Selasa, 5 Mac 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Renbash semarak industri perfileman Tamil

Posted:

Renbash semarak industri perfileman Tamil

Renbash semarak industri perfileman Tamil

Oleh NIZHA PERIASWAMY

KRU peserta pembikin filem-filem pendek Talk to the Lens (dari kiri) Shaman, Arvin, Kavimani, Ganesan dan Guna.


RAMAI pembikin filem bebas baik pelajar institusi pengajian tinggi atau orang perseorangan menggunakan peluang mereka untuk mendedahkan bakat dalam penerbitan filem pendek melalui pertandingan Talk To The Lens yang diadakan baru-baru ini.

Bertempat di pawagam TGV Setia Walk, Puchong, pertandingan filem pendek Tamil itu dibuka dengan objektif utama iaitu memberi peluang dan pengiktirafan kepada pembikin filem Tamil Malaysia yang masih baharu.

"Saya melihat ramai pihak yang berminat membuat filem, tetapi mereka sama ada tidak tahu bagaimana, tiada sumber rujukan ataupun hasrat itu tidak dilayan pihak yang sewajarnya memberi bimbingan.

"Oleh itu, Renbash bersama-sama rakan kerjasama kami, Kaadhaldesam.com memulakan cabaran ini," kata M. Subash Manan, pengarah yang pernah tampil dengan beberapa filem Tamil, Melayu dan Cina.

Terkenal melalui lakonan dan arahan filem Pensil, Subash bersama rakan sekerja, M. Suurya mengakui, kekurangan sumber kewangan dilihat banyak menyekat bakat anak muda yang mahu berkecimpung dalam bidang itu selain beberapa sebab-sebab lain.

"Kami menerima 35 penyertaan dan 16 penyertaan telah disenarai pendek. Lima dipilih sebagai filem terbaik. Semuanya berdasar kualiti filem, jalan cerita, kualiti audio, nilai komersial, pengajaran dan semua elemen yang perlu ada dalam sebuah penyampaian filem pendek," kata Subash.

Walaupun berpuas hati dengan percubaan para peserta filem pendek, beliau menggesa supaya pembikin filem berusaha dalam menyampaikan produk yang terbaik kerana masih banyak kekurangan yang tidak diambil perhatian oleh pembikin filem mahupun pelakon.

"Mungkin kerana ini kali pertama. Tetapi secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dan bangga dengan komitmen dan hasil kerja mereka," katanya yang turut berjanji untuk memberi peluang kepada pemenang pengarah terbaik Talk To The Lens, menjadi pengarah bagi filem beliau yang akan datang dengan geran bernilai RM250,000.

Percubaan pertama

Sementara itu, pemenang filem terbaik pertandingan tersebut, S. Arivalagan, 23, ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah berkata, beliau tidak sangka percubaan pertamanya itu berjaya.

"Saya sangat bersyukur atas kejayaan ini. Menggunakan kamera yang dipinjam daripada rakan, saya mahu membuktikan kemampuan saya pada tahap yang lebih besar selepas ini," kata pemilik filem pendek berjudul Happy Deepavali Aruna.

Menurut Arivalagan yang juga seorang guru, filemnya menceritakan tentang seorang lelaki penghidap kanser yang jatuh hati dengan kehadiran seorang wanita asing bernama, Aruna.

Pemenang anugerah pengarah terbaik pula dimenangi M. S. Kubendaren yang merupakan pelajar jurusan filem digital dan televisyen tahun kedua, Universiti Limkokwing. Menceritakan kisah genre suspens masyarakat, filem pendek kisah benar berjudul Naan Thirudan itu bukan sahaja sarat dengan mesej semasa malah penuh humor.

"Saya dan tiga rakan lain menghasilkan filem pendek ini dengan saya sendiri memegang watak pencuri. Selain filem pendek, kami juga terlibat dalam lima projek komersial lain," katanya yang melihat peluang yang ditawarkan oleh Renbash sebagai satu platform terbaik kepada pembikin filem baharu seperti mereka.

Subash pada akhir acara meminta agar individu yang mahu melibatkan diri dalam industri perfileman tempatan supaya berhubung dengan beliau atau pihak Renbash kerana pihaknya senantiasa bersedia untuk membantu.

Dalam pada itu, acara pada petang itu juga dimeriahkan dengan majlis prapelancaran sebuah filem Tamil tempatan terbaharu oleh Renbash, Phuyal 18 yang bakal menemui penonton pada tahun ini.

Dibintangi Kavitha Thiagarajan yang memegang watak utama, ia juga merupakan filem pertama bagi dirinya selepas enam tahun berehat daripada melibatkan diri dalam hiburan tempatan.

Konsep syariah hospital UIAM

Posted:

Konsep syariah hospital UIAM

Konsep syariah hospital UIAM


UMAT Islam dituntut untuk menunaikan solat walau apa juga keadaan mereka seperti yang digariskan syariat. - Gambar hiasan


BAGAIMANAKAH seseorang Muslim hendak solat apabila anggota badan mereka dalam keadaan tidak boleh bergerak dan terlentang di katil kerana sakit? Begitu juga halnya dengan wuduk. Apakah kaedah terbaik yang boleh dilakukan sedangkan kaki dan tangan berbalut? Bagaimana pula dengan seorang wanita yang sedang kesakitan hendak bersalin hendak solat apabila masuk waktu solat?

Biarpun tidak mewakili suara majoriti, namun masih ada antara masyarakat Islam mempunyai persepsi bahawa kesakitan yang dihadapi sebagai alasan untuk tidak menunaikan ibadat itu.

Walhal, ia antara satu tunjang fardu ain yang wajib dilaksanakannya walau dalam apa keadaan sekali pun tanpa alasan. Tidak kiralah jika anda dalam keadaan sakit, musafir dan sibuk.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga berpengetahuan mengenai kaedah menunaikan solat ketika terlantar sakit, mungkin ia bukan satu masalah.

Kelonggaran

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada keluarga ataupun kurang pengetahuan agamanya?

Biarpun Islam mewajibkan setiap umatnya menunaikan solat walau dalam apa keadaan sekali pun, namun ia bukanlah satu tuntutan yang membebankan. Bahkan, umat Islam diberi kelonggaran ketika sakit mengikut kemampuan masing-masing.

Contohnya, seseorang pesakit yang menghadapi kesukaran untuk solat berdiri boleh melakukan dengan cara duduk. Bagi mereka yang sukar untuk rukuk atau sujud boleh melakukan secara yang disarankan.

Semua itu antara kaedah yang disarankan dalam Islam bagi mereka yang sakit atau tidak mampu. Hospital pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang menawarkan perkhidmatan yang berkonsepkan pematuhan syariah. Ini termasuklah aspek pengajaran latihan solat kepada pesakit.

Dijangka beroperasi pada awal tahun 2016, hospital pengajar UIAM bernilai RM413 juta dengan 300 katil itu bakal dilengkapi perubatan moden dan pelbagai kemudahan lain. Antaranya 20 buah dewan bedah, 10 dewan bersalin, unit haemodialisis, makmal patologi, pengimejan (MRI, angiografi, skan CT dan flourosckopi), rehabilitasi dan klinik pakar.

Istimewanya hospital pengajar ini, perkhidmatan ditawarkan bukan sahaja berlandaskan kepada konsep syariah dengan penekanan halal dan berkualiti malah kemudahan komprehensif turut disediakan kepada pesakit beragama Islam untuk menunaikan solat.

Ia tidak sekadar terangkum kepada penyediaan ruang solat, bahkan pesakit yang tidak dapat bergerak ke surau akan diberi penerangan berhubung kaedah menunaikan solat di atas katil oleh doktor, jururawat mahupun pelajar perubatan.

Lebih menarik, susunan katil ini lazimnya menghadap kiblat sekali gus memudahkan pesakit beragama Islam untuk menunaikan fardu ain itu.

Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, bagi mengaplikasikan integrasi perspektif Islam dalam perkhidmatan perubatan, penting bagi doktor, jururawat dan pelajar perubatan mempunyai pemahaman, pengetahuan berhubung perkara berkenaan.

Menyedari kepentingan ini, setiap pelajar perubatan UIAM diwajibkan mengambil mata pelajaran Islamisation of Human Knowledge.

Berbentuk lebih praktikal, mata pelajaran ini akan mengajar atau melengkapkan komuniti pelajar perubatan ini dengan hukum atau kaedah menunaikan solat ketika sakit termasuklah tata cara tayamum. Tayamum sebagai ganti wuduk bagi orang sakit yang tidak boleh menggunakan air.

Lebih praktikal

Menurut Timbalan Rektor (Akademik dan Perancangan), Prof Datuk Dr. Md. Tahir Md. Azhar, pengaplikasian pengetahuan kaedah menunaikan solat ketika sakit boleh dilakukan secara komprehensif oleh kakitangan, pelajar perubatan apabila beroperasinya hospital ini.

"Kursus kami lebih praktikal kerana kalau sekadar ceramah, sesiapa sahaja boleh bagi. Tetapi apabila disuruh mengajar pesakit solat, pelajar perubatan kekok. Sebab itulah perlunya praktikal," katanya.

Kewujudan hospital pengajar UIAM mesra ibadat ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan hospital awam, tetapi ia dilihat sebagai pelengkap perkhidmatan perubatan menerusi kepakaran berkaitan.

Selain itu, hospital pengajar akan memudahkan pelajar perubatan mengaplikasikan pengetahuan yang dimiliki, membuka lebih ruang dan pendedahan berkaitan dunia berkenaan.

Presiden UIAM Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, penubuhan hospital ini juga bakal menjadi gerbang pintu kepada usaha-usaha penyelidikan. Pada masa sama, khidmat perubatan kepada masyarakat tidak akan diabaikan khususnya berkaitan dengan perkhidmatan perubatan pakar.

"Hospital ini bakal menjadi mercu tanda dalam usaha ke arah meningkatkan bidang pelancongan perubatan di Pahang.

"Ia juga akan menjadi pemangkin dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan bidang perubatan dan sains kesihatan di Pahang," katanya. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved