Rabu, 8 Mei 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Mampu pengaruhi kehidupan seharian

Posted:

Mampu pengaruhi kehidupan seharian

Mampu pengaruhi kehidupan seharian

Oleh ADLAN JAAFAR

TELEFON pintar sudah pun memberi kesan terhadap gaya sosial Redzuan Rosli, 24, sama ada dalam bidang kerja mahu pun corak pergaulannya.

Membalas dan menerima e-mel kerja bukan setakat di pejabat, malah ketika sedang makan malam di restoran, dia kelihatan resah menjawab soalan daripada pihak atasan menerusi surat elektronik.

Dia yang sedang menjalani latihan dalam kamar perlu sentiasa dikemas kini dengan maklumat kes secara terperinci dan e-mel adalah yang paling sesuai.

Jika kebosanan menguasai diri, peranti bersaiz empat segi tepat sebesar tapak tangan itu juga menjadi teman bakal peguam muda itu untuk berhibur dan bersosial.

"Telefon pintar sememangnya memudahkan kerja dan pada masa yang sama ia menjadi sumber hiburan seperti menonton YouTube dalam telefon!" ungkapnya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Lupakan aplikasi laman sosial yang biasa seperti Facebook dan Twitter yang telah pun melangkaui sempadan usia, generasi dan hubungan sehingga ibu bapa serta ahli keluarga lain berada dalam senarai rakan.

Dengan menggunakan telefon pintar yang mempunyai perkakasan berprestasi tinggi, aplikasi-aplikasi menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), memberi pilihan kepadanya berbual dalam talian dengan individu baharu.

Antaranya aplikasi seperti Circle, WeChat, Skout dan StreetSpark seumpama platform untuk mengadakan blind date dengan orang berdekatan anda.

Tidak seperti Facebook yang mempunyai perincian pada profil pemilik, aplikasi-aplikasi tersebut mempunyai maklumat yang sangat minimum bagi membolehkan sesi perkenalan lebih mengasyikkan.

Aplikasi seperti itu menggunakan GPS untuk mengesan individu yang sedang dalam talian dan satu senarai dikeluarkan.

Kaedahnya berbeza-beza antara satu sama lain, ada yang menyenaraikan senarai kenalan pada kawasan berdekatan, manakala yang lain perlu digoncang sebelum ditemukan dengan rakan chat baharu.

Lebih menarik, semua aplikasi itu boleh mengesan anggaran jarak antara anda dengan senarai rakan chat yang ada. Kebanyakannya berada dalam lingkungan jarak yang dekat.


TELEFON pintar boleh digunakan untuk pembayaran melalui aplikasi kad kredit.


Dengan ciri antara muka yang menarik dan mudah untuk melihat senarai dengan meleret pada skrin, pengalaman bersuaikenal bersama orang tidak dikenali menjadi lebih menyeronokkan.

Seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Ali Rahman, 23, berkongsi cerita bahawa dia berjumpa dengan kekasihnya sekarang menggunakan aplikasi berasaskan GPS itu. Ujarnya, detik-detik perkenalan mereka masih diingati dengan baik.

"Ketika itu saya sedang minum petang berseorangan di sebuah restoran. Lantaran rasa bosan, saya terus hidupkan aplikasi ini dan chatting dengan salah satu profil yang menepati pilihan saya.

"Lawaknya, dia sebenarnya berada selang dua meja dari saya. Kami duduk semeja dan kini, sedang berpasangan dan barangkali akan mengambil langkah ke fasa seterusnya," kenang lelaki itu dengan senyuman tidak putus-putus di bibir.

Hakikatnya, kelompok pengguna aplikasi seperti itu memang ramai. Malah, dalam laman web CNN, aplikasi Skout telah pun memiliki pengguna lebih 1 juta orang dengan purata usia antara 24 hingga 25 tahun, kata pengasasnya, Christian Wiklund.

Beri kesan

Sememangnya, telefon pintar sudah mula memberi kesan kepada penduduk Malaysia baik dari segi telekomunikasi sehingga dalam kehidupan seharian.

Pengguna berdaftar telefon di Malaysia pada tahun lalu seramai 33.6 juta dan 30 peratus daripadanya pengguna telefon pintar (smartphone) yang terdiri daripada penduduk bandar.

Selebihnya, pengguna telefon ciri asas (feature phone). Di Singapura, pengguna sudah mahu menghampiri 60 peratus, manakala Thailand dan Indonesia sekitar 20 peratus.

Menurut Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Johary Mustapha, 35, penggunaan telefon pintar mencapai tahap kritikal apabila jumlah pengguna mencapai 50 peratus di sesebuah negara. Pada waktu itu, penggunaan telefon pintar sudah menjadi satu keperluan.

"Kesannya, semua perkara perlu dan mesti ada dikaitkan dengan telefon dan bukan opsyen lagi atas dasar lebih separuh rakyat Malaysia memilikinya," terang Johary ketika ditemui di pejabatnya di Megan Avenue II, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun tambah beliau, sukar dijangka tempoh masa bilangan penduduk Malaysia menggunakan telefon pintar mencapai tahap kritikal.

Namun begitu, berdasarkan kadar pengembangan sekarang, ia bakal dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun mendatang.

Kuasa belanja

Tempoh matang tersebut sukar diramal kerana ia bukan sahaja merangkumi pelbagai aspek, malah tidak bergantung kepada tahap infrastruktur sahaja.

Faktor lain yang diteliti ialah kuasa belanja rakyat Malaysia dan pendekatan pengguna terhadap telefon pintar seperti persekitaran, pendidikan serta kesedaran.

Industri mobil di Malaysia mula berkembang sekitar tahun 2000 apabila telekomunikasi analog berubah kepada digital dengan pemain industri seperti Adams dan Immartel muncul.

Ketika itu, penghantaran suara lebih jelas berbanding zaman telefon atur, seterusnya khidmat pesanan ringkas (SMS) pada tahun 2003.

Kini, industri telefon pintar memasuki fasa baharu dan mula berkembang dengan pesat. Telefon pintar merupakan pencantuman antara Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan telekomunikasi.


BAHAN untuk telefon pintar semakin maju kehadapan seperti skrin sesentuh.


Aplikasi mobil

Sebelum ini, telefon ciri asas merupakan telekomunikasi sahaja. Telefon pintar merangkumi perkakasan, sistem operasi (OS) dan aplikasi. Perkakasan terdiri daripada fizikalnya seperti skrin sesentuh, bateri, memori dan pemprosesan.

Sistem operasi sekarang yang terkenal iOS dan Android selain Windows Phone serta BlackBerry 10. Sistem operasi yang sama seperti Android kini boleh dimasukkan ke dalam semua telefon. Berbanding dahulu, setiap jenama telefon mempunyai sistem sendiri.

Aplikasi mobil pula membolehkan sesebuah telefon itu dapat bertindak di hujung jari. Pada mulanya, ia direka untuk produktiviti dan pencarian maklumat, tetapi kenaikan kehendak pelanggan serta kebolehsediaan para pembikin, menjadikan koleksi kategori berkembang.

Telefon yang dahulu menggunakan pad kekunci sesentuh (taktil), kemudian Qwerty dan skrin skrin sesentuh dengan kadar memori dan cip pemprosesan meningkat.

Johary yang berkesempatan ke Kongres Mobil Dunia di Barcelona, Sepanyol sempat melihat gajet terbaharu dikeluarkan oleh Google, Google Glass.

Google Glass merupakan paparan head-mounted (HMD) yang seakan-akan gajet bebas tangan untuk telefon pintar, manakala di Jepun, Johary telah melihat teknologi pengecas bateri pantas oleh NTT DoCoMo.

"Aplikasi sudah berada pada tahap terkehadapan berbanding perkakasan," ulas Johary mengenai perkembangan teknologi telekomunikasi ICT.

Sebagai contoh, terdapat aplikasi yang boleh membaca kadar degupan jantung bagi memantau kesihatan berkaitan organ itu.

Teknologi perkakasan

Bagaimanapun, buat masa sekarang tidak mungkin fizikal telefon pintar secara tiba-tiba mengalami transformasi menjadi alat atau peranti khas memeriksa kadar degupan jantung.

Pengembangan teknologi perkakasan lambat kerana ia bersifat subjektif kepada para pengguna. Barangkali, kadar kepantasan membuka aplikasi yang perlahan boleh diterima oleh sesetengah individu, yang lain sesuatu tidak boleh diterima.

"App. boleh digunakan untuk menjana wang atau meningkatkan produktiviti," ungkapnya lagi.

Aplikasi perbankan, kad kredit, membeli tiket wayang atau menempah hotel membolehkan produktiviti seseorang meningkat kerana ia boleh dilakukan serta-merta pada masa nyata.

Rumah anak yatim untuk gajah

Posted:

Rumah anak yatim untuk gajah

Rumah anak yatim untuk gajah

SEKUMPULAN anak gajah bermain bola di pusat perlindungan tersebut.


BERSENDIRIAN mencari-cari arah di kawasan savana Kenya, gajah yang tidak kelihatan ibunya akibat kerakusan pemburu-pemburu gading itu mempunyai peluang yang sangat tipis untuk terus hidup.

Masih lagi bergantung pada susu ibu, anak gajah jantan itu dikesan ketika sedang berjalan-jalan menyelusuri Taman Negara Tsavo East oleh pemandu Tabung Amanah Hidupan Liar David Sheldrick (DSWT) pada awal bulan lalu.

Gajah yang diberi nama Tundani itu kemudian diselamatkan dan dipindahkan ke Rumah Anak Yatim DSWT di Nairobi. Ia sebuah tempat untuk anak-anak gajah yang kehilangan ibu dibesarkan oleh manusia dan sedikit demi sedikit disesuaikan supaya dapat hidup bersama kelompok hidupan liar.

Dijaga rapi

Anak gajah jantan itu menerima bantuan perubatan dan penjagaan rapi selama 24 jam di kem pelarian haiwan tersebut, kini membesar dalam keadaan sihat.

Menurut pengasas DSWT, Dame Daphne Sheldrick, program selamatkan Tundani merupakan salah satu daripada tindakan yang telah diambil oleh DSWT sepanjang tahun ini.

"Penyelamatan gajah ini jelas menunjukkan betapa teruknya kesan pemburuan dan konflik manusia-haiwan liar terhadap populasi gajah.

"Tanpa penjagaan ibunya, Tundani tiada harapan untuk selamat. Sekurang-kurangnya, di sini ia mendapat peluang kedua untuk hidup bersama hidupan liar," katanya.

Tambahnya, itu bukan kali pertama mereka menyelamat gajah muda dan paling mengecewakan apabila kumpulan DSWT mengetahui ia bukan aktiviti menyelamatkan yang terakhir.

"Dengan hampir 35,000 ekor gajah dibunuh setiap tahun oleh pemburu gading bagi memenuhi permintaan perdagangan gading dari Timur Jauh, populasi haiwan itu semakin berkurangan setiap hari," terangnya.

Bersama-sama 21 ekor gajah yatim lain di pusat penjagaan DSWT, Tundani kini berkelana di dalam hutan di Taman Negara Nairobi setiap hari.

Tiada ibu

Rumah Anak Yatim Haiwan Daphne Sheldrick terletak di dalam ruang lingkup kawasan Taman Negara Nairobi yang menempatkan anak gajah tiada ibu dan haiwan-haiwan lain, dijaga oleh sebuah kumpulan konservasi.

Rumah itu diuruskan oleh Daphne Sheldrick, isteri mendiang ahli alamiah terkenal, David William Sheldrick yang merupakan pengasas sistem Warden di Taman Negara Tsavo East, Kenya sejak awal penubuhannya antara tahun 1948 hingga 1976.

Tepat pukul 11 pagi, anak-anak haiwan dibawa dari Taman Negara Nairobi untuk mandi lumpur di rumah anak yatim itu. Pelawat boleh melihatnya dari dekat dan jika bertuah dapat menyentuh dalam tempoh sejam.

Barangkali pengunjung tidak boleh memberi makan, tetapi berpeluang melihat penjaga menyusu haiwan yang masih kecil itu.

Sesi peribadi hanya dari pukul 3 hingga 4 petang setiap hari yang membolehkan pelawat melihat secara dekat, malah boleh berinteraksi bersama gajah. Namun begitu, tempahan awal diperlukan melalui African Spice Safaris.


SEORANG pekerja mengajar anak gajah menyesuaikan diri dengan kehidupan di habitatnya.


Boleh dilawat

Rumah Anak Yatim di taman negara itu hanya memakan masa kira-kira 45 minit dengan memandu dan dibuka selama sejam sehari untuk orang awam.

Ia boleh dilawati oleh peminat hidupan liar sekitar pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari untuk melihat gajah-gajah diberi makan dan bermain.

Sebagai tambahan, penjaga akan memberi maklumat mengenai gajah termasuk asal dijumpai, cara gajah ke tempat perlindungan itu dan perkembangan yang telah dilalui bagi mendekatkan diri pelawat dengan gajah.

Rumah perlindungan itu juga menerima badak sumbu, jadi jika bertuah, anda boleh melihat anak badak sumbu yang masih muda.

Perdagangan haram gading gajah dianggarkan meningkat dua kali ganda sejak tahun 2007 dan lebih tiga kali ganda sejak 15 tahun lalu, menurut Konvensyen Tentang Perdagangan Antarabangsa Ke Atas Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

Dalam laporan CITES terbaharu pula menganggarkan sebanyak 25,000 ekor gajah dibunuh untuk gading di seluruh benua Afrika pada tahun 2011.

Di Mozambique pula, sama seperti di negara-negara Afrika lain, ancaman datang melangkaui garis sempadan negara.

"Mengikut sejarah, pemburu-pemburu haram turun dari Somalia melalui Kenya," kata Pengarah Konservasi Kerajaan Mozambique, Francisco Pariela.

Bagaimanapun, dia mengakui, penduduk tempatan mudah dilatih untuk perdagangan kerana tawaran yang sangat lumayan iaitu duit.

Tambahnya, pekerja-pekerja kerajaan dan ahli-ahli komuniti tempatan turut terlibat.

Setakat ini, pihak kerajaan berdepan terlalu banyak masalah berkaitan sifat rakus manusia yang menyebabkan setiap tindakan yang diambil perlahan.

Papan kekunci untuk iPad mini

Posted:

Papan kekunci untuk iPad mini

Papan kekunci untuk iPad mini


PAPAN kekunci mini baharu yang direka sangat nipis.


PENGELUAR produk berkaitan barangan elektronik, Logitech mengeluarkan papan kekunci mini baharu, Logitech Ultrathin Keyboard yang direka sangat nipis bagi meningkatkan pengalaman penggunaan mini iPad.

Ia dapat meningkatkan pengalaman dan keselesaan menggunakan aplikasi, menonton filem dan melihat foto dalam masa yang sama tablet anda masih lagi nipis, ringan serta bergaya.

Pemasangannya menggunakan magnet terintegrasi, dengan rekaan bahan penutup daripada aluminium yang sepadan dengan iPad mini.

Ia tahan lasak dengan perlindungan sekali gus memberikan berat yang sangat minimum.

Apabila mahu digunakan, buka papan kekunci itu untuk menghidupkan Bluetooth EasyType binaan dalaman.

Antara butang papan kekunci yang ada pada platform bersaiz tujuh inci itu ialah kekunci shortcut yang sering digunakan seperti copy dan paste.

Logitech Ultrathin Keyboard mempunyai ciri On/Off segera yang menjadikan iPad anda beroperasi secara automatik ketika ia dibuka, manakala terpadam tatkala ditutup.

Papan kekunci itu mempunyai jangka hayat bateri selama tiga bulan dengan penggunaan secara berkala dua jam sehari.

Ia dijangka akan berada di pasaran Malaysia pada bulan ini pada harga RM259. Bagi mendapatkan maklumat lebih lengkap, boleh layari www.logitech. com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved