Jumaat, 1 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nadi baharu penduduk Kuching

Posted:

Nadi baharu penduduk Kuching

Nadi baharu penduduk Kuching

SELEPAS dibuka pada 1 Januari 2013, Medan Niaga Satok (MNS) yang dibangunkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian para peniaga di bandar raya Kuching, Sarawak.

Berstatuskan medan niaga terbesar di Malaysia, maka seharusnya ia adalah syurga untuk mendapatkan pelbagai hasil-hasil pertanian serta barangan keperluan lain.

Selain sebanyak 1,444 ruang niaga tetap, pasar tani moden bernilai RM47 juta itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk sistem pembuangan sisa dapur yang lebih sistematik.

Lebih menarik, MNS kini semakin digemari orang ramai bukan sahaja penduduk setempat, bahkan pelancong asing yang tertarik dengan persekitarannya yang bersih dan susun atur gerai-gerai yang kemas.

Sebanyak 1,444 ruang niaga tetap yang disediakan diberi keutamaan kepada peniaga sedia ada di Pasar Tamu Satok, termasuk 600 ruang untuk peniaga hasil hutan yang sebelum ini berniaga di Pasar Minggu Satok.

Lima blok

Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke situ, MNS dibahagi kepada lima blok dengan blok pertama dikhaskan untuk menempatkan pusat khidmat sokongan FAMA.

Blok B pula menempatkan pasar tani kekal, Blok C menempatkan pasar tani separa basah dan kering, Blok D pula menempatkan plaza dan kafeteria manakala Blok E menempatkan gerai makanan.

Wakil peniaga Bujang Taha, 77, berkata, konsep pasar tani di medan niaga tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai membeli barangan pertanian yang segar pada harga berpatutan.

Menurutnya, dengan adanya MNS, petani atau pengeluar boleh memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada orang ramai tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

"Para pengguna juga tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan bekalan daging ayam, lembu dan sayur-sayuran.


BANGUNAN Medan Niaga Satok yang terletak di Jalan Matang merupakan medan niaga pasar tani moden dan terbesar di Malaysia menggantikan Pasar Tamu Satok yang telah beroperasi sejak 20 tahun.


"Di sini, semuanya ada. Orang ramai boleh mendapatkan apa yang tiada di pasar tani lain seperti ulam-ulaman, sayur kampung segar, ikan air tawar dan ayam kampung.

"Inilah satu keunikan medan itu yang menjadi lokasi di mana peniaga dan pengguna boleh berinteraksi dalam suasana meriah dan istimewa," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas jaguh bina badan negara menambah, pembinaan MNS dilihat mampu meningkatkan imej usahawan tani yang memasarkan sendiri hasil pertanian mereka kepada orang ramai.

Katanya, persekitaran perniagaan pasar tani yang berubah mengikut perkembangan dan keperluan sejajar dengan kemajuan serta peningkatan jualan setiap minggu menjadikan ia lebih kompetitif.

"Kami para peniaga tidak lagi mahu melihat pasar tani berada pada takuk lama dan beroperasi menggunakan payung di kawasan letak kereta, di tepi jalan atau di pinggir bandar.

"Sebaliknya kami mahu melihat pasar tani moden yang mempunyai imej tersendiri dengan bangunan tetap selain pelbagai kemudahan kepada para pelanggan seperti MNS ini," ujarnya.

Kenangan Pasar Tamu Satok

Mr. Asia tujuh kali itu bagaimanapun mengakui, berasa sebak apabila melihat Pasar Tamu Satok lama yang popular sejak dua dekad lalu dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja memulih dan memperindahkan kawasan berkenaan.


MEDAN Niaga Satok juga mempunyai gerai di bahagian luar pada hujung minggu.


Dia yang berniaga di situ sejak 20 tahun lalu memberitahu, Pasar Tamu Satok sememangnya memiliki nilai sentimental tersendiri kerana pernah menjadi lubuk dia mencari rezeki untuk menyara keluarga.

"Pada mulanya agak sukar untuk kami menerima keputusan pihak berkuasa merobohkan pasar ini, namun saya percaya mereka mempunyai perancangan lebih baik bagi membangunkan kawasan Satok.

"Sekarang kami berasa berpuas hati dengan suasana dan persekitaran MNS di Kubah Ria memandangkan ia memiliki prasarana serta kemudahan yang lebih lengkap," katanya lagi.

Sementara itu, rakannya Muliadi Jerawi, 42, pula berkata, MNS merupakan medan pertemuan antara pengeluar dengan pengguna kerana ia senang dituju selain menawarkan suasana perniagaan yang unik dan meriah.

Katanya, berbeza dengan Pasar Tamu Satok yang kian sesak, MNS lebih teratur dan terjamin kebersihannya kerana ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh FAMA.

Sesuai dengan gelaran medan niaga terbesar di negara ini, kehadiran hampir 2,000 peniaga di MNS pasti akan melengkapkan permintaan keperluan produk pertanian yang diinginkan oleh pelanggan.

Bagi dirinya, keistimewaan MNS adalah terletak kepada cirinya yang mudah alih dan lokasinya di kawasan petempatan penduduk yang ramai.

"Keadaan Pasar Tamu Satok lama sudah tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran dan berada di lokasi yang semakin sesak.

"Jadi, keputusan kerajaan memindahkan kami di sini (MNS) adalah tepat sekali, sekali gus memastikan kami menawarkan produk yang berkualiti, lebih kompetitif dan menjamin aspek kesihatan pengguna,'" katanya.

Dia yang menjual ayam daging sejak 18 tahun lalu memberitahu, rata-rata pengguna memberi maklum balas positif terhadap pembukaan MNS kerana ia menawarkan perkhidmatan terbaik yang dapat memenuhi kehendak secara menyeluruh.

Tempat pertemuan masyarakat

Menurutnya, MNS bukan sekadar tempat menjual beli sayur kerana sejak diperkenalkan dan dibuka secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Januari lalu, ia telah menjadi satu institusi pemasaran yang berkesan di negara ini.

Jelas Muliadi, pasar tani moden itu sememangnya telah berjaya mencapai matlamat utamanya iaitu sebagai platform petani memasarkan hasil keluaran mereka secara terus kepada pengguna.

"Pergilah ke mana juga di seluruh negara, satu tempat pertemuan masyarakat yang sering disaksikan ialah di pasar tani.

"Begitu juga di Sarawak, MNS ini merupakan hab komersial terbaharu yang menjadi medan pertemuan pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Zaini Rahman, 48, yang senada dengan Muliadi memberitahu, MNS yang dibina di tebingan Sungai Sarawak akan memudahkan orang ramai mengunjunginya dengan menggunakan perkhidmatan teksi sungai.

Pengusaha ikan terubuk masin Sarawak itu menambah, meskipun jualan agak kurang memberangsangkan kini, namun ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk melipat-gandakan usaha mempromosikan MNS.


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pemilik gerai ikan terubuk, Pendi Hamdan (kanan) selepas merasmikan Medan Niaga Satok hujung Januari lalu.


"Kami akui, perniagaan merosot 50 peratus. Sebelum ini, kami dapat menjual hampir 100 kilogram sehari, namun sekarang sekitar 50 hingga 60 kilogram sahaja. Tetapi, kami optimis keadaan ini akan berubah dalam masa lima hingga enam bulan akan datang selepas MNS ini dikenali ramai," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved