Rabu, 3 April 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Percutian sempurna di Resorts World Kijal

Posted:

Percutian sempurna di Resorts World Kijal

Percutian sempurna di Resorts World Kijal

Oleh ALIF ABU BAKAR

KETENANGAN kawasan resort ini mengundang kedamaian kepada setiap pengunjung.


DERUAN ombak dan sapaan bayu laut pasti mengundang ketenangan kepada sesiapa pun. Jika anda mencari lokasi percutian yang menyatukan keindahan lautan bersama resort gah dengan seni bina bercirikan Melayu, Resorts World Kijal adalah pilihan terbaik.

Saat kaki mula melangkah masuk ke pekarangan lobi utama resort di jalan utama Kemaman-Dungun, Terengganu, anda sudah pasti berasa teruja.

Seni bina Melayu berasaskan kayu yang menghiasi atrium berketinggian 24 meter di ruang menunggu Resorts World Kijal ternyata sangat mengagumkan.

Sambil menanti giliran bagi mendaftar masuk ke bilik, mata tidak akan letih melilau menyaksikan panorama ringkas sekililing. Tiada lampu mahupun penyaman udara dilihat pada segenap ruang tersebut, segalanya bergantung kepada alam semula jadi dengan suria menjadi cahaya pada waktu siang dan angin pantai yang menyamankan tetamu sepanjang 24 jam.

Sejurus kunci kamar diserahkan, rasa tidak sabar untuk merebahkan diri di atas katil. Perjalanan sejauh kira-kira 300 kilometer (km) yang memakan masa kira-kira tiga jam dari ibu kota Kuala Lumpur cukup membuatkan badan diundang keletihan.

Namun sebaik sahaja pintu bilik dikuak, mata yang sebelum ini mengantuk kembali segar. Tirai kamar yang diselak seterusnya memaparkan hamparan Laut China Selatan yang membiru. Jendela yang dibuka secara langsung menjemput masuk semilir laut ke dalam ruangan kamar Premier (Seaview) itu.

Pemandangan indah begitu dapat dinikmati majoriti pengunjung yang menginap di resort yang dahulunya dikenali dengan nama Awana Kijal Golf, Beach & Spa resort.

Tetamu boleh memilih sama ada mahu tinggal di unit Deluxe dan Premier (Non Seaview atau Seaview). Bagi mereka yang hadir dengan famili besar, unit Deluxe Suite, Premier Suite atau Duplex mampu memenuhi keselesaan seisi keluarga.

Gastronomi

Sesudah bersiap untuk memulakan aktiviti liburan, jangan lupa mengisi perut di Restoran Kampong Meraga Beris setibanya waktu makan tengah hari. Hidangan gulai kawah menjadi signatur kegemaran tetamu yang wajib dicuba. Selera tekak terhadap menu desa mampu dipuaskan menerusi seleksi hidangan yang disajikan.


AKTIVITI petang seperti menunggang ATV bersama ahli keluarga pasti menyeronokkan.


"Kami banyak menyediakan makanan tradisi Terengganu seperti nasi dagang yang dihidangkan bersama ikan tongkol ketika sarapan. Aneka kuih Melayu termasuk cara, akok, puteri mandi dan onde-onde turut menjadi makanan yang mesti dicuba di sini.

"Setiap tiga bulan, kita akan menukar gandingan menu agar kepelbagaian itu dapat diwujudkan. Pada musim tengkujuh, kita juga menawarkan menu istimewa berupa sup herba dan sup tulang rawan bagi memanaskan badan yang kesejukan," ujar Chef Eksekutif Resorts World Kijal, Abu Bakar Jaafar.

Selain Kampong Meraga Beris, pengunjung juga boleh merasai pengalaman gastronomi di tiga lagi restoran dan kafe di situ. Jika Kampong Meraga Beris berkonsep bufet, mereka yang gemarkan ala carte bolehlah ke Kafe Waterfall. Sesi minum petang anda pasti lengkap dengan sajian keropok lekor dan lemang Kijal di Waterfall ditambah pula dengan keenakan air kelapa vanila.

Luaskan eksplorasi makanan di Resorts World Kijal dengan berkunjung pula ke Oasis Hut menjelang malam. Lokasinya di tepi pantai dengan penyediaan beberapa meja berbumbungkan langit gelap menghadirkan momen romantik saat menjamu selera.

Jutaan bintang yang menghiasi langit seakan-akan berkedip mengikut alunan pukulan ombak yang seirama menghempas pantai. Tambah istimewa apabila pengunjung dihiburkan oleh duo penyanyi suami isteri yang merdu mendendangkan lagu-lagu pelbagai rentak.

Aktiviti

Hari baharu di resort itu perlu dimulakan dengan menikmati detik terbitnya matahari. Perlahan-lahan, cahaya jingga muncul di ufuk timur nun jauh di lautan tanpa penghujung. Ternyata saat istimewa itu melahirkan kedamaian jiwa dan membuatkan kita menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.

Disebabkan kebanyakan aktiviti menarik di persekitaran resort itu hanya sesuai dijalankan pada waktu malam, pengunjung boleh mengisi masa senggang yang ada dengan rangkaian riadah yang ditawarkan di situ.

Pencinta sukan golf amat disarankan mencabar skil mereka di padang golf yang menawarkan 18 lubang untuk diterokai. Dipecahkan kepada dua padang iaitu Palma dan Rimba, kepenatan mengayun kayu golf mengelilingi resort itu tidak sedikit pun terasa ekoran ambien kawasan yang sungguh menenangkan.

Sementara golongan bapa memanaskan badan di padang golf, si ibu dan anak-anak gadis pula perlu menggunakan kesempatan penginapan di resort itu dengan berkunjung ke Spa Taman Sari Royal Heritage.

Manjakan diri anda dengan urutan Jawa menggunakan produk terbaik Mustika Ratu. Sebanyak 13 jenis minyak pati ditawarkan kepada pengunjung dengan minyak soya menjadi asas segala minyak.

Bagi urutan relaks, minyak ros wangi Indonesia menjadi pilihan tepat manakala urutan bagi mengembalikan kesegaran sendi-sendi tubuh, minyak pati serai atau halia bukan lagi asing selaku penawar mujarab.

"Untuk aktiviti luar resort, kami menawarkan pakej bagi menyaksikan kelip-kelip di Sungai Yak Yah, penyu bertelur di Pantai Teluk Mak Nik dan lawatan ke zoo mini di Ibok. Setiap kawasan tarikan pelancong ini hanya terletak 20 minit perjalanan dari resort.


Manjakan diri di Spa Taman Sari Royal Heritage dengan urutan Jawa yang mengasyikkan.


"Pulau Kapas juga antara lokasi popular yang sering dikunjungi tetamu kami dan tiada halangan bagi mereka yang ingin ke Kuala Terengganu. Bagaimanapun mereka dinasihati keluar awal kerana perjalanan ke sana memakan masa kira-kira dua jam setengah," jelas Pengurus Besar Resorts World Kijal, Noorazudin Omar.

Waktu petang di resort itu pula merupakan waktu sempurna bagi menanggalkan sepatu serta menyinsing seluar sambil berjalan di atas pasir pantai yang lembut dan memutih. Pengunjung perlu tahu, pantai persendirian sepanjang 7.6 km itu tidak sesuai untuk aktiviti mandi laut disebabkan ombak besar dan lantai pantai yang mendap.

Namun pengunjung masih boleh mandi di gigi air sesudah berakhirnya musim monsun. Pada tempoh itu, bendera-bendera hijau yang dicacakkan di pantai dapat dilihat menandakan pantai selamat untuk sebarang aktiviti air.

Pastikan sebelum meninggalkan resort itu, jelajahi beberapa lokasi menarik di sekitar Kijal dan bandar Kemaman. Lupakan sejenak keropok lekor jika ke situ kerana lemang Kijal merupakan makanan tempatan yang lebih istimewa untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Kunjungan tetamu ke resort itu meskipun untuk tempoh singkat, cukup membuatkan diri berasa seperti di rumah. Kepuasan percutian akan terisi dengan sendirinya sesudah anda melangkah keluar dari resort itu, seolah-olah berpesan kepada anda agar kembali ke situ pada masa akan datang.

Jalur Gemilang terpanjang di Antartika

Posted:

Jalur Gemilang terpanjang di Antartika

Jalur Gemilang terpanjang di Antartika


SEMANGAT Malaysia Boleh menjadi pendorong kepada Muhammad Nur Azrul sepanjang ekspedisi solo ini.


TEPAT pukul 11 pagi waktu di Kutub Selatan pada 14 Disember tahun lalu, saya mula mengorak langkah untuk penjelajahan secara solo di benua Antartika dalam Ekspedisi Solo Malaysia - Antartika 2012 (ESMA 2012).

Dengan menggalas beg yang berisi 5,000 helai Jalur Gemilang, salji ais separas paha di Cuvervilla Island perlu saya redah.

Di samping salji tebal, tiupan angin kuat menjadi halangan utama dalam menempuh suhu sejuk yang mencecah 40 darjah Celcius di bawah paras beku

Setelah penat bertarung dalam salji tebal selama 45 minit, saya akhirnya berjaya merentangkan 5,000 helai Jalur Gemilang di Cuverville Island, Antartika.

Kejayaan tersebut merupakan sesuatu momen yang tidak dapat dilupakan kerana berjaya membawa nama Malaysia ke kawasan yang terkenal dengan ketinggian tahap kesejukannya itu.

Tugas tersebut bukan sesuatu yang mudah. Sepanjang ekspedisi 45 minit itu, saya tidak langsung memikirkan persekitaran yang sejuk. Zikir-zikir yang memuji nama Allah dan lagu kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, Negaraku menjadi peneman setia tatkala menahan kesejukan di samping memberi semangat kepada saya.

Ditemani penguin

Pada pukul 11.45 pagi, ratusan penguin merupakan sahabat yang pertama saya temui ketika mula menjejakkan kaki di pulau gelap dan berbatu itu. Penguin-penguin itu juga menjadi saksi kesungguhan saya sebagai warga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang secara solo di kutub selatan.

Selesai merentang dan mengibarkan Jalur Gemilang, saya melaungkan azan serta menunaikan solat sunat syukur kepada Yang Maha Esa di atas keizinan-Nya yang telah merealisasikan misi itu.

Selepas kejayaan saya menakluk banjaran Himalaya pada 1 hingga 22 Mei dua tahun lalu, misi solo di Antartika merupakan salah satu usaha untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.


PERJALANAN Muhammad Nur Azrul selama dua hari dari Ushuaia ke Antartika dengan menaiki kapal MS Expedition.


Misi solo itu bertujuan membantu mengutip derma bagi pesakit komplikasi jantung terutamanya kanak-kanak melalui Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum berangkat ke Antartika, pelbagai cabaran telah saya lalui terutamanya mengenai perihal kewangan.

Ada syarikat-syarikat swasta berjanji untuk menaja misi itu. Namun, semakin dekat tarikh ekspedisi, masih tiada jawapan yang sah daripada mereka.

Walaupun ekspedisi tersebut merupakan salah satu cara saya membantu kanak-kanak yang mengalami masalah komplikasi jantung, tiada institusi yang tampil membantu selain daripada IJN.

Bagi saya, dengan pengalaman dalam bidang rekreasi dan pendakian sajalah yang dapat membantu kanak-kanak untuk mengurangkan kos rawatan mereka selain daripada wang ringgit.

Sepanjang berada di benua Antartika, banyak perkara yang saya pelajari setelah melihat sendiri keindahan ciptaan Yang Maha Esa yang tidak terjangkau dek akal fikiran.

Tiger of the Snow

Saya juga sempat melawat kawasan Antartika yang sedang dikaji oleh pengkaji dari Argentina, Chile, Ukraine, Britain dan New Zealand yang mewakili Persatuan Antarabangsa Operator Pelancongan Antartika (IAATO). Ada juga pengkaji dari Malaysia yang telah menganggotai IAATO.

Bagi pengembara yang ingin menjelajah Antartika, anda perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh IAATO.

Antara peraturan yang telah ditetapkan ialah dilarang membuang sampah merata-rata, elakkan pembakaran terbuka, larangan membuang cecair atau pepejal ke dalam laut, merosakkan batuan atau bongkah ais serta mengambil sebarang artifak atau semula jadi seperti batu, tulang ikan paus dan kulit haiwan yang hidup di bumi Antartika.

Ketika misi itu, saya juga berpendapat bahawa Malaysia perlu mewujudkan pusat penyelidikan di Antartika dan menghantar wakil penyelidik untuk mengkaji perkara-perkara menarik di benua itu untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia.

Kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah apabila saya mendapat tepukan gemuruh daripada pengembara-pengembara dari negara lain ketika berada dalam kapal di atas kejayaan saya mengibarkan 5,000 Jalur Gemilang di Antartika.

Mereka juga menggelarkan saya dengan nama Tiger of The Snow kerana saya memakai baju simbolik Harimau Malaya yang berwarna oren dan hitam sepanjang perjalanan pulang.

AIS biru merupakan ketulan ais yang terapung di tengah-tengah Laut Antartika.


Walaupun ESMA 2012 dianggap mustahil, namun amanah yang digalas harus dizahirkan dengan sempurna.

Paling membanggakan saya, ekspedisi itu telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records menerusi kategori Jalur Gemilang terbanyak yang dikibarkan di Antartika pada tahun 2012.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang menjadi penaja utama dalam ESMA 2012.

Di samping itu, ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Wisma Putra dan Duta Besar Malaysia di Buenos Aires, Argentina, Datuk Zulkefli Yaakub sekeluarga serta semua warga kerja di kedutaan Besar Malaysia di Buenos Aires yang tidak henti-henti menyokong saya semasa saya berada di negara itu.

Tidak lupa juga kepada keluarga dan sahabat handai di Malaysia yang tidak henti menyokong saya.

Bersantai di Bukit Merah Laketown Resort

Posted:

Bersantai di Bukit Merah Laketown Resort

Bersantai di Bukit Merah Laketown Resort

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


TAMAN tema air sudah tentunya menjadi daya tarikan utama pelancong ke Bukit Merah Laketown Resort.


MENJADI satu-satunya pusat taman tema air di negeri Perak, Bukit Merah Laketown Resort menjanjikan percutian yang penuh bermakna untuk pengunjungnya.

Hanya tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur, 45 minit dari Pulau Pinang dan satu jam dari bandar raya Ipoh, Bukit Merah Laketown Resort menyediakan pelbagai kemudahan yang meliputi penginapan yang bersesuaian dengan bajet para pengunjung.

Sekiranya anda datang bersama keluarga, taman tema air pasti menjadi salah satu destinasi utama untuk kanak-kanak.

Dengan 14 permainan dalam taman tema air itu, pengunjung harus mencuba permainan Boomerang dan Giant Wet Bubble kerana ia satu-satunya permainan yang terdapat di Malaysia.

Pusat pelancongan yang dikelilingi tasik buatan seluas 2,832 hektar yang terhampar luas itu juga menyediakan aktiviti rekreasi bagi yang meminati sukan lasak.

Anda boleh memilih untuk melakukan sukan kayak, kayuhan bot, jet ski, menaiki kapal persiaran dan mencuba menunggang All-Terrain Vehicle (ATV) bagi memenuhi waktu lapang anda ketika berlibur di sana.

Pengurus Besar Kumpulan MK Land Hotel and Resort, Azhar Ahmad, memberitahu, pihaknya pasti akan mengadakan promosi untuk pengunjung menjelang cuti sekolah dan musim perayaan.

"Pakej istimewa ini turut dilengkapi dengan diskaun. Ia termasuk harga untuk taman tema, aktiviti rekreasi dan tempat penginapan.

"Selain itu, pihak kami juga giat mengadakan promosi mengenai pakej yang ditawarkan. Mengambil contoh, Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair). Pengunjung yang hadir ke pameran itu juga berpeluang mendapat promosi pakej istimewa yang ditawarkan oleh Bukit Merah Laketown Resort," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mengenai perihal penginapan, pengunjung tidak perlu risau kerana anda boleh menginap di Hotel Laketown selain daripada Kampung Air dan Hotel Apartmen Suria Servis.


BILIK Junior Suite sesuai untuk pelancong yang mahukan ruang bilik yang luas serta berdekorasi mewah.


Laketown Hotel menawarkan 173 buah bilik dengan empat pakej berbeza iaitu Bilik Superior, Bilik Deluxe, Junior Suites dan Executive Suites.

Bagi yang mempunyai bajet yang sederhana, anda boleh menginap di bilik Superior yang mempunyai satu katil bersaiz besar dan dua katil single.

Selain itu, hotel berkenaan juga antara yang paling hampir dengan kawasan utama pusat peranginan itu.

Bilik Deluxe yang berkeluasan 27 meter persegi pula sesuai untuk keluarga yang mahukan tempat penginapan selesa sepanjang bercuti di sana.

Pada waktu malamnya, pengunjung boleh mengikuti aktiviti kembara di Taman Eko.

Melalui pengalaman itu, pengunjung dapat mengenali haiwan dengan lebih dekat terutama haiwan yang jarang ditemui seperti binturung.

Anda juga berpeluang memberi makan dan menyentuh haiwan-haiwan tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved