ada tiga warna.

"Setakat ini Alhamdulillah, rekaan jubah saya mendapat sambutan yang mengalakkan. Harganya sekitar RM100 hingga RM200. Kini kami masih dalam proses untuk mengeluarkan stok baharu," katanya.

Tiada pengasuh

Walaupun tiada pembantu rumah juga pengasuh, namun tidak menjadi masalah besar buat Irma dan suami untuk menjaga anak sulung mereka itu yang kini mencecah usia tiga bulan.

KELUARGA BAHAGIA... Keberkatan bulan Ramadan menyemarakkan lagi ikatan kasih antara Irma, suami dan anak sulung mereka.


Sebaliknya, mereka bergilir-gilir menjaga bayi mereka. Semuanya berkat permintaan suami Irma yang mahu anak mereka dijaga sendiri tanpa bantuan pengasuh.

"Alhamdulillah, saya belajar uruskan anak sendiri. Kami tidak ambil pembantu.

"Saya bersyukur kerana memperoleh anak yang baik dan tidak kuat meragam.

"Waktu berjaga dia, sebelah pagi selepas subuh sampai waktu tengah hari. Kemudian dia akan mula berehat.

"Sebelah malam pula selalunya Irfhan akan bangun untuk menyusu dua atau tiga kali. Selebihnya dia akan tidur.

"Jika pada waktu saya mengendalikan program Assalamualaikum, suami akan jaga anak. Tamat program pada pukul 10 pagi saya akan pulang menjaga Irfhan pula," jelasnya.

Mengulas lanjut, menurut Irma, Irfhan menyusu badan, jadi dia tidak boleh meninggalkan anaknya dalam tempoh waktu yang panjang.

Disebabkan itu juga, dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada anaknya yang masih menyusu badan.

Ditebak mengenai perkembangan anaknya, ulas Irma, anaknya itu sudah pandai meniarap dan ketawa apabila diagah.

Bekerja di Aidilfitri

Keinginan untuk menyambut Syawal bersama anak dan suami tidak tercapai apabila Irma diminta bertugas secara langsung untuk TV Al Hijrah.

"Pada pagi 1 dan 2 Syawal saya kena bekerja, bersiaran langsung untuk TV Al Hijrah.

"Pada 3 Syawal nanti baru saya dapat pulang ke kampung," ujarnya yang mengakui sangat menggemari hidangan rendang ayam ketika raya.

Menyingkap mengenai kehidupan seninya sejak bergelar ibu, Irma kini dilihat semakin kurang berlakon.

Ditebak sama ada sudah mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan, ujar Irma, dia masih lagi berlakon dan bakal aktif semula berlakon selepas Ramadan nanti.

"Saya masih berlakon, cuma saya baru sahaja habis berpantang 100 hari. Insya-Allah, saya akan mula menerima balik tawaran selepas Ramadan nanti.

"Memang saya rindu sangat mahu berlakon tetapi saya harus mengutamakan keluarga dan ibadah di bulan Ramadan dulu," ulasnya yang turut mengendalikan program khas bertemakan Ramadan berjudul Satu Perjuangan.

Dia pembohong - Ashraf

Posted:

Dia pembohong - Ashraf

Dia pembohong - Ashraf

GAMBAR pernikahan antara Ashraf dengan Wan Sakinah di Thailand pada 7 Julai lalu mula tersebar di internet.


RAMADAN tahun ini barangkali Ramadan paling banyak onak yang harus ditelan oleh pelakon Ashraf Muslim, 32.

Semuanya gara-gara kisah sensasi perkahwinan keduanya yang terbongkar selepas isteri pertamanya, Dayana Lokman, 26, menemui butiran dan dokumen perkahwinannya bersama Wan Sakinah Ahmad Saburi, 29, di Bangkok, Thailand di dalam beg pakaiannya minggu lalu.

Sekadar rekod, Ashraf dan isteri pertamanya, Dayana telah berkahwin pada tahun 2011 di Mekah manakala dia kemudian berkahwin secara senyap di Thailand dengan Wan Sakinah pada 7 Julai lalu, sehari sebelum Ramadan.

Terus-menerus menerima tohmahan dan persepsi yang pelbagai daripada masyarakat, Ashraf bagaimanapun sedikit pun tidak lari daripada dunia realiti.

Namun, akuinya, sesekali dia mengelak untuk memberi kenyataan kepada pihak media kerana bimbang disalah tafsir.

Bagaimanapun, untuk isu seperti yang ditimbulkan oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bekas tunang isteri keduanya, Wan Sakinah, dia perlu menjawab hal tersebut.

ASHRAF mengakui yang isteri keduanya, Wan Sakinah pernah putus tunang, namun ia tiada kaitan dengan dirinya.


Bukan untuk menegakkan benang yang basah, sebaliknya Ashraf tampil menafikan tohmahan dia sebagai penyebab lelaki itu dan Wan Sakinah putus tunang.

Malah, Ashraf meminta agar masyarakat tidak terlalu ikut campur dalam urusan rumah tangganya. Sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berani untuk berpoligami, dia mahu meledani segala kemungkinan dalam kehidupan dan rumah tangganya sendiri.

Ashraf menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh Kosmo! kepadanya sambil menegaskan, dia tidak pernah menjalin hubungan sulit bersama Wan Sakinah sewaktu wanita itu sedang dalam tempoh bertunang.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan keadaan Ashraf sekarang?

ASHRAF: Alhamdulillah, walaupun masih ada yang berterusan bercakap tentang saya, kehidupan saya sangat tenang dan jujurnya juga, dalam situasi sekarang, saya perlu lebih banyak bersabar.

WAN SAKINAH, 29, yang kini sah menjadi isteri kedua Ashraf mula diburu kontroversi termasuk ada pihak yang mula bercerita tentang kisah lampau hidupnya.


Belum pun reda isu anda berkahwin dua, kini timbul pula isu baharu. Ahad lalu, seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai bekas tunang kepada isteri kedua anda, Wan Sakinah. Dia memberitahu pertunangan mereka putus 25 hari sebelum mereka berkahwin kerana Wan Sakinah menjalinkan hubungan sulit bersama anda. Boleh anda jelaskan tentang pertuduhan tersebut?

Pembohong lelaki itu! Mereka putus tunang tiada kena mengena dengan saya! Itu (putus tunang) cerita lama mereka dan tak ada kena mengena dengan saya. Saya sedih apabila perkara sebegini timbul.

Bagaimana boleh anda simpulkan tentang terlalu banyak spekulasi yang melanda anda sekarang terutama apabila ada individu seperti lelaki tersebut yang muncul mengaku sebagai bekas tunang isteri kedua anda?

Apa yang boleh saya katakan di sini, saya sudah pun berkahwin, jadi tak perlulah ungkit cerita lama seperti ini. Jangan juga cari jalan atau ambil kesempatan untuk jatuhkan maruah kami semua. Apabila terlalu ramai yang cuba ambil 'bahagian' dalam hal rumah tangga saya, saya jadi sedih.

Apa yang ingin anda sampaikan kepada masyarakat, terutama kepada segelintir pihak yang suka mereka-reka cerita tentang perkahwinan kedua anda?

Ini hal rumah tangga saya. Dengan rendah hati, saya harap semua pihak dapat menghormati saya dan tidak masuk campur dalam hal ini. - HARYATI KARIM

Haida tolak cinta lelaki muda

Posted:

Haida tolak cinta lelaki muda

Haida tolak cinta lelaki muda

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

PERNAH mendirikan rumah tangga dengan bekas penerbit rancangan televisyen, Aminudin Yahya pada tahun 2004, Haida bagamanapun kini kembali solo.


SEBELUM ini nama Haida Hafiz pernah dikenali ramai menerusi Dikir Rambong dan Zapin Usik Mengusik bersama kumpulan Senario pada akhir 90-an tetapi namanya tenggelam setelah mendirikan rumah tangga.

Setelah hampir 12 tahun menyepikan diri daripada dunia hiburan tempatan, Haida atau nama sebenarnya, Noor Haida Mohd. Idris kini muncul dengan buah tangan terbaharu dengan single berjudul, 5 Tahun Saja.

Haida yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! berkata, dia tidak menyangka sama sekali bahawa kemunculannya semula dengan lagu baharu mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Ujarnya, sejak lagu berkenaan mula diputarkan di stesen-stesen radio dan laman YouTube empat bulan lalu, semakin ramai pendengar yang menggemari lagu hasil ciptaan Panji Sakti itu.

"Saya sudah meninggalkan dunia hiburan ini dalam tempoh yang agak lama. Jadi, saya terpaksa bermula dari bawah semula dan perlu berusaha keras agar peminat lebih mengenali saya.

"Walaupun sudah lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu tetapi untuk lagu 5 Tahun Saja ini sudah mula mendapat tempat dan yakin lagu ini mampu menaikkan nama saya semula," jelas ibu kepada seorang cahaya mata bernama Muhammad Al Hafiz Aminuddin, 7.

Bercerita lanjut mengenai lagu berkenaan, Haida menjelaskan, dia memilih Panji Sakti sebagai pencipta lagu kerana tertarik dengan lagu-lagu yang dihasilkan komposer tersebut untuk beberapa orang penyanyi seperti Aliff Aziz dan Alif Satar sebelum ini.

Kemudian pada tahun lalu, dia dapat berjumpa sendiri dengan Panji dan akhirnya komposer itu bersetuju menghasilkan lagu buat dirinya dan proses rakaman pula dilakukan di Bandung, Indonesia.

"Pertama kali mendengar lirik lagu ini saya sudah tertarik dengan melodinya. Lirik pula saya meminta Panji untuk membuat sedikit rombakan agar lebih mudah difahami pendengar.

SELEPAS lebih sedekad tidak aktif menyanyi, Haida mengakui yang dia kini perlu bermula dari bawah semula.


"Lagu ini berkisarkan tentang seorang wanita yang jatuh cinta dengan lelaki yang lima tahun lebih muda manakala muziknya pula lebih kepada rentak rock moden," ujar penyanyi berusia 32 tahun itu.

Ketika ditanya sama ada lagu tersebut mempunyai kaitan dengan dirinya, memandangkan statusnya kini sebagai seorang ibu tunggal, Haida sekadar mengukir senyuman sehingga menimbulkan sedikit tanda tanya.

Penyanyi tersebut mendedahkan selama tiga tahun hidup secara solo, tidak dinafikan memang ada beberapa lelaki muda yang cuba mendekatinya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius.

"Memang ada lelaki muda yang cuba ingin rapat tetapi saya menolaknya dengan cara baik. Bukannya terlalu memilih tentang pasangan hidup, cuma saya memang tidak berminat untuk bercinta dengan lelaki yang lebih muda daripada saya," jelasnya.

Ujarnya lagi, memandangkan lagu berkenaan semakin mendapat sambutan yang menggalakkan, sebuah klip video telah siap dihasilkan dan bakal ditayangkan kepada umum selepas Aidilfitri nanti.

Fokus kerjaya

Ketika ini ramai yang sudah mengetahui bahawa Haida pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas penerbit rancangan televi- syen, Aminudin Yahya pada tahun 2004 tetapi bercerai tujuh tahun kemudian.

Apabila ditanya sama ada dia bersedia untuk mencari pengganti setelah tiga tahun menjanda, penyanyi itu menyatakan pertemuan dan jodoh merupakan ketentuan Allah.

"Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran tertentu untuk berkahwin semula. Kalau ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sesuai, mungkin saya tidak menolaknya.

"Namun begitu, buat masa ini saya lebih suka sekiranya dapat menumpukan kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu memandangkan saya baru sahaja membuat kemunculan semula," jelasnya.

Ujarnya, dia meletakkan harapan yang tinggi agar dengan kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian ini akan terus diterima ramai serta mampu menarik minat pendengar dengan lagu-lagu yang dihasilkannya nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved