Jumaat, 19 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Daripada kedai buruk kepada kedai serbaneka

Posted:

Daripada kedai buruk kepada kedai serbaneka

Daripada kedai buruk kepada kedai serbaneka

WALAUPUN sudah lebih 30 tahun berniaga kedai runcit Pappathy Periasamy, 53, kurang pasti bagaimana untuk menambahkan lagi nilai tarikan kedainya di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, Selangor itu.

Dia mengakui, Pappathy Store selepas berpuluh-puluh tahun beroperasi kelihatan terlalu uzur.

Pappathy merasakan susun atur yang berselerak, kurangnya pencahayaan dan keadaan kedai yang tidak terurus sudah tentunya kurang menarik perhatian pembeli untuk membeli-belah.

Sehinggalah pada awal tahun lalu, Pappathy seperti dikejutkan daripada tidur, apabila mendengar iklan mengenai Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dalam salah satu saluran radio berbahasa Tamil.

"Sekadar mencuba nasib, saya terus menghubungi nombor telefon yang disebutkan dalam iklan. Saya tergerak hati untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bertanya adakah orang seperti saya berhak mendapat tawaran yang diiklankan itu," kata Pappathy.

Hanya dua minggu

Bercakap dengan seorang lelaki bernama Harridas, tidak lama selepas itu Pappathy dikunjungi beberapa orang pegawai daripada program Tukar. Pegawai terbabit kemudian menyiapkan kertas cadangan.

Tukar adalah sebuah inisiatif kerajaan bertujuan memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif. Antaranya adalah membangunkan kedai-kedai runcit tempatan jenis 'mom and pop' serta meningkatkan tahap kompetitif peruncit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Pappathy yang dapat membekalkan dokumen lengkap akhirnya ditawarkan pinjaman Tukar sebanyak RM90,000 termasuk RM30,000 tunai stok untuk pembelian barangan.

"Kedai saya melalui transformasi sepenuhnya selama hampir dua minggu dan pihak perunding serta kontraktor melakukan segala-galanya daripada mengalihkan barang sehinggalah mengatur semula," kata Pappathy.

Dia hanya perlu masuk ke dalam kedai dan berniaga tanpa perlu risau tentang perkara-perkara remeh yang lain.


RAVINDRAN melawat salah sebuah kedai Tukar yang kini beroperasi dengan lebih sistematik seperti kedai serbaneka.


Lonjak ekonomi

"Tujuan paling besar kami adalah supaya mereka (peruncit tradisional) berusaha meningkat keupayaan perkhidmatan pelanggan, menyeimbang proses perniagaan secara menyeluruh, mempromosi rantaian penawaran dengan kos yang efektif dan menggalakkan jualan produk berkualiti melalui pelbagai langkah," demikian kata Ketua Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Ravindran Devagunam.

Beliau yang ditemui di pejabatnya di Platinum Sentral, Kuala Lumpur mengakui pelaksanaan Tukar dijangka akan dapat menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM3.79 bilion dan mewujudkan sebanyak 23,743 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

Bercakap mengenai penglibatan kaum India untuk program Tukar, akuinya, sejak dilancarkan pada tahun 2011 ia semakin mendapat perhatian terutamanya melalui penubuhan Koperasi Suria.

Daripada sejumlah 1,228 kedai ditransformasi kepada Tukar, Ravindran memberitahu, 155 buah kedai atau 13 peratus adalah milik pemilik berketurunan India.

"Kerajaan bersedia memberi bantuan, namun pada awalnya sesetengah peruncit tidak dapat dibantu oleh kerana beberapa masalah contohnya ketiadaan dokumen perniagaan yang sah, muflis dan disenarai hitam oleh bank.

"Namun, kami bangkit semula dengan melantik pihak Koperasi Suria supaya mereka akan mengambil tanggungjawab terhadap pinjaman khususnya kepada pekedai yang bermasalah," tambah beliau yang mengakui hampir 90 peratus pekedai India disenarai hitam daripada membuat pinjaman.

Penglibatan Koperasi Suria bersama Pemandu kini telah membentuk satu formasi yang menjayakan program Tukar dalam kalangan pemilik kedai runcit berbangsa India.

Jika sebelum program tersebut, pemilik bukan sahaja bergelumang dengan persekitaran kurang memuaskan, bahkan prosedur menjalankan perniagaan juga begitu kabur. Tukar membantu peniaga untuk merancang dan mengendali satu sistem lebih teratur.


PRODUK barangan 1Malaysia juga turut dijual di kedai program TUKAR.


"Kami lakukan supaya mereka mempunyai rekod yang sah. Selain itu ia menyumbang kepada produktiviti, keuntungan dan pendapatan," tambah Ravindran.

Sementara itu, Harridas Chandran, penganalisis perniagaan Koperasi Suria berkata, sebaik sahaja seorang peniaga menghubungi mereka, pihaknya akan meminta mereka menghantar dokumen berkaitan secara kurier. Sebaik semua dokumen dihantar lengkap, Koperasi Suria akan membuat lawatan untuk menerangkan secara lanjut prosedur dan cadangan kertas kerja serta bajet pengubahsuaian.

"Dalam masa kurang 10 hari kami akan menyiapkan kerja ubah suai," kata Harridas menerangkan secara ringkas.

"Stok barangan yang dibeli juga diuruskan oleh kami kerana Tukar mewujudkan kerjasama antara pasar raya hiper dan kedai runcit.

"Bagi Koperasi Suria, kami melibatkan pasar raya besar seperti Tesco dan AEON Big dalam membekalkan stok. Ia juga akan mengurangkan margin dan menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan sekali gus meningkatkan pendapatan peniaga," kata Harridas.

Khidmat konsultan

Ini dibuktikan melalui penyelidikan yang dilakukan oleh pihak Pemandu dan Tukar sendiri apabila rata-rata peniaga mengakui menerima purata 30 peratus peningkatan pelanggan dan pendapatan.

Pihak pasar raya besar berperanan sebagai konsultan bagi pelaksanaan projek Tukar dengan membekalkan stok borong.

Pengendali pasar raya besar itu akan membantu peruncit-peruncit tradisional melalui khidmat nasihat pemodenan, penyediaan susun atur (plan program), latihan peruncitan dan sebagainya.

Usaha ini merupakan inisiatif syarikat-syarikat terbabit sebagai tanggungjawab korporat sosial (CSR) untuk membangunkan sektor pemborongan dan peruncitan tempatan.

Apa yang pasti, pemilik kedai runcit berketurunan India ternyata semakin maju sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Malah, dari aspek makro ekonomi negara, Ravindran menjelaskan, 70 peratus daripada Jumlah Kasar Produk Domestik (GDP) adalah disumbangkan oleh peruncit dan pasar raya.

Bom buatan sendiri dipenuhi paku

Posted:

Bom buatan sendiri dipenuhi paku

Bom buatan sendiri dipenuhi paku

SEORANG doktor, Allan Panter langsung tidak menyangka kehadirannya untuk memberi sokongan kepada isteri tercinta yang menyertai acara Maraton Boston buat kali ke-15 bertukar menjadi pengalaman ngeri dalam hidupnya.

Ketika berada berhampiran garisan penamat untuk menunggu isterinya, Theresa Panter, tiba-tiba dia dikejutkan dengan dua siri letupan yang menggegarkan kawasan tersebut.

"Saya berdiri kira-kira tujuh meter dari lokasi letupan pertama. Sekurang-kurangnya tujuh orang tercampak ke arah saya. Ia berlaku sekelip mata," ujar Allan kepada agensi berita Cable News Network (CNN).

Sejurus kejadian itu, Allan yang langsung tidak mengalami sebarang kecederaan terus bertindak membantu merawat mangsa yang berada di jalanan.

"Seorang wanita terbunuh manakala seorang lelaki putus kedua-dua belah kakinya dari paras lutut. Keadaan sangat teruk ketika itu," jelasnya.

Sementara itu, apabila sampai ke garisan penamat, Theresa bersama pelari lain diarahkan ke satu kawasan selamat. Tergamam dengan insiden letupan berkenaan, Theresa berusaha mencari suami yang telah dikahwini selama 30 tahun itu.

Akhirnya selepas lebih satu jam, barulah dia dapat bertemu dengan Allan yang gigih membantu mangsa letupan bersama sukarelawan maraton tersebut.

"Para sukarelawan yang berada di kawasan siar kaki tidak lari menyelamatkan diri, sebaliknya mereka terus membantu sekadar termampu," terang Allan yang berusia lingkungan 70-an.

Rentetan insiden berdarah itu, tiga orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikenali sebagai Martin Richard, manakala lebih 170 orang tercedera. Seramai 17 daripadanya kini berada dalam keadaan kritikal.

Ironinya, dua letupan yang berlaku selang 13 saat itu terjadi hampir 12 tahun selepas serangan ke atas bandar raya New York, Washington dan Pennsylvania pada 11 September 2001 yang mengakibatkan kira-kira 3,000 orang terbunuh.

Serangan pengganas?

Bagaimanapun, Presiden Barack Obama tidak mahu mengaitkan serangan itu dengan pengganas kerana para pegawainya masih menyiasat punca dan siapa yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.

Menurut Obama ketika berucap di White House, pihaknya akan memburu dalang serangan di Massachusetts untuk berdepan hukuman setimpal.

Dalam pada itu, Ejen Khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Rick DesLauriers memberitahu, kes itu dikategorikan sebagai kes jenayah yang berpotensi melibatkan siasatan terhadap pengganas.

Maraton Boston merupakan salah satu acara sukan tahunan paling berprestij di Amerika Syarikat (AS). Ia diadakan pada setiap hari Isnin ketiga dalam bulan April, iaitu sempena Hari Patriot bagi memperingati pertempuran pertama Revolusi Amerika pada 1775.

Acara larian itu mula dianjurkan pada tahun 1897 yang diilhamkan daripada kejayaan pertandingan maraton moden sewaktu Sukan Olimpik Musim Panas 1896.

Maraton Boston merupakan larian tahunan paling tua di dunia dan termasuk sebagai salah satu daripada enam acara utama pada Kejohanan Maraton Dunia.

Setiap tahun, acara itu berjaya menarik kehadiran 500,000 pengunjung dengan purata penyertaan 20,000 peserta. Pada tahun ini, Maraton Boston sejauh 42 kilometer telah disertai oleh kira-kira 27,000 peserta.


SUASANA panik menyelubungi lokasi kejadian letupan bom sempena acara sukan Maraton Boston di Massachusetts.


Namun, ekoran insiden letupan itu, hanya 17,000 peserta yang berjaya menamatkan larian tersebut. Rekod terpantas dalam acara itu masih dipegang oleh dua pelari Kenya iaitu Geoffrey Mutai dan Margaret Okayo.

Geoffrey mencatat masa dua jam tiga minit dan dua saat bagi kategori lelaki pada Maraton Boston 2011, manakala Margaret dengan catatan 2 jam 20 minit 43 saat pada tahun 2002.

Bom periuk tekanan

Menurut Pesuruhjaya Polis Boston, secara keseluruhan tiga letupan berlaku dalam insiden berdarah itu. Selepas dua letupan pertama, letupan ketiga berlaku satu jam kemudian berhampiran Perpustakaan Awam Boston, namun tiada kecederaan dilaporkan.

"Kami turut menemui dua butir bom yang berjaya dimatikan pada penghujung laluan maraton itu," katanya.

Siasatan awal FBI mendapati bahan letupan yang digunakan dalam serangan di Maraton Boston adalah buatan sendiri yang dipenuhi dengan paku dan serpihan logam.

"Ia mungkin dibungkus dan dimasukkan ke dalam periuk tekanan untuk diletupkan. Taktik ini biasa dilihat dalam serangan dari Afghanistan ke Perancis sejak tahun 1990-an," terang Rick kepada pemberita.

Manual pembuatan bom sering dipaparkan di forum siber militan termasuk kaedah yang dihasilkan oleh rangkaian Al-Qaeda.

Berdasarkan laporan SITE Intellegence Group yang memantau mesej dalam talian kumpulan militan itu, mereka sering mencadangkan penggunaan periuk tekanan untuk meletupkan bom.

Tambah Rick, kedua-dua bom berkenaan telah diletakkan di dalam beg nilon berwarna gelap.

Pakar bom dan pasukan anjing pengesan telah menggeledah dan membuat pemeriksaan rapi di lokasi kejadian sekitar Bolyston Street iaitu kawasan garisan penamat acara maraton itu. Sampel yang diperoleh kemudian dihantar ke makmal FBI di Quantico, Virginia untuk analisis menyeluruh.

"Ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diproses," kata Gene Marquez, pemangku ejen khas yang bertanggungjawab daripada Pejabat Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan di Boston.

KELIHATAN para peserta Maraton Boston berlari ke arah garisan penamat ketika letupan berlaku.


Objek tajam

Selain itu, doktor dan petugas kecemasan yang merawat mangsa berkata, mereka menemui banyak objek tajam pada badan mangsa.

"Keadaan ini menyebabkan ramai mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian bawah badan dan sebahagian daripada mereka terpaksa dipotong kaki," tutur Ketua Unit Pembedahan Trauma, Hospital Umum Massachussetts, George Velmahos.

Dalam perkembangan lain, kawalan keselamatan bagi acara Maraton London yang akan berlangsung Ahad ini akan dipertingkatkan bagi mengelak kejadian serupa berlaku.

Hal ini diakui oleh Ketua Polis Metropolitan, Superintenden Julia Pendry yang memberitahu, satu pelan keselamatan telah dirancang sempena kejohanan tersebut.

"Keselamatan orang ramai termasuk peserta akan menjadi keutamaan kami," tegasnya.

Rangsangan goncang haram

Posted:

Rangsangan goncang haram

Rangsangan goncang haram

SALAH sebuah video Harlem Shake yang popular di internet.


HARLEM SHAKE atau diistilahkan sebagai Goncang Haram adalah sebuah rakaman video sekumpulan individu dalam sesuatu situasi dirangsang secara provokasi oleh seorang individu lain untuk menari selama 30 saat.

Tarian tersebut merupakan video internet berdurasi 30 saat yang memerlukan penari menggoyangkan bahu, pinggang dan tangan dengan pantas mengikut rentak lagu The Harlem Shake oleh DJ Baauer.

Ia akan dimulakan oleh seorang penari dan kemudian diikuti oleh penari-penari lain yang akan memakai pelbagai kostum pelik dengan gerakan tarian yang pelbagai.

Jika Gangnam Style menceritakan perbezaan taraf kehidupan di sebuah kawasan bernama Gangnam di Seoul, Korea Selatan, Harlem Shake juga dikaitkan dengan kosmologi sebuah tempat bernama Harlem di Manhattan, Amerika Syarikat.

Harlem merupakan sebuah kawasan kejiranan besar di daerah utara New York dan bandar kecil itu terletak di Manhattan. Sejak tahun 1990, Harlem terkenal sebagai penempatan yang dimonopoli oleh orang Afrika.

Tarian Harlem Shake pertama kali dicipta oleh lima orang remaja dari dari Queensland, Australia yang menggelarkan diri mereka sebagai The Sunny Coast Shake yang telah memuat naik video mereka di YouTube pada 2 Februari lalu.

Meme

Berbanding tarian lain yang pernah mencipta gelombang sebelum ini, Harlem Shake mereka ledakan sendiri apabila orang ramai mula merakam dan memuat naik versi tarian berbeza-beza. Fenomena tersebut disifatkan meme.

Perkataan 'meme' dipetik daripada bahasa Greek bermaksud sesebuah idea, perangai atau gaya yang tersebar daripada seorang demi seorang dalam satu kelompok budaya sama ada turun-temurun (ibu bapa kepada anak) atau pengambilalihan (media, rakan).

Internet meme pula diertikan sebagai satu konsep atau tatacara dalam versi video (Harlem Shake) yang merebak daripada satu individu kepada individu lain menerusi medium perantara internet.

Dengan bantuan jaringan sosial, blog dan tapak perkongsian video, sesebuah meme boleh merebak dengan pantas selepas sejam atau pada hari video itu dikeluarkan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh YouTube, dalam tempoh sembilan hari pertama video Harlem Shake dimuat naik, sebanyak 12,000 versi video Harlem Shake mengisi ruang rangkaian sosial itu dan telah mengumpul 44 juta penonton.

Data itu tidak termasuk 4,000 buah video secara purata telah dimuat naik pada setiap hari dan angka itu bertambah setiap masa.

YouTube memperakui pertambahan trend rakaman video tersebut dan peningkatan rekod carian video itu di internet mengatasi beberapa carian yang pernah popular sebelum ini.


DJ Baauer berjaya mencipta fenomena menerusi lagu Harlem Shake.


Sementara itu, lagu yang dihasilkan oleh DJ Baauer berjudul The Harlem Shake turut merasakan impak menerusi populariti tarian Harlem Shake.

Lagu tersebut telah dikeluarkan pada bulan Ogos 2012 namun, semenjak Harlem Shake mula melanda rangkaian sosial pada bulan Februari lalu, lagu itu berjaya mengungguli carta iTunes dan menduduki tangga teratas Billboard Hot 100 selama beberapa minggu berturut-turut.

Pembabitan syarikat gergasi umpamanya Matt & Kim, Pepsi, Redbull, Nintendo dan Puma menarik lebih ramai penonton untuk merakamkan aksi Harlem Shake dalam versi tersendiri.

Antara video Harlem Shake yang popular di internet membabitkan golongan ahli sukan, pelajar, pasukan tentera dan tidak terkecuali golongan selebriti.

Menurut fakta, Harlem Shake hanya mengambil separuh daripada tempoh video Gangnam Style mencecah jumlah penonton sebanyak 1 bilion. Pada 4 April lalu, video Harlem Shake berjaya mendapat hit sebanyak 1.2 bilion di YouTube.

Eksplisit

Bagaimanapun, tidak semua video Harlem Shake yang dipaparkan di YouTube menghiburkan dan bersih daripada aksi-aksi kurang senonoh.

Ada juga antara video yang dimuat naik mempertontonkan hasil yang disifatkan keterlaluan, lucah, menyampaikan makna tersirat dan diklasifikasikan eksplisit.

Salah seorang selebriti tempatan yang terkena tempias Harlem Shake, Daphne Iking berdepan dengan kritikan pedas daripada sesetengah pihak yang kurang senang dengan tindakannya melakukan tarian itu.

Mengulas mengenai video itu, kata Daphne rakaman yang sekadar percubaan perakam video baharu itu hanya untuk tujuan hiburan.

"Niat kami sekeluarga adalah untuk kebaikan dan tidak terniat langsung untuk melakukan aksi yang tidak sopan. Video itu sekadar suka-suka memandangkan kami sekeluarga memang gila-gila.

"Saya faham sekiranya ada sesetengah pihak yang tidak liberal dan melihat saya mempermainkan agama. Niat saya betul tapi orang nampak lain," katanya.

Video Harlem Shake Daphne bersama suami, dua orang anak dan seorang pembantu rumahnya itu dimuat naik pada 19 Februari lalu dan kini telah ditonton lebih 200,000 kali.

Daphne turut memuat naik sebuah lagi video tarian Harlem Shake yang dirakamkan selepas rancangan bual bicara Bella bersama kru produksi rancangan itu.


TIDAK sah tarian Harlem Shake tanpa pakaian pelik dan warna-warni.


Tabu

Sementara itu, menurut seorang penyelidik di Taylor Nelson Sofres Research International, Rahat Raj Sud, tarian Harlem Shake secara tidak langsung telah memberikan kuasa kepada seseorang untuk bertindak di luar kesedaran diri.

"Harlem Shake sebenarnya memberikan ruang kepada individu untuk hilang pertimbangan dan tanpa segan-silu memaparkan sisi liar dalam diri masing-masing, disokong pula oleh individu sekeliling dengan matlamat untuk mengumpulkan sebanyak mungkin penonton," ujarnya yang melihat kegilaan itu belum cukup kuat merebak di negaranya, India.

Kenyataan itu disokong oleh seorang pekerja sosial, Namrata Sinha yang melihat fenomena Harlem Shake bersifat sia-sia dan hanya mahu mencari kemasyhuran selama 30 saat.

"Terang-terang dapat dilihat tiada keaslian dalam pergerakan tari itu, semoga trend Harlem Shake akan reda tidak lama lagi.

"Adalah menyedihkan untuk melihat budaya begitu dibangga-banggakan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita," katanya menerusi sebuah laporan antarabangsa.

Protes

Kefungsian Harlem Shake bukan hanya tertumpu untuk berhibur semata-mata malah, tarian tersebut pernah digunakan oleh beberapa pihak untuk meluahkan ketidakpuasan hati secara demonstrasi atau protes.

Menurut Associated Press, sebanyak 400 orang lelaki melakukan Harlem Shake sambil melaung-laungkan protes terhadap pelantikan Presiden Mesir, Mohamed Morsi di luar pejabat Muslim Brotherhood di Dataran Tahrir, Kaherah pada awal bulan Februari lalu.

Kesan daripada kejadian itu, dua orang penuntut jurusan farmasi di sebuah universiti terkemuka di sana ditahan kerana melanggar etika dengan menari Harlem Shake hanya memakai seluar dalam.

Protes turut dilakukan oleh sekumpulan pelombong bawah tanah di Australia yang telah memuat naik video mereka melakukan tarian Harlem Shake di tempat kerja setelah mereka diberhentikan kerja.

Sejauh mana dan berapa lamakah meme itu mampu bertahan sebelum pudar, keputusan itu bergantung pada ketetapan diri setiap individu untuk membawa aliran yang tepat kepada generasi akan datang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved