Rabu, 20 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perjuangan teater artis tempatan

Posted:

Perjuangan teater artis tempatan

Perjuangan teater artis tempatan

PRODUKSI teater berskala kecil masih aktif di negara ini.


Di Malaysia, kebiasaannya, masyarakat sering diuar-uarkan dengan persembahan teater yang sangat gah yang mengeluarkan modal berjuta-juta ringgit, dihiasi set yang moden serta lokasi mewah khususnya seperti yang dipentaskan di Istana Budaya.

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya, banyak lagi pementasan teater tetapi yang berlangsung di pentas kecil tanpa bajet yang tinggi.

Apa yang menarik, industri teater berskala kecil ini diperjuangkan oleh aktor mahupun aktres yang sudah punya nama dalam arena hiburan tempatan.

Apa yang pasti, teater seperti ini sebenarnya lebih menarik dengan mengetengahkan isu semasa yang dekat dengan masyarakat.

Antara nama popular dunia lakonan tanah air yang bergiat aktif dalam arena teater berskala kecil ini sama ada sebagai penerbit mahupun pelakon termasuklah Nam Ron, Pekin Ibrahim, Bront Palarae, Amar Asyraf, Fauziah Nawi dan Reza Mohamad.

Bicara salah seorang penggiat seni tanah air yang sememangnya sudah mempunyai nama kukuh dalam industri, ujar Nam Ron, dia mempunyai falsafah tersendiri dalam membangunkan seni teater berskala kecil.

Bebas bereksperimental

Menurut Nam Ron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan yang kini sedang giat mengusahakan produksi teater arahan terbaharunya yang berjudul Ayaq Hangat Entertainment, teater berskala kecil lebih bebas.

"Jujur saya akui, saya pernah mendapat beberapa tawaran untuk mengarah teater berskala besar sebelum ini.

"Namun, saya mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut. Ini kerana bagi saya, jika mengarah teater berskala besar, saya harus bekerja dengan permintaan mereka (pelabur teater) dari segi cerita dan semuanya ada panduan - tidak bebas.

"Namun, jika saya bergerak dengan mengarah teater kecil, saya mampu bereksperimental dan tidak perlu terlalu terikat dengan peraturan daripada sesiapa.

"Bagi saya, untuk berkarya kita perlukan kebebasan dalam meluahkan setiap karya. Walaupun ruang mungkin kecil, namun kebebasan tersebut memberikan saya kepuasan," jelas Nam Ron.

Tambahnya, jika menghasilkan teater berskala besar, jarang pihak produksi akan mengetengahkan isu yang bersifat eksperimental kerana mereka mahukan sesuatu yang mempunyai lebih nilai komersial.

"Bagi menghasilkan pementasan teater berskala kecil, kos bukanlah sesuatu yang berat untuk difikirkan," ujarnya yang pernah bertindak sebagai pengarah artistik teater Inggeris berjudul, Short Eyes.


SELAIN turun gelanggang lakonan teater, Nam Ron turut bertindak sebagai pengarah artistik teater.


Dekat dengan masyarakat

Mungkin beberapa tahun kebelakang ini, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang kurang mengenali serta menghargai seni teater berskala kecil ini.

Bagaimanapun, harus diakui, kini lebih ramai golongan generasi baharu yang turut sama memperjuangkan teater berskala kecil.

Pada zaman moden ini, walaupun ia tidak menggunakan bajet yang besar, props pentas yang mewah serta canggih, namun, isu yang diketengahkan berjaya menarik minat masyarakat dalam memberikan sokongan.

"Setakat ini mengikut pengalaman saya, isu yang diangkat berjaya menarik minat orang kerana ia tidak boleh didapati di tempat lain.

"Memang kami akan menjadikan isu terkini suatu ekspresi melalui pementasan teater. Setiap orang yang hadir mempunyai pemikiran berbeza bagi menilai apa yang mereka tonton.

"Teater berskala kecil pada kebiasaannya banyak mengangkat isu mengenai kemasyarakatan, kemanusiaan, keagamaan, politik, ekonomi serta banyak lagi isu semasa yang digumpalkan serta dikongsi dengan masyarakat kita sendiri," tegas Nam Ron yang sudah hampir 24 tahun terlibat dalam industri teater tempatan.

Menurutnya lagi, memang wujud golongan yang akan menghargai usaha penggiat teater berskala kecil dan memberi sokongan kerana dapat merasai kejujuran melalui cerita yang disampaikan.

Ini kerana, ia lebih jujur dalam berkarya kerana tiada had tertentu.

"Diambil sebagai contoh, pulangan semula modal yang dikeluarkan untuk mementaskan sesebuah teater menjadi perkara nombor dua, memandangkan mereka ingin beri lebih tumpuan terhadap apa yang boleh disampaikan," jelasnya yang pernah mengarah teater berskala kecil dengan judul-judul yang unik seperti Alih Punggong dan Matderihkolaperlih.

Ikut kemampuan

Namun, lain pula pendapat primadona lakonan teater, Fauziah Nawi yang namanya cukup gah dalam bidang lakonan filem, drama mahupun teater.

Karyawan seni berwibawa ini bukan sahaja melibatkan diri dalam bidang lakonan teater, malah dia turut mempunyai sebuah produksi teater yang diberi nama Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) - ditubuhkan pada tahun 2003 di bawah syarikat Fauziah Nawi (M) Sdn. Bhd.

Tidak dinafikan sepanjang penglibatan Fauziah dalam dunia teater tanah air, sudah banyak dia melibatkan diri dalam teater berskala kecil, mahupun berskala besar.

Antara teater berskala kecil arahannya termasuklah Teater Monolog Cinta Julia dan Teater Muzikal Lorong Blues manakala dia juga pernah mengarah teater berskala besar, Mahsuri yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2009

Bagi Fauziah, tidak wujud begitu banyak perbezaan dalam mementaskan sebuah teater besar atau kecil, khususnya dari segi yang membabitkan perasaan.

"Bagi saya, perasaan melakukan teater berskala besar dan kecil sama sahaja. Jika kita tidak mampu untuk pentaskan teater berskala besar, kita buat sahaja yang kecil. Namun, pada hakikatnya, semua perlu bermula daripada yang kecil.

"Jika ikutkan diri saya, teater (berskala) yang kecil ini saya buat kerana saya rasa saya mahu lakukannya. Tidak dinafikan juga, teater kecil itu lebih dekat kepada penonton dan yang besar itu punya cara tersendiri," bicara Fauziah.

Tambahnya, kedua-dua teater berskala besar dan kecil lebih kurang sama dan bajet mungkin berbeza.

"Namun apa yang pasti, beban kerja dan hasil yang akan ditonton, adalah lebih kurang sama," ujar Fauziah.

TEATER berjudul 3 Wajah, antara yang lahir daripada jiwa seni Fauziah.


Lebih terkawal, lebih mengawal

Setiap orang mempunyai pendapat mahupun keinginan lain dalam melahirkan ekspresi tentang apa yang mereka mahukan dalam sesetengah perkara.

Bagi penggiat teater wanita berusia 59 tahun ini, ternyata pengalaman yang dibinanya hampir 20 tahun lalu, memberi kelebihan buat dirinya untuk membuat penilaian.

"Bagi saya, apa yang saya ingin lihat dalam sesebuah persembahan teater sudah tentu isi penceritaan. Kadangkala, ada sesetengah teater yang mungkin naskhahnya bagus, tapi apabila dipentaskan, ia tidak menjadi. Ini sebenarnya terpulang kepada selera masing-masing yang menonton.

"Isu komersial atau tidak, terpulang kepada orang yang menonton dan saya tidak nampak apa masalahnya. Cuma apa yang saya boleh katakan, yang kecil lebih terkawal dan yang besar perlu lebih mengawal," jelas Fauziah memberi pandangan dari sudut profesionalisme.

Ujarnya lagi, mungkin jika terlibat dengan teater berskala besar, bajet merupakan perkara yang tidak perlu sangat difikirkan. Bagaimanapun, apa yang perlu fikir ialah bagaimana ingin mengawal keadaan serta kru serta pelakon yang ramai.

Fauziah merumuskan bahawa pengalaman sangat membantu dalam mementaskan sesebuah teater tidak kira yang besar mahupun kecil. Akuinya, walaupun mungkin kurang mendapat publisiti, atas pengalaman yang diperoleh, dia telah mampu untuk menjengah ke tahap antarabangsa melalui industri teater seperti di Singapura dan London.

Sambutan menggalakkan

Namun bagi seorang anak seni yang sememangnya aktif dalam bidang lakonan teater iaitu pelakon Pekin Ibrahim, kepuasan berteater ialah dapat menyegarkan semula apa yang dipelajarinya sebelum ini.

"Lakonan di skrin, tidak seperti mana yang kita buat latihan. Jadi melalui teater, tidak kiralah yang kecil mahupun yang besar tetap akan melalui proses latihan, dan latihan itu yang sebenarnya membantu.

"Secara peribadi, saya lebih gemar dengan teater berskala kecil kerana ia lebih dekat dengan audiens dan naskhah serta isinya juga lebih bebas," jelasnya yang aktif berlakon teater di bawah produksi Anak Seni Teater (RAT).

Mempunyai pendapat sama seperti Nam Ron, ujar pemilik nama sebenar, Mohd. Iznan Ibrahim ini, isu yang diangkat teater berskala besar lebih kepada nilai komersial.

Menurutnya, RAT lebih banyak mengangkat isu yang dekat dengan masyarakat serta apa yang mereka mahu pentaskan kepada umum.

Ditebak persoalan mengenai bajet serta promosi yang dijalankan, bicara anak kelahiran Kelantan ini, walaupun mungkin teater berskala kecil kurang bajet, namun, promosi yang dijalankan agak meriah.

"Kini telah banyak pihak yang menyokong industri teater berskala kecil ini. Banyak medium yang digunakan selain media massa dan cetak, ramai juga yang turut membuat promosi melalui laman sosial seperti Twitter dan Facebook.

"Sejujurnya, pementasan yang kami pentaskan, jarang tidak mendapat sambutan dan kebiasaannya penuh. Sehinggakan ada yang minta kami panjangkan lagi tempoh pementasan.

"Hakikatnya memang dari dahulu teater kecil ini sudah punya pengikut yang ramai, tapi mungkin pendedahan itu kurang," jelas aktor yang hampir 18 tahun bergiat dalam industri hiburan tempatan ini.

Penglibatan teater bintang Hollywood

Posted:

Penglibatan teater bintang Hollywood

Penglibatan teater bintang Hollywood

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

HUGH JACKMAN menguasai pentas Broadway menerusi pementasan teater, The Boy from Oz.


BROADWAY di Amerika Syarikat dan West End di London cukup sinonim sebagai lokasi pementasan teater berprestij yang dikenali di seluruh dunia.

Jika di Malaysia, ia boleh diibaratkan seperti Istana Budaya yang terletak di Kuala Lumpur. Dapat meluahkan bakat di atas pentas berprestij ini merupakan satu penghormatan buat mana-mana pelakon.

Di Hollywood, sememangnya terdapat ramai bintang ternama yang juga membina nama dalam bidang teater.

Ada yang bermula kariernya sebagai seorang pelakon teater dan ada pula yang terlibat dengan dunia teater selepas bergelar seorang pelakon layar kaca atau layar perak.

Namun apa yang pasti, mereka ini masih lagi mencipta nama dalam kedua-dua bidang lakonan arus perdana serta teater dan punya nama yang besar dalam industri.

Antara bintang terkenal yang turut terbabit dalam dunia teater termasuklah Whoopi Goldberg, Robert De Niro, Rowan Atkinson, Barbara Streisand, Scarlett Johanson, Hugh Jackman dan Daniel Craig.

Whoopi Goldberg

Whoopi Goldberg atau nama sebenarnya, Caryn Elaine Johnson bukan sahaja mempunyai karier sebagai seorang pelakon di Hollywood, namun wanita berusia 57 tahun ini seorang yang sangat versatil.

Bukan sekadar pelakon tetapi dia juga seorang pelawak, penyampai radio, penerbit, penulis, penyanyi dan pengacara.

Dia mula membina nama di Hollywood menerusi filem pertama lakonannya yang berjudul The Color Purple pada tahun 1985.

Kehebatan Goldberg dalam bidang lakonan memang tidak dapat disangkal lagi sepanjang bergelar aktres memandangkan dia mendapat pendidikan awal tentang lakonan di bawah guru lakonan terkenal, Uta Hagen di HB Studio.

Kredibilitinya terbukti apabila dia meraih Anugerah Oscar Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 1991 hasil lakonannya menerusi filem, Ghost (1990).

Pada tahun 1983, Goldberg telah mengendalikan sebuah teater monolog berjudul, The Spook Show yang menggabungkan banyak karakter.

Dari situ, bermulalah penampilan Goldberg di pentas Broadway.

Ternyata, teater tersebut mendapat sambutan baik yang mana tiket untuk menyaksikan sebanyak 156 pementasan The Spook Show habis terjual.

Rowan Atkinson

Rowan Sebastian Atkinson atau lebih dikenali ramai dengan watak komedinya sebagai Mr Bean di seluruh dunia telah memulakan karier seninya sejak tahun 1976 lagi.

Kerjaya Atkinson dalam dunia teater bermula pada tahun 1979 menerusi teater pentas yang berjudul The Secret Policeman Ball.

Pada tahun 1988 pula, Atkinson terlibat dengan teater yang diadakan di Aldwych Theatre, London bersama pelakon lain seperti Timothy West and Cheryl Campbell.

Setelah itu, karier dalam bidang teater mula berkembang bagi Atkinson dan dia pernah meluahkan bakatnya di pentas West End dan juga Wyndham's Theatre di London.

HUGH JACKMAN


Barbra Streisand

Barbra Joan Streisand merupakan seorang wanita yang sangat berjaya dalam kedua-dua bidang lakonan dan nyanyian.

Dia bukan sahaja memenangi anugerah melalui nyanyian, namun pelbagai penghormatan juga diberi kepadanya dalam bidang lakonan.

Karier lakonannya sudah tentu tidak terhad di layar perak sahaja. Pentas teater mega seperti Broadway serta West End, bukan merupakan satu lokasi asing buat Streisand.

Pada tahun 1962, Streisand muncul pertama kalinya di atas pentas Broadway dengan watak yang kecil sebagai Miss Marmelstein namun berjaya mengangkat namanya melalui pementasan teater muzikal berjudul, I Can Get It for You Wholesale.

Dua tahun selepas itu, Streisand kembali ke arena teater dengan membawa watak Fanny Brice menerusi Funny Girl yang dipentaskan di Winter Garden Theatre.

Teater itu meraih kejayaan besar lalu mengangkat dirinya sebagai penyanyi dan pelakon yang bukan sahaja berjaya tetapi disegani dari segi kewibawaan dalam pelbagai cabang bidang hiburan.

Hugh Jackman

Aktor kacak dan tinggi lampai Hugh Jackman, sememangnya memiliki aura luar biasa ketika membawa sebarang watak yang diberikan kepadanya.

Berikan apa sahaja watak seperti romantik, antagonis mahupun adiwira - kesemuanya pernah dilakonkan dengan sukses oleh aktor kelahiran Sydney, Australia ini.

Akui Jackman, sejak kecil, dia memang sangat berminat dengan industri teater.

Jika di layar perak dia cukup sinonim dengan karakter Wolverine menerusi siri filem pecah panggung X-Men, menerusi teater pula, namanya bersinar terang selepas pembabitannya menerusi pementasan The Boy from Oz di Broadway pada tahun 2004

Impak pementasan teater tersebut, dia telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah paling berprestij dalam dunia pementasan teater iaitu Anugerah Tony kategori Aktor Terbaik, selain dinobatkan sebagai pemenang anugerah-anugerah lain teater yang termasuklah Anugerah Drama League, Outer Critics Circle, Theatre Fan's Choice dan TDF-Astaire.

Selain The Boy from Oz, antara teater lain yang Jackman turut terlibat termasuklah A Steady Rain bergandingan dengan aktor Daniel Craig.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved