Rabu, 24 April 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Star Crusises tembusi pasaran halal

Posted:

Star Crusises tembusi pasaran halal

Star Crusises tembusi pasaran halal

Oleh RADZUAN HASSAN

SUPERSTAR Gemini menjadi satu lagi tarikan pelancong untuk industri pelancongan maritim.


KAPAL pertama yang dibina bagi tujuan persiaran di dunia ialah Prinzessin Victoria Luise, rekaan Pengurus Besar Hamburg-America Line, Albert Ballin pada tahun 1900. Kapal-kapal lain kemudiannya juga mengalami transformasi. Evolusinya bermula daripada kapal belayar untuk berperang atau berniaga kepada kapal yang mesra pelancong.

Proses yang sama juga melahirkan kapal persiaran terkenal, Titanic yang dianggap kebal tetapi akhirnya karam akibat terlanggar bongkah ais.

Hari ini, kapal persiaran saling tidak ubah seperti 'hotel terapung' dengan perkhidmatan hospitaliti yang lengkap. Malah, bukan sesuatu yang luar biasa bagi kapal-kapal persiaran terutamanya kapal mewah untuk mempunyai lebih ramai kru dan kakitangan berbanding penumpang.

Trend pelancongan itu juga tidak terkecuali di negara ini. Sebagai negara maritim, Malaysia menjadi tumpuan persinggahan kapal-kapal persiaran dari seluruh dunia.

Kapal persiaran terkenal di Malaysia kini dikendalikan oleh Star Cruises seperti Star Pisces, SuperStars Aquarius, SuperStar Libra, SuperStar Virgo dan terbaharu, SuperStar Gemini.

Gemini paling bongsu

SuperStar Gemini telah memulakan pelayaran sulungnya dari jeti kapal persiaran antarabangsa di Pelabuhan Swettenham, Pulau Pinang pada 6 Januari lalu ke Phuket dan Krabi di Thailand.

Kapal persiaran seberat 50,764 tan itu tiba di Pulau Mutiara dari Pusat Kapal Persiaran Mewah Singapura bagi menyambung pelayaran tahunannya mengelilingi Asia.

Naib Presiden Kanan Jualan Star Cruises, Michael Goh berkata, Pulau Pinang menjadi pelabuhan utama bagi SuperStar Gemini sepanjang Januari lalu sebelum kapal itu berlepas ke Sanya dan Shanghai, China sehingga Oktober tahun ini.

Menurut beliau, selepas dinaik taraf, kapal persiaran itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih seperti sistem pandu arah dan kawalan keselamatan.

"Kabin-kabin penginapan juga berwajah baharu, manakala sisi badan kapal pula dihiasi dengan corak hiasan gelombang berwarna-warni," katanya ketika ditemui di Pulau Pinang, baru-baru ini.


KOLAM mandi eksklusif yang disediakan kepada penumpang kapal.


Menurut Michael, SuperStar Gemini bukan sahaja menyajikan percutian hebat dalam suasana menyeronokkan kepada penumpang, tetapi juga menyajikan nilai-nilai kemewahan menerusi pelbagai kemudahan yang disediakan.

Ia terbukti mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan apabila operasinya dikendalikan oleh syarikat pelancongan yang menjadi rakan perniagaan Star Cruises selama 20 tahun, Hwajing Travel and Tours (Hwajing).

"Tahun ini juga mencatat kejayaan tersendiri bagi Star Cruises yang bakal meraikan ulang tahun ke-20," katanya.

SuperStar Gemini yang melalui proses naik taraf melibatkan kos kira-kira AS$50 juta (RM151.5 juta) itu memiliki sebanyak 766 kabin penginapan mewah bagi menampung 1,532 penumpang dalam satu-satu pelayaran.

Bagi Pengarah Urusan Hwajing, Kenny Cheong, pelayaran sulung SuperStar Gemini menandakan permulaan baharu kepada Hwajing.

Selepas 20 tahun, kata Kenny, pihaknya terus kekal menyediakan pengalaman percutian pelayaran terbaik kepada pelanggan dengan kerjasama dengan Star Cruises.

Selain menaikkan reputasi Hwajing, Kenny berkata, ia secara tidak langsung menaikkan reputasi Pelabuhan Swettenham, Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya sebagai pelabuhan singgah terbaik di rantau ini.


SALAH satu pemandangan indah di Phuket yang menjadi lokasi persinggahan kapal SuperStar Gemini.


Malah, ada pelancong Eropah dan Amerika Syarikat mula melihat Pulau Pinang sebagai tumpuan utama ke Asia melalui kapal pelayaran.

"Kami kini menuju era keemasan percutian pelayaran di Asia. Dengan peningkatan kuasa ekonomi Asia dan faktor penggalak lain seperti kemudahan pelabuhan premium, jumlah pelancong pelayaran Asia dijangka mencecah tujuh juta orang menjelang tahun 2015.

"Ia sekali gus menjadikan Asia sebagai lokasi paling digemari pelancong," katanya.

Kenny yang turut menyertai pelayaran sulung SuperStar Gemini itu memberitahu, kapal berkenaan memiliki ruang pasar raya seluas 557 meter persegi (6,000 kaki persegi) sekali gus menawarkan pengalaman membeli-belah barangan bebas cukai kepada penumpang.

Para penumpang, katanya, boleh mendapatkan jenama jam tangan mewah tanpa cukai, barangan kemas dan beg tangan sambil belayar selain kemudahan lain seperti gim, karaoke, kolam dan pelbagai pilihan jenis restoran.

Pelayaran halal

Apa pun, menurut Kenny, perkara paling menarik jika bercuti di atas kapal persiaran adalah melihat pemandangan matahari terbenam dan terbit setiap hari. Apatah lagi menghabiskan momen terindah itu bersama pasangan dan keluarga masing-masing.

Ditanya mengenai potensi pelancongan kapal persiaran, Kenny berkata, mulai tahun 2013, pihaknya akan membawa masuk lebih banyak restoran halal bagi meningkatkan jualan dalam kalangan pelancong Muslim terutamanya dari negara Asia Barat.

Setakat ini, menurutnya, kapal SuperStar Libra merupakan kapal persiaran pertama mempunyai restoran halal dan ia terbukti menjadi tarikan kepada pelancong Muslim mengikuti pelayaran.


SEORANG penyanyi menghiburkan tetamu kapal SuperStar Gemini pada majlis pelayaran sulungnya.


"Kami menyedari konsep halal ini menjadi penentu pasaran pada masa depan dan pada tahun 2013 kami akan menumpukan perkara itu. Mungkin kapal Star Virgo akan menjadi kapal persiaran kedua mempunyai restoran halal.

"Setakat ini, hanya 40 peratus pelanggan dari Malaysia menaiki kapal kami dan kami percaya sekiranya konsep halal berjaya diaplikasikan, ia akan menarik minat lebih 70 peratus pasaran tempatan," jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga memberi keutamaan kepada penumpang yang terdiri daripada kategori golongan kelainan upaya (OKU) atau orang tua.

Sekiranya ada pelanggan OKU, pihaknya akan menyediakan kakitangan khas untuk membantu mereka bergerak di sepanjang berada di dalam kapal.

"Jika ada penumpang OKU dan mereka memerlukan bantuan, mereka cuma perlu telefon kami dan ada kakitangan mengambil mereka di bilik," jelasnya.

Sejak 6 Januari hingga 24 Januari lalu, SuperStar Gemini meneruskan pelayaran ke Pelabuhan Phuket dan Krabi di Thailand sebelum menawarkan pakej pelayaran istimewa selama tujuh hari enam malam dari Singapura menuju ke Ho Chin Minh, Nha Trang dan Hong Kong antara 24 Januari hingga 1 Februari.

Ia melibatkan tiket berharga antara RM900 hingga RM2,500 berdasarkan bilik dan tingkat.

Bermula April hingga Oktober, kapal itu akan memulakan pelayaran ke lokasi lain di Asia. Maklumat lanjut mengenai SuperStar Gemini dan pakej pelayaran boleh didapati di www.hwajing.com.my atau menghubungi 03-9200 02929.

Menawan puncak Gunung Benum

Posted:

Menawan puncak Gunung Benum

Menawan puncak Gunung Benum


KEPUASAN jelas terpancar pada wajah para pendaki apabila berjaya menawan puncak Gunung Benum.


GUNUNG TAHAN yang terletak di Taman Negara Pahang mempunyai ketinggian 2,187 meter merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Bagi para pendaki, Gunung Tahan menawarkan 'aksi' hebat bukan sahaja memerlukan masa kira-kira 10 hari untuk sampai ke puncak, malah perlu merentas sungai dan trek mencabar.

Begitupun, bagi mereka yang ingin cabaran berbeza, Gunung Benum yang merupakan gunung kedua tertinggi di negeri tersebut boleh dijadikan pilihan.

Terdapat dua denai hutan yang boleh digunakan para pendaki untuk ke puncak Gunung Benum iaitu melalui denai dari Lata Berembun di Raub dikendalikan oleh pihak Jabatan Perhutanan Pahang.

Laluan kedua pula adalah dari Pos Perlok, Ulu Cheka, Jerantut yang diselenggara dan dikendalikan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pertengahan bulan Februari lepas, penulis bersama-sama 15 pendaki dari National Outdoor Adventure (NOA) telah menyertai ekspedisi mendaki Gunung Benum melalui denai Pos Perlok yang memakan masa lima hari empat malam.

Ekspedisi itu diketuai Siti Norhidayah Mohd. Azlan dan dibantu tiga jurupandu arah khas dari Perhilitan Ulu Cheka iaitu Saiful Alias, Azman Samah dan Ismail Johar.

Hari pertama

Kami memulakan perjalanan dari Pejabat Perhilitan di Pos Perlok menuju ke kawasan perkhemahan di Kem Jeneruh diketuai Saiful atau lebih mesra dipanggil Ali.

Dia memaklumkan kepada kami bahawa denai tersebut baru dibuka pada 16 Januari lalu setelah ditutup untuk kerja-kerja baik pulih.

Permulaan pendakian agak mudah, namun kami berdepan 'serangan' pacat yang menggigit pergelangan kaki. Serangan itu tidak mematahkan semangat kami, malah perjalanan diteruskan sehingga sampai ke Sungai Kepal.

Di seberang sungai itu, langkah kami terhenti seketika kerana mata terpesona melihat beberapa kuntum bunga terbesar di dunia iaitu rafflesia yang hendak mengembang. Terdapat juga beberapa bunga rafflesia yang mati di kawasan tersebut.

Kami meneruskan pendakian dan berhenti rehat untuk melepaskan penat di puncak bukit 800. Selepas itu, kami menuruni sebuah kawasan lembah menuju ke Kem Jeneruh untuk bermalam.


PENDAKI turut melalui kawasan sungai berarus deras.


Hari kedua

Selesai sarapan pagi, kami mengorak langkah ke Kem Batu Serondong yang merupakan lokasi untuk kami bermalam pada hari tersebut.

Kira-kira 30 minit perjalanan, kami berhenti seketika di sebuah kawasan dikenali sebagai Mata Air Bukit Damar. Mata air yang keluar dari celahan batu di situ merupakan sumber air terakhir dalam perjalanan yang masih berbaki dua hari.

Kami kemudiannya berhenti rehat, makan tengah hari dan solat di puncak Gunung Lilin.

Walaupun di kawasan tersebut tidak mempunyai sumber air, pihak Perhilitan telah mengambil inisiatif dengan mendirikan sebuah pondok kecil dan sebuah tangki air.

Kemudahan sama turut disediakan di kawasan perkhemahan Permatang Angin. Ia disediakan menggunakan bantuan helikopter bagi tujuan memudahkan para pendaki memasak dan berkhemah.

Dalam perjalanan menuju Kem Batu Serondong kami teruja kerana menemui periuk kera yang amat besar dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

Kami tiba di Kem Batu Serondong pada lewat senja. Cuaca ketika itu sejuk dan berkabus. Kami segera mendirikan khemah dan menyediakan makan malam.

Hari ketiga

Sebelum itu, ke puncak Benum pendakian selama empat jam membawa kami ke tapak perkhemahan Permatang Angin.

Ia merupakan sebuah kawasan permatang yang lapang dan hanya ditumbuhi pokok pain. Pokok-pokok pain ini tumbuh di kiri dan kanan kawasan tersebut sekali gus memudahkan laluan angin.

Kami meletakkan barang-barang perkhemahan dan beg galas besar di kawasan tersebut. Perjalanan diteruskan hanya dengan membawa air minuman di dalam beg galas kecil.

Dalam perjalanan itu, kami menemui sebuah kawasan lapang bekas helikopter tentera mendarat berhampiran kemuncak Gunung Benum.

Menurut Ali, kawasan tersebut pernah menjadi kawasan persembunyian komunis selain pernah berlaku pertempuran.

Dua jam kemudian, kami akhirnya tiba di puncak Gunung Benum yang mempunyai ketinggian 2,107 meter dari aras laut. Terdapat penanda puncak yang diperbuat daripada besi dan zink di kawasan tersebut.

Pemandangan di belakang puncak Gunung Benum ketika itu diselubungi kabus tebal.

Setelah bergambar kenang-kenangan di puncak Gunung Benum, kami menuruni puncak dan menuju kembali ke kawasan perkhemahan Permatang Angin untuk bermalam.

PERIUK kera gergasi merupakan antara 'penghuni' hutan Gunung Benum.


Hari keempat

Kami meninggalkan Kem Permatang Angin dalam misi menuju Pos Perlok yang memakan masa selama dua hari.

Kami tiba di kawasan anak sungai dan berhenti rehat sambil menyegarkan tubuh seketika. Perjalanan diteruskan dengan mendaki sebuah tebing curam.

Di atas tebing curam itu, salah seorang jurupandu arah kami, Azman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Andak menyuruh kami berhenti secara tiba-tiba.

Ini kerana dia telah menemui sesuatu yang unik iaitu seekor cacing besar dan panjang. Sebelum ini, penulis hanya mendengar cerita rakan-rakan tentang penemuan cacing gergasi di Banjaran Benum.

Setelah hampir lima jam menuruni beberapa laluan curam, akhirnya kami tiba di kawasan perkhemahan Kem Sungai Besar dan bermalam di situ.

Hari kelima

Hari terakhir ini, antara misi kami adalah menuju Kem Lata Bujang sebelum keluar ke Pos Perlok. Kami perlu meredah sungai berarus deras untuk sampai ke sana.

Kami tiba di persimpangan denai antara Pos Perlok ke Lata Bujang. Jarak persimpangan denai ke Lata Bujang hanya memakan masa 20 minit. Lata Bujang terkenal dengan air terjun empat tingkat yang cantik.

Terdapat sebuah kolam di tingkat pertama air terjun itu yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan terjun tiruk.

Setelah puas mandi-manda, kami meneruskan perjalanan ke Pos Perlok dan kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Pejabat Perhilitan Ulu Cheka.

Apabila tiba di pejabat tersebut, kepuasan jelas terpancar di wajah para pendaki kerana kejayaan mendaki Gunung Benum itu.

Jejak warisan bersama DBKL

Posted:

Jejak warisan bersama DBKL

Jejak warisan bersama DBKL

Oleh ROHANA NASRAH


KUALA LUMPUR memiliki banyak bangunan bersejarah dengan ciri seni bina kolonial seperti bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.


IBU negara Kuala Lumpur memang terkenal dengan kepelbagaian tarikan pelancongan. Justeru, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada para pelancong, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan program Jejak Warisan Dataran Merdeka yang dilancarkan baru-baru ini.

Program lawatan selama sehari itu menawarkan beberapa produk percutian berkonsepkan warisan dan kebudayaan rakyat berbilang kaum di Malaysia serta keunikan makanan tradisional.

Orang ramai terutamanya ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai perbelanjaan yang perlu dikeluarkan kerana kebanyakan pakej ditawarkan secara percuma.

Melalui program tersebut orang ramai berpeluang mengetahui lebih dekat tentang bangunan bersejarah berdekatan Dataran Merdeka.

Antaranya, Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Mahkamah Tinggi Lama, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Panggung Bandaraya (bangunan lama DBKL).

Aktiviti menjelajah dengan berjalan kaki ditawarkan secara percuma yang diadakan pada setiap Isnin, Rabu dan Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 11.45 pagi.

Seorang pemandu pelancong akan mengiringi aktiviti tersebut. Ia pasti memberi satu pengalaman dan pengetahuan baharu kepada anak-anak tentang sejarah ibu negara.

Berbasikal

DBKL juga menyediakan aktiviti mesra alam seperti berbasikal menerokai persekitaran Kuala Lumpur bermula dari Dataran Merdeka sehingga ke Taman Warisan Tun Abdul Razak.

Di sepanjang laluan yang menghubungkan kedua-dua tempat menarik itu, pelancong berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Botani Perdana, Taman Burung, Memorial Tun Abdul Razak, Taman Orkid, Taman Rusa, Muzium Polis dan Masjid Negara.

Pakej sewaan basikal ialah pakej santai berharga RM30 selama empat jam dan pakej berkumpulan bersama pemandu pelancong sebanyak RM45 seorang.

"Dengan hanya RM1, pelancong dapat melawat Taman Warisan Tun Abdul Razak menaiki tram yang pastinya boleh memberi pengalaman lebih menakjubkan," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Selain itu, pelancong boleh melawat Pasar Seni dari Bukit Bintang menggunakan kemudahan bas GO KL secara percuma atau menaiki KL Hop On Hop Off tanpa had berhenti.

Menurut Ahmad Phesal, Kuala Lumpur juga mempunyai banyak kemudahan awam seperti transit aliran ringan, monorel serta jejantas pejalan kaki termasuklah jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ke Bukit Bintang.

Kemudahan-kemudahan tersebut memudahkan orang ramai melihat keindahan Kuala Lumpur tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas jika menaiki kereta.


REPLIKA kapal terbang ini boleh dilihat di Muzium Polis Diraja Malaysia yang terletak di Tasik Perdana.


Makanan bajet

Selepas penat menjelajah tempat-tempat menarik, para pelancong boleh menikmati pelbagai makanan tempatan dengan harga bajet.

Terdapat banyak restoran dan gerai makanan di tempat tumpuan ramai seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

Para pelancong boleh menikmati makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan harga yang berpatutan seperti sarapan pagi pada kadar harga sekitar RM5, makan tengah hari RM7, manakala makan malam RM10.

Dengan wang sebanyak RM50 sebenarnya mencukupi untuk melawat setiap kawasan menarik di Kuala Lumpur. Kanak-kanak juga mampu menimba banyak pengalaman dan ilmu berguna sepanjang lawatan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.visitkl.gov.my untuk pakej dan aktiviti percutian menarik di Kuala Lumpur. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved