Ahad, 24 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bangga Pangkor dikenali pelancong

Posted:

Bangga Pangkor dikenali pelancong

Bangga Pangkor dikenali pelancong

KUNJUNGAN Pak Ya ke Galeri Pangkor yang dahulunya merupakan tapak Sekolah Kebangsaan Pangkor baru-baru ini mengimbau kenangan zaman persekolahannya.


SETIAP kali laungan azan dari sebuah masjid di Kampung Masjid, Pulau Pangkor, Perak menandakan masuk waktu solat, lelaki itu pasti bergegas ke sana.

Rumahnya terletak kira-kira satu kilometer (km) dari masjid tersebut. Dia hanya berjalan kaki ke sana. Selepas solat, dia terus bersiar-siar melihat pemandangan dan persekitaran Jeti Pulau Pangkor.

Jarak perjalanan dari rumah ke masjid dan ke jeti dianggarkan kira-kira 3 km sehala.

Begitulah rutin, Zakaria Awang yang kini berusia 94 tahun dalam menempuhi usia senjanya di pulau yang terkenal dengan produk ikan bilis itu.

"Setakat ini, bapa saya merupakan satu-satunya warga emas tertua di Pulau Pangkor. Rakan-rakannya yang membesar bersama di pulau ini sudah lama meninggal dunia," ujar Sabri Zakaria, salah seorang anak Zakaria yang kini bertugas sebagai Penyelia Majlis Perbandaran Manjung di pulau itu.

Tambah Sabri, bapanya itu gemar minum di kedai kopi berhampiran masjid itu.

Ketika Kosmo! bertemu dengan Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya di teratak yang dihuninya bersama keluarga sejak tahun 1970-an di Kampung Masjid, fizikalnya masih kuat. Cuma dia menghadapi sedikit masalah pendengaran.

Menurut Zakaria, mandi lima kali sehari sebelum menunaikan solat merupakan rutinnya sejak kecil. Mungkin amalan itu jugalah antara rahsia tubuhnya sihat sehingga kini. Dia juga mahir matematik dan menghafal sifir dengan baik.

Dengan dialek Perak utara, masih mengingati tahun dan peristiwa penting yang berlaku di pulau itu, Pak Ya cukup ramah berkongsi maklumat zaman kecilnya.

Menyelusuri kisah hidupnya, Pak Ya memberitahu, Pulau Pangkor tidak seperti yang dilihat oleh generasi kini.

Lebih lapan dekad lalu iaitu ketika Pak Ya berusia sembilan tahun, Pulau Pangkor merupakan kawasan hutan tebal dan mempunyai penduduk sekitar 500 orang.

Keindahan, keputihan pasir pantai dan laut yang luas terbentang merupakan sumber rezeki kebanyakan penduduk pulau itu.

"Selain hasil laut, ibu bapa saya turut mencari ubi kayu di kawasan hutan pulau ini. Dengan keadaan rumah yang serba kekurangan, lampu minyak tanah dan telaga merupakan sumber yang kami manfaatkan sebaiknya," ujar Pak Ya.


SUASANA tenang merupakan salah satu tarikan pelancong asing ke pulau yang menjadi signatur negeri Perak.


Naik tongkang

Di Pulau Pangkor, kaum Cina merupakan majoriti dalam kalangan populasi penduduk diikuti kaum Melayu dan India.

Cerita Pak Ya, kaum Cina berketurunan Kong Pao dari Tanah Besar China mula menjejakkan kaki ke pulau tersebut menaiki tongkang pada tahun 1938.

Hasil kerja keras mereka, masyarakat tersebut menjadi nelayan dan mula membuka perniagaan memproses ikan kering secara kecil-kecilan.

"Saya juga merupakan seorang nelayan ketika itu. Walaupun kami bersaing dengan kaum Cina ketika itu, namun kami hidup aman dan damai. Saya dapat merasai suasana itu sehingga ke hari ini. Ikan pada masa itu dijual 80 sen sekati (600 gram)," ujarnya yang menggunakan palong sebagai alat untuk menangkap ikan di laut suatu ketika dahulu.

Mengulas mengenai sejarah nama Pulau Pangkor, Pak Ya ada jawapannya.

Menurut cerita orang-orang lama, pulau itu merupakan laluan bagi kapal-kapal pedagang yang belayar ke Tanah Melayu dan mereka telah melihat sesuatu yang pelik di pesisiran pantai.

"Dari laut, pedagang-pedagang ini melihat ramai orang sedang duduk mencangkung sambil membuang air besar di tepi pantai setiap kali melintasi pulau ini.

"Menjadi lumrah manusia yang tidak boleh melihat sesuatu yang aneh, mereka menggelarkan pulau ini sebagai pungkoq iaitu punggung dalam bahasa utara. Disebabkan peralihan masa, sebutan itu perlahan-lahan bertukar menjadi Pangkor," ujar bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkor itu.

Tutur Pak Ya, jeti Pulau Pangkor yang tersergam indah pada hari ini tidak seperti jeti yang digunakan penduduk pulau itu suatu ketika dahulu.

Kawasan tepian pantai yang dipanggil Batu Kejik merupakan kawasan pelabuhan bot dan sampan untuk ke bandar Lumut bagi menjual hasil laut.

Bangga

"Saya bersyukur dengan perubahan jeti Pulau Pangkor. Dulu, semua ini tiada. Setiap hari saya lihat berpusu-pusu pelancong luar negara memasuki Pulau Pangkor. Saya berasa bangga menjadi warga pulau ini," ujarnya.

Peristiwa sedih sepanjang 94 tahun meniti kehidupannya di pulau itu ialah peristiwa rusuhan kaum di Pulau Pangkor pada tahun 1959. Tragedi itu berlaku sedekad lebih awal daripada rusuhan kaum terbesar di Malaysia pada 13 Mei 1969 di ibu negara.

Peristiwa itu telah mencetuskan rusuhan dan pergaduhan antara masyarakat Melayu dan Cina yang dianggap peristiwa hitam yang pernah terpalit dalam lipatan sejarah pulau itu.

"Saya dan keluarga hanya duduk di rumah, berdoa meminta keselamatan dan kesejahteraan keluarga serta penduduk daripada Allah," ujarnya.

Mempunyai pengalaman berada di bawah payung enam Perdana Menteri, Pak Ya menganggap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin ulung yang telah membawa perubahan kepada pemikiran rakyat dan pembangunan Malaysia.

Dengan keluasan 2,200 hektar dan populasi penduduk kira-kira 25,000 orang, kebanyakan masyarakat di Pangkor bekerja sebagai nelayan selain dalam industri perhotelan.


PEKAN Pulau Pangkor merupakan kawasan tumpuan kegiatan ekonomi penduduk pulau itu.


Perasaan naik feri

Seorang penyambut tetamu di Pangkor Bayview Beach Resort yang terletak di Teluk Nipah, Norazuwa Md. Isa, 28, mengakui dia amat menyayangi pulau yang menjadi tanah kelahirannya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, kos hidup di pulau itu tidak terlalu tinggi. Dengan pendapatan yang diperoleh, dia membantu suaminya yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Teluk Kecil.

"Lima tahun saya bekerja di hotel ini. Tidak pernah terlintas di dalam hati untuk keluar dari Pulau Pangkor. Seluruh keluarga saya dan suami tinggal berdekatan dan ini memudahkan kami untuk menjalan aktiviti kekeluargaan," ujarnya.

Baginya, perkara istimewa yang dilalui oleh seluruh warga pulau yang terletak dalam daerah Manjung itu ialah panorama dan perasaan menaiki feri.

"Orang yang tinggal di tanah besar jarang mempunyai peluang seperti kami. Walaupun ramai yang beranggapan menaiki feri ke Lumut itu sesuatu yang merumitkan, bagi saya ia sesuatu yang menyeronokkan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk yang mengusahakan perkhidmatan peralatan sukan air di Pantai Teluk Nipah, Mohd. Noor Jamalludin, 50. Bisnesnya itu merupakan satu sumbangan kepada penduduk tempatan.

Pemilik perusahaan Beach Boy Water Sport itu memberitahu, dia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya warga muda di Pulau Pangkor untuk meneruskan kelangsungan hidup di pulau tersebut.

"Sehingga kini, saya mempunyai tujuh orang staf yang kesemuanya merupakan anak jati pulau ini. Sukan air merupakan aktiviti wajib sekiranya pelancong ke pulau ini. Setakat ini, perniagaan saya mendapat sambutan lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah.

"Dalam kesibukan saya menguruskan bisnes ini, saya juga berharap agar Pantai Teluk Nipah dijaga dengan baik terutama dari aspek kebersihan. Saya percaya, selagi pantai ini dijaga, pasti ramai pelancong akan terus berkunjung," ujar bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut itu.

Panorama Pangkor waktu malam

Posted:

Panorama Pangkor waktu malam

Panorama Pangkor waktu malam

LAMPU berwarna-warni menerangi kawasan kedai berbumbung di pekan Pangkor.


TERKENAL dengan ikan bilis bermata biru yang menjadi oleh-oleh wajib pelancong, Pulau Pangkor sentiasa mempunyai produk yang melambangkan signatur pulau itu.

Keindahan panorama laut dan persekitaran Selat Dinding yang memisahkan pulau itu dengan bandar Lumut dapat dihayati sepanjang perjalanan pelancong menaki feri dari bandar itu.

Kepada yang pernah berkunjung ke Pulau Pangkor lima atau sedekad yang lalu, anda pasti melihat perubahan pulau yang menjadi daya tarikan di negeri Perak itu terutamanya dari aspek pembangunan infrastruktur.

Bagi jurugambar Kosmo!, Wahidin Salim, Pangkor pada pandangan mata kasar beliau kini berbeza berbanding kunjungannya lapan tahun lalu.

Jika sebelum ini, sepanjang jalan enam kilometer dari pekan Pangkor ke Pantai Teluk Nipah, tiada lampu menerangi jalan itu lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Tetapi kini, hampir setiap 50 meter, pasti ada lampu yang menjadi peneman di kala melalui jalan yang berbukit bukau itu.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Asmadi Teh, 51, memberitahu, sistem pencahayaan di jalan utama seluruh Pulau Pangkor memudahkan penduduk pulau mahupun pelancong untuk menikmati pemandangan pulau pada sebelah malam.

"Selain lampu jalan, pencahayaan di pekan Pangkor juga telah dibaiki. Sebelum ini, kawasan pekan Pangkor juga tidak seindah seperti yang dilihat pada masa kini. Lampu-lampu berwarna-warni telah menghiasi panorama malam pekan Pangkor.

"Kami juga telah mendapat komen positif daripada pelancong bahawa mereka tidak lagi risau untuk keluar bersiar-siar di pekan pada waktu malam," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, kejadian kebakaran yang menyebabkan 12 kedai cenderamata dan produk hasil laut di pekan itu enam tahun lalu telah membuka lembaran baharu buat peniaga.


SUASANA terang menjamin keselamatan pelancong untuk bersiar-siar di pekan Pangkor pada waktu malam.


Jumlah pelancong

"Pihak kerajaan telah membantu membina kedai baharu untuk mereka dan sehingga kini ia merupakan salah satu destinasi wajib bagi pelancong untuk membeli oleh-oleh dari Pulau Pangkor.

"Selepas peristiwa itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah memberi geran kepada pemilik kedai bagi memudahkan mereka untuk membuat pinjaman bank," ujar anak kelahiran Kampung Teluk Kecil itu.

Perkhidmatan feri ke pulau yang mempunyai purata pelancong seramai 10,000 hingga 15,000 orang pada musim cuti sekolah itu juga telah dinaik taraf.

Menurut Asmadi, pada tahun 1980-an, hanya satu syarikat sahaja yang mengendalikan perkhidmatan feri kayu iaitu Min Lian dari Pengkalan Jeti Lumut.

Kini, Syarikat Mesra Feri, Syarikat Duta Pangkor dan Syarikat Pan Silver merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan feri untuk pelancong mahupun penduduk pulau dalam menempuhi perjalanan selama 30 minit ke Pulau Pangkor.

Bagi pelancong yang inginkan perjalanan yang lebih singkat ke Pulau Pangkor, Jeti Marina Island, Teluk Muruh, Lumut yang menyediakan perkhidmatan bot laju merupakan destinasi pilihan pelancong ke pulau itu.

Asmadi turut memberitahu, kerajaan negeri dalam perancangan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai kawasan bebas cukai.

"Sehingga kini, kami masih belum menerima kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut. Namun, usaha itu dianggap sebagai salah satu cara untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini," jelasnya.- MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Big Bad Wolf di Pulau Pinang

Posted:

Big Bad Wolf di Pulau Pinang

Big Bad Wolf di Pulau Pinang

Oleh NIZHA PERIASWAMY


ANDREW berbangga melihat semakin ramai rakyat negara ini yang mula membudayakan amalan membaca.


BERCAKAP mengenai buku, perkara pertama yang sering difikirkan sebelum membuat pembelian sudah tentunya genre bahan bacaan yang dicari. Perkara kedua, tentu sekali mengenai harga, sama ada mampu dimiliki atau tidak.

Acap kali, seseorang mungkin terlepas daripada memiliki sebuah buku disebabkan harganya yang agak mahal.

Namun isu harga, mungkin tidak lagi menjadi penghalang terutamanya kepada mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Ini kerana jualan buku terbesar negara, Big Bad Wolf (BBW) menjadi penanda aras dalam acara jualan yang menjanjikan harga diskaun mencecah sehingga 80 peratus.

Pemilik stor buku, Bookxcess di Amcorp Mall atau lebih tepat lagi lelaki di sebalik acara jualan buku BBW, Andrew Yap bersama-sama isterinya, Jacqueline Ng, mengakui berpuas hati melihat semakin ramai yang mampu membeli pelbagai bahan bacaan.

Ketika ditemui di pejabat Bookxcess di Petaling Jaya, Andrew berkata, walaupun menyedari hakikat bahawa budaya membaca masih agak rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi penjualan buku yang berkualiti pada harga yang murah ternyata melonjakkan minat membaca.

"Saya sendiri tidak membesar dalam budaya membaca kerana kurang berkemampuan. Tetapi apabila kami menawarkan harga yang murah, saya dapat melihat dan merasai keterujaan pelanggan yang datang untuk mendapatkan pelbagai jenis buku," katanya yang baru-baru ini mengadakan jualan buku berterusan selama 63 jam di Pusat Konvensyen Mines, Seri Kembangan, Selangor.

Terbaru jualan BBW kini singgah di Pulau Pinang sejak Jumaat lalu hingga 31 Mac ini. Jualan bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam itu diadakan di Penang Times Square, George Town.


PENDUDUK negeri Pulau Mutiara kini berpeluang merasai keseronokan membeli buku pada harga yang murah.


Anjurkan pertandingan

Berkongsi lebih lanjut tentang BBW yang diadakan sejak Mei 2009, Andrew mengakui ia bukan satu usaha yang mudah. Melibatkan ruang yang besar, tentu sekali sewa yang mahal, tenaga kerja yang ramai, tugasan logistik yang berat, jualan BBW itu sendiri satu cabaran besar kepada Andrew dan isterinya.

Mengimbau mengenai stor bukunya pula, Andrew memberitahu dulu ia hanya bersaiz 46.45 meter persegi (500 kaki persegi). Kini ia dikembangkan kepada 278.71 meter persegi (3,000 kaki persegi) dengan menawarkan lebih 10,000 judul buku berbeza genre.

Andrew memberitahu, sebagai mengalu-alukan para pelajar menggunakan Baucar Buku Satu Malaysia (BB1M), untuk membeli buku Bookxcess menganjurkan pertandingan dengan tawaran hadiah menarik. Diadakan dalam tiga pusingan bermula 22 Februari hingga 31 Mei 2013, pelajar yang menggunakan BB1M hanya perlu mengisi borang dan menjawab tiga soalan mudah.

Selepas itu mereka berpeluang memenangi tiga hadiah utama bagi tiga pusingan dan 15 hadiah berupa gajet setiap pusingan.

Di samping itu, Bookxcess juga menggalakkan para pelanggannya berfikir dengan kreatif apabila menganjurkan pertandingan penulisan.

"Pelanggan boleh menulis sebuah cerita pendek dalam 100 patah perkataan dan setiap dua minggu kami akan memilih tiga pemenang untuk dicetak cerita pendek mereka pada resit Bookxcess," kongsinya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved