Jumaat, 19 April 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Berlakon ketika sarat mengandung

Posted:

Berlakon ketika sarat mengandung

Berlakon ketika sarat mengandung

IZREEN sudah hampir sepenuhnya membuat persiapan untuk menyambut kelahiran zuriat sulungnya ini.


KETIKA diberitahu bahawa Izreen Azminda Mohd. Aznam merupakan salah seorang pelakon utama dalam telefilem Barakah, timbul persoalan kerana pelakon itu kini sedang sarat mengandung anak sulung.

Sedangkan Izreen pernah membuat kenyataan bahawa dia mahu mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia lakonan dan kembali semula setelah habis pantang.

Bagaimanapun, kesempatan untuk hadir ke majlis pelancaran telefilem Barakah terbitan Unit Drama dan TV RTM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu di Melaka baru-baru ini, ternyata Izreen memang pelakon utamanya di samping Wan Raja.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan dia tetap ingin berlakon dalam keadaan yang sarat mengandung, Izreen menyatakan perasaan terlalu bosan sepanjang berehat di rumah menjadi faktor utama dia mahu meneruskan aktiviti lakonannya.

"Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi drama Ayu Tanggang pada Februari lalu dan kemudian saya ambil keputusan untuk berehat sehingga lepas habis pantang.

"Namun begitu, sepanjang berehat di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti, saya tiba-tiba rasa terlalu bosan. Kemudian saya ditawarkan pula berlakon dalam telefilem Barakah dan memikirkan masih lagi mampu untuk berlakon saya terus menerimanya," ujarnya.

Berkenaan dengan penerimaan suaminya, Muhammad Riza Baharudin terhadap keinginannya yang mahu terus berlakon, Izreen mengakui suaminya itu kurang bersetuju pada mulanya.

Ujarnya, setelah diyakinkan bahawa watak yang dibawakannya itu agak ringan dan tidak memerlukan pergerakan fizikal yang banyak, akhirnya dia diberi keizinan oleh suami untuk terus berlakon.

"Suami memang cukup risau apabila diberitahu yang saya bersetuju untuk berlakon dalam sebuah telefilem memandangkan usia kandungan saya yang sudah masuk tujuh bulan.

"Memandangkan saya ini jenis wanita yang keras kepala, saya tetap memujuknya kerana terlalu bosan berada di rumah. Saya juga memintanya supaya tidak terlalu risau kerana yakin dapat menjaga diri sendiri sepanjang penggambaran," ujarnya.

Selain kegigihannya untuk terus berlakon ketika sarat mengandung, Izreen turut mengambil keputusan nekad apabila berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Melaka setiap hari.

Menurut Izreen, ketika ini penggambaran telefilem tersebut sedang dilakukan di Melaka dan dia terpaksa memandu sendirian dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran.

"Sebenarnya sepanjang mengandung ini saya berasa kurang selesa untuk tidur di tempat lain. Saya lebih rela memandu selama dua jam, asalkan dapat tidur di rumah sendiri.

"Tidak dinafikan cara sebegini memang cukup memenatkan kerana perlu berulang-alik setiap hari dalam keadaan sekarang, tetapi saya bersyukur kerana setakat ini tidak berasa terlalu penat," jelasnya yang menjalani penggambaran selama 10 hari.

Bagaimanapun, pelakon itu menyatakan ia merupakan telefilem terakhir yang akan dilakonkan dan selepas itu barulah dia betul-betul akan berehat sementara menunggu waktu melahirkan anak yang dijangka pada bulan Julai ini.

IZREEN mengakui tetap berlakon biarpun usia kandungannya kini mencecah tujuh bulan kerana dia bosan berehat di rumah.


Rahsiakan jantina

Bercerita lebih lanjut tentang kehidupan sepanjang mengandung anak sulung, Izreen memberitahu dia dan suaminya berasa cukup gembira menanti kelahiran cahaya mata mereka.

Ujarnya, untuk persiapan pula kira-kira sudah 90 peratus selesai dilakukan, terutamanya membeli barangan bayi dan kini dia sedang membuat persiapan mental dan fizikal untuk bergelar seorang ibu.

"Saya agak bernasib baik kerana sewaktu awal kehamilan dulu saya tidak mengalami sebarang alahan atau muntah-muntah seperti kebanyakan wanita mengandung yang lain, kecuali berasa sedikit penat.

"Kini, saya sudah semakin selesa dalam keadaan sebegini dan masih mampu bergerak aktif termasuk berlakon. Lagipun, ramai yang kata wanita mengandung yang aktif mudah melahirkan anak," ujarnya.

Berkenaan dengan jantina anak yang dikandungnya pula, pelakon itu memberitahu melalui pemeriksaan yang dilakukan dia dan suaminya memang sudah mengetahuinya.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk tidak mengumumkannya lebih awal dan merahsiakannya terlebih dahulu sehinggalah dia bersalin nanti.

"Selagi saya tidak bersalin biarlah jantina anak saya dirahsiakan dahulu. Lagipun pemeriksaan yang dilakukan itu tidak semestinya tepat, namun saya tidak kisah sama ada bayi yang akan dilahirkan nanti lelaki atau perempuan," jelasnya.

Makin diterima

Mengenai perkembangan terhadap kerjaya lakonannya pula, Izreen menyatakan dia cukup gembira kerana penampilannya di kaca televisyen semakin diterima ramai.

Ujarnya, sepanjang bergelar pelakon selama lapan tahun, kini sudah ramai penerbit dan pengarah telah memberikan kepercayaan buat dirinya untuk melakonkan watak-watak utama.

"Kerjaya lakonan saya bermula dari bawah iaitu sebagai pelakon tambahan sahaja. Kemudian kemunculan saya dalam drama bersiri Juvana pada tahun lalu menyebabkan nama saya mula menjadi sebutan ramai.

"Selepas itu saya semakin dilimpahi dengan tawaran lakonan, terutamanya drama popular seperti Tentang Dhia, Julia dan Sehangat Asmara. Menerusi drama-drama tersebut peminat sudah mula nampak kebolehan saya dalam dunia lakonan," jelasnya.

Ketika ditanya sama ada dia berasa kesal kerana mendirikan rumah tangga dan bakal memiliki anak ketika kariernya sedang memuncak, Izreen menegaskan tidak ada apa yang perlu dikesalkan kerana menganggap ia merupakan satu rezeki yang tidak ternilai.

Ujarnya, dia sendiri seorang wanita yang begitu suka kepada kanak-kanak, malah dia dan suami tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata dalam tempoh-tempoh tertentu.

"Tidak dinafikan ramai yang beranggapan pelakon yang sudah berkahwin dan memiliki anak, maka rezeki dalam lakonan semakin berkurangan. Bagi saya, peminat sekarang sudah semakin bijak menilai.

"Jadi, status seseorang itu sebenarnya bukanlah penghalang utama untuk meneruskan karier lakonan. Saya juga sangat berterima kasih kepada penerbit dan pengarah yang terus memberikan tawaran lakonan, meskipun kini saya sedang sarat mengandung," ujarnya mengakhiri bicara.

Debaran finalis Da'i

Posted:

Debaran finalis Da'i

Debaran finalis Da'i

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DARI kiri: Mohamad Azamudin, Nor Adibah dan Muhammad Tajdid Hadhari bakal bersaing pada peringkat akhir Da'i Pendakwah Milenia (Da'i) pada Sabtu ini.


SETELAH bersiaran selama 13 minggu, program realiti Da'i Pendakwah Milenia (Da'i) yang mencungkil bakat pendakwah muda sudah menuju episod kemuncak apabila tiga peserta terpilih untuk bersaing dalam acara akhir pada Sabtu ini.

Dengan pelbagai cabaran yang ditempuh seramai 12 peserta, akhirnya tuah berpihak kepada Mohamad Azamudin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Romli dan Nor Adibah Rozain yang akan merebut gelaran juara Da'i untuk musim pertama.

Dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada minggu lalu, ketiga-tiga finalis meluahkan rasa berdebar dan bersyukur mereka kerana terus bertahan sehingga ke peringkat akhir.

Salah seorang finalis iaitu Muhammad Tajdid Hadhari menyatakan sepanjang menyertai program tersebut, pelbagai pengalaman yang diraih dalam usaha untuk bergelar seorang pendakwah.

"Untuk tugasan akhir kami bertiga telah diberi tugasan yang agak mencabar iaitu tinggal bersama keluarga angkat orang Asli di Sungai Siput, Perak selama tiga hari.

"Sepanjang berada di sana kami perlu melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, memberi tazkirah dan bimbingan agama kepada keluarga angkat masing-masing," ujarnya tentang tugasan terakhir yang perlu dilalui peserta.

Menurut Hadhari, dia agak bernasib baik kerana mendapat keluarga angkat yang beragama Islam. Namun begitu, tugasnya sedikit sukar kerana keluarga angkatnya itu memiliki fahaman Islam yang agak cetek.

Berkenaan dengan persiapan menjelang saingan akhir pula, peserta yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu memberitahu ketika ini dia banyak membaca tentang isu-isu semasa yang berlaku agar lebih banyak maklumat yang diperoleh.

"Salah satu segmen yang perlu dilalui peserta adalah sesi tazkirah pendek selama tiga minit dan topiknya pula akan diberikan oleh pengacara program. Jadi, kami perlu memberikan hujah dan fakta yang tepat berserta dengan hadis di hadapan pihak juri.

"Jadi, saya perlu membuat persiapan yang cukup rapi dan saya perlu merujuk banyak bahan bacaan supaya tazkirah yang disampaikan nanti tidak tersilap fakta," jelas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Sementara itu, berlainan pula dengan pengalaman yang dilalui oleh seorang lagi peserta iaitu Azamudin apabila mendapat keluarga angkat yang bukan beragama Islam.

Mengakui tanggungjawab yang diberikan kepadanya itu sangat berat dan mencabar, dia tetap melaksanakan tugasan yang diberikan sebaik-baiknya untuk menarik minat keluarga angkatnya itu kepada Islam.

"Matlamat utama saya menyertai program ini adalah mahu menjadi seorang pendakwah yang baik. Jadi, saya tidak merasakan tekanan yang kuat apabila berhadapan dengan cabaran sebegitu.

"Antara cara yang saya lakukan ialah menceritakan keindahan serta ajaran Islam yang cukup mudah untuk diikuti. Bagaimanapun, tempoh selama tiga hari memang tidak mencukupi untuk tugasan dakwah, tetapi saya sudah lakukan yang terbaik," ujarnya.

Mengenai persaingan dengan Hadhari dan Adibah untuk merebut gelaran juara, peserta lepasan Diploma Pendidikan Islam, Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) itu menganggap setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing.

"Kemenangan bukanlah menjadi keutumaan kerana apa yang lebih penting tugas sebagai pendakwah akan tetap diteruskan setelah rancangan ini berakhir dan berharap mempunyai sebuah program dakwah sendiri yang disiarkan di televisyen," ujarnya.

Peserta wanita

Bagi satu-satunya peserta wanita yang layak ke peringkat akhir, Adibah menyatakan dia tidak berasa rendah diri untuk bersaing dengan peserta lelaki.

Menurut Adibah, dia berasa bangga apabila dapat menyertai program tersebut dan berharap agar lebih ramai golongan wanita yang akan menjadi pendakwah pada masa akan datang.

"Saya mempunyai pendapat yang sama bahawa kemenangan bukanlah matlamat utama. Kalau boleh saya ingin membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi seorang pendakwah yang baik.

"Selepas ini saya akan kembali menyambung pelajaran di universiti dan saya mahu fokus untuk berdakwah kepada golongan mahasiswa pula," ujarnya yang kini sedang menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan TESL.

Peserta yang bakal menyandang gelaran juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000. Saingan akhir akan disiarkan secara langsung pada Sabtu ini di TV3 pada pukul 5.30 petang.

Aliff tak mati tanpa cinta

Posted:

Aliff tak mati tanpa cinta

Aliff tak mati tanpa cinta

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


ALIFF turut hadir ke majlis meraikan Adira Fans Club (AFC) pada Februari lalu. Hubungan mereka kini sudah renggang.


KONTROVERSI percintaan penyanyi muda kelahiran Singapura ini, bukan hanya sekali. Namun, setelah beberapa bulan digosipkan sedang bercinta, Aliff Aziz sekali lagi mengalami peristiwa pahit dalam kisah cintanya bersama penyanyi genit, Adira.

Sebelum itu, episod kisah cintanya bersama pelakon, Anne Ngasri juga bukan lagi sebuah rahsia. Aliff secara terbuka menceritakan hasrat dirinya ingin mengahwini janda beranak tiga dan kesudahannya, putus di tengah jalan.

Ada yang berkata, perasaan yang mudah jatuh cinta menyebabkan dirinya kecewa beberapa kali dalam percintaan.

Namun, akui Aliff, dia bersyukur kerana diberi dugaan pada usia muda dan mahu belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.

Ikuti temu ramah Kosmo! bersama pemuda berusia 21 tahun ini yang ditemui di majlis makan tengah hari di Hotel Royal, Kuala Lumpur, semalam, tentang kisah hatinya.

Kosmo!: Bolehkah Aliff ceritakan tentang perkembangan anda sekarang?

Saya kini terlibat dengan penggambaran drama gandingan bersama Aida Aris yang berjudul Nurul Kasih. Selain itu, saya juga terbabit dengan drama Epilog Cinta Kirana dan Gerhana.

Kenapa terima banyak tawaran dalam satu masa sehingga anda tidak terkejar dengan semua beban kerja?

Ini kerana saya sudah lama bercuti dan sudah puas berehat. Kini tiba masa untuk saya penuhkan jadual kerja. Saya akan buktikan pada semua orang saya juga bagus dalam bekerja, bukan hanya kontroversi kisah cinta.

Ada gosip yang mengatakan anda lambat ke set penggambaran dan kurang berdisiplin. Boleh komen?

Saya tidak menafikan, memang sekali dua saya ada terlewat kerana mungkin saya belum biasa dengan beban kerja yang sibuk seperti ini. Saya juga perlu beri masa untuk membiasakan diri saya sendiri. Ini bukan satu alasan, tapi saya terlajak tidur memang tidak disengajakan. Memang kadang-kadang, saya hanya dapat tidur selama tiga hingga empat jam sahaja. Bagaimanapun, saya tidak mahu merungut, kerana ini juga merupakan sumber rezeki buat diri saya sebagai anak seni.

Boleh komen tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Adira baru-baru ini. Adakah mungkin selama ini, dia tidak cintakan anda dan menganggap anda sebagai rakan sahaja?

Saya rasa biarlah kami berdua sahaja yang mengetahui status hubungan kami. Mungkin ada yang berkata, saya syok sendiri, tapi sekali lagi, biarlah kami berdua sahaja tahu apa yang terjadi di antara kami. Ini kerana perkara ini terlalu peribadi buat diri saya.

Sebelum ini, anda berdua tidak pernah menyatakan tentang status sebenar perhubungan. Jadi, sebenarnya bagaimana tahap perhubungan itu?

Saya tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai satu alasan kerana memang kami tidak pernah menyatakan bagaimana perhubungan kami. Namun, ramai yang telah lihat gambar-gambar saya dan dia di blog, tentang cincin dan sebagainya. Biarlah orang yang nampak itu, faham sendiri apa yang terjadi antara kami. Saya tidak mahu berbicara terlalu banyak, tapi kami memang sangat rapat satu ketika dahulu.

Apakah yang membuatkan perhubungan anda menjadi semakin renggang?

Mungkin terlalu banyak halangan untuk kami teruskan hubungan rapat ini. Saya tidak mahu terlalu berbicara kerana kelak perkara ini tidak akan punya penghujung kerana mungkin kami akan saling berbalas kenyataan. Jadi, perkara yang sudah berlalu, biarlah ia berlalu. Kini, kepentingan utama saya ialah tujuan saya datang ke Malaysia adalah untuk mencari rezeki.


HUBUNGAN lama antara Aliff dengan Anne Ngasri juga berakhir dengan perpisahan.


Bagaimana pula dengan status di laman Twitter anda?

Saya tidak menyatakan nama sesiapa dan ia boleh jadi sesiapa pun. Sejujurnya, perkara tersebut, bukan untuk publisiti kerana saya bukan jenis yang mahu meraih populariti melalui kontroversi sedemikian. Ia tidak berbaloi langsung untuk karier saya. Kini, tanggungjawab saya ingin tunjukkan kepada keluarga dan peminat saya yang saya memang punya bakat dalam apa yang saya lakukan.

Adakah anda seorang yang mudah jatuh cinta, terutamanya cinta lokasi bersama artis?

Saya seorang yang manja dan suka berkongsi masalah dengan seseorang yang rapat. Ada yang pernah berkata, saya kalau tidak ada cinta, umpama saya boleh mati.

Maknanya, anda harus punya seseorang, tidak boleh hidup solo?

Bukan begitu, saya masih ada keluarga saya. Saya bukan seorang yang taksub bercinta. Saya ialah seorang yang mudah menyukai orang dan mungkin kini saya sudah mula tahu belajar untuk mengawal perasaan kerana sudah terkena.

Adakah anda serik untuk bercinta lagi?

Saya tidak mahu kata serik, saya tidak mahu pula menjadi bujang terlajak. Ini ialah ketentuan Tuhan, walau kita sudah jadi sebaik mungkin, jika tidak ditakdirkan bersama, maka tidak jadi juga.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved