Sabtu, 18 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rumah terbiar jadi klinik

Posted:

Rumah terbiar jadi klinik

Rumah terbiar jadi klinik

JIKA dilihat dengan mata kasar, pasti ramai yang tidak menyangka rumah terbiar boleh dijadikan sebuah klinik yang menyediakan perkhidmatan rawatan percuma kepada kanak-kanak. Klinik yang terletak di Kelana Jaya, Selangor itu dikenali sebagai Free Children Hospital (FCH).

Individu yang pertama kali menjejakkan kaki ke klinik berkenaan mungkin berasa ragu-ragu dengan kemampuan doktor dan sukarelawan di situ apatah lagi premis itu banyak kekurangannya. Namun, jangan menilai sesuatu itu berdasarkan luarannya sahaja.

Menurut Pakar Bedah Tulang Belakang Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Tropicana, Damansara, Petaling Jaya, Dr. Mohammad Nawar Ariffin, 37, idea untuk menubuhkan klinik itu tercetus selepas dia melihat bermacam-macam peristiwa yang menimpa kanak-kanak.

"Hampir tiga tahun saya memperjuangkan penubuhan klinik percuma ini tetapi idea saya tidak diterima malah saya dihentam habis-habisan kerana mahu memberikan perkhidmatan percuma.

"Walaupun begitu, saya tetap meneruskan hasrat ini dengan dibantu oleh sekumpulan besar sukarelawan. Rawatan percuma ini diberikan kepada kanak-kanak memandangkan sifat universal golongan itu.

"Apabila bercakap mengenai kanak-kanak, pasti sesiapa pun sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama dan latar belakang mereka.

"Klinik percuma untuk kanak-kanak ini adalah satu langkah untuk menyelamatkan nyawa mereka dengan memberikan rawatan awal terhadap apa juga masalah kesihatan. Objektif program ini adalah bagi melahirkan golongan sukarelawan yang ikhlas membantu kanak-kanak yang tidak sihat," ujar bekas Ikon Belia bagi Kategori Sosial dan Politik 2011/2012 ini.

Tambahnya, klinik itu merupakan langkah pertamanya untuk menubuhkan sebuah hospital kanak-kanak percuma dalam masa terdekat.

"Klinik ini sudah empat bulan beroperasi membabitkan individu atau organisasi sukarela termasuk dalam membekalkan ubat-ubatan.

"Makanan yang disalurkan kepada klinik ini pada setiap minggu juga disumbangkan oleh penduduk di kawasan ini.

"Alhamdulillah setakat ini, kami menerima maklum balas yang baik selain boleh menghimpunkan semua orang walaupun berbeza dari segi pekerjaan dan umur," jelasnya yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam bidang perubatan.


NOORIJA sudah tiga kali membawa dua orang anaknya untuk mendapatkan rawatan di klinik percuma ini.


Sukarelawan

Bercerita lanjut, Mohammad Nawar memberitahu, peristiwa melihat kanak-kanak yang sakit di sekelilingnya benar-benar memberi kesedaran kepadanya untuk menubuhkan klinik percuma itu.

"Saya pernah didatangi oleh seorang bapa yang membawa anaknya ke hospital dalam keadaan terkulai tidak bermaya kerana kanak-kanak itu terjatuh ke dalam longkang. Budak itu gagal diselamatkan. Ketika itu, saya terfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk golongan itu.

"Selain itu, saya sering memerhati nasib kanak-kanak warga asing di Malaysia yang sukar mendapatkan rawatan disebabkan kekangan dan bayaran ubat-ubatan yang mahal.

"Pengalaman saya di serata dunia juga sebenarnya membuka mata saya untuk memberi sesuatu yang boleh menggembirakan mereka," ujarnya.

Jelasnya, klinik itu ditempatkan di markas penduduk SS5D Kelana Jaya bagi membolehkan penduduk setempat memberi khidmat secara sukarela.

"Dengan kewujudan klinik ini juga secara tidak langsung menjadi daya penarik kepada penduduk di kawasan lain untuk sama-sama menyumbang bagi memastikan usaha murni ini berterusan.

"Jika diikutkan, ramai yang mahu menyumbangkan bangunan klinik yang lebih baik tetapi klinik ini bukan semata-mata mengenai perubatan, ia juga bertujuan memupuk semangat sukarelawan.

"Alhamdulillah sepanjang klinik ini beroperasi, kami mendapat maklum balas yang positif daripada semua sukarelawan. Ada yang mulanya datang sebagai pesakit tetapi akhirnya menjadi sukarelawan di sini.

"Ada juga yang menyumbangkan tenaga dengan membaik pulih kawasan klinik," tambahnya sambil memberitahu, klinik itu tetap dibuka walaupun tiada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

Ujarnya, selain memberi rawatan awal terhadap kanak-kanak yang mengalami demam, selesema dan batuk, dia juga memberikan khidmat nasihat dan rujukan bagi kes-kes tertentu.

"Persepsi masyarakat terhadap konsep sukarelawan harus diubah. Sebenarnya sukar untuk meyakinkan sesetengah individu yang berpendapat konsep ini sudah tidak relevan sekarang kerana bagi mereka tiada yang percuma di dunia ini.

"Untuk itu, usaha mengendalikan klinik percuma ini bukan mudah. Ia memerlukan masa sebelum dapat melihat hasilnya.

"Jika tiada kesabaran, pasti semua ini tidak akan menjadi," ceritanya.

Masa menunggu

Sementara itu, sukarelawan yang juga bekas jururawat, S. Saroja, 52, berkata, klinik itu secara tidak langsung menyenangkan penduduk untuk menaburkan khidmat bakti.

"Saya sememangnya meminati bidang kejururawatan dan klinik ini membolehkan saya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak.

"Usaha ini amat bagus. Ia mesti diteruskan," beritahu Saroja.


FCH mempunyai kira-kira 300 tenaga sukarela.


Bagi seorang suri rumah, Zalibah Ali, 56, dia seronok membantu kanak-kanak sekali gus bercampur gaul bersama sukarelawan yang lain.

"Untuk membantu dari segi kewangan, saya tidak mampu. Saya rasa inilah cara terbaik untuk memberi sumbangan.

"Saya gemar berpersatuan apatah lagi lokasi klinik ini terletak berdekatan dengan rumah saya. Lagipun ia cuma dibuka seminggu sekali," ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Sukarelawan, Husin Surdi, 82, pula memberitahu, walaupun tiada pengalaman dalam bidang kesihatan, dia tetap mahu menawarkan khidmat baktinya kerana sekurang-kurangnya dia mempunyai aktiviti untuk dilakukan daripada hanya duduk di rumah.

"Saya pernah menjadi sukarelawan polis selama 20 tahun. Faktor umur tidak menjadi penghalang untuk saya terlibat sama kerana setiap sukarelawan ada peranan masing-masing.

"Walaupun bukan bidang saya, saya berasa perlu untuk mengambil tahu keadaan sekeliling dan membantu apa yang mampu," cerita bapa kepada lima orang anak ini.

Pengunjung, Noorija Sahman, 27, berpendapat tiada beza mendapatkan rawatan di mana-mana klinik sama ada klinik swasta atau kerajaan kerana apa yang penting adalah anaknya sembuh daripada penyakit yang dialami.

"Sudah tiga kali saya datang mendapatkan rawatan untuk anak saya, Mohd. Iskandar Zulkarnain Mohd. Raiza, 3, dan Puteri Nurzara Mohd. Raiza, lima bulan, yang kerap demam dan batuk.

"Pada mulanya saya ternampak kain rentang tentang kewujudan klinik ini yang berada berhampiran rumah ibu bapa saya. Saya mencubanya malah turut menyarankannya kepada adik saya.

"Ubat-ubatan yang diberikan juga sama seperti yang ada di klinik-klinik lain selain masa menunggu yang lebih singkat.

"Saya yakin dengan kemampuan klinik ini serta ubat-ubatan yang digunakan kerana anak saya bertambah sihat dalam masa kurang seminggu," ujarnya yang menetap di Subang Perdana.

Reshma gadis ajaib

Posted:

Reshma gadis ajaib

Reshma gadis ajaib

RESHMA cuma makan empat peket biskut selama lebih dua minggu.


SEORANG gadis yang diselamatkan selepas 17 hari terperangkap di bawah runtuhan sebuah kilang pakaian di Bangladesh pada 24 April lalu memberitahu, dia hidup dengan makan biskut dan minum beberapa botol air.

Reshma Begum mengejutkan dunia kerana dia tidak mengalami kecederaan serius dalam tragedi runtuhan yang paling buruk dalam sejarah industri negara Asia Selatan itu.

Reshma, 19, berkata pada hari kejadian dia tergesa-gesa ke tempat kerja sehingga tidak sempat bersarapan di rumah.

Jadi, dia membeli empat peket kecil biskut semasa menuju ke tempat kerja. Biskut itulah yang kemudian menjadi penyambung nyawanya semasa dia terperangkap dalam runtuhan itu.

Operasi menyelamatkan Reshma yang disiarkan secara langsung oleh televisyen kebangsaan Bangladesh telah menyebabkan segala aktiviti di ibu negara Dhaka terhenti apabila semua orang berkerumun di depan televisyen.

Reshma sempat memberitahu petugas hospital dan pasukan penyelamat bahawa dia terselamat dengan makan biskut dan minum air mineral selama 15 hari dia terperosok di dalam sebuah ruang sempit yang terbentuk daripada runtuhan konkrit Plaza Rana di bandar Savar di Dhaka.

Reshma dipercayai memperoleh minuman itu daripada botol-botol air yang dicampakkan pasukan penyelamat melalui celah-celah runtuhan bagi memberi bantuan kepada mangsa yang mungkin masih hidup.

Rambut

Reshma yang tinggal bersendirian di bilik sewanya di Savar berkata, semasa bangunan lapan tingkat itu runtuh pada pukul 9 pagi dia sedang berada di tingkat tiga.

Dia cuba berlari turun ke tingkat dua tetapi terperangkap di sebuah ruang tertutup. Ruang itu cukup untuk membolehkannya bergerak dan bernafas. Namun, rambutnya tersepit di antara celahan batu dan dia terpaksa menarik rambutnya sehingga putus bagi melepaskan diri.

"Tiada siapa mendengar suara saya. Ia sangat menakutkan. Saya tidak pernah bermimpi akan dapat melihat matahari lagi," katanya yang masih terkejut dengan tragedi itu.


PLAZA RANA runtuh pada 24 April lalu kerana terlebih bebanan.


Tidur Reshma sering terganggu dan kadangkala dia memegang erat tangan jururawat seolah-olah bangunan Hospital Tentera tempat dia dirawat sedang runtuh.

Ibunya, Zobeida Begum, 60-an yang tinggal di daerah Dinajpur, 170 kilometer ke utara Dhaka berkata: "Saya tidak percaya dia masih hidup apabila saya melihatnya di katil hospital.

Tambah kakaknya, Asma: "Kami mendapatnya semula selepas semua harapan untuk menemui dia masih hidup seakan-akan tiada langsung."

Stesen Somoy TV sempat merakamkan situasi Begum di hospital ketika doktor dan jururawat memasukkan air ke dalam tubuh gadis itu.

Reshma berkata: "Saya dapat mendengar suara anggota penyelamat beberapa hari lalu. Saya terus memukul dinding batu dengan kayu dan batang besi bagi menarik perhatian mereka.

"Ada sedikit makanan kering bersama saya dan itulah yang saya makan selama 15 hari. Dua hari berikutnya saya sudah tiada apa-apa untuk dimakan kecuali minum air. Saya ada beberapa botol air yang diminum sedikit-sedikit."

Selepas menyedari ada mangsa yang masih hidup, anggota pasukan menyelamat yang sebenarnya ditugaskan untuk mengumpulkan mayat menghentikan kerja serta-merta.

Mereka menggunakan gergaji, alat pengimpal dan mesin gerudi untuk memecah tembok dan memotong besi sehingga sampai ke tempat Reshma terperangkap.

Reshma berjaya dibawa keluar selepas 40 minit dengan pasukan penyelamat mendapat tepukan kegembiraan daripada orang ramai yang membanjiri tapak runtuhan.

Para petugas mula membersihkan kawasan runtuhan sejak hari pertama kejadian 24 April lalu. Lebih 2,500 orang berjaya diselamatkan dalam tempoh empat hari selepas plaza itu runtuh.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang masih hidup ditemui selepas 28 April. Satu-satunya mangsa yang hidup pada hari berkenaan ialah seorang wanita, Shahin Akter. Malangnya dia mati selepas percikan api daripada peralatan pasukan penyelamat mencetuskan kebakaran yang menyebabkan Shahin lemas akibat terhidu asap.

Eksport

Persatuan Pengeksport dan Pengilang Pakaian Bangladesh memberitahu, terdapat 3,122 pekerja bekerja di empat buah kilang di dalam bangunan berkenaan. Sebahagian besar pakaian itu dieksport ke Eropah. Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia.

Setakat ini, angkat kematian dalam tragedi itu sudah melepasi 1,100 orang. Sebelum malapetaka itu berlaku, beberapa pekerja telah memaklumkan kepada pihak pengurusan bahawa ada retakan di tiang dan lantai bangunan tetapi tidak diendahkan. Sebaliknya mereka diarahkan supaya terus bekerja.

Pekerja itu juga mendakwa pintu kecemasan bangunan kilang berkenaan ditutup oleh pengurus kilang.

Insiden itu terjadi disebabkan sistem keselamatan dan keadaan tempat kerja kurang sempurna yang melanda industri tekstil Bangladesh.

Sebelum ini, pada November tahun lalu, 111 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang membuat pakaian untuk jenama Walmart dan beberapa label Barat di Dhaka.


PASUKAN penyelamat mengambil masa selama 40 minit untuk mengeluarkan Reshma dari bawah runtuhan.


Seorang aktivis kemanusiaan, Brad Adams mengatakan tragedi Plaza Rana mendedahkan senarai panjang kematian pekerja kilang di Bangladesh.

"Kerajaan, pemilik kilang tempatan dan syarikat pengeluar pakaian menggaji pekerja dengan bayaran antara yang terendah di dunia," jelas Adams.

Pekerja kilang tekstil itu hanya dibayar kurang RM100 sebulan untuk tempoh masa kerja selama 15 jam sehari.

Terdapat sekitar empat juta pekerja industri itu di Bangladesh. Industri tekstil menyumbang 80 peratus daripada pendapatan negara itu.

Suhu kemarahan rakyat negara itu agak dingin selepas penahanan pemilik bangunan itu, Sohel Rana yang cuba melarikan diri ke India. Segala asetnya turut disita sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Selain itu, terdapat dakwaan bangunan itu sepatutnya didirikan setinggi enam tingkat sahaja tetapi telah ditambah dua tingkat lagi menyebabkan strukturnya tidak dapat menampung beban keseluruhan bangunan. - Agensi

Sesalan kaki kelab malam

Posted:

Sesalan kaki kelab malam

Sesalan kaki kelab malam


HAZRI mengambil kesempatan terhadap wanita yang mabuk di kelab malam untuk memuaskan nafsu seksnya. – Gambar hiasan


KELAB malam, pub dan disko bagaikan syurga persinggahan Hazri tidak lama dahulu. Suasana hingar-bingar dan pengunjung terkinja-kinja mendengar alunan muzik keras yang membingitkan telinga menjadi makanan harian lelaki yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini.

Hazri, 30, merupakan kenalan lama penulis sejak di alam persekolahan. Dia ditemui di sebuah restoran di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambil meneguk minuman limau ais yang dipesan, Hazri rancak bercerita mengenang kisah silamnya.

Menurut Hazri, walaupun kampung halaman mereka di Perak, keluarganya menetap di Kuala Lumpur. Bapanya bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

"Kami tinggal di Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar di ibu negara. Saiz rumah itu kecil sahaja, cuma ada dua bilik. Ia tidak padan dengan bilangan ahli keluarga saya yang ramai," katanya.

Hazri mendakwa kehidupan keluarganya sekadar cukup makan sementara dia dan tujuh adik-beradiknya yang lain kurang diberikan perhatian.

Perempuan

Hazri menyalahkan situasi itu sebagai punca dia terjebak dengan gejala sosial. Di sekolah, Hazri berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan menghisap rokok.

"Pada masa itu, saya fikir belajar pun tidak berguna kerana tidak mampu mengubah taraf hidup keluarga. Yuran dan barangan keperluan sekolah pula sering 'sangkut' kerana ayah tidak cukup wang.

"Saya hanya memakai kasut sekolah yang koyak-rabak sehingga saya diejek oleh rakan-rakan," ujarnya.

Hazri berhenti sekolah semasa di tingkatan tiga tanpa sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

"Pada masa itu saya fikir sekolah pun tak guna. Lebih baik saya ambil upah mencuci pinggan di restoran. Setelah lama bekerja di restoran berkenaan, saya dinaikkan pangkat menjadi tukang masak. Gaji tukang masak memang lebih lumayan," ceritanya.

Sekali lagi, pengaruh rakan-rakan, dakwa Hazri, mendorongnya berjinak-jinak mencari keseronokan di kelab malam di sekitar bandar raya.

"Semasa mula-mula mengunjungi kelab malam saya berasa takut juga tetapi lama-kelamaan sudah jadi kebiasaan.

"Saya tidak ambil dadah atau pil khayal tetapi wajib melayan perempuan dan minum arak," tuturnya.

Cerita Hazri, wanita yang mabuk sambil menari di meja bar dalam keadaan mengghairahkan merupakan pemandangan biasa di kelab-kelab hiburan.

Tetapi Hazri dan rakan-rakannya datang ke kelab malam bukan untuk minum dan menari semata-mata. Sebaliknya mereka akan menghabiskan masa selama berjam-jam bermesra dengan pelanggan wanita di situ.

"Sebaik sahaja wanita-wanita tadi mabuk dan tidak sedarkan diri, langkah seterusnya ialah membawa mereka ke hotel murah untuk melakukan hubungan seks.

"Bukan seorang malah kadang-kadang sehingga lima wanita sekali gus.

"Soal malu tidak pernah terlintas dalam fikiran, lagipun benda percuma dan nikmat, siapa yang tak mahu kan?" kata Hazri.

Selepas puas melakukan perbuatan terkutuk itu, Hazri akan menghantar semula gadis-gadis itu ke kelab berkenaan.

"Kebanyakan mereka tidak menyesal melakukan dosa besar itu. Malah ada yang rela menjadi teman wanita rakan-rakan saya," katanya.


HAZRI mendakwa kesempitan hidup keluarganya mendorong dia bergelumang dengan gejala sosial. – Gambar hiasan


Lelaki perosak

Hazri berkata, dia tidak khuatir wanita yang ditidurinya itu mengandung anak luar nikah.

"Saya mengambil langkah keselamatan dahulu dengan memakai kondom sebelum melakukan hubungan seks," beritahu lelaki berbadan gempal dan berkulit hitam manis ini.

Nafsu liar itu telah benar-benar menjerat Hazri dan menghantarnya ke jurang kebinasaan. Lantaran terlalu mengikut kata hati, Hazri sering ponteng atau datang lewat ke tempat kerja.

Dia sudah beberapa kali dipecat oleh majikan dan terpaksa bertukar-tukar kerja.

Namun, peristiwa yang berlaku kepada dua adik perempuannya menyebabkan Hazri tersentak.

Kedua-dua adik perempuannya itu yang berusia 15 dan 17 tahun ditangkap khalwat di dua hotel murah dengan lelaki yang tidak dikenali oleh pihak jabatan agama Islam. Mereka tidak lagi bersekolah dan bekerja di pasar raya di sekitar Setapak.

"Keluarga saya malu besar apabila berita itu tersebar. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Keesokan harinya mereka terus dinikahkan.

"Malangnya kedua-dua suami mereka ialah penagih dadah dan selalu bertukar-tukar kerja menyebabkan perkahwinan mereka tidak kekal lama," katanya.

Tidak lama selepas itu, Hazri dipukul oleh sekumpulan lelaki kerana melakukan hubungan seks dengan adik seorang ketua kumpulan gengster.

"Kejadian itu berlaku pada satu malam sebaik sahaja saya pulang dari tempat kerja. Secara tiba-tiba lima lelaki datang menghampiri saya di perhentian bas dan terus membelasah saya.

"Kedua-dua kaki saya patah. Mujurlah saya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian," ujarnya.

Dua kejadian yang berlaku hampir serentak itu mencetuskan titik perubahan kepada Hazri.

"Saya mula terfikir sampai bila saya harus bergelumang dengan dosa. Entah bagaimana suatu hari saya berasa sangat tersentuh mendengar suara azan yang berkumandang di surau berhampiran rumah walaupun itu bukanlah kali pertama saya mendengarnya.

"Buat pertama kali juga pada hari itu, saya menunaikan solat yang telah lama ditinggalkan," kenang Hazri akan peristiwa yang terjadi pada lapan tahun lalu.

Selepas itu, kehidupan Hazri berubah 360 darjah. Dia bukan lagi kaki kelab malam malah semakin fokus terhadap kerjanya.

Beberapa bulan kemudian, dia bertemu jodoh dengan pelayan restoran tempat dia bekerja.

Kini, Hazri boleh menarik nafas lega kerana telah dapat mengusahakan gerai makanan berhampiran rumahnya.

"Syukur kehidupan saya menjadi lebih tenang. Cuma saya merasakan diri masih kotor dengan dosa-dosa silam.

"Adakah Allah menerima taubat saya? Berapa ramai gadis yang saya telah rosakkan dan bagaimana kehidupan mereka sekarang?" ujar Hazri.

Ada kekesalan yang nyata di hujung getar suaranya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved