Selasa, 25 Jun 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Fokus aspek pendidikan dan kesihatan

Posted:

Fokus aspek pendidikan dan kesihatan

Fokus aspek pendidikan dan kesihatan

PADA usia 18 tahun, Ramlah Yaya tidak pernah merasai keseronokan alam persekolahan sama ada di peringkat rendah mahupun menengah. Kesempitan hidup menyebabkan ibu bapa Ramlah tidak mampu menyekolahkan mereka sembilan beradik.

Akibatnya, remaja yang menetap di Perkampungan Orang Asli Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor itu langsung tidak boleh membaca. Bagaimanapun, kehadiran wakil Islamic Outreach, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sana membawa sinar buat Ramlah.

Selepas mengikuti beberapa sesi pembelajaran bersama sukarelawan badan tersebut, Ramlah kini sudah mengenal huruf dan mampu membaca beberapa patah perkataan.

"Seronok apabila dapat memegang pensel dan menulis. Sekarang saya sudah boleh membaca walaupun tidak begitu lancar. Oleh itu, saya akan terus belajar lagi," ujar Ramlah yang pada mulanya enggan ditemu bual kerana malu.

Seorang lagi rakannya, Bujang Misi, 12, pula mengakui tidak tahu bagaimana rupa sebuah sekolah kerana dia juga senasib dengan Ramlah.

"Setiap hari saya hanya duduk di rumah. Kadang-kadang tolong ayah mencari rotan, sayur atau buah-buahan di hutan untuk dijual.

"Ada juga kawan-kawan di sini yang bersekolah. Jadi saya mendengar cerita mereka sahaja," kata Bujang yang kemudian meneruskan aktiviti mewarna di buku yang disumbangkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Selain Ramlah dan Bujang, terdapat sekumpulan kanak-kanak lagi tekun melakukan aktiviti menulis dan mewarna yang diadakan di surau kampung berkenaan dengan bimbingan beberapa sukarelawan Islamic Outreach ABIM (IOA).


NORMAH (kiri) menunjukkan cara-cara membuat kuih semperit kepada golongan wanita Orang Asli.


Beri ilmu

Naib Pengerusi IOA, Normah Sulaiman, 60, memberitahu, ini merupakan tahun kedua mereka menjalankan program khidmat sosial di perkampungan itu dalam usaha untuk mendidik anak-anak Orang Asli di sana.

"Setiap minggu kami akan datang dengan membawa alat tulis dan buku-buku latihan untuk diberikan kepada anak-anak di sini. Pada awalnya, mereka tidak mahu belajar dan malu apabila bertemu orang luar.

"Tetapi, lama-kelamaan baru mereka berani dan mesra dengan sukarelawan yang datang. Matlamat kami adalah untuk menjadikan mereka celik huruf dan berilmu kerana ramai dalam kalangan anak-anak Orang Asli di kampung ini tidak bersekolah," jelas Normah kepada Kosmo!.

Selain memberi perhatian khusus kepada anak-anak Orang Asli, pihaknya turut mengadakan program belajar memasak kepada golongan wanita yang beragama Islam.

"Kami akan membawa barang-barang keperluan untuk membuat kuih dan biskut dan menyediakan resipi yang mudah untuk dicuba oleh kaum wanita di sini.

"Secara tidak langsung, mereka boleh menjana pendapatan sendiri hasil jualan biskut dan kuih yang dibuat," ungkap Normah.

Sewaktu mengajar mereka membuat kuih, Normah turut menyelitkan nasihat agar golongan ibu berzikir ketika melakukan tugas memasak di dapur kerana ia mampu mendatang keberkatan terhadap apa yang dilakukan.

Dalam pada itu, komuniti Perkampungan Orang Asli Sungai Gabai turut menjadi pilihan Hotel Fraser Place Kuala Lumpur (Fraser Place) dan rakan strategik, Universiti Malaya (UM) menjalankan aktiviti CSR.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Pusat Wellness UM, Fakulti Pergigian UM serta Pusat Jaringan Masyarakat dan Industri UM (Citra) dalam mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli.

Menurut Ketua Pemasaran Fraser Place, Mark Chen, setiap tahun pihaknya akan menganjurkan beberapa siri program CSR yang melibatkan tumpuan pada pembangunan kanak-kanak.

"Kali ini, kami memilih perkampungan ini untuk menyelami rutin harian masyarakat Orang Asli. Kami berharap dengan penganjuran program ini, sedikit sebanyak ia dapat memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan seisi keluarga," kata Mark.


AKSI Tok Batin (kiri) yang cuba memberus sampel gigi yang dibawa sukarelawan mencuit hati mereka.


Program kesihatan

Secara keseluruhannya, seramai 34 wakil sukarelawan yang terdiri daripada doktor, jururawat, pelajar dan kakitangan menyertai program tersebut.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pemeriksaan kesihatan seperti memeriksa tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), sanitasi, kebersihan oral dan gigi serta pengambilan nutrisi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pergigian UM, Dr. Jacob John, 44, berkata, melalui program sedemikian ia dapat memberi pendedahan kepada para pelajar dan berinteraksi dengan masyarakat.

"Selain memeriksa keadaan mulut dan gigi penduduk, mereka turut mengajar kanak-kanak cara asas memberus gigi dengan betul.

"Ternyata ramai antara penduduk yang tidak mengambil berat tentang kebersihan mulut dan gigi masing-masing. Justeru, program ini satu inisiatif yang baik bagi kedua-dua pihak," tutur Jacob.

Selepas melakukan pelbagai aktiviti, penduduk kampung turut disajikan dengan hidangan makan tengah hari yang disediakan oleh chef dari Fraser Place. Di samping itu, kanak-kanak pula menerima hadiah berupa peralatan menulis dan mewarna.

Bela anjing hobi baharu di Iran

Posted:

Bela anjing hobi baharu di Iran

Bela anjing hobi baharu di Iran


PEMILIK anjing kini lebih selesa menggunakan internet untuk membeli atau mendapat perkhidmatan berkaitan haiwan peliharaan mereka.


IRAN kini sedang menguatkuasakan kembali peraturan memelihara anjing apabila semakin ramai penduduknya menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan.

Menurut ahli farmasi veterinar, Suroush Mobaraki, 34, permintaan terhadap anjing semakin meningkat di negara republik Islam itu.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan terhadap pemilikan anjing," ujar Suroush kepada AFP.

Katanya, kira-kira 15 hingga 20 ekor anjing dijual dalam sebulan. Dia percaya jumlah tersebut lebih tinggi di beberapa kedai haiwan peliharaan.

Lebih sedekad lalu, pemeliharaan anjing sebagai haiwan peliharaan adalah jarang berlaku di Iran. Ia berdasarkan kepercayaan tradisional dan pegangan agama yang mengangap haiwan itu tergolong sebagai 'najis' atau tidak bersih.

Namun begitu terdapat beberapa jenis anjing yang masih diterima untuk keperluan keselamatan bukan peliharaan.

Antaranya anjing pengawal, anjing pengembala biri-biri dan anjing pemburu. Sejak akhir-akhir ini peningkatan permintaan terhadap haiwan itu untuk dipelihara dalam kalangan golongan kelas pertengahan dilihat cuba meniru budaya Barat.

Pemilik anjing itu akan dikenakan tindakan jika membawanya ke tempat awam atau memandu bersama dalam kenderaan.

"Pada saya, ia bukan hanya seekor binatang tetapi merupakan salah seorang ahli keluarga kami," ujar seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Nahal, 28.

Suroush berkata, semakin ramai penduduk Iran kini menganggap pemeliharaan anjing sebagai salah satu budaya.

"Anjing dianggap budaya baharu sama seperti memiliki kereta mahal," ujarnya.

Larangan di tempat awam

Pemimpin Ayatollah Naser Makarem Shirazi dalam ucapannya pada Jun 2010 melabelkan memiliki anjing sebagai satu peniruan budaya Barat yang tidak bermoral dan bakal menghancurkan nilai-nilai kemasyarakatan Iran.

Sehubungan daripada kenyataan itu, Kementeriaan Budaya dan Panduan Islam melarang media menggunakan anjing dalam sebarang iklan.

"Malah, kami tidak dibenarkan menyimpannya di dalam kedai," ujar Suroush.

Peningkatan pemeliharaan itu memaksa pihak berkuasa melakukan beberapa peraturan.

Walaupun undang-undang memelihara anjing belum lagi dikuatkuasakan, tindakan keras akan diambil pihak berkuasa jika terdapat anjing yang dibawa ke tempat awam.

"Pihak polis akan bersemuka dengan pemilik yang membawa anjing berjalan-jalan. Anjing yang terdapat dalam kereta juga akan dikenakan denda," ujar Timbalan Ketua Polis, Ahmad Reza Radan.

Aktivis Hak Asasi Haiwan bagaimanapun mempersoalkan keperluan tindakan tersebut.

"Tiada undang-undang yang melarang memiliki anjing," menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Iran bagi Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan kepada Ketua Polis, Esmail Ahmadi Moqadam.

Persatuan itu menentang tindakan yang dianggap penangkapan besar-besaran anjing', apabila hampir satu dozen anjing telah ditangkap dan disimpan di lokasi yang tidak diberitahu.

Namun, pihak polis tidak memberi sebarang respons.

Bekas Ketua Kesatuan Kebangsaan Peguam Mahkamah Iran, Bahman Keshavarz berkata, haiwan peliharaan hanya salah di sisi undang-undang jika pemilik gagal menjaga standard kebersihan.

"Merampas haiwan tanpa keputusan kehakiman adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," ujarnya.

Beberapa ekor anjing yang ditangkap telah dikembalikan selepas pemilik membayar saman dan menandatangani ikrar untuk mematuhi kod moral.


HAMPIR 98 peratus daripada 70 juta penduduk Iran beragama Islam.


Perkhidmatan di laman web

Setakat ini, amaran polis itu berkesan dalam memberi kesedaran kepada pemilik anjing peliharaan.

Perkara itu memaksa orang ramai untuk membawa anjing mereka ke tempat-tempat terpencil dan memanggil veterinar ke rumah.

Nahal berkata, dia akan membawa anjingnya keluar pada waktu malam bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

Pengharaman iklan berkaitan haiwan peliharaan pada tahun 2010 telah memaksa pencinta haiwan untuk mencari informasi melalui laman web.

"Kebanyakan pelanggan kami akan memilih anjing kegemaran mereka melalui laman web sahaja," ujar Suroush yang enggan memberitahu laman web tersebut.

"Mereka akan mencari maklumat berguna berkaitan jenis-jenis baka anjing dan cara-cara penjagaannya," ujarnya.

Hari ini, warga Iran boleh mencari secara dalam talian sekolah latihan profesional anjing, jurulatih persendirian dan juga hotel anjing.

Kebanyakan yang menyediakan perkhidmatan itu merupakan warga asing yang mempunyai sijil dan pengalaman di peringkat antarabangsa.

Dalam peningkatan pembelian secara dalam talian, wujud juga masalah apabila semakin banyak penipuan yang berlaku.

Seorang penjual anjing secara dalam talian, Breeder Amirhossein, 42, berkata banyak penjual telah menyimpan anjing-anjing tersebut di tempat kotor tanpa penjagaan rapi.

"Iklan-iklan dalam laman web menunjukkan gambar yang tidak sama dengan realiti sebenar. Pembeli akan menerima haiwan peliharaan yang teruk dan tidak sama seperti dalam gambar," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved