Rabu, 10 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kunjungan Najib memori terindah

Posted:

Kunjungan Najib memori terindah

Kunjungan Najib memori terindah

GEMBIRA. Najib (kanan) singgah minum di sebuah gerai makan di Pudu Raya, Kuala Lumpur pada 25 April 2009. Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M.Saravanan (dua dari kanan).


KEKAGUMAN pemilik Restoran Sri Kortumalai Pillayar, S. Paramasivam, 49, terhadap pemimpin nombor satu negara Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sukar digambarkan dengan kata-kata.

Ketika ditemui di restorannya di Brickfields, Kuala Lumpur Paramasivam meluahkan bahawa Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin berjiwa rakyat yang prihatin dengan golongan miskin dan sederhana.

"Belum ada lagi pemimpin negara yang sanggup turun padang bertemu rakyat seperti dilakukan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Jika kita lihat kebanyakan negara di seluruh dunia, pemimpin negara dan rakyat jarang sekali dapat bertemu bertentang mata," luahnya teruja.

Menurut Paramasivam, Najib seorang pemimpin yang berbeza. Najib, pada pandangan lelaki itu tidak kisah duduk bersama rakyat dan berbual seperti seorang rakan lama.

Duduk sebelah Najib

Mengimbas peristiwa bersejarah dalam hidup pengusaha makanan tradisi India itu, restorannya pernah dikunjungi Najib dalam satu rangka lawatan mengejut di sekitar ibu negara empat tahun lalu.

Kata Paramasivam, dia langsung tidak menyangka rombongan itu akan singgah ke restorannya. Seingat lelaki itu, rombongan itu bukan sahaja melawat malah sempat menjamu selera. "Seingat saya, seramai 20 orang pengiring, pengawal peribadi dan pihak polis turut serta dalam rombongan itu," imbas lelaki yang berasal dari Sentul, Kuala Lumpur itu.

Tanpa sebarang persiapan, dia menghidangkan makanan seperti putu mayam, tose dan teh O ais limau.

Kenangan manis itu begitu kukuh dalam memorinya. Dia masih ingat tatkala Najib mengajaknya duduk bersebelahan bersama menteri-menteri yang lain.

Pertemuan antara pemimpin negara dan rakyat itu berlangsung selama satu jam.

Dalam tempoh tersebut, Najib sempat bertanyakan perkembangan perniagaan Paramasivam dan menitipkan kata-kata semangat kepadanya.


PARAMASIVAM menunjukan wang kertas RM100 pemberian Najib ketika Perdana Menteri Malaysia itu hadir ke restoran beliau pada 4 April 2009.


"Meskipun sudah hampir empat tahun berlalu, namun saya seolah-olah merasakan seperti baru semalam bersalaman dengan beliau," tambah Paramasivam.

Selepas peristiwa itu, bapa kepada empat anak itu mula dikenali restoran kerana Paramasivam mendapat liputan meluas daripada media. Tempias populariti yang diterima selepas Najib berkunjung ke restorannya juga bukan sedikit. Selain ramai yang menyapa Paramasivam di jalanan, kunjungan Najib memberi ilham kepada lelaki itu untuk mengembangkan bisnesnya.

Paramasivam mendapat ilham untuk mengabadikan kunjungan Najib dengan membuat Najib Corner di restorannya sebagai tanda kenangan kepada PM.

"Usaha mewujudkan ruang itu menyebabkan pengunjung semakin bertambah dan orang ramai mula mengenali restoran kami," kata Paramasivam yang membuka premis perniagaan itu sejak 13 tahun lalu.

Menurut Paramasivam, Najib Corner terletak di tempat PM dan menteri-menteri duduk ketika berkunjung ke restoran berkenaan. Rasa bangga tersebut dikongsi oleh Pengarah Urusan Madras Jeweller Sdn. Bhd., Rajendran Kandasamy, 54, yang pernah bertemu sebanyak dua kali bersama Perdana Menteri Malaysia Kelima itu.

"Kewibawaan Najib semakin terserlah apabila sentiasa mengadakan pertemuan bersama rakyat. Keluhuran hatinya membuktikan dia tidak kekok berdepan dengan masyarakat berbilang kaum," ujar Rajendran ketika ditemui di premisnya di Jalan Masjid Jamek, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kalung bunga

Masih tersemat dalam ingatannya sewaktu kali pertama bertemu dengan Perdana Menteri pada Mac 2009, dia berpeluang menyarungkan kalungan bunga sebagai tanda terima kasih dan penghormatan kepada pemimpin negara itu.

"Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti Najib yang mesra rakyat. Kita boleh berbual dan berkongsi cerita" tambah Rajendran yang kini sudah mempunyai lima cawangan kedai barangan kemas sekitar ibu kota dan Selangor.

Menurut anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang itu, PM sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap inisiatif-inisiatif yang dilakukannya. Pemberian bantuan itu tidak hanya memberi fokus kepada satu komuniti dan peringkat umur, malah semua masyarakat, tidak kira tua dan muda mendapat manfaat secara sama rata.

"Jika kita lihat sekarang, golongan muda juga tidak dilupakan oleh pihak kerajaan menerusi bantuan seperti Baucar Buku 1Malaysia dan bantuan persekolahan. Ini membuktikan apa yang dicanang tetap dilaksanakan," jelasnya.

Sepanjang memegang tampuk pemerintahan, Najib pada pandangan Rajendran, sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

Bahkan katanya, seluruh masyarakat menerima faedah dan keteguhan hidup berbilang kaum sentiasa terpelihara.


SANTAI. Najib bersama keluarganya meluangkan masa menjamu selera di Little Penang Cafe di Petaling Jaya, baru-baru ini.


Memberi sokongan

Keyakinan Rajendran terhadap pentadbiran negara masa kini tidak akan terpadam. Dia akan sentiasa bersama Perdana Menteri dengan memberi sokongan dalam setiap usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Shamsul Adabi Mamat berkata, pentadbiran Najib boleh dianggap berjaya sepanjang menjadi Perdana Menteri selama empat tahun.

Kejayaan itu diukur menerusi pengambilalihan kuasa daripada pemimpin sebelumnya.

"Kabinet yang diwarisi amat mencabar ditambah pula dengan tekanan daripada pihak pembangkang.

"Najib serius membawa Malaysia ke hadapan menerusi pelan transformasi kerajaan untuk menstabilkan kembali negara," ujar Shamsul ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Najib katanya, cuba memenuhi segala keperluan rakyat dan bersungguh-sungguh meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi strategi dan perancangan yang disusun rapi bersama barisan Kabinet.

Atas kerja keras itu, sokongan daripada rakyat dapat dilihat melalui penglibatan mereka dalam program-program yang dihadiri sendiri oleh Najib.

"Saya yakin rakyat dapat melihat keikhlasan dan kepimpinan yang ditonjolkan oleh beliau selama ini," kata Shamsul.

Sementara itu, pada penghujung Mac lalu, Najib dan keluarga meluangkan masa hujung minggu untuk menjamu selera bersama orang ramai di Little Penang Cafe, di The Curve, Petaling Jaya.

Najib yang kelihatan santai berbaju T berwarna putih bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak iaitu Norashman Razak dan Nooryana Najwa serta tunang Nooryana Najwa, Daniar Nazarbayev memilih kedai makan yang menawarkan masakan asli penjaja Pulau Pinang.

Antara pesanan makanan yang dibuat Perdana Menteri dan keluarganya ialah asam laksa, laksa kuah lemak Siam, set ayam aroma dan mi udang Hokkien Pulau Pinang, milo ais, cincau dan barli dengan pencuci mulut rojak buah.

Seorang kakitangan restoran yang mengambil pesanan makanan Perdana Menteri dan keluarga, Jumat Kasneh berkata, beliau berasa teruja dan gembira dengan ketibaan Perdana Menteri bersama keluarga.

"Perdana Menteri sangat mesra dengan semua orang dan senang untuk berkomunikasi," katanya yang sudah bekerja di restoran itu selama sedekad.

Tambunan selepas empat dekad

Posted:

Tambunan selepas empat dekad

Tambunan selepas empat dekad

Oleh SITI ZUBAIDAH ABDULLAH


LAIWON menunjukkan Jalan Kampung Pahu untuk kemudahan rakyat luar bandar di Tambunan.


SEHINGGA awal tahun 1980-an, Pekan Tambunan yang terletak di pinggiran Banjaran Crocker hanyalah sebuah pekan kecil dengan beberapa deretan kedai kayu. Bagaimanapun, pandangan tersebut sudah berubah. Kini, kawasan itu dibangunkan dengan struktur konkrit rumah kedai, kemudahan awam dan infrastruktur yang menjadi mercu tanda atau pembangunan di pekan itu. Majoriti penduduk yang tinggal di Tambunan terdiri daripada masyarakat Kadazandusun.

Perubahan landskap pembangunan Tambunan terhasil daripada pengaruh dan sentuhan wakil rakyatnya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Sebagai Huguan Siou iaitu pemimpin tertinggi bagi masyarakat Kadazandusun Murut, Pairin ialah wakil rakyat Tambunan sejak 36 tahun lalu.

Pairin, 72, merupakan Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Anggota Parlimen Keningau dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Ribuan penduduk Tambunan yang menikmati pembangunan hari ini melahirkan rasa syukur. Meskipun mereka tidak melihat bangunan pencakar langit, namun segala kemudahan yang tersedia mampu memberi keselesaan dalam menjalani kehidupan.

Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan, Laiwon Dalus berkata, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menyediakan pelbagai pembangunan dan kemudahan asas bagi keseluruhan 89 kampung yang didiami oleh kira-kira 36,000 penduduk di daerah itu.

Projek pembangunan

Laiwon memberitahu, tumpuan diberikan ke arah membangunkan sistem jalan raya bagi memudahkan perhubungan antara satu kampung dengan kampung yang lain.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi pelbagai projek pembangunan termasuk menaik taraf jalan raya dan membina sistem bekalan air graviti di seluruh daerah ini dari tahun 2006 hingga 2012.

Projek lain ialah menaik taraf Jalan Pahu-Sintuong-Tuong sejauh 11 kilometer (km) melibatkan kos RM32 juta dan Jalan Mahua sejauh 6.5 km dengan kos RM5.4 juta.

Beliau menambah, kerajaan turut membina Pusat Maklumat Pelancongan Tambunan bernilai RM1.8 juta yang siap tahun lalu.

Seorang usahawan dari Kampung Kirokot, Vincent Sarado, 54, berpandangan, kira-kira 3,500 penduduk di kampung itu telah menikmati pembangunan prasarana di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1985.


UDOL menunjukkan pembinaan sistem bekalan air graviti di Kampung Pahu, Tambunan yang dibina kerajaan.


"Pembangunan ketara dapat kita lihat pada hari ini. Dahulu kampung ini bergelap kerana tiada bekalan elektrik, tetapi kini semua kemudahan tersedia termasuk jalan raya berturap," katanya.

Vincent berkata, rakyat hanya mahukan kerajaan yang stabil, menguntungkan rakyat dan mampu membantu memajukan perniagaan.

Ketua Kampung Pahu, Udol Undou, 47, berkata, kampungnya yang terletak kira-kira 30 km dari pekan Tambunan kini mengecapi kenikmatan yang berganda berbanding sebelum ini.

"Pada masa dahulu, jalan raya amat daif, kalau hujan laluannya pasti licin dan berlumpur selain kenderaan kecil menghadapi kesukaran untuk melaluinya. Zaman dahulu kita juga terpaksa menggunakan lampu pelita dan generator untuk mendapat bekalan elektrik," katanya.

Secara umum, jalan raya digunakan untuk mengangkut barang-barang seperti hasil pertanian, pelombongan dan pembalakan di samping barang-barang keluaran industri dan barang-barang keperluan dari kawasan pedalaman ke bandar.

Seorang suri rumah dari Kampung Monsok, Helen Yanson, 62, yang mewakili penduduk kampung itu berkata, mereka menikmati kemudahan sejak jambatan konkrit bernilai RM9.2 juta di Jalan Monsok yang merentangi Sungai Pegalan. Jambatan itu siap sepenuhnya pada November 2010.

Ibu kepada empat anak itu berkata, jambatan sepanjang 50 meter itu dapat menghubungkan lima buah kampung berdekatan dengan penduduk setempat terutama petani. Ia memberi banyak manfaat kerana penduduk dapat membawa hasil pertanian mereka ke pekan Tambunan dan bandar lain untuk dijual.

Kemudahan lain

Selain itu, katanya jambatan berkenaan berada dalam laluan utama bagi para pelancong yang ingin ke Pusat Pelancongan Trusmadi yang masih dalam pembangunan.

Selain infrastruktur asas, Tambunan mempunyai pelbagai kemudahan lain seperti Klinik Kesihatan di kampung-kampung termasuk Klinik 1Malaysia, Perpustakaan Daerah Tambunan yang dijangka siap pada November 2014 dan sistem bekalan air graviti.

Rata-rata penduduk yang ditemui menerusi kunjungan ke daerah itu baru-baru ini juga mengakui, Pairin, yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan


PAIRIN (dua dari kanan) menyerahkan bantuan komputer 1Malaysia kepada salah seorang pelajar bersama ibunya pada majlis Pengagihan Komputer 1Malaysia di Dewan Masyarakat Tambunan pada bulan Januari lalu.


Kadazandusun Murut masih diperlukan bagi mewakili kawasan ini.

Pairin menjadi lambang keagungan bagi masyarakat tersebut kerana berjaya mengekalkan amalan tradisional dan kebudayaan yang diwarisi untuk generasi akan datang.

Laiwon yang telah lama mengikuti kerjaya politik Pairin berkata, pemimpin tertinggi Kadazandusun Murut itu harus dikekalkan kerana banyak sumbangan beliau dalam memajukan Tambunan sebagai daerah tersohor.

Seorang ahli perniagaan berjaya dari Kampung Nambayan, Tambunan, Suhaimi Abdullah, 40, yang mewakili generasi muda berkata, kepimpinan Pairin diperlukan kerana beliau kaya dengan pengalaman.

Selain berjaya dalam membela nasib rakyat, Pairin berjaya melahirkan impian agar Kolej Kadazandusun Murut yang bakal diwujudkan di Sabah menjadi mercu tanda kejayaan masyarakat berkenaan.

Pengumuman penubuhan Kolej Kadazandusun Murut itu semasa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Tambunan pada 17 Jun 2012 membuka lembaran baharu dalam arena pendidikan negara yang mengutamakan kepentingan semua kaum di negara ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved