Sabtu, 8 Jun 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Selesa di negara sendiri

Posted:

Selesa di negara sendiri

Selesa di negara sendiri

KETAMPANAN wajah aktor Korea Selatan, Zo In-sung sudah cukup membuatkan ramai gadis terpaku dan menjerit histeria tatkala menerima perkhabaran bahawa dia bakal berkunjung ke Malaysia buat kali pertama.

Dia hadir untuk mempromosikan drama terbaharu lakonannya iaitu That Winter, The Wind Blows dan sekali gus menemui para peminat fanatiknya di negara ini.

Dikurniakan ketinggian tubuh yang mencecah 168 sentimeter dan segak bergaya, aktor berusia 32 tahun ini bukan suatu nama asing dalam kalangan peminat drama Korea.

Ini kerana sejak berusia 18 tahun, dia sudah mula menapak dalam industri hiburan dengan lakonan yang begitu berkesan terutamanya menerusi drama-drama seperti Non Stop, Shoot For The Stars dan Memories In Bali.

Bertempat di Hotel Hilton Kuala Lumpur, baru-baru ini telah diadakan sesi pertemuan aktor itu bersama pihak media Malaysia.

Ia ternyata telah berjaya membongkar rahsia mengenai In-sung yang hanya mahu bergelar pelakon di negaranya sendiri.

Malah, dia tidak pernah terfikir untuk pergi lebih jauh seperti berlakon di Hollywood kerana tidak fasih berbahasa Inggeris.

Walaupun mengetahui fakta bahawa skil berbahasa Inggeris boleh dipelajari untuk menjadi pelakon di Hollywood, dia hanya menggelengkan kepala - tetap utuh dengan pendiriannya yang hanya mahu berlakon di negaranya sendiri.

"Saya tidak terfikir pun mahu berlakon di Hollywood kerana saya selesa bergelar pelakon di Korea Selatan dan mahu lebih berjaya di negara sendiri berbanding negara orang.


JEJAKA kacak ini mula menceburkan diri dalam industri lakonan Korea Selatan sejak berumur 18 tahun.


"Ini kerana saya mahu meningkatkan mutu drama dan filem negara saya sendiri untuk ke peringkat lebih tinggi.

"Sebenarnya apa yang anda lihat sekarang ini, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Jawapan jujurnya itu terbukti apabila drama lakonannya, That Winter, The Wind Blows mendapat sambutan hangat di Malaysia.

In-sung ternyata amat terkejut dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana menerima dirinya sebagai pelakon yang masih sedang dalam proses pembelajaran.

Dia ditebak pula dengan persoalan tentang adakah dirinya mengimpikan anugerah memandangkan dia belum pernah mendapat meraih penghargaan hasil lakonannya itu?

Dengan penuh tenang, In-sung memberikan jawapan. Katanya, dia tidak mahu membuat permintaan di luar kawalan dirinya.

Kematangan dan kejujurannya dalam setiap jawapan yang diberikan itulah yang membuatkan dirinya terus kekal lama dalam bidang seni.

Ia membuatkan agak sukar untuk mengetahui gosip percintaannya bersama aktres Kim Min Hee dan bagaimanakah dia menjalani kehidupan normal seperti masyarakat biasa.

Menjadi diri sendiri

Bukan mudah ingin menjadi pelakon yang sentiasa perlu melakonkan watak sedih dan asyik bermain dengan emosi, terutamanya jika ia melibatkan perasaan yang belum pernah dilalui.

Namun, semua itu tidak menjadi penghalang buat In-sung untuk berlakon dengan begitu berkesan menerusi That Winter, The Wind Blows.

Bercakap mengenai bagaimanakah dia boleh menghayati karakter lakonannya dalam drama tersebut dengan begitu baik, In-sung menegaskan bahawa sebenarnya dia hanya menjadi diri sendiri.

"Dalam apa pun perkara yang saya lakukan, saya sentiasa menjadi diri sendiri, tidak kira sama ada dalam drama ini mahupun drama lain.

"Menjadi diri sendiri adalah lebih baik supaya orang dapat menilai bakat lakonan yang ada pada saya ini lahir daripada diri sendiri dan bukan dibuat-buat.

"Lagipun, agak sukar untuk berlakon dalam watak yang tiada kaitan dengan diri saya.


IN-SUNG bergandingan dengan Hye Kyo menerusi drama bersiri popular That Winter, The Wind Blows.


"Walaupun tidak banyak tetapi dalam beberapa babak itu pasti (perlu) ada kena-mengena dengan kehidupan dan diri saya," tuturnya.

Ungkapnya lagi, selepas selesai menyertai program khidmat negara, banyak perkara yang dipelajarinya dan segala ilmu yang diperolehnya itu mengajar erti kehidupan buat dirinya untuk bersikap lebih matang.

Pengajaran yang diperolehnya itulah yang membuatkan In-sung sentiasa bersikap rendah diri dan tidak akan sesekali memandang ringan kepada setiap individu yang berada di sekelilingnya, terutama para peminat.

Peminat Malaysia

Dalam pada itu, In-sung seakan-akan tidak percaya dengan sambutan luar biasa yang diterimanya daripada rakyat Malaysia menerusi drama That Winter, The Wind Blows.

Sejujurnya, dia juga tidak tahu bahawa dirinya amat diminati masyarakat di negara ini.

Dalam nada berseloroh, In-sung sempat berjenaka. Katanya, jika populasi penduduk Malaysia terdiri daripada 17 juta, 13 juta daripadanya tentu peminatnya.

"Saya sebenarnya tidak sangka akan sampai ke tahap ini. Saya ingat hanya dikenali di negara sendiri, tidak tahu pula saya akan dikenali sehingga ke tahap Asia.

"Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana dengan sokongan peminatlah saya mampu berada sehingga ke tahap ini.

"Tidak ada apa lagi yang paling menggembirakan apabila anda mendapat tahu bahawa peminat amat menyayangi anda," jelasnya.

Raja Azmi bidas fitnah Adam

Posted:

Raja Azmi bidas fitnah Adam

Raja Azmi bidas fitnah Adam

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


RAJA AZMI (tiga dari kiri) menampilkan beberapa individu lain yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan Adam Davin. (Dari kiri) Siti Najihah Nasir, Myra Zafia, Saodah Othman dan Atie Zieya.


PENERBIT filem yang sering dihimpit isu sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, tidak kisah jika masyarakat menggelarkan dirinya diva kontroversi.

Menurutnya, dugaan sering sahaja hadir dalam dirinya. Terbaharu, penerbit filem Anu...Dalam Botol itu difitnah oleh seorang lelaki bernama Adam Davin.

Pada minggu lalu, Adam, 25, yang sepatutnya menaja dan membintangi filem terbaharu Raja Azmi berjudul, Anak Ikan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis, Ampang Jaya, Selangor.

Dia mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah Raja Azmi!

Menerusi laporan polis tersebut, Adam atau nama sebenarnya Davinder Singh Gurchran Singh, menuduh Raja Azmi telah menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan namanya.

Adam mendakwa Raja Azmi telah melabelkan dirinya sebagai penipu, gemar mencuri dan tidak memulangkan baju-baju tajaan yang dipinjam.

Perkara itu dikatakan berlaku selepas Adam menarik diri daripada menaja kos pembikinan Anak Ikan sebanyak RM500,000.

Membidas fitnah yang dilontarkan Adam terhadap dirinya, Raja Azmi tampil mengadakan sidang akhbar di RK Recipe Cafe, Taman Melawati, Kuala Lumpur, kelmarin.

Ia bermatlamat bagi menunjukkan bukti kukuh, selain menampilkan mangsa-mangsa yang dikatakan telah ditipu dan dimanipulasi oleh Adam untuk membersihkan namanya.

Selain itu juga, Raja Azmi tidak mahu lelaki itu menipu lebih ramai orang dengan menjaja namanya.

Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Raja Azmi atau mesra dipanggil sebagai Kak Mi yang turut bercerita mengenai dirinya yang bakal berkahwin dengan seorang gitaris berstatus duda.

Kosmo!: Bolehkah Kak Mi ceritakan perkara sebenar yang berlaku antara anda dan Adam Davin?

RAJA AZMI: Kak Mi mengenali Adam Davin menerusi laman sosial Instagram. Kemudian, dia memperkenalkan dirinya dan ingin berjumpa dengan Kak Mi bagi berbincang mengenai perniagaan perfileman. Adam beritahu bahawa dia anak pemilik sebuah gedung kain terkemuka dan bapanya berminat untuk bekerjasama menerbitkan filem bersama Kak Mi.

Jadi, adakah Kak Mi bertemu dan bersetuju menerbitkan secara usahasama dengan Adam?

Kak Mi akui bodoh kerana mempercayai Adam tanpa usul periksa. Kak Mi membuat perjumpaan dengannya. Dia lantas memberitahu, bahawa bapanya ingin melaburkan wang sebanyak RM500,000 untuk filem terbaharu Kak Mi berjudul Anak Ikan. Namun, dengan syarat dia (Adam) juga berlakon dalam filem itu. Dia kemudiannya mengatur pertemuan antara Kak Mi dengan bapanya tetapi malangnya pertemuan itu tidak jadi. Selepas empat kali pertemuan yang sepatutnya berlangsung dengan bapanya tidak jadi, Kak Mi mula tidak percayakan dia. Kak Mi selidik dan dapati dia bukan anak pemilik gedung pakaian terkemuka tersebut.

ADAM DAVIN (tengah) dan Raja Azmi pernah beberapa kali berbincang tentang projek filem, Anak Ikan.


Selepas itu, apakah yang terjadi?

Kak Mi mula menjauhkan diri daripada dia walaupun beberapa kali dia menghubungi Kak Mi. Selepas kejadian itu, tak sangka pula dia menggunakan nama dan populariti Kak Mi untuk menipu pengikut-pengikut Kak Mi dalam laman Instagram pula.

Berapa ramaikah individu yang telah ditipu Adam?

Setakat yang Kak Mi tahu sudah 10 orang. Semuanya mengadu kepada Kak Mi selepas ditipu. Itu sebabnya Kak Mi aturkan sidang akhbar pada hari ini (kelmarin) bagi membersihkan nama dan ia juga merupakan tanggungjawab Kak Mi supaya tiada lagi orang yang ditipu oleh Adam.

Apakah perasaan Kak Mi difitnah Adam?

Ini merupakan tamparan paling hebat dalam hidup Kak Mi. Kak Mi menyesal dengan kebodohan diri ini kerana mempercayai dirinya. Sejak dulu lagi, Kak Mi tak pernah minta sesiapa untuk menaja filem Kak Mi. Tetapi apabila ada orang yang datang ingin menawarkan pelaburan dalam filem baharu Kak Mi, kenapa harus Kak Mi tolak?

Apakah pengajaran yang Kak Mi perolehi daripada pengalaman ini?

Sebelum ini Kak Mi tidak pandai mengatakan tidak. Kak Mi mudah terima apa yang orang katakan. Selepas kejadian ini, Kak Mi akan lebih berhati-hati dan perlu lebih pandai mengatakan tidak. Ada hikmah di sebalik dugaan yang Kak Mi hadapi. Namun, ada perkara baharu yang menggembirakan hadir dalam hidup Kak Mi.

Apakah perkara gembira itu?

Kak Mi sudah bertemu dengan seseorang.

Boleh kongsikan lebih lanjut siapakah gerangannya?

Buat masa ini, Kak Mi tidak mahu mendedahkannya kerana takut tidak menjadi. Kak Mi akan buat sidang akhbar perkenalkan dirinya dan umumkan tarikh kahwin.

Ceritalah sedikit mengenai kekasih Kak Mi itu?

Dia merupakan gitaris popular kumpulan yang aktif pada era 1990-an. Dia seorang duda, berambut panjang dan kelakar orangnya.

Apakah pula perkembangan terbaharu filem Anak Ikan?

Filem itu masih diteruskan malah skripnya pun sudah siap cuma Kak Mi akui tidak cukup bajet menerbitkan filem tersebut.

Berapakah jumlah bajet untuk menerbitkan filem tersebut?

Hampir setengah juta. Kalau ada sesiapa yang sudi melabur separuh daripada jumlah tersebut pun Kak Mi sudi.

Bagaimanakah pula dengan pemilihan pelakon untuk filem itu?

Gabungan pelakon baharu dan lama.

Mardiana, Tai buktikan kemantapan

Posted:

Mardiana, Tai buktikan kemantapan

Mardiana, Tai buktikan kemantapan


ANA (tengah) giat menjalani latihan bersama Fara Fauzana, Amy Mastura dan Misha Omar di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


SEPANJANG menyaksikan sesi latihan teater Nyonya & The Gang, tidak dapat dinafikan kemantapan gandingan lakonan Mardiana Alwi dan Taiyuddin Bakar.

Kedua-dua pelakon lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu membuktikan bahawa kebolehan mereka setaraf pelakon lima bintang di Malaysia.

Mereka dipertanggungjawabkan untuk menangani naskhah karya penulis Indonesia, Wisran Hadi yang kaya dengan metafora dan sindiran terhadap sikap masyarakat.

Mardiana dan Taiyuddin atau Tai masing-masing memegang watak Nyonya dan Tuan.

Ternyata, ia sebenarnya bukan suatu tanggungjawab yang mudah buat Mardiana dan Tai yang mula mencipta nama di layar kaca dan perak.

"Watak Tuan iaitu seorang pedagang barangan antik amat mencabar kerana ia melibatkan dialog yang panjang dan saling 'sambut menyambut' dengan watak Nyonya.

"Dalam hal ini, kami perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal akibat kata bual yang mempunyai maksud tersirat," kata Tai yang memiliki pengalaman luas dalam bidang teater.

Gandingannya bersama Mardiana diibaratkan sebagai peluang keemasan memandangkan mereka dilahirkan dari institusi pendidikan yang sama.

Penglibatan Tai dalam teater memperlihatkan kebolehannya sebagai pelakon versatil.

Ia terbukti melalui teater Gerimis Mengundang, 3 Maulana, Opera Ayu Cendana, Wajah Lumpur, Malam Jahanam, Awal dan Mira, Selamat Jalan Anak Kafir, Sirah Junjungan, Sri Mersing, Semerah Padi, Interview, Trem Bernama Desire, Tanda dan ShortEye.

"Bagi saya, watak Tuan mudah dilihat daripada pandangan mata kasar. Namun jika kita menganalisa secara terperinci, ada banyak perkara yang boleh dicungkil dan dipersembahkan kepada penonton.

"Contohnya, Tuan bukan sahaja seorang pedagang barangan antik, malah dia seumpama 'memperdagangkan sesuatu' seperti mencari cinta baharu dan tipu muslihat," tambahnya yang pernah muncul antaranya menerusi filem Mukhsin, Sini Ada Hantu, Pungguk Rindukan Bulan dan Hantu Bonceng.

Sementara itu, bagi Mardiana, 25, cabaran paling hebat yang perlu dihadapinya sudah tentu untuk merealisasikan watak Nyonya itu dalam acuannya yang tersendiri.

ANA dan Tai digandingkan dalam teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan dari 14 hingga 20 Jun ini di Istana Budaya.


Lakonannya pasti dibandingkan dengan pelakon lain yang pernah membawakan karakter yang sama.

Watak Nyonya sebelum ini pernah dilakonkan oleh Juhara Ayob, Tania Zainal dan Sherry Abdullah ketika dipentaskan masing-masing pada 2004, 2007 dan 2011.

"Setiap pelakon pentas mempunyai kemahiran dan trick mereka yang tersendiri yang mana hal-hal ini menjadi bahan bantu bagi memberikan persembahan terbaik. Sejak awal, saya telah memilih cara dan teknik tersendiri bagi memperlihatkan kelainan lakonan saya ketika bergandingan dengan Tai," ujar pelakon yang pernah muncul dalam teater seperti Sri Mersing, Bukan Dejavu, Bangsawan Tun Fatimah, Bangsawan Malim Deman dan Teater Tyickoouns ini.

Pelakon yang berasal dari Johor itu berjanji akan membawa penonton mengenali siapakah sebenarnya Nyonya yang terpaksa berhadapan dengan godaan Tuan dan serangan jahat anak- anak saudara suaminya yang gilakan harta pusaka.

Baginya, penonton tidak seharusnya melihat 'selapis' sahaja cerita Nyonya, sebaliknya perlu membuka hati dan pemikiran mereka terhadap banyak perkara yang cuba dibawakan menerusi nukilan skrip pementasan tersebut.

Nyonya & The Gang arahan bersama Rosminah Mohd. Tahir dan Siti Rohayah Attan turut menampilkan pelakon Mi- sha Omar (sebagai Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Fara Fauzana (Keponakan Beautiful) dan Kiah Propa (Isteri).

Turut ditampilkan ialah Syed Atiq Wan Long dan Muhd. Maaruf Zamani Lim dari kumpulan Kelawak yang lahir dari program Bintang Mencari Bintang.

Tidak ketinggalan Mohamad Md. Noor, Nazurah Hanoom Hanafie, kumpulan Don Dang Crew, Zeppo Younsterz Crew dan Secrets Crew.

Penyanyi terkenal, Anuar Zain pula akan membuat penampilan khas dalam teater ini pada 19 dan 20 Jun nanti.

Teater ini diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama akhbar Kosmo!, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Jatimas.

Tiket boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya atau hubungi 03-6186 6592/017-2004 249/017-8716 060.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved