Rabu, 3 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Filem Malaysia kembali 'panas'

Posted:

Filem Malaysia kembali 'panas'

Filem Malaysia kembali 'panas'

BABAK romantis Aaron Aziz dan Maya Karin dalam filem Ombak Rindu yang turut menampilkan babak ranjang lakonan kedua-dua pelakon popular itu.


ADEGAN panas atau sensasi bukan lagi perkara baharu dalam industri perfileman tempatan. Jika diperhatikan banyak filem tempatan yang kini berani memaparkan adegan panas seperti Ombak Rindu, Jiwa Taiko, Embun, Klip 3gp, Perempuan, Isteri dan ..., Panas, Mantra dan ...Dalam Botol.

Itu hanya beberapa judul sahaja.

Terbaharu, menerusi trailer filem Mencari Cinta lakonan Rusdi Ramli dan Nora Danish yang bakal ditayangkan tidak lama lagi menampilkan adegan ranjang dengan tubuh mereka hanya ditutupi dengan selimut.

Filem Sembunyi: Amukan Azazil arahan Kabir Bhatia juga tidak ketinggalan meraih perhatian penggemar filem.

Meskipun filem tersebut telah ditayangkan pada 28 Mac lalu, namun sehari selepas itu telah tersebar adegan malam pertama perkahwinan antara Remy Ishak dan Diana Danielle yang telah dipotong daripada filem tersebut.

Ironinya, video itu dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube oleh produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Menurut Kabir, dia sendiri tidak tahu menahu mengenai penyebaran video tersebut dan beranggapan mungkin itu merupakan strategi pemasaran produksi terbabit.

Persoalannya, adakah adegan panas relevan untuk pembikinan filem di Malaysia?

Ikut pengarah - Erma Fatima

Mengulas tentang perkara itu, kata pengarah terkenal Erma Fatima yang pernah mengarah filem Embun, keperluan sesuatu adegan panas bergantung kepada matlamat dan jalan cerita sesebuah filem.

Menurutnya, jika hendak dibandingkan karyawan filem Melayu zaman dahulu lebih bebas dan berani memaparkan adegan panas berbanding sekarang.

"Saya akui karyawan dahulu lebih berani berbanding hari ini yang banyak pantang larangnya.

Saya tidak boleh beri komen betul atau salah. Akhirnya semuanya terletak kepada prinsip pengarah dan perjalanan jalan cerita itu sendiri. Apa yang cuba pengarah sampaikan kepada penonton," ujarnya.

Embun yang ditayangkan pada tahun 2002 dan menelan kos sebanyak RM3 juta telah menimbul kontroversi dengan adegan rogol.

Akui Erma sebagai pengarah filem itu, dia telah dikritik hebat kerana dalam adegan tersebut telah menampakkan punggung salah seorang pelakonnya iaitu arwah Izi Yahya.

AKTOR Zul Suphiaan tampil berbogel dalam filem, Mantra.


"Apa yang saya cuba sampaikan (menerusi babak tersebut) adalah kesengsaraan wanita tempatan ketika itu - fakta bahawa mereka menjadi pemuas nafsu tentera Jepun.

"Saya cuba gambarkan keadaan yang sebenar. Memang adegan itu dilakukan tetapi saya menggunakan teknik yang bersesuaian. Bukannya ada babak berbogel.

"Masalahnya masyarakat kita ketika itu suka melihat adegan rogol itu daripada keseluruhan filem itu sendiri. Saya hadapi kritikan dengan buat tidak tahu sahaja," katanya.

Bukan daya tarikan - Shuhaimi

Pengarah terkenal, Datuk Paduka Shuhaimi Baba pula menegaskan, perjalanan serta visual yang lahir daripada sesebuah filem bergantung kepada pengarah produksi itu sendiri.

"Penulis skrip yang mereka cerita itu dan pengarah pula yang bertanggungjawab untuk mengarah filem itu. Jalan cerita dan idea semuanya daripada mereka berdua.

"Jika perlu, adegan panas itu terpulang kepada pengarah bagaimana dia ingin mengolah adegan tersebut.

"Harus diingat, sebuah filem harus melalui proses suntingan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum sampai ke penonton," ujarnya.

Tambah Shuhaimi, adegan panas dalam filem tempatan bukan merupakan daya tarikan buat penonton untuk ke pawagam.

"Ini kerana ia (adegan panas) bukanlah budaya Malaysia. Penonton kita datang ke panggung wayang untuk berehat dan mereka lebih suka menonton filem komedi dan cinta dalam keadaan yang selesa.

"Mereka bukannya menonton adegan panas beramai-ramai yang mungkin membuatkan sesetengah penonton tidak selesa.

"Kalau mereka ingin menonton adegan panas, buka sahaja internet, banyak adegan lebih panas di dalam internet daripada filem tempatan.

"Jadi, adegan panas bukanlah satu tiket menarik penonton kerana penonton kita tidak akan tertarik untuk menontonnya," tegasnya yang sedang sibuk dengan pembikinan filem terbaharu berjudul Regalia.

Adegan panas sensitif - Osman Ali

Osman Ali pula cukup dikenali dengan filem Ombak Rindu dan Jiwa Taiko. Bagaimanapun, kedua-dua filem arahannya itu menampilkan adegan ranjang watak-watak utamanya.

Ombak Rindu menyaksikan babak ranjangl Aaron Aziz dan Maya Karin, manakala Jiwa Taiko menampilkan babak intim atas katil antara Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.

"Susah untuk saya jawab secara spesifik sama ada relevan atau tidak adegan panas dalam filem. Secara am, ada sebab kenapa sesebuah adegan itu diadakan atas dasar mengikut perjalanan cerita.

"Jika mengikut kebebasan berkarya, ia semua terpulang kepada pengarah. Namun, melihat senario negara kita dengan masyarakat Melayu dan beragama Islam, saya rasa adegan panas yang keterlaluan tidak perlu diadakan," katanya.

Ujar Osman yang mempunyai pengalaman dikritik hebat menerusi dua filem arahannya, dia sedar masyarakat Malaysia sangat sensitif tentang adegan panas.

"Kadangkala sebagai pengarah, kita terlalu teruja untuk menggambarkan realiti sesuatu adegan. Selepas melihat respons peminat, akhirnya saya sedar yang saya buat filem bukan untuk diri saya tetapi untuk pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya harus berpijak di bumi yang nyata, di mana filem itu dibikin dan ditayangkan.

"Oleh itu, saya akan lebih berhati-hati dalam membikin filem untuk tontonan orang Malaysia.

"Jika perlu menggambarkan adegan berahi, saya harus memikirkan cara lain supaya tidak menyinggung mana-mana pihak," tegasnya.

Menurut Osman lagi, setiap pelakon mempunyai peminat tegar mereka sendiri. Jika adegan yang dilakukan pelakon pujaan bersifat negatif, peminat juga tidak akan berpuas hati.

"Peminat akan marah kenapa pelakon pujaan mereka melakonkan watak sedemikian rupa. Buat apa buat filem yang peminat tidak suka kerana yang akan pergi menonton adalah peminat kepada pelakon itu sendiri," ujarnya yang sibuk dengan penggambaran filem terbaharu, Pilot Cafe.

Ada batasan - Ana Dahlia

Aktres Ana Dahlia pernah mencetuskan kontroversi kerana keberaniannya mendedahkan belakang tubuh untuk filem Mantra.

Kini, dia mengakui telah belajar daripada kesilapan lalu.

"Adakalanya pelakon terleka dan akhirnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan. Hendak kata silap, tidak boleh juga sebab saya sendiri pernah terbabit dalam adegan panas.

"Saya sendiri mengambil iktibar. Setiap tindakan yang diambil ada kesan baik dan buruk. Terpulang kepada seseorang untuk melakonkan atau tidak, kerana sebagai manusia kita berhak untuk memilih," ujarnya.

Bagaimanapun, kini Ana enggan lagi melakonkan watak yang memerlukan dia mendedahkan tubuh badan di layar perak.

"Sekarang ada batasnya. Saya akan lihat skrip terlebih dulu, jika di luar batasan saya sebagai pelakon boleh fikir sendiri dan menolak tawaran tersebut," tuturnya.

BABAK malam pertama sepasang suami isteri dalam filem Sembunyi: Amukan Azazil lakonan Diana Danielle dan Remy Ishak di ranjang kini tersebar dengan meluas di YouTube.


Penonton harus faham - Nadiya Nisaa

Aktres popular Nadiya Nisaa mengatakan pelakon mempunyai hak untuk melakonkan atau menolak adegan panas.

Ujar Nadiya yang pernah melakonkan adegan ranjang bersama aktor Bront Palarae menerusi Jiwa Taiko, keperluan sesebuah adegan panas bergantung kepada jalan cerita.

"Saya sendiri pernah melakonkan adegan sedemikian. Adegan panas itu perlu untuk menggambarkan betapa liarnya watak yang saya lakonkan.

"Sebenarnya saya bersetuju untuk melakonkannya kerana telah diberitahu lebih awal oleh pengarah dan paling penting, saya lihat siapa pasangan saya.

"Saya dan Bront telah kenal lama dan memudahkan proses lakonan. Paling penting, saya harus selesa dengan diri saya sendiri.

"Jika tidak selesa, adegan itu tidak mencapai misi untuk memperlihatkan babak berahi antara watak itu. Sebaliknya, ia akan nampak pelik dan penonton pun jelik untuk menontonnya," ucapnya.

Tambah Nadiya, penonton sebenarnya tidak faham bagaimana sesuatu babak panas itu dilakukan. Pelakon Malaysia bukan seperti di Barat yang bebas berpelukan tanpa seurat benang.

"Adegan panas dilakukan dengan teknik kamera. Tiada istilah melakonkan adegan panas seperti ia benar-benar berlaku. Sebagai pelakon di Malaysia, saya faham batasan yang dibenarkan tetapi selepas disunting adegan itu kelihatan seperti benar berlaku," tuturnya.

Bimbang adegan panas - Rusdi Ramli

Aktor Rusdi Ramli mengakui dia bimbang kontroversi akan tercetus impak adegan ranjangnya bersama Nora Danish dalam filem Mencari Cinta.

Mengulas tentang adegan ranjang yang menjadi bualan hangat itu, kata Rusdi dia percaya pengarah mempunyai sebab yang kuat untuk mewujudkan adegan tersebut.

"Sebagai pelakon sudah menjadi tanggungjawab saya memenuhi kehendak pengarah. Bagaimanapun saya akui sedikit risau dan takut ketika melakonkan adegan tersebut.

"Saya tidak ada sebarang masalah melakonkan adegan panas yang dimaksudkan kerana Nora seorang pelakon yang bagus," katanya.

Filem panas melampau Indonesia

Posted:

Filem panas melampau Indonesia

Filem panas melampau Indonesia

Oleh HARYATI KARIM

DEWI PERSIK banyak melakonkan babak panas melampau dalam filem-filem seram lakonannya.


JIKA hendak dibandingkan antara filem Malaysia dan Indonesia, sudah tentu produksi negara jiran itu lebih hebat dan berani dalam memaparkan adegan panas.

Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah trend ataupun sudah menjadi identiti pengkarya filem Indonesia.

Namun, adegan panas dan unsur berahi yang disifatkan berlebihan sememangnya sering diselitkan terutamanya menerusi filem-filem seram.

Jika filem seumpama itu diterbitkan di Malaysia, sudah pasti awal-awal lagi pihak Lembaga Penapisan Filem akan memotong adegan-adegan panas tersebut.

Malah, pengkarya tempatan juga tidak akan membikin adegan panas tanpa sebab yang boleh membuatkan filem mereka dibekukan daripada tayangan atau mengundangkan kemarahan masyarakat tempatan.

Kosmo! menyenaraikan beberapa buah filem Indonesia yang menyelitkan adegan panas melampau.

1) Mafia Insyaf

Pelakon: Atiqah Hasiholan, Tora Sudiro, Indah Kalalo, Ferry Ardiansyah, Jaja Miharja, Anindhika, Zaki Zimah, Kiran Shindhu dan Guntur.

Filem ini mengisahkan tentang seorang pewaris mafia bernama Kendra (lakonan Tora Sudiro). Dia jatuh cinta kepada seorang pegawai polis yang sedang menyamar iaitu Selma (Atiqah Hasiholan). Permulaan filem ini menonjolkan adegan di tepi kolam renang dengan ramai wanita memakai pakaian bikini mengelilingi Kendra.

2) Asmara Dua Diana

Pelakon: Jamie Aditya, Luna Maya, Aura Kasih, Mario Maulana, Jose Rizal Manua, dan Restu Sinaga.

Asmara (Jamie Aditya) mengahwini Diana Wulandri (Luna Maya) yang cantik dan merupakan anak tunggal seorang ahli perniagaan kaya di Jakarta. Perniagaan keluarga Diana kemudian diserahkan kepadanya. Masalah Asmara hanya satu, iaitu dia tidak setia dengan seorang wanita. Suatu hari, Asmara bertemu dengan Diana Dwiyana (Aura Kasih) yang seksi dan mempesona. Bermulalah episod kekacauan dalam kehidupannya.

3) Skandal

Pelakon: Uli Auliani, Mario Lawalata, Mike Lucock dan Laras Monca.

Mischa (Uli Auliani) bosan dengan kehidupan rumah tangganya. Suaminya, Aron (Mike Lucock) sibuk dengan pekerjaan baharunya. Namun, Mischa menyangka Aron bermain cinta dengan setiausahanya. Kehidupan Mischa kembali ceria apabila dia bertemu dengan bekas kekasihnya bernama Vincent (Mario Lawalata).

4) Hantu Puncak Datang Bulan

Pelakon: Andi Soraya, Trio Macan, Tesa Mariska, Ferly Putra, Rizky Mocil dan Andreano Phillips.

Filem ini dimulai dengan pasangan yang mabuk asmara bernama Rini dan Andi. Kedua-duanya kemudian mati akibat kecelakaan. Mereka berdua masing-masing bertukar menjadi pocong dan kuntilanak lantas menghantui penghuni rumah sewa yang pernah didiami mereka.


Filem Suster Keramas tidak ketinggalan menampilkan banyak adegan panas yang melampau.


5) Paku Kuntilanak

Pelakon: Dewi Persik, Heather Storm, Keith Foo, Rizky Mocil, Hardi Fadhillah dan Edi Brokoli.

Trio pemburu mayat iaitu Sukun, Obeng dan Odjie mencari kuntilanak yang kembali menjelma menjadi manusia setelah paku di kepalanya dicabut secara tidak sengaja oleh Pak Joko. Pak Joko dipaksa berkahwin oleh ibunya kerana belum juga menemui jodoh pada usia tua. Dia kemudian jatuh cinta kepada seorang wanita jelita bernama Kunti. Wanita itu sebenarnya kuntilanak yang diburu trio pemburu mayat tersebut.

6) Suster Keramas

Pelakon: Herfiza Novianti, Shinta Bachir dan Rin Sakuragi.

Mengisahkan tentang seorang wanita Jepun yang mencari saudaranya yang sebelum ini bekerja sebagai jururawat di Indonesia. Ironinya, saudara yang dicarinya itu sudah meninggal dunia dan sudah menjadi hantu. Hantu jururawat tersebut kini menghantui tiga sahabat baik iaitu Kayla, Barry dan Ariel.

7) Diperkosa Setan

Pelakon: Cynthiara Alona, Teguh Julianto, Mastur, Nia, Elfrida Manik dan Winda Amanta.

Seorang pemuda bernama Rico mati akibat dicekik oleh kuntilanak. Dia kemudian telah menghantui kehidupan seorang gadis cantik, Marsya. Hantu Rico kemudian merogol Marsya dan menyebabkan gadis itu kemudian melahirkan anak yang menyerupai toyol.

Kaji gajah daripada tahi

Posted:

Kaji gajah daripada tahi

Kaji gajah daripada tahi

Oleh ADLAN JAAFAR


NAJIS gajah mempunyai bentuk bulat berketul.


SETIAP dua minggu sekali, Steven Lim Boon Hock, 50, pergi ke lokasi-lokasi tertentu di Kompleks Hutan Belum-Temengor (BTFC) bagi meninjau dan melakukan kerja-kerja penyelidikan berkaitan gajah seperti pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau merupakan Pengurus Projek Lapangan Pengurusan Dan Ekologi Gajah-Gajah Malaysia (MEME) memberi fokus kepada dua bahagian iaitu pemakanan dan kehidupan koloni haiwan darat terbesar itu.

MEME merupakan sebuah badan bebas bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan penyelidikan mengenai gajah di Malaysia.

Sebaik kaki Steven dan dua orang pembantu berketurunan Orang Asli memijak daratan dipanggil sira gajah selepas perjalanan menaiki bot lebih sejam, bau wangi buah mangga begitu menusuk hidung.

"Sekarang sedang musim buah dan ini merupakan makanan kegemaran gajah," ujar Steven kepada penulis sambil memegang buah mangga. Buah-buah mangga ranum yang gugur kelihatan merata-rata di permukaan tanah.

Garam galian

Sira gajah mempunyai landskap berbukit dan merupakan tempat gajah mendapatkan nutrisi tambahan dengan menggali tanah yang mengandungi tinggi garam galian.

"Gajah juga merupakan frugivora dan pasukan kami sedang dalam kajian untuk menentukan jenis buah yang menjadi makanannya," terang Steven. Frugivora bermaksud haiwan yang makan buah sebagai makanan utama.

Kajian dijalankan dengan melihat pada najis gajah yang ditinggalkan di kawasan tersebut. Najis gajah berbentuk bulat berketul-ketul.

Bahan buangan itu mempunyai fiber. Hasil diet gajah yang makan rumput gajah atau napier membuatkan tahi seperti berbungkus. Jika dibungkas, biji benih daripada buah yang dimakan boleh ditemui.

Menurutnya, gajah-gajah di BTFC sangat sihat kerana rumput napier yang tumbuh di kiri kanan Lebuh Raya Timur-Barat memberi sumber makanan yang cukup.


GAJAH ini ditemui penulis bersama rombongan MEME di tepi Lebuh Raya Timur-Barat pada waktu malam baru-baru ini.


Sebab itulah, pemandu yang 'bertuah' melalui jalan itu pasti bertembung dengan gajah yang melintas pada waktu malam.

MEME juga menjalankan kerja-kerja ad hoc seperti mengadakan rondaan jika mendapat informasi daripada penduduk kampung Orang Asli.

Selain kajian terhadap pemakanan gajah, MEME menjalankan program pemakaian kolar yang dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

Ia bertujuan untuk memantau dan menyelidik pergerakan dan laluan yang sering digunakan gajah terutamanya di tempat-tempat yang berlaku konflik antara gajah dan manusia.

"MEME telah memasang kolar pada 15 ekor gajah dan kami menyasarkan 50 ekor kesemuanya dalam tempoh tiga tahun," ujar Steven.

Konflik manusia-gajah pernah direkodkan pada tahun 1895 apabila kawasan hutan mula diteroka dan gajah ditangkap dan dijinakkan.

Keadaan konflik paling teruk pernah berlaku sekitar tahun 70-an hingga 80-an kerana pada waktu itu banyak kawasan hutan dibuka untuk tujuan pertanian seperti kelapa sawit dan getah.

"Sebanyak 549 kes aduan konflik gajah dilaporkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sepanjang tahun 2012," kata Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Konservasi Biodiversiti, Perhilitan, Salman Saaban ketika dihubungi melalui e-mel.

Terdapat tiga usaha utama yang dijalankan oleh Perhilitan dalam menangani masalah tersebut iaitu tembak-halau, tangkap-pindah dan pemasangan pagar elektrik.

Teknik tembak-halau digunakan di kawasan konflik yang terletak berdekatan dengan hutan luas. Tembakan ke udara dilepaskan bagi menakutkan kumpulan gajah, seterusnya melarikan diri ke dalam hutan dan tidak mengganggu lagi.

Tangkap dan pindah pula digunakan bagi menangani masalah konflik di kawasan pertanian yang berhampiran dengan habitat gajah yang terkepung.

"Gajah terlibat ditangkap ditembak dengan ubat pelali dan dipindahkan ke habitat yang lebih luas serta sesuai," terangnya lagi.

Antara habitat yang lebih sesuai seperti di Taman Negara, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Negara Endau-Rompin.

Kaedah pemasangan pagar elektrik khusus bagi mengatasi masalah gangguan di perkampungan yang berhampiran dengan kawasan hutan di kampung-kampung Orang Asli di Hutan Temengor.

Gajah ada perasaan sedih

"Setakat ini, langkah-langkah yang diambil telah berjaya menyelesaikan konflik gajah di kawasan-kawasan berkenaan," kata Salman membuat kesimpulan.

Gajah mempunyai daya ingatan yang kuat terutamanya sesuatu yang memberi ia kesakitan atau bahaya, kata Veterinar Zoo Negara, Dr. Muhamad Danial Felix, 46.

CCTV dipasang bagi merakam pergerakan dan kelakuan kumpulan gajah.


Malah, mamalia daratan terbesar itu juga memiliki perasaan sedih. Ia dibuktikan secara saintifik melalui kajian terhadap air kencing yang diambil ketika gajah mengalami tekanan.

Terdapat satu tempoh masa berkala apabila gajah jantan akan menunjukkan perlakuan yang sangat agresif. Waktu itu dipanggil musth, ketika tahap testosteron berada pada peringkat tinggi.

"Waktu ini kebanyakan orang memanggil gajah naik minyak dan ia berlaku setiap tahun," katanya.

Musth dapat dikesan dengan melihat sejenis cecair yang keluar daripada kelenjar temporal gajah. Haiwan itu boleh menjadi ganas kepada manusia walaupun sebelum ini bersikap mesra.

Gajah hidup secara berkumpulan antara 10 hingga 15 ekor yang terdiri daripada betina dan anak-anak. Gajah jantan akan menyertai kumpulan apabila mahu mengawan.

Gajah betina bunting sehingga 24 bulan dan menjaga anak sampai mencapai usia antara empat hingga lima tahun.

Gajah terbahagi kepada dua spesies iaitu gajah Afrika dan Asia yang boleh dikenal pasti melalui ciri fizikal seperti saiz badan dan bahagian kepala yang gajah Asia yang berbonggol, manakala Afrika tampak rata.

"Perbezaan itu tiada fungsi asas, cuma adaptasi terhadap persekitaran," ujar Muhamad Danial ringkas.

Dalam dunia liar, gajah boleh mencapai usia lebih 60 tahun.

Gajah pigmy yang boleh ditemui di Sabah pula barangkali subspesies gajah Asia selepas perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan pada tahun 2003.

Awal tahun ini, Malaysia dikejutkan apabila bangkai 10 ekor gajah pigmy ditemui mati akibat diracun di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau, Sabah.

Kesemuanya dipercayai satu keluarga dan dijumpai mati di tiga lokasi tidak jauh antara satu sama lain sejak 29 Disember 2012 hingga 24 Januari lalu.

Imej seekor anak gajah yang mendekati ibunya yang telah terbungkam sungguh menyayat hati. Ia bukti jelas bahawa haiwan tersebut sangat mengenali ibunya dan tahu rasa sedih.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved