Jumaat, 19 April 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Asam garam perayu undi

Posted:

Asam garam perayu undi

Asam garam perayu undi

Oleh NURUL IZZA ROSLY

AHLI JR bukan setakat merayu undi, tetapi turut memastikan risalah mengenai parti sampai ke tangan pengundi.


BELUM pun, tarikh mengundi atau nama-nama calon bertanding diumumkan, segelintir petugas parti-parti politik sudah mula turun padang bagi tujuan meraih undi.

Mereka sanggup bertandang dari satu rumah ke rumah lain bagi melobi parti yang diwakili.

Kedengaran mudah, namun tugas yang digalas perayu undi, tidak semudah disangka kerana ia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Menurut Ketua Perayu Undi Barisan Nasional cawangan Kampung Tasek Tambahan, Zainab Dahalan, 63, kini perayu undi dikenali dengan nama baharu iaitu petugas Jalinan Rakyat atau lebih dikenali sebagai JR.

"Sebelum digelar JR, perayu undi dikenali dengan nama Ketua 10 yang dipertanggungjawabkan 'menjaga' 10 buah rumah.

"Kini, seorang JR perlu menjaga lebih kurang 35 pengundi, tetapi memandangkan kawasan kami bilangan pengundinya ramai, seorang JR perlu menjaga satu lorong," katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Tambah ibu kepada empat anak itu, tugas JR bersifat sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

Mula aktif menjadi perayu undi sejak tahun 1974 ketika usianya 35 tahun, Zainab telah menempuh pelbagai pengalaman pahit manis.

Menurutnya, tugas tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat petugas JR yang dihambur kata-kata kesat ketika berkunjung ke rumah-rumah pengundi.

"Tidak dibenarkan masuk ke rumah pengundi merupakan pengalaman yang biasa ditempuh. Jika tidak dibenarkan masuk, kami akan beredar dari rumah tersebut," ujarnya sambil menyifatkan tugasnya sebagai JR membolehkannya berjumpa dan bermesra dengan masyarakat setempat.

Kisah lucu

Dalam pada itu, rakan seperjuangannya, Jamiah Buang, 55, yang lebih 30 tahun bermastautin di Kampung Tasek Tambahan, Ampang pula mempunyai kisah lucu untuk dikongsi.

"Tuan rumah yang saya kunjungi menganggap saya sebagai peminta sedekah lalu menghulurkan duit seringgit. Dia memberitahu itu sahaja wang yang dia ada untuk diberikan kepada saya," katanya yang kemudiannya memberitahu kedatangan tersebut bertujuan merayu undi bagi parti politik yang diwakilinya.

Selain kisah lucu, pelbagai kerenah penduduk pernah ditemuinya sekali gus menuntut kesabaran yang tinggi.

"Dalam kalangan kami pernah dikejar dengan parang dan dikepung ketika masuk ke kawasan parti lawan. Ia tidak melunturkan semangat kami malah kami lebih bersemangat untuk meraih undi.


TUGAS perayu undi tidak pernah berubah iaitu merayu pengundi untuk mengundi parti politik yang mereka wakili.


"Pada hari mengundi pula, kami akan mengingatkan pengundi-pengundi supaya keluar mengundi. Selain itu, kami menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar mereka pulang semula ke rumah masing-masing," ujarnya yang menjadi perayu undi atas inisiatif sendiri.

Kebiasaannya, petugas JR akan keluar berdua, memakai baju parti dan tanda nama. Selain itu, mereka akan mendalami ilmu-ilmu berkaitan isu-isu politik semasa bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan baik.

Meskipun menyedari undi adalah rahsia, peranan JR lebih kepada meyakinkan pengundi-pengundi atas pagar supaya mengundi parti yang mereka wakili.

"Kebanyakan JR terdiri daripada 'orang lama' dan tidak ramai orang muda tampil sebagai JR, mungkin kerana malu.

"Orang muda perlu banyak bergaul dengan orang lama untuk mendapatkan ilmu sebagai perayu undi," kata Ketua Jalinan Rakyat Pusat Daerah Mengundi Tasik Tambahan Selatan, Nor Zaharah Abas, 62.

Dia menjadi perayu undi sejak tahun 1977 iaitu ketika anak sulungnya baru berusia lapan bulan.

Nor Zaharah memberitahu, tugas JR bukan setakat merayu undi malah bertanggungjawab ke atas pengundi-pengundi di bawah mereka. Ia termasuk menjaga keperluan-keperluan menjelang pilihan raya seperti memaklumkan kawasan membuang undi, menghantar risalah dan memastikan mereka keluar mengundi. Handbil merupakan kertas yang mengandungi maklumat pengundi termasuk lokasi mengundi.

Ditanya hingga bila mahu menjadi perayu undi, ketiga-tiga wanita tersebut memberitahu bahawa mereka akan setia menjadi perayu undi selagi mempunyai kudrat untuk berbuat demikian.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved