Rabu, 24 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rokok elektronik bukan penyelesaian ketagihan

Posted:

Rokok elektronik bukan penyelesaian ketagihan

Rokok elektronik bukan penyelesaian ketagihan

KEPEKATAN nikotin tanpa piawaian dalam rokok elektronik boleh menyempitkan saluran darah sehingga mengakibatkan strok.


SUDAH bertahun Khairul Hanafi Othman, 32, cuba mencari solusi untuk menghentikan ketagihan merokok yang dialaminya sejak 11 tahun lalu. Masalah ketagihan merokok berlarutan sehinggalah tahun lalu, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mendapat perkhabaran mengenai kesihatan anak keduanya, Nur Salina yang berusia empat tahun menghidap penyakit lelah.

"Ketika menerima berita itu, saya merasa sangat bersalah kerana menjadi faktor utama kepada penyakit dialami Nur Salina," luah Khairul Hanafi yang bekerja dalam sektor awam ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.

Masalah seperti anak Khairul Hanafi sering berlaku kepada kebanyakan perokok pasif. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perokok pasif tidak merokok, tetapi terdedah kepada asap rokok sekurang-kurangnya 15 minit dalam masa dua hari untuk tempoh seminggu.

Perokok pasif mempunyai risiko 30 peratus lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru dan 25 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung. Kanak-kanak adalah lebih mudah mendapat asma akibat asap rokok. Selain itu, pertumbuhan paru-paru mereka akan terganggu dan menyebabkan otak menjadi lembab.

Selepas berkahwin, Khairul Hanafi pernah berhenti terus daripada merokok, tetapi hanya bertahan selama tiga bulan. Dia tidak mampu menahan diri dengan bau asap rokok daripada orang sekelilingnya.

"Sejak akhir tahun lepas saya mencuba sekali lagi, namun kali ini tidak seperti dahulu iaitu berhenti serta-merta," ujarnya.

Sebagai langkah permulaan, dia menggunakan rokok elektronik yang dibelinya pada harga RM250 di sebuah pusat beli-belah sekitar ibu kota.

"Seorang rakan memperkenalkan rokok tersebut kepada saya dan mengatakan ia mampu membantu perokok tegar untuk berhenti secara berkala," tambah Khairul.

Alat rokok elektronik terdiri daripada tiga komponen iaitu alat pengewapan (atomizer) yang lazimnya diklasifikasikan sebagai alat elektronik, bateri dan katrij boleh ganti mengandungi cecair nikotin.

Walaupun mula menunjukkan perubahan positif dari segi pengambilan rokok tembakau, Khairul Hanafi dirundung dengan masalah baharu apabila anak penyakit lelah anaknya bertambah kronik.

"Selepas bertemu dengan doktor, barulah saya mengetahui bahawa rokok elektronik itu juga menjadi punca kepada masalah lelah Nur Salina," jelasnya.

PENJUALAN rokok elektronik semakin berleluasa di sekitar ibu kota apabila pembeli boleh mendapatkannya dengan mudah dan murah.


Sakit dada

Berada dalam yang hampir sama dengan Khairul Hanafi, Amir Hidayat Sulaiman, 38, berhenti menggunakan rokok elektronik sejak dua bulan lepas. Niat untuk berhenti merokok tidak kesampaian apabila masih merokok dalam kuantiti yang banyak.

Dia beralih menggunakan rokok elektronik selepas percubaan mengambil gula getah nikotin selama empat bulan menemui jalan buntu.

"Saya mengambil rokok elektronik kerana terikut-ikut dengan kawan sepejabat yang juga penjual rokok itu," ujar Amir Hidayat ketika diwawancara Kosmo! di sebuah restoran makanan segera di KL Sentral.

Eksekutif muda di syarikat hartanah itu berkata, tiada perbezaan dari sudut kesihatan jika dibandingkan dengan rokok tembakau. Amir Hidayat masih lagi mengalami sakit dada sama seperti ketika dia mengambil rokok tembakau.

Menurut Amir Hidayat, salah satu puncanya adalah pengambilan nikotin yang disedut daripada rokok elektronik.

Terdapat pelbagai jenis perisa dan aroma cecair nikotin untuk rokok elektronik yang dijual di pasaran. Pengguna rokok elektronik, terutamanya golongan muda, sering tertipu dengan cecair nikotin yang dibeli pada harga murah di pasar-pasar malam atau secara individu.

Dipasaran rokok elektronik biasanya dijual pada harga antara RM100 hingga RM500. Rokok elektronik yang murah biasanya dibawa dari China manakala rokok elektronik mahal dari Amerika Syarikat.

Harga untuk sebotol nikotin yang boleh bertahan antara seminggu hingga dua minggu pula sekitar RM10 hingga RM15.

Kepekatan nikotin

Pengarah Institut Perubatan Pernafasan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, nikotin yang terdapat dalam rokok elektronik adalah sama dengan rokok tembakau.

"Namun begitu, kepekatan nikotin dalam cecair rokok elektronik tidak dapat ditentukan dengan pasti kerana kajian telah menunjukkan kepekatannya tidak mengikut seperti yang dilabelkan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Andaian bahawa rokok elektronik dapat membantu mengurangkan ketagihan perokok adalah tersasar sama sekali. Tambah Abdul Razak, mereka sepatutnya berjumpa dengan doktor berkelayakan dan mempunyai semangat motivasi yang tinggi untuk berhenti merokok.

"Proses untuk berhenti merokok adalah sangat kompleks. Perokok tidak hanya diberikan ubat-ubatan kerana pada masa sama, mereka perlu melalui beberapa peringkat sebelum dapat berhenti dengan baik.


ASAP nikotin memberi kesan lebih kuat terhadap perokok pasif cilik sehingga menyebabkan mereka menghidap lelah.


"Antaranya mereka akan diberikan kaunseling, pengetahuan mengenai tabiat dan kandungan rokok selain membuat lawatan lanjut sepanjang proses itu," jelas Abdul Razak.

Mereka akan dibekalkan ubat-ubatan seperti varenicline yang membantu mengurangkan masalah ketagihan.

"Ubat-ubatan yang diberikan boleh membantu perokok antara 40 peratus hingga 50 peratus jika mengikut prosedur yang ditetapkan oleh doktor.

"Mereka mampu berhenti merokok dalam masa enam bulan atau lebih sekiranya bersungguh-sungguh. Malah, hampir 40 peratus pesakit telah berjaya berhenti secara tetap setakat ini," kata Abdul Razak.

Kementerian Kesihatan Malaysia sememangnya menawarkan Perkhidmatan Berhenti Merokok di semua hospital kerajaan dan klinik-klinik kesihatan bagi rawatan ketagihan nikotin.

Mengulas mengenai kaedah berhenti merokok, Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Chong Chee Kheong, berkata, perokok pada kebiasaannya akan diberi ubat-ubat Nicotine Replacement Theraphy (NRT) yang dapat membantu masalah ketagihan mereka.

"Ubat-ubat NRT bertindak dengan cara mengurangkan kesan sampingan yang dialami perokok akibat pemberhentian merokok.

"Pemberian ubat tersebut dilakukan secara berperingkat sehingga individu tersebut bebas daripada ketagihan nikotin," jelasnya.

Ubat-ubatan NRT yang sah terjual di Malaysia adalah selamat digunakan kerana ia menjalani ujian klinikal bagi mengenal pasti keselamatan dan keberkesanannya. Penggunaan ubat tersebut juga mendapat kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tukar sampah jadi tenaga elektrik

Posted:

Tukar sampah jadi tenaga elektrik

Tukar sampah jadi tenaga elektrik


SEORANG pekerja memeriksa telaga gas yang dibina di atas tapak pembuangan sampah.


TERESITA MABIGNAY, 50, sedang menyeterika baju menggunakan tenaga elektrik percuma yang terletak di kawasan pelupusan timbunan sampah.

Teresita tinggal berdekatan dengan pusat pelupusan sampah terbesar di Manila, Filipina yang menjadi pusat pelupusan pertama di negara itu yang berupaya menukarkan gas metana kepada sumber tenaga elektrik.

Para saintis mendakwa proses penguraian sampah untuk menghasilkan gas metana menjadi salah satu penyebab kesan rumah hijau yang mengakibatkan pemanasan global.

Namun, apabila gas metana tersebut diuraikan menggunakan teknologi moden, ia berubah menjadi tenaga elektrik sekali gus menghalang gasnya merebak di atmosfera.

Ini kerana, gas metana tersebut diperangkap menggunakan paip yang ditanam di bawah tapak pelupusan berkenaan, sama seperti terowong yang mengekstrak gas daripada tanah atau laut.

Gas metana itu kemudian disedut daripada punca tenaga yang terletak di bawah tapak pembuangan dan dipam ke dalam mesin janaan bagi menghasilkan tenaga elektrik.

Beberapa tahun lalu, Teresita dan masyarakat setinggan di kawasan pelupusan sampah Payatas diberi kebenaran masuk ke dewan bekalan tenaga yang dibina di kawasan berkenaan.

"Kemudahan ini mengurangkan perbelanjaan bayaran bil elektrik dan membolehkan kami menggunakan wang simpanan untuk membeli makanan," kata Teresita.

Suami Teresita turut mendapat pekerjaan sebagai pegawai keselamatan di tapak tersebut dengan gaji sebanyak 8,370 peso (RM618) sebulan.

Syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan iaitu Tenaga Hijau Pangea Filipina (Pangea) dianggap bermurah hati kerana membenarkan masyarakat memanfaatkan sumber tenaga tersebut yang nilainya boleh mencecah ribuan ringgit.

Memulihara alam sekitar

Presiden Pangea, Jennifer Ferman Campos berkata, pihaknya berasa gembira kerana berjaya memulihara alam sekitar melalui cara tersendiri yang mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Beribu-ribu projek tenaga yang boleh diperbaharui di negara membangun telah didaftarkan di bawah Mekanisme Pembangunan Bersih Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 2005, termasuk ladang angin, stesen solar dan empangan hidro.

Menurut laman web www.cdmpipeline.org, selepas projek menukarkan sisa buangan menjadi tenaga dijalankan oleh empat orang perintis Pangea di Filipina, semakin banyak projek seumpama itu dijalankan.

Bagaimanapun, harga pasaran bagi setiap tan gas rumah hijau mula jatuh mendadak pada tahun 2010 disebabkan krisis ekonomi di Eropah yang menjadi sumber terbesar pendapatan syarikat pengusaha.

Ekoran itu, kapasiti Pangea berkembang daripada 200 kilowatt (kW) kepada 1,000 kW sekali gus memaksa mereka mencari pasaran lain termasuk menjualnya kepada pihak pembekal tenaga elektrik di Manila.

Sebelum ini, elektrik yang dijana di Payatas hanya digunakan untuk operasi kuasa di tapak pelupusan dan bagi kegunaan komuniti setinggan berdekatan melalui projek seterika dan lampu jalan kejiranan.


JENTERA pemungut digunakan bagi mengumpul bahan kitar semula di tapak pelupusan sementara di Payatas.


Projek ditentang

Menurut Jennifer, jumlah gas rumah hijau yang berjaya 'diselamatkan' di Payatas kini bersamaan dengan gas yang dihasilkan oleh 18,000 kereta di jalan raya Manila.

Katanya, projek itu mempunyai pelbagai faedah alam sekitar yang lain termasuklah pengurangan pencemaran udara secara langsung terhadap penduduk sekitar.

Namun, Greenpeace dan beberapa kumpulan alam sekitar lain menentang projek penukaran sisa buangan kepada tenaga.

Mereka berpendapat, syarikat berkenaan yang menerima insentif kewangan daripada PBB telah menyumbang kepada peningkatan aktiviti pembuangan sampah.

"Satu-satunya cara untuk menangani isu penghasilan gas metana daripada sisa buangan adalah dengan menghentikan pembuangan sampah ke tapak pelupusan dahulu.

"Projek janaan tenaga melalui sisa buangan hanya akan menggalakkan aktiviti pembuangan sampah berbanding menghapuskannya kerana kamu terpaksa mencipta sisa bagi menggerakkan kemudahan tersebut," ujar pengurus program Greenpeace Filipina, Beau Baconguis.

Tambah Beau, kerajaan Filipina tidak berwawasan dalam mengurangkan sampah sarap dan pada masa sama seramai 12 juta penduduk Manila menghasilkan purata antara 6,000 hingga 8,000 tan sampah setiap hari.

Sementara itu, kerajaan tempatan di negara tersebut telah mula melaksanakan program kitar semula dan pengenalan pelbagai dasar baharu bagi mengurangkan pembuangan sampah sarap.

Ia dikatakan berjaya menurunkan jumlah pelupusan sampah daripada 1,800 tan metrik sehari kepada 1,200 tan metrik sehari. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved