Selasa, 19 Mac 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Dunia fesyen korporat Edmund

Posted:

Dunia fesyen korporat Edmund

Dunia fesyen korporat Edmund

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

LAMA rasanya kelompok pengikut fesyen tanah air tidak mendengar kisah Edmund Ser. Nama yang diangkat sebagai jenama itu mungkin pernah didengar dan dilihat di beberapa gedung pakaian di KLCC dan Pavilion, Kuala Lumpur.

Namun, bagi generasi muda, lelaki berusia 58 tahun itu barangkali asing dalam pengetahuan mereka.

Edmund merupakan salah seorang pelopor dalam industri fesyen tanah air. Dia antara individu yang bertanggungjawab menaikkan hasil kerja pereka tempatan ke peringkat antarabangsa pada sekitar tahun 1980-an.

Selepas tamat pengajian di England, Edmund pulang ke tanah air dan memulakan kerjaya seninya pada tahun 1980.

Kegagalan awal yang dialaminya dijadikan pemangkin untuk terus mencuba sehingga namanya mula disebut-sebut sebagai pereka fesyen tanah air yang berbakat besar.

Ramai yang tidak tahu, Edmund ialah individu yang pernah tampil dengan koleksi pakaian lelaki bernama Edmund Ser pada tahun 1986. Akibat sambutan hambar, Edmund mencuba nasib dalam rekaan pakaian wanita korporat dan berjaya membuka butik pertamanya di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada tahun 1992.

Tahun berganti, jenama Edmund kian kukuh meskipun disaingi pereka-pereka baharu. Tahun 2002, Edmund memperkenalkan jenama baharu, Spade yang lebih terarah kepada pakaian wanita moden.

Namun sejak kebelakangan ini, kelibat Edmund dalam acara fesyen tanah air seakan-akan lenyap begitu sahaja.

Merajukkah dia atau mungkinkah dia ingin bersara daripada dunia fesyen tempatan?

"Saya masih aktif membuat pakaian cuma ia bukan lagi bersifat komersial. Sejak tujuh tahun lepas, saya memutuskan untuk memberi fokus kepada perniagaan pakaian korporat.

"Saya tidak merajuk atau cuba lari daripada umum tetapi kesibukan menguruskan perniagaan baharu ini menyekat waktu yang ada," jelas Edmund merungkai teka-teki yang timbul ketika ditemui Stailo di pejabatnya baru-baru ini.

MENGIMPIKAN pertunjukan fesyen pakaian korporat, Edmund bakal kembali aktif selepas menceburi bidang ini selama 32 tahun.


Sentuhan khas

Banyak menghasilkan pakaian korporat bagi hotel dan bank, Edmund ternyata gembira dengan cabang fesyen berlainan yang diceburinya saat ini.

"Pakaian korporat seperti uniform pekerja yang ditempah pelanggan saya bukanlah rekaan tipikal biasa. Pelanggan saya memberikan kebebasan kepada saya untuk bereksperimen dengan gaya, potongan dan warna yang bersesuaian dengan falsafah syarikat mereka.

"Dahulu kebanyakan syarikat memilih pengilang bagi menghasilkan uniform. Saya pula membawa pendekatan baharu iaitu setiap idea rekaan akan dibentangkan sendiri oleh saya kepada pelanggan dan segala proses penghasilan pakaian dijalankan oleh kira-kira 50 pekerja saya.

"Pelanggan pakaian korporat meletakkan harapan yang tinggi kepada pereka. Ia berbeza dengan industri fesyen komersial kerana lebih mencabar terutamanya dari segi potongan, pilihan warna dan bagaimana ia melambangkan prinsip yang dipegang sesebuah syarikat," ujar Edmund.

Tambah Edmund, cabaran utama menghasilkan pakaian korporat datangnya daripada penyediaan saiz. Bermula daripada saiz S sehingga XXL perlu Edmund sediakan dan memastikan rekaan yang ditetapkan bertepatan dengan semua jenis saiz.

Sejujurnya, Edmund memberitahu bahawa dia masih belum memberikan yang terbaik dalam rekaan fesyen komersial. Dia masih meletakkan pakaian rekaannya di Parkson Pavilion dan KLCC dan Isetan KLCC, cuma ia terhad kepada pakaian wanita korporat.

Edmund tidak bimbang terhadap perniagaan fesyen korporatnya kerana permintaan terhadapnya tidak pernah putus. Hal itu berbeza dengan rekaan bersifat komersial yang adakalanya menagih risiko sama ada ia mampu dijual atau tidak.

PROSES pembuatan baju korporat mempunyai kesukaran yang tersendiri terutamanya dalam penyediaan saiz dari S hingga XXL.


Kerinduan

Selama 32 tahun berkecimpung dalam industri fesyen tempatan, kerinduan Edmund terhadap lapangan fesyen komersial masih kuat. Tanpa selindung, Edmund menyatakan keinginannya untuk kembali aktif dalam industri.

"Sudah semestinya hasrat itu sentiasa ada cuma masanya belum tiba. Saya mahu memastikan perniagaan pakaian korporat ini benar-benar stabil.

"Saya juga bercita-cita untuk mengadakan pertunjukan fesyen pakaian korporat. Ia bertujuan menunjukkan kepada anak-anak muda bahawa uniform syarikat juga melalui perubahan selari dengan perkembangan trend semasa.

"Bagi saya, setiap cabang fesyen sama ada komersial atau korporat perlu dilakukan dengan sepenuh hati dan bukan dijalankan semata-mata demi tuntutan kerja. Prinsip ini saya pegang agar setiap hasil kerja saya dapat memuaskan hati pelanggan," kongsi Edmund.

Berdasarkan butir kata yang diungkapkan Edmund, sesiapapun pasti mengagumi pengetahuan yang ada pada dirinya. Pereka muda seharusnya mencontohi Edmund yang mengambil tahu perkembangan fesyen semasa, sama ada yang berlaku dalam negara mahupun di pentas dunia.

Pemerhatiannya terhadap kronologi fesyen negara juga tajam dan tanpa lokek, Edmund berkongsi pendapat bijaknya kepada Stailo.


TIDAK terus menyepi dalam industri fesyen, Edmund mahu kembali dengan cetusan idea baharu bagi memeriahkan lagi dunia fesyen tempatan.


"Tahun 1980-an adalah permulaan kepada industri fesyen negara. Kegemilangannya pada era itu membuatkan ramai menghargai hasil kerja pereka tempatan.

"Menjelang tahun 1990-an, pakaian berasaskan jenama mula mendapat perhatian sekali gus memaksa beberapa pereka tampil dengan koleksi di bawah jenama masing-masing.

"Memasuki tahun 2000 ke atas, kebanjiran label antarabangsa terutamanya dari Eropah dan Amerika telah mengubah pemandangan industri fesyen negara.

"Pereka perlu bersaing dengan jenama sebegini yang banyak menyediakan pakaian sedia pakai yang diminati golongan remaja," demikian kesimpulan yang dibuat Edmund.

Pesanan

Melihat kepada peningkatan pereka-pereka muda yang berbakat membuatkan Edmund senang hati dengan perkembangan pesat yang dilalui industri fesyen tanah air.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa platform yang diterima pelapis fesyen hari ini adalah atas kerja keras mereka yang berjuang demi memperkenalkan jenama negara ke peringkat global.

Edmund mengingatkan para pereka muda agar memberi tumpuan pada kepakaran yang dimiliki.

Katanya: "Kembangkan bakat yang ada pada anda. Fokus kepada satu rekaan dan kuasainya sehingga anda benar-benar mahir.

"Anda tidak boleh tamak dan mencuba untuk melakukan banyak rekaan serentak. Mulakan dari bawah, seperti bekerja dengan pereka berpengalaman agar anda tahu teknik-teknik yang betul dan cara mengendalikan pelanggan."

Tambah Edmund, pelajaran dan praktikal sangat penting dalam seni reka fesyen, ia bukan sekadar bersandar kepada bakat.

"Perhatikan pereka-pereka antarabangsa. Mereka juga fokus kepada satu objektif sebelum mengembangkan jenama mereka dalam rekaan lain.

"Apabila sudah berjaya, kekalkan sikap merendah diri, jujur dan jadilah diri sendiri tanpa perlu terpengaruh dengan orang sekeliling.

"Akhir sekali, ia perlu didatangkan dengan kerja keras secara berterusan," ujarnya.

Futuristik yang feminin

Posted:

Futuristik yang feminin

Futuristik yang feminin


GAUN sifon rona biru menyerlahkan pesona anggun si pemakai.


MENAMPILKAN inovatif menuju rekaan masa depan namun masih mengekalkan unsur feminin menjadi sandaran kepada koleksi terbaharu label bYSI kali ini.

Ia merupakan refleksi kepada arus fesyen terkini yang semakin ke hadapan melalui era digital dan teknologi tanpa melupakan inspirasi daripada cita rasa lampau.

Cetusan idea futuristik tahun 60-an dan konsep bebas 70-an melatari koleksi ini. Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Neoteric Orientalism, Modernist 60s dan Futuristic Love.

Tona warna merah, hitam, putih, biru, hijau dan kekuningan menjadi pegangan kepada seleksi Neoteric Orientalism yang mengambil inspirasi fesyen orang Asia moden. Mereka digambarkan sebagai seorang wanita yang mengikuti fesyen global tetapi masih mahu mengekalkan elemen tradisi dalam berpakaian.


TAMPIL minimal dengan skirt pensil bagi mnyerlahkan sisi sensual.


Unsur oriental diolah sebaiknya dengan rasa antarabangsa menerusi penggunaan cetakan geometri, digital dan cetakan flora geometri. Pada masa yang sama, sentuhan romantis feminin Asia diterap melalui cetakan warna dan renda.

Ilham meneruskan elemen 60-an dalam rekaan hari ini membuktikan bahawa fesyen era tersebut masih relevan sehingga kini. Ideal buat wanita kontemporari dan bergaya, elemen seperti seni optikal, bunga-bungan, seni pop dan mod siluet dapat dilihat dalam koleksi Modernist 60s.

Seni optikal rona hitam dan putih diterjemahkan dalam siri jalur monokromatik dan cetakan bertompok manakala corak geometri dan cetakan flora dalam rona terang menggambarkan fesyen seni pop.


KONTRADIKSI dua warna asas mewujudkan visual dinamik kepada rekaan terbaharu bYSI.


Fabrik seperti kapas, sutera tiruan, campuran jersi, renda, twil dan sifon banyak digunakan dalam koleksi Futuristic Love yang memegang gaya minimalis tahun 90-an. Ia diperbaharui dengan sentuhan moden sebagai kontradiksi kepada wanita anggun dan sofistikated.

Mereka digambarkan sebagai seorang wanita abad ke-21 yang bebas dan tangkas dalam mengejar cita-cita hidup. Kebebasan itu diterap melalui siluet dan perincian maskulin manakala ropol dan lapisan dengan potongan ringkas membawa aura sensual wanita berkeyakinan.

Membawa konsep Wanita Baharu Setiap Hari, jenama bYSI melalui kempennya kali ini menyokong wanita moden yang memegang pelbagai peranan dan mampu membezakan acara dihadiri melalui pilihan busana bergaya. - HAFIZ AHMAD

Personaliti Minyak Wangi

Posted:

Personaliti Minyak Wangi

Personaliti Minyak Wangi

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

CHRISTOPHER memberi tip memilih minyak wangi.


KEBANYAKAN orang sama ada lelaki atau perempuan sering tidak membuat pertimbangan tepat ketika membeli minyak wangi. Penilaian yang dibuat berdasarkan semburan minimum pada pergelangan tangan atau kertas keras yang diberikan jurujual belum cukup menjadi penentu kepada keputusan akhir.

Ironinya, memilih haruman yang bersesuaian dengan tubuh adalah satu tugas rumit. Wangian yang dihidu pada kertas keras itu dan tubuh anda tidak boleh dijadikan perbandingan memandangkan ia cenderung memberikan tindak balas yang berbeza.

Bau minyak wangi tidak sama dengan apa yang anda hidu di dalam botol, pada kertas keras dan kulit. Bau pertama yang meresap ke dalam deria hidung ialah haruman utama (topnote). Ia merupakan bahagian terkuat dalam sesuatu haruman tetapi baunya paling pantas hilang.

Selepas itu, bau haruman pertengahan (midnote) akan dibebaskan yang kemudiannya digantikan dengan haruman dasar (basenote). Basenote ialah bau yang kekal paling lama dan mampu bertahan sehingga 24 jam, bergantung kepada jenis minyak wangi.


KUNJUNGAN ke The House of Amouage mendekatkan pengguna kepada minyak wangi yang ideal.


Selain amaun semburan yang melampaui batas, memakai minyak wangi yang tidak bertepatan dengan tubuh badan juga adalah kesilapan besar. Sekiranya bau minyak wangi anda hilang dengan pantas, usah menggunakan cara kolot dengan menyemburkan lebih banyak wangian.

"Bukan semua minyak wangi sesuai dengan kita. Disebabkan itu, kita perlu teliti dalam mengenal pasti haruman yang sesuai dengan tubuh badan.

"Kalau minyak wangi itu tidak bertahan lama pada tubuh anda, mungkin anda perlu menukar kepada wangian yang lain. Cuba bereksperimen dengan beberapa minyak wangi dan pada akhirnya, anda akan mendapat haruman yang bertepatan dengan diri.

"Setiap minyak wangi juga melambangkan personaliti diri seseorang. Oleh yang demikian jangan tersilap memilih haruman yang tidak berpadanan dengan karakter diri anda," ujar Pengarah Kreatif Amouage, Christopher Chong ketika ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi baharu di The House of Amouage, Beloved di Starhill Gallery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


PENGGUNA perlu mengetahui bahawa minyak wangi yang sama memberi kesan berbeza terhadap orang yang berlainan.


Cara semburan

Menurut Christopher, ramai wanita mengaplikasikan teknik semburan minyak wangi yang salah. Haruman sebenarnya tidak perlu disembur pada rambut dan keseluruhan tubuh badan.

"Bahagian yang perlu diberi keutamaan golongan wanita ialah dada. Lelaki pula digalakkan menyembur wangian pada belakang telinga, belakang betis dan pergelangan tangan.

"Satu lagi kesilapan yang sering orang lakukan adalah menggosok pergelangan tangan selepas menyembur minyak wangi. Tindakan ini boleh membuatkan molekul minyak wangi itu pecah sekali gus membuatkan bau haruman hilang lebih pantas daripada jangka masa sebenarnya.

"Biarkan ia meresap sendiri ke dalam kulit," jelas Christopher.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved