Rabu, 8 Mei 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tarikan Kampung Cherating Lama

Posted:

Tarikan Kampung Cherating Lama

Tarikan Kampung Cherating Lama

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

MELARIKAN diri daripada kesibukan kota untuk menikmati percutian hujung minggu sambil melayan bayu pantai dan deruan ombak di Kampung Cherating Lama, Kuantan, Pahang, pastinya membantu menenangkan kelesuan minda dan tubuh.

Apatah lagi, keadaan pantai di kampung itu yang masih terpelihara dan bebas daripada pencemaran. Air lautnya yang membiru, dikelilingi pula dengan kewujudan serangga dan haiwan liar menambah rencah percutian.

Aktiviti riadah seperti menyusuri hutan paya bakau, berkayak di Sungai Cherating serta aktiviti snorkeling di Pulau Ular pasti meningkatkan tahap adrenalin anda.

Kedudukan Kampung Cherating Lama iaitu kira-kira 50 kilometer (km) utara bandar Kuantan atau sejauh 16 km dari bandar Chukai, Kemaman di Terengganu membuatkan lokasi tersebut sentiasa menjadi pilihan pelancong asing yang kebanyakannya dari Belanda, Denmark, New Zealand, Perancis dan Australia.

Di Cherating, pengunjung bebas untuk memilih sama ada menginap di inap desa, calet, resort atau hotel bertaraf tiga bintang yang kedudukan lokasinya berdekatan antara satu sama lain.

Menurut pemandu pelancong, Mohd. Hafiz Abdul Majid, 43, rata-rata pelancong asing menyukai Cherating kerana alam semula jadinya yang masih terpelihara, sunyi dan penduduk yang mesra. Dia yang memiliki pengalaman selama lapan tahun mengendalikan aktiviti menyusuri sungai mampu mengesan lokasi haiwan liar dari jarak yang jauh.

"Jika cuaca tidak terlalu panas, pengunjung berpeluang melihat lebih banyak haiwan liar yang keluar mencari makanan kerana haiwan tidak suka pada cuaca panas terik," katanya yang memberitahu antara haiwan yang boleh dilihat ialah kera, lotong, ular sawa, biawak, burung raja udang dan memerang.


PELANCONG dari Belanda, Roni Kroonenburg (kanan) mengunjungi Kampung Cherating Lama tiga tahun berturut-turut kerana gemarkan suasana kampung yang damai.


Hidupan liar

Seorang pelancong dari Perancis, Condahines Cahola, 29, yang bercuti bersama tiga rakannya selama 15 hari di Malaysia turut terpesona dengan keindahan pantai Cherating. Mereka bertiga juga mengambil kesempatan melakukan aktiviti menyelusuri Sungai Cherating untuk melihat kehidupan liar dengan lebih dekat.

"Aktiviti ini sungguh menyeronokkan kerana kami berpeluang melihat burung-burung dan haiwan seperti monyet, ular dan biawak dengan lebih dekat. Kadangkala keletah dan ragam hidupan ini amat mencuit hati," katanya yang menginap di Payung Guesthouse iaitu calet yang berkonsepkan ala perkampungan Melayu.

Kelip-kelip

Tidak lengkap kunjungan ke Kampung Cherating Lama sekiranya tidak melihat kelip-kelip pada sebelah malam.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan kebolehan Mohd. Hafiz berinteraksi dengan kelip-kelip supaya terbang ke arah cahaya malap yang dibuatnya.

Pengalaman itu umpama magis tatkala melihat cahaya kelip-kelip menghampiri dan hinggap di badan pengunjung tidak ubah seperti cahaya bintang melatari permukaan langit.

Bagaimanapun, semua pengunjung ditegah untuk menghidupkan sebarang sumber cahaya seperti lampu suluh, flash kamera, telefon bimbit dan alat perakam video kerana cahaya itu terlalu terang hingga boleh menjejaskan proses persenyawaan serangga berkenaan.

Penyu bertelur

Bagi mereka yang ingin menyaksikan penyu bertelur, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu yang jaraknya hanya 10 km dari Kampung Cherating Lama.

Bagaimanapun, ia hanya boleh dilakukan antara bulan April hingga September setiap tahun ketika musim hidupan laut itu bertelur.

Dalam pada itu, pemandu pelancong, Ariffin Hassan, 54, memberitahu sejak tahun 2005 sebanyak 835 ekor penyu agar direkodkan mendarat di pantai tersebut dan sebanyak 75,000 ekor anak penyu berjaya dilepaskan kembali ke laut.

Purata masa yang diambil bagi seekor penyu betina untuk bertelur ialah sekitar tiga jam. Prosesnya bermula ketika ia mencari lokasi yang sesuai untuk bertelur hingga kembali semula ke laut.


PENGUNJUNG yang gemarkan percutian ala kampung jangan lepaskan peluang menginap di Chalet Tanjung Inn yang menawarkan harga bilik berpatutan.


Snorkeling

Bagi melengkapkan lawatan ke Kampung Cherating Lama, pengunjung perlu mencuba aktiviti snorkeling di Pulau Ular untuk melihat keindahan dasar lautnya.

Hidupan laut seperti obor-obor, landak laut, ikan dan keindahan terumbu karang pasti mengujakan. Aspek keselamatan dititikberatkan apabila pengunjung dibekalkan jaket keselamatan dan gogal.

Seorang pemandu bot, Mohd. Shukri Ghazali, 27 memberitahu, air laut kelihatan lebih jernih ketika air pasang dan pengunjung turut diberi peluang memberi makan pada ikan untuk menarik haiwan itu datang lebih dekat.

Pada masa sama, pengunjung dinasihatkan agar memakai pakaian yang menutup anggota badan kerana dikhuatiri terkena sengat obor-obor.

"Saya pernah terkena sengatan obor-obor di bahu sewaktu melakukan aktiviti snorkeling bersama pengunjung. Kemudian, saya segera menyiram cuka di bahagian yang disengat bagi mengurangkan rasa sakit.

"Mujurlah sengatan obor-obor yang diibaratkan seperti dicucuk jarum hilang kira-kira setengah jam kemudian. Ekoran daripada sengatan itu saya terpaksa berehat di rumah selama sehari kerana mengalami masalah sesak dada memandangkan sengatan di bahu itu hampir dengan paru-paru," katanya yang turut merawat pengunjung yang terkena sengatan obor-obot menggunakan kaedah rawatan tersebut.

Berastagi bak Cameron Highlands

Posted:

Berastagi bak Cameron Highlands

Berastagi bak Cameron Highlands


MENGHIRUP udara segar dan menyamankan ketika melawat air terjun tertinggi di Indonesia iaitu Sipisopiso yang terletak di Tanah Karo.


FEBRUARI lalu, saya bersama dua rakan, Nor Izzati Jamaludin, 27, dan Kamariah Ismail, 28, bercuti ke negara jiran, Medan, Indonesia.

Kami memutuskan percutian kali itu dilakukan ala backpacker kerana mahu menikmati percutian yang mencabar dan menjimatkan.

Sepanjang percutian selama empat hari tiga malam itu saya hanya membelanjakan RM800. Ia meliputi penginapan, pengangkutan, makan dan minum serta cenderamata. Pada saya ia cukup menjimatkan.

Menyingkap kembali, kali pertama menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia, Medan ketibaan kami disambut oleh beberapa orang pemandu teksi yang cuba menawarkan khidmat pengangkutan dengan kadar sewa menarik.

Apa yang mengagumkan saya, bukan sahaja pemandu teksi malah para peniaga juga akan mencuba memenangi hati pelanggan ketika menawarkan perkhidmatan atau barang-barang jualan.

Bunyi hon

Jika di Malaysia, hon kenderaan dibunyikan ketika keadaan trafik yang sesak atau sebagai isyarat menegur pemandu kenderaan lain. Bagaimanapun kebanyakan pemandu di negara Garuda itu membunyikan hon untuk menyapa pemandu kenderaan lain.

Bunyi hon tersebut mempunyai maksud tersirat. Jika dibunyikan sekali bermaksud meminta pemandu dari arah bertentang memandu ke tepi jalan sekali gus memudahkan perjalanan pemandu yang membunyikan hon terutama di jalan-jalan sempit.

Sekiranya hon dibunyikan berkali-kali, ia bermaksud pemandu tersebut meminta izin untuk memotong kenderaan di hadapan.

Kemudian pemandu di hadapan akan menyalakan lampu kiri bermaksud membenarkan kenderaan di belakang memotong atau lampu kanan bermaksud tidak selamat untuk memotong.


UNIKNYA, masyarakat di Medan menggelarkan motosikal sebagai kereta manakala kereta dipanggil mobil.


Dari Medan, kami menempuh perjalanan selama empat jam menuju ke Parapat sebelum menaiki bot selama sejam ke Pulau Samosir yang terletak di Danau Toba. Ia merupakan sebuah tasik gunung berapi terbesar di dunia.

Di Tuk Tuk, Pulau Samosir kami menginap di hotel tiga bintang iaitu Tabo Cottages.

Di Tabo Cottages, mata kami bertiga terpegun menyaksikan keindahan landskap alam yang dihiasi kehijauan tumbuhan tropika, air tasik berwarna hijau kebiruan, berlatar belakang lingkaran gunung berapi dan langit membiru.

Kami sedikit kecewa kerana tidak dapat meneroka kesemua keindahan itu ekoran kesuntukan masa kerana kami tiba pada lewat petang di pulau tersebut dan terpaksa pulang awal pagi keesokan hari untuk menuju ke lokasi seterusnya.

Saya hanya sempat berjalan di sekitar kawasan penginapan kerana kebanyakan lokasi tarikan pelancong ditutup pada waktu malam.

Mujurlah ada beberapa buah kedai cenderamata masih dibuka dan saya dapati kebanyakan cenderamata yang dijual berbentuk cicak.

Penduduk tempatan yang ditemui memberitahu cicak merupakan lambang bagi kehidupan suku Batak yang menjadi penduduk majoriti di wilayah Parapat. Suku Batak mengagumi keupayaan cicak yang boleh melekat pada semua permukaan tanpa jatuh.

Ketika mencari makanan halal, kami bertemu dua orang rakyat Malaysia yang turut bercuti di pulau tersebut. Salah seorang daripada mereka, Nur Zafirah Salleh, 25, belajar di universiti yang sama dengan Nur Izzati iaitu Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Air terjun tertinggi

Bibit-bibit persahabatan terjalin antara kami malah keesokan harinya kami bergerak bersama ke lokasi seterusnya iaitu bandar Berastagi di kawasan tanah tinggi Karo. Perjalanan sejauh 140 kilometer (km) dari Parapat menaiki van memakan masa selama tiga jam.

Dalam perjalanan tersebut, kami singgah di kawasan air terjun tertinggi di Indonesia, Sipisopiso yang setinggi 120 meter. Saya kehilangan kata-kata melihat keindahan air terjun tersebut.

Bagi melihat dasar air terjun, kami menuruni kira-kira 1,000 anak tangga. Kedinginan air terjun dan udara yang nyaman membuatkan kami rasa berbaloi menuruni anak tangga tersebut namun apabila mendaki semula barulah terasa penatnya.

Di Berastagi, saya dapati banyak kuda berkeliaran di jalan-jalan utama. Ia digunakan untuk membawa pelancong bersiar-siar di sekitar bandar tersebut.


PENULIS dan rakan, Nor Izzati (kiri) tidak melepaskan peluang ke Merdeka Walk untuk melihat kemeriahan malam di bandar Medan.


Keadaan di Berastagi tidak banyak bezanya dengan Cameron Highlands di Malaysia kerana suhunya yang dingin dan tanaman sayuran mudah ditemui.

Bagi pelancong yang mahu mendapatkan cenderamata, jangan lupa singgah di Pasar Buah Berastagi kerana terdapat pelbagai pilihan cenderamata seperti perhiasan rumah, pakaian, beg tangan dan magnet peti sejuk.

Hidangan lazat

Keesokannya, kami meninggalkan Berastagi dan menuju ke bandar Medan yang terletak sejauh 65 km. Di Medan, kami menginap di Hotel Ibunda disebabkan lokasinya berdekatan pusat bandar, selesa dan harga yang berpatutan iaitu Rp360,000 (RM115).

Kami tiba di Medan kira-kira pukul 1.30 tengah hari, selepas membersihkan diri dan menunaikan solat, kami membuat keputusan untuk ke Pasar Ikan atau Pajak Ikan yang menjual aneka kain tak ubah seperti di Masjid India, Kuala Lumpur. Harga kain yang dijual juga sangat berpatutan.

Semasa di sana, saya tidak melepaskan peluang mencuba hidangan lazat yang menjadi pilihan masyarakat tempatan dan pelancong iaitu sate Minang.

Keunikan sate tersebut adalah pada kuahnya yang berempah dan pedas yang dihidangkan bersama nasi himpit. Ia berbeza dengan sate di Malaysia.

Sate Padang biasanya dihidangkan dengan pilihan daging lembu dan ayam. Kuah satenya likat berwarna kuning yang diperbuat daripada air rebusan daging bersama 19 jenis rempah. Antaranya daun kari, bawang merah, serai dan cili.

Pada sebelah petang pula, kami berkunjung ke pusat beli-belah Sun Plaza (Sogo) dengan menaiki becak yang menyerupai sebuah beca tetapi menggunakan motosikal.

Suasana malam di Medan pula meriah terutama di Merdeka Walk kerana terdapat deretan kedai cenderamata dan restoran di sepanjang jalan.

Sate Padang biasa dihidangkan dengan pilihan daging lembu dan ayam. Kuah satenya likat berwarna kuning diperbuat daripada air rebusan daging yang dicampur dengan jenis rempah dan diadun bersama.

Percutian nan lengkap

Posted:

Percutian nan lengkap

Percutian nan lengkap

Oleh NASRI JAMALUDIN


BANGUNAN The Zon Johor Bahru yang tersergam indah di Stulang Laut, Johor Bahru.


SEJAK mendapat status bandar raya pada 1 Januari 1994, Johor Bahru, Johor yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia terus mengalami pembangunan pesat.

Hari ini, bandar raya tersebut semakin menjadi tumpuan sama ada sebagai transit orang ramai sebelum ke Singapura atau menikmati keseronokan taman tema Legoland di Nusajaya.

Jika berkunjung ke bandar raya ini, apa kata anda menginap di Hotel The Zon Regency yang terletak di Stulang Laut.

Pemandangan indah

Lokasinya terletak di kawasan dermaga di Selat Johor mewujudkan momen-momen indah ketika berada di hotel tersebut. Lebih menarik, pemandangan waktu malam penuh warni-warni tatkala air laut memantulkan cahaya lampu dari negara jiran, Singapura.

Pengunjung boleh menyaksikan kesibukan para nelayan mencari rezeki di Selat Johor atau melihat burung-burung bangau mencari makan di kawasan paya bakau.

Tidak ketinggalan, pemandangan kaki-kaki pancing yang asyik dengan aktiviti tersebut, orang ramai melepak di tepi laut dan kesibukan kenderaan di Tambak Johor. Kesemua itu boleh disaksikan dari kawasan hotel.

Zon bebas cukai

Bagi yang menggemari aktiviti beli-belah, Zon Bebas Cukai The Zon menawarkan beberapa premis bebas cukai. Para pengunjung boleh membeli pelbagai jenis coklat import, pakaian atau barangan hiasan dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaran biasa.

Tidak cukup dengan itu, bagi penggemar aktiviti hiburan, terdapat beberapa buah pusat hiburan yang aktif pada waktu malam.

Kemudahan hotel

Hanya lima minit ke pusat bandar Johor Bahru, hotel yang dikategorikan sebagai kelas bisnes itu menawarkan 318 bilik Deluxe, Club Deluxe (49) dan masing-masing 15 bilik bagi Club Suite serta Corner Suite. Bilik-bilik berharga antara RM440 hingga RM1,100 semalam.

Sebaik melangkah masuk ke bilik, pengunjung dapat merasai suasananya yang eksklusif dengan pemandangan indah Selat Johor atau bandar raya Johor Bahru.


PEMANDANGAN indah yang boleh disaksikan dari bilik hotel.


Bilik dilengkapi televisyen, internet, bilik mesyuarat, dewan besar, kolam renang, spa dan gimnasium.

Bagi yang mengimpikan untuk menonton persembahan nyanyian secara langsung, anda pasti teruja menyaksikan persembahan sekumpulan penyanyi di Palm Bistro & Lounge di tingkat lima hotel tersebut. Persembahan itu dibuat setiap hari kecuali Isnin bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

Menjamu selera

Sesuatu percutian itu, umpama tidak lengkap jika tidak mencuba makanan istimewa di tempat berkenaan. Hotel The Zon Regency menawarkan beberapa pilihan restoran seperti Kafe Salt 'n' Pepper, Palm Bistro & Lounge, Restoran Cina The Zon dan Restoran Ayukawa Grand Japanese & Italian.

Antara menu popular ialah daging kambing panggang yang disajikan di Kafe Salt 'n' Pepper. Keenakan daging ini mendapat pujian banyak pelanggan.

Bagi yang ingin mencari kelainan. bolehlah berjalan kaki ke gerai-gerai tepi jalan yang terdapat di sepanjang Jalan Stulang Laut.

Terminal feri

Orang ramai yang berhasrat untuk ke Batam atau Tanjung Pinang, Indonesia, menginap di hotel itu pasti memberi kelebihan kerana lokasinya bersambung dengan Terminal Feri The Zon.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasi hotel tersebut, Elaina Tan berkata, The Zon Johor Bahru terbahagi kepada enam pecahan iaitu hotel, pusat beli-belah, pasar raya, zon bebas cukai, terminal feri dan zon hiburan.

"Kesemua bahagian itu saling melengkapi antara satu sama lain sekali gus memberi banyak kelebihan kepada tetamu yang menginap di hotel. Selain kemudahan yang kami sediakan di hotel, mereka bebas melakukan pelbagai aktiviti dalam kawasan seluas tujuh hektar ini," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved