Sabtu, 8 Jun 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Daun pisang jadi bahan komposit

Posted:

Daun pisang jadi bahan komposit

Daun pisang jadi bahan komposit

Oleh ZAKI SALLEH

DAUN pisang Ammiba Bleaf Eco Wrap juga boleh digunakan untuk membungkus makanan, bahkan lebih selamat daripada pembalut plastik.


PISANG atau nama saintifiknya Musa paradisiaca L adalah tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Musaceae. Pisang merupakan buah yang kedua paling digemari penduduk negara ini selepas durian.

Kaya dengan pelbagai khasiat, pisang mampu meningkatkan kesihatan manusia. Difahamkan terdapat kira-kira 20 jenis pisang antaranya pisang tanduk, emas, embun, nipah dan nangka manakala pisang cavendish pula adalah baka tempatan untuk eksport.

Seperti pokok kelapa, pokok pisang juga adalah tumbuhan serba guna apabila setiap bahagiannya mempunyai kegunaan kepada manusia daripada daun hinggalah ke umbut.

Daun pisang misalnya merupakan pembungkus makanan seperti nasi lemak dan juga sebagai alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum.

Kebanyakan kuih-muih tradisional juga menggunakan daun pisang sebagai pembalutnya seperti kuih koci dan lepat.

Bagaimanapun, siapa sangka daun pisang yang selama ini sinonim sebagai daun pembungkus menjadi salah satu bahan komposit bagi pelbagai sektor industri termasuk automotif. Ia merupakan hasil kajian inovatif sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Inovasi diketuai pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Prof. Madya Baharin Azhari itu berjaya menghasilkan bahan bungkusan menggantikan kertas dan plastik daripada daun pisang dikenali sebagai Ammiba Bleaf Eco Wrap.

Melekatkan daun

Menurut beliau, bahan yang mesra alam dan kalis air itu dihasilkan daripada proses melekatkan helaian daun pisang antara satu sama lain.

Menariknya proses itu menggunakan getah pisang sendiri menerusi satu kaedah khusus.

"Proses ini menggunakan lapisan belakang daun pisang kerana ketahanan bahagian permukaan hadapannya, manakala getahnya pula lebih mudah dikeluarkan daripada bahagian ini.

"Sekeping Ammiba Bleaf Eco Wrap yang dihasilkan daripada dua helai daun pisang ialah lima kali ganda lebih kuat dan tahan daripada kertas pembungkus makanan biasa," ujarnya pada sidang akhbar di universiti itu baru-baru ini.


DARI kiri: Muhammad Iqmal, Baharin, Mazlan dan Adnan menunjukkan daun pisang lasak yang boleh dijadikan kanvas untuk pelbagai kegunaan di USM, Pulau Pinang.


Hadir sama, lima lagi ahli kumpulan penyelidik berkenaan iaitu Prof. Madya Mohamad Omar Bidin, Prof. Madya Fazilah Ariffin, Dr. Mazlan Ibrahim, Adnan Mat dan Muhammad Iqmal Rahimah.

Penyelidikan selama dua tahun itu dibiayai menerusi Geran Jangka Pendek USM berjumlah RM38,000 bagi mencari inisiatif baharu sejajar dengan Dasar Polisi Hijau Negara.

Produk itu juga telah memenangi pingat emas pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bebas toksik

Tambah Baharin, kajian pihaknya juga mendapati daun pisang pembungkus itu boleh menggantikan plastik kerana tidak mengandungi bahan kimia dan toksik, lantas selamat diguna selain mudah lerai.

Katanya, sifat mudah guna bahan pembungkus itu juga boleh dimajukan sebagai salah satu bahan komposit dalam pelbagai sektor industri seperti pembinaan, hiasan dalaman, automotif dan kejuruteraan tinggi.

"Ini juga adalah kajian yang pertama seumpamanya di dunia menghasilkan bahan pembungkus daripada daun pisang.

"Inovasi ini sememangnya boleh memberi sumbangan besar kepada industri asas tani negara, manakala nilai pasaran kertas di peringkat global pula mencecah puluhan bilion ringgit," ujarnya.

Pemuliharaan hutan bakau

Posted:

Pemuliharaan hutan bakau

Pemuliharaan hutan bakau


SEBANYAK 500 anak pokok bakau telah ditanam di Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini.


PEMULIHARAAN alam sekitar memerlukan komitmen yang berterusan. Justeru, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah berganding bahu dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah Pontian dan Taman Negara Johor bagi membersihkan dan menanam anak-anak pokok bakau di sepanjang pantai Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Turut serta Lembaga Pelabuhan Johor, Jabatan Pertahanan Awam Daerah Pontian, Jabatan Hutan, Johor Port Berhad dan Senai Airport Terminal & Services Sdn. Bhd.

Program Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok Bakau Tanjung Piai 2013 itu diadakan baru-baru ini membabitkan penanaman sebanyak 500 anak pokok bakau.

Dalam program itu juga, sebanyak 1,111 kilogram sampah telah berjaya dibersihkan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Azlan Shahrim. Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Laut, Baharin Abd. Hamid dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Mokhtar Abdul Majid.

Dalam ucapannya, Azlan berkata, PTP telah lama bergiat aktif dalam pemuliharaan alam sekitar iaitu bermula di Sungai Pulai. Sejumlah 5,000 anak pokok bakau telah ditanam di kawasan tersebut.

Sebelum ini, PTP juga pernah terbabit dalam usaha pembersihan pantai di Tanjung Piai.

"Kami gembira dengan sokongan yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dengan usaha pemuliharaan hutan bakau ini.

"Kawasan hutan bakau memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan memerlukan pemantauan berterusan," katanya.

Dalam pada itu, Baharin turut berharap orang ramai mengambil tahu ancaman-ancaman yang sedang dihadapi kawasan hutan bakau dan pantai di negara ini.

"Pokok bakau setinggi 15 meter dapat menukarkan 30 tan karbon dioksida kepada oksigen melalui proses fotosintesis. Oleh itu, saya amat berharap anak-anak pokok yang baru ditanam ini dapat bertahan dan menyumbang kepada alam sekitar," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved