Selasa, 25 Jun 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Teknologi interaktif mendidik kanak-kanak

Posted:

Teknologi interaktif mendidik kanak-kanak

Teknologi interaktif mendidik kanak-kanak

Oleh SUHANA VERU

SUATU ketika dahulu, kanak-kanak hanya bermain anak patung, set masakan, set kereta dan boneka-boneka plastik. Namun kanak-kanak hari ini sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan pelbagai gajet berteknologi tinggi seperti komputer, laptop, tablet, kamera atau Play Station.

Malah, antara gajet paling popular yang kini menjadi pilihan kanak-kanak ialah tablet kerana ia mobil, ringan dan lebih interaktif.

Bahkan, jika beberapa tahun lalu, harga seunit tablet mungkin mencecah RM2,000 ke atas, namun hari ini pada harga RM800 ibu bapa sudah boleh menjadikannya sebagai medium pembelajaran si kecil.

Di luar negara, mengikut laporan Pemantau Media Ofcom, lebih separuh daripada kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun di Amerika Syarikat sudah mengetahui cara-cara mengendalikan tablet terutamanya iPad.

Ternyata situasi yang sama juga tidak asing di negara ini. Sophia Nadine Hazrul Nizam, 3, contohnya sudah berjinak-jinak dengan iPad sejak berusia setahun lebih gara-gara kepelbagaian aplikasi permainan yang ditawarkan menerusi gajet tersebut.

Lebih interaktif

Melihat ketangkasan jari-jari kecil Sophia yang membelek-belek satu persatu aplikasi permainan itu, ternyata si kecil berkenaan sememangnya mahir menggunakan iPad. Sophia rancak menggeser skrin sentuh untuk mencari aplikasi kegemarannya.

Ibu Sophia, Dina Nur Azhana Mohd Nawawi, 29, berkata, melalui gajet itu dia boleh berinteraksi dengan lebih interaktif dengan anak sulungnya itu.

Dina mengakui terdapat banyak kelebihan gajet-gajet berteknologi seperti iPad kerana pada usia setahun lebih, anak manjanya itu boleh menguasai abjad ABC dan kiraan satu hingga 10 dengan baik.

"Walaupun dia gemar melayari laman web dan bermain permainan tetapi hakikatnya, dia mampu menguasai pembelajaran dengan cepat dan mudah," tuturnya sambil memberitahu, anaknya itu meneroka teknologi berkenaan dengan sendiri.

SOPHIA sentiasa ditemani ibunya ketika menggunakan komputer riba.


Bagaimanapun Dina mengakui sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, obsesi anak-anak terhadap gajet seperti iPad adakalanya membimbangkan dirinya.

Malah, dia risau sekiranya membenarkan anaknya menggunakan iPad sejak kecil adalah satu tindakan yang kurang tepat serta mengganggu tumbesaran dan kemahiran sosialnya.

Dina memberitahu, apabila anaknya itu tidak mahu melepaskan iPad, dia terpaksa mengalihkan perhatian anaknya dengan permainan fizikal seperti set permainan untuk mengurangkan kebergantungan iPad sebagai hiburan.

Selain itu, kongsi kakitangan swasta tersebut, dia juga terpaksa memujuk Sophia secara perlahan-lahan dengan mewujudkan aktiviti-aktiviti lain seperti membaca buku, mewarna dan membawanya ke taman permainan.

Bagi mengulas perkara itu, Dekan Fakulti Sains dan Tingkah Laku di Universiti HELP, Dr. Goh Chee Leong berkata, otak si kecil sejak dilahirkan sehingga berumur 10 tahun sebenarnya telah mula mencari maklumat-maklumat baharu.

Justeru, dia berpendapat penggunaan teknologi itu pada masa kini tidak mendatangkan kesan negatif berbanding televisyen.

Menurutnya, pada kebiasaan golongan kanak-kanak akan menghabiskan masa yang lama apabila menonton televisyen, bagaimanapun proses pembelajaran di TV tidak berlaku secara dua hala.

Begitupun, senarionya berbeza dengan penggunaan telefon pintar atau iPad.

Kebiasaannya purata masa antara 15 hingga 20 minit diambil oleh kanak-kanak untuk melayari aplikasi atau permainan kegemaran mereka dan menariknya ia menjana kecerdasan otak si kecil melalui aktiviti-aktiviti interaktif.

Kanak-kanak mampu mempelajari pelbagai topik menerusi tablet misalnya mengenali huruf abjad, cara-cara menyebut nama-nama binatang dan banyak lagi.

"Pada usia ini, jika pembelajaran tidak dijalankan secara interaktif, ia sebenarnya tidak berguna," pintasnya.

Kawalan ibu bapa

Bagaimanapun, akui Chee Leong golongan ibu bapa perlu mengawal dan mengawasi penggunaan tablet dalam kalangan kanak-kanak.

"Tempoh masa menggunakan haruslah secara sederhana selain jenis permainan, aplikasi dan laman web yang dilayari tidak bersifat negatif yang boleh memberi kesan kepada minda si kecil," ujarnya.

Sehubungan itu, ibu bapa turut disarankan membawa anak-anak melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh seperti bermain di taman permainan, mengayuh basikal atau mewarna.

Ia bagi memastikan kanak-kanak tidak terlalu obses dengan tablet selain memahirkan mereka bergaul dengan orang sekeliling.

Dalam pada itu, Chee Leong turut memuji teknologi tablet menerusi skrin sentuh kerana kanak-kanak mampu mengakses maklumat yang banyak berbanding komputer. Teknologi skrin sentuh kini juga sudah banyak diaplikasikan pada laptop.

"Perkara yang menarik mengenai teknologi skrin sentuh, ia mudah digunakan berbanding menggunakan tetikus yang adakalanya menyukarkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


CHEE LEONG menunjukkan aplikasi pembelajaran yang sesuai menjadi rujukan dan bahan bacaan kanak-kanak.


Bercerita lanjut mengenai teknologi skrin sentuh, Chee Leong memberitahu, anak lelakinya yang berusia tiga tahun juga gemar menggunakan teknologi berkenaan untuk melayari aplikasi-aplikasi menarik.

"Dia berminat dengan cerita atau gambar-gambar yang berkaitan dengan air misalnya air terjun, sungai dan air pancut jadi, saya serta isteri akan membawanya ke lokasi yang mempunyai ciri-ciri dengan air.

"Namun, pada hari ini dengan menggunakan teknologi terbaharu, anak saya bukan sahaja boleh melihat malah mampu membina ciri-ciri gambar yang berkaitan dengan air," jelasnya sambil menyifatkan teknologi tersebut mampu menjadikan kanak-kanak sebagai peneroka dalam dunia internet.

Teknologi mesra kanak-kanak

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam Intel Malaysia dan Singapura, Zalinda Zainon berkata, pihaknya menawarkan teknologi baharu yang bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Kemudahan teknologi skrin sentuh seperti tablet dan laptop dilihat memudahkan kanak-kanak belajar dengan interaktif dan pantas. Menerusi satu sentuhan sahaja, kanak-kanak boleh melayari aplikasi-aplikasi yang terkandung di dalam gajet itu.

"Ia sesuai digunakan oleh kanak-kanak yang berusia dua hingga lima tahun dengan kawalan ibu bapa," katanya.

Tambah beliau, jika sebelum ini hanya golongan dewasa boleh menggunakan teknologi tetapi pihaknya kini memberi peluang yang sama kepada golongan kanak-kanak untuk turut merasai keseronokan.

Penggunaan gajet boleh membantu ibu bapa mengawal anak-anak yang aktif daripada bertindak di luar kawalan mereka.

Bagaimanapun, beliau berharap ibu bapa tidak bersikap lepas tangan dan membiarkan anak-anak mereka bermain gajet secara bersendirian.

Air bersih untuk 32 kampung di Sabah

Posted:

Air bersih untuk 32 kampung di Sabah

Air bersih untuk 32 kampung di Sabah

Oleh SITI NOR AZIZAH TALATA


KUMPULAN sukarelawan syarikat Coca-Cola dan Raleigh International yang terlibat dalam projek khas di Sabah bergambar bersama-sama.


PERCUBAAN melaksanakan projek Air Bersih Untuk Komuniti di Sabah oleh syarikat Coca-Cola Malaysia dan pertubuhan amal luar negara, Raleigh International, telah berkembang menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang signifikan.

Projek yang telah mencecah usia tujuh tahun itu memberi manfaat besar kepada 32 buah kampung di kawasan pedalaman negeri itu.

Menerusi projek berkenaan, kedua-dua pihak telah membantu membangunkan sistem paip yang berupaya membekalkan air menggunakan kuasa graviti secara terus ke kampung terbabit.

Segalanya bermula pada tahun 2006 apabila sekumpulan belia sukarelawan Raleigh melawat Kampung Paus yang terletak jauh di pedalaman daerah Ranau.

Melihat keadaan penduduk kampung yang terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mengangkut air dari sungai ke rumah, kumpulan belia yang berumur antara 17 hingga 25 tahun itu lantas terfikir untuk membangunkan sistem saluran air paip itu.

Projek itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Mereka berpendapat kekurangan atau ketiadaan bekalan air bersih dalam cuaca tropika Malaysia yang sering mengalami hujan lebat adalah sesuatu yang pelik.

Jadi sesuatu harus dilakukan untuk mengatasi masalah itu.

Kurangkan beban

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib berkata, sukarelawan terbabit turut dibantu oleh masyarakat tempatan khususnya dalam mengenal pasti sumber air bersih dari sungai berdekatan.

Kemudian, katanya, sebuah empangan dibina di kawasan punca air yang terletak di kedudukan yang lebih tinggi daripada perkampungan terbabit. Selepas itu, saluran paip dipasang di dalam empangan itu sebelum disalurkan ke kawasan kediaman.

"Dengan cara ini, air sungai boleh sampai terus ke rumah mereka. Penduduk tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan baldi atau tong untuk mengangkut air dari sungai. Pemandangan wanita dan kanak-kanak yang terpaksa menanggung beban yang berat dan berjalan jauh sepatutnya tidak lagi kelihatan," katanya.

Kadri berkata, masyarakat luar bandar yang tinggal di kawasan terpencil dan hanya dapat diakses melalui jalan berlumpur bergantung kepada sumber air terdekat seperti sungai atau mata air bagi meneruskan kehidupan.


KEGIGIHAN sukarelawan yang sanggup tinggal lama dalam persekitaran yang serba asas demi tugas wajar dipuji.


"Selama beberapa tahun ini, saya dapat melihat keazaman dan kesungguhan sukarelawan belia Raleigh yang mahu membantu mengatasi masalah penduduk di pedalaman Sabah.

"Kami mempunyai lebih 870 orang sukarelawan yang melaksanakan projek ini. Mereka sentiasa bersemangat dan tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa tinggal dalam persekitaran yang sukar selama beberapa minggu," ujarnya.

Sinar baharu

Sehingga hari ini, Kadri berkata, projek tajaan Coca-Cola bernilai RM645,000 itu telah membawa sinar baharu kepada lebih 15,000 penduduk yang kini dapat menikmati kemudahan air bersih untuk kegunaan harian.

Menurutnya, pada penghujung April lalu, projek yang sama turut diadakan di tiga buah kampung di daerah Pitas iaitu Kampung Bulud Batu, Boribi dan Pinapak.

Sama seperti kampung yang sebelum ini tidak mempunyai sumber air bersih, penduduk kampung berkenaan bergantung kepada tadahan air hujan atau perigi sebagai sumber bekalan air.

Seorang penduduk, Rodiah Aleng berkata, apabila air dari sumber tersebut kehabisan, mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mendapatkan air sungai.

"Kami amat gembira. Tidak dapat saya gambarkan perasaan apabila membuka pili dan melihat air bersih mengalir keluar dari situ," kata ibu kepada dua orang anak ini.

Rodiah berkata, sebelum ini dia akan menaiki kereta ke sumber air terdekat dari kampung itu bagi menadah air dan mengisinya ke dalam bekas plastik untuk kegunaan selama seminggu.

Namun, perkara itu tidak lagi perlu dilakukan dengan adanya projek Air Bersih Untuk Komuniti oleh Coca-Cola dan Raleigh di negeri itu.

Monitor bebas kerlipan pertama di dunia

Posted:

Monitor bebas kerlipan pertama di dunia

Monitor bebas kerlipan pertama di dunia


DUA orang model menunjukkan monitor LED BenQ yang membawa revolusi bahawa dalam teknologi monitor.


SINDROM penglihatan komputer (CVS) seperti mata kekeringan, penat dan kabur banyak dialami pengguna komputer yang menggunakannya dalam tempoh lama.

Kini, pengguna mempunyai pilihan bagi mengelakkan sindrom tersebut dengan menggunakan monitor terbaharu keluaran pengeluar barangan digital, BenQ Corporation.

Monitor diod pemancar cahaya (LED), BenQ GW2760HS VA itu mempunyai teknologi bebas kerlipan dan mod bacaan Senseye yang pasti menjanjikan satu pilihan lebih sihat. Ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Skrin komputer paparan hablur cecair (LCD) sering dianggap sebagai monitor bebas kerlipan, tetapi sebenarnya ia masih ada dan datang daripada cahaya belakang (backlight).

Teknologi yang digunakan dalam paparan monitor itu adalah pada sebuah panel di bahagian belakang yang mengandungi litar untuk kestabilan.

Ia mengurangkan kerlipan pada skrin dengan memasukkan sejenis mekanisme pada cahaya belakang LED dan bekalan kuasa.

Panel tersebut mengandungi litar yang direka khas dan sebuah cip kecil yang dapat menala sistem pada tahap terbaik.

Selain itu, pengawalan litar cahaya belakang BenQ yang unik dapat membuang kerlipan pada cahaya belakang LED pada semua tahap kecerahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved