Jumaat, 1 Mac 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Talaan baharu CR-Z

Posted:

Talaan baharu CR-Z

Talaan baharu CR-Z

Oleh SHAWKATH AZDE

TANGGAL 3 November 2011 menyaksikan Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) membawa masuk satu lagi kenderaan hibrid bagi pasaran tempatan iaitu CR-Z. Ia merupakan kereta hijau ketiga selepas Insight dan Civic.

Produk keluaran Jepun itu turut membuktikan bahawa bukan semua kenderaan mesra alam dicipta dengan rekaan hadapan yang landai dan agak hambar. Bagi Honda Malaysia, CR-Z adalah sebuah kereta hibrid sport.

CR-Z versi manual dibawa masuk untuk menemui para pelanggan terlebih dahulu, sebelum diikuti oleh varian transmisi automatik (CVT).

Tahun lalu, Honda membuat kejutan apabila menampilkan model naik taraf CR-Z di Indonesia International Motor Show (IIMS) dan disusuli di Paris Motor Show, Perancis.

Honda Malaysia tidak mengambil masa lama untuk membawa masuk model naik taraf itu kepada peminat tempatan. Dua varian ditawarkan iaitu automatik (CVT) dan manual.

Lazimnya model naik taraf yang diperkenalkan oleh pengeluar kenderaan sekadar mengenakan kit badan atau memasang bampar baharu sahaja.

Biarpun itu senario yang lazim berlaku, ada juga model naik taraf melibatkan penukaran beberapa komponen penting.

Contoh mudah ialah CR-Z 2013. Pembaharuannya melibatkan dua perkara iaitu kosmetik dan prestasi.

"CR-Z baharu akan menawarkan keseronokkan pemanduan kepada peminat kenderaan di Malaysia. Ia kereta ideal untuk mereka yang tahu menilai teknologi termaju, mahu menarik perhatian orang dan mementingkan penjagaan alam sekitar," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.


DARI kiri: Tomobe dan Ueno pada majlis pelancaran CR-Z naik taraf di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.


Individu di sebalik pembangunan CR-Z ialah Norio Tomobe. Selaku Large Project Leader CR-Z, beliau ditugaskan untuk menyerlahkan lagi hibrid sport itu berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada para pelanggan.

Memetik ucapan Tomobe sewaktu pelancaran model hot-hatch itu di Setia Alam, Selangor, beliau memberitahu, konsep pembangunan model naik taraf adalah untuk memantapkan lagi konsep hibrid sport CR-Z.

Penambahbaikan luaran membabitkan penggunaan bampar hadapan dan gril baharu. Set lampu hadapan jenis HID pula diadun bersama lampu DRL LED.

Lampu belakang membabitkan lampu LED dengan perumah berwarna biru jernih. Tidak lupa juga pengenaan peresap di bahagian belakang.

Butang S+

Ruangan kabin diberikan transformasi minimum dengan jahitan benang merah pada kerusi yang disalut material separa kulit. Tambahan lain sekadar stereng dan tuil gear baharu. Ada satu butang Plus Sport (S+) dipasang pada stereng. Ini perkara baharu.

S+ merupakan sistem penggalak yang membolehkan anda menikmati pemanduan berprestasi. Bagaimanapun, bateri CR-Z perlu memiliki kadar cas melebihi 50 peratus jika mahu menikmati ledakan kuasa itu.


BAMPAR dan gril baharu mengukuhkan imej sport pada jentera hibrid ini.


Jika butang itu ditekan sewaktu kereta berada pada kelajuan 100 kilometer sejam (km/j), CR-Z berupaya mencapai kelajuan sehingga 180km/j dalam tempoh tujuh saat. Ledakan kuasa itu ibarat prestasi sebuah kereta dengan enjin tiga liter V6. Menarik?

Harus tahu, fungsi S+ akan dimatikan secara automatik andainya sistem komputer mengesan tayar beralih dari kiri ke kanan (atau sebaliknya) apabila membelok secara mendadak, contohnya membuat pusingan U. Ini sebagai langkah keselamatan.

Idea untuk mengenakan butang S+ pada CR-Z naik taraf datangnya daripada model BMW (BMW Z4). Tomobe merupakan salah seorang peminat tegar BMW dan mahu menawarkan perasaan berbeza sewaktu memandu sebuah CR-Z.

Li-ion

Ketika ditanya sama ada S+ bakal dipasang pada model-model Honda hibrid yang lain, Tomobe menyatakan pihaknya tidak ada rancangan untuk perkara itu buat masa sekarang.

Pembaharuan kedua membabitkan penggunaan bateri jenis litium-ion (Li-ion). Model sebelumnya mengguna pakai pek bateri jenis logam nikel hidrida (Ni-MH). Bateri itu dibekalkan oleh Blue Energy Co. Ltd. (Blue Energy).

Blue Energy merupakan syarikat usaha sama di antara GS Yuasa Corporation dan Honda. Ia berperanan sebagai pengeluar, jualan, selain penyelidikan dan pembangunan bateri Li-ion bagi kegunaan kenderaan hibrid.


LAMPU meter akan beralih daripada biru ke hijau jika pemanduan kurang efisien dari segi penggunaan bahan api.


Bateri Li-ion sebenarnya lebih banyak menghasilkan haba dan lebih mahal jika dibandingkan dengan bateri Ni-MH.

Perkara itu diakui Tomobe dan sebagai penyelesaian, Honda memasang kipas sebagai sistem penyejukan pada bahagian sisi pek-pek bateri berkenaan.

"Alat pengesan suhu juga dipasang bagi membolehkan suhu bateri dapat dipantau dan dikawal. Buat masa sekarang, suhu yang ditetap adalah 45 darjah celcius.

"Sekiranya suhu melangkaui takat tersebut, keseluruhan sistem bateri (IMA) tidak berfungsi dan hanya akan bertindak menyimpan tenaga serta beroperasi dengan enjin sepenuhnya," jelasnya.

Bateri yang mendiami but CR-Z itu tahan air (water resistance) namun bukannya bermaksud kalis air.

Pek bateri Li-ion pasti rosak jika ditenggelami air. Bak kata Tomobe, ia bukan macam jam G-Shock yang boleh direndam di dalam air.

Standard keselamatan pada CR-Z naik taraf membabitkan dua beg udara kembar SRS hadapan, beg udara langsir tepi dan sisi, sistem pengesanan posisi penumpang, G-CON, VSA, ABS, BA, EBD dan ACE.

Honda Malaysia berhasrat mencapai sasaran jualan sebanyak 300 unit sebulan bagi kedua-dua varian itu. Pilihan warna disediakan ialah ungu, putih, kelabu dan merah.

Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian manual ialah RM119,000 seunit, manakala model automatik dijual pada harga RM123,000 sebuah. Jaminan pula selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Rekod Nissan dicipta selepas 56 tahun beroperasi

Posted:

Rekod Nissan dicipta selepas 56 tahun beroperasi

Rekod Nissan dicipta selepas 56 tahun beroperasi


BON BENG bersama model naik taraf Nissan Teana 2.5L di Subang, Selangor baru-baru ini.


EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) berjaya merekodkan jualan sebanyak 34,966 unit kenderaan jenama Nissan di Malaysia pada tahun lalu.

Angka itu merupakan jualan tertinggi ETCM sejak beroperasi di negara ini kira-kira 56 tahun lalu.

Pencapaian tahun 2012 turut membantu jenama Nissan menduduki tangga kedua kategori kenderaan bukan nasional di Malaysia selepas Toyota.

Selain itu, jenama Nissan juga menempatkan kedudukan nombor satu dalam Kajian Indeks Kepuasan Jualan Malaysia (SSI) oleh J.D. Power Asia Pacific 2012.

"Ketika kami meraikan kejayaan ini, kami tidak akan lupa dengan cabaran-cabaran dalam pasaran dan kehendak daripada para pelanggan yang terus mahukan kualiti produk serta perkhidmatan tanpa kompromi.

"Dengan sejarah panjang di negara ini, kami akan terus menawar dan mengujakan pengguna di Malaysia melalui produk-produk, perkhidmatan dan penjagaan berkualiti tinggi yang sinonim dengan kami sejak 56 tahun lalu," kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng pada satu majlis makan tengah hari di Subang, Selangor baru-baru ini.

Jelas beliau, pihaknya akan meneruskan sasaran bagi meningkatkan kepuasan para pelanggan menerusi tawaran perkhidmatan dan model-model inovatif dalam pasaran tempatan.

Antaranya model naik taraf Nissan Teana 2.5L yang sudah dipasang beberapa ciri termaju dalam kelas tersendiri.

Anda kini boleh mengunjungi bilik pameran ETCM di seluruh negara untuk melihat secara dekat model Teana 2.5L 2013 yang telah ditambah baik.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian khidmat pelanggan: 1800-88-8368 atau layari laman web: www.nissan.com.my.

Lancar dan praktikal

Posted:

Lancar dan praktikal

Lancar dan praktikal

Oleh SHAWKATH AZDE


PELEKAT rekaan grafik kini ditampilkan pada badan skuter Suzuki SkyDrive.


SESI tunggang uji kali ini melibatkan model Suzuki SkyDrive. Skuter itu bagaimanapun bukanlah baru di pasaran tempatan.

Jentera jenama Jepun itu telah diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) di Genting Highlands, Pahang.

SkyDrive direka dan dibangunkan sepenuhnya di Jepun. Ia mewarisi tradisi kecemerlangan dan teknologi inovatif Suzuki.

Kedua-dua aspek itu diadun pada reka bentuk dan prestasi skuter tersebut. Sasaran pelanggannya adalah golongan muda urban dan peminat skuter.

Kali pertama memandang SkyDrive, jelas terpapar rekaan yang moden dan futuristik. Set lampu hadapan yang besar dengan reka bentuk tiga dimensi dan garisan badan menguatkan seni rekaannya. Madgad yang melindungi percikan air daripada roda hadapan menjadi pelengkap.

Gayaan sebegitu rupa ada rasionalnya. Ia membantu meningkatkan lagi faktor aerodinamik skuter seberat 107 kilogram itu.

Perkara itu dirasai sewaktu menunggang. Aliran angin di belah dan disalurkan keluar dengan bantuan garis badan dan keluk pada SkyDrive.

SkyDrive dipasang dengan enjin empat lejang silinder tunggal sejukan udara bersesaran 124cc. Untuk pasaran Malaysia, jentera itu hanya didatangkan bersama sistem karburator jenis Mikuni BS 26 berserta transmisi pembolehubah berterusan (CVT).

Enjin tersebut dikatakan mampu menghasilkan kuasa 6.9kW @ 7,500rpm, manakala tork tertinggi adalah 9.6Nm @ 6,500rpm. Ada dua cara menghidupkan enjin sama ada menerusi butang pemula atau penendang kaki.

Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji skuter itu. Untuk menghidupkan enjin, tuli brek perlu ditarik terlebih dahulu sebelum menekan butang penghidup. Anda boleh memilih untuk menarik tuli kanan atau kiri untuk tujuan menghidupkan enjin.

Ini perbezaan SkyDrive. Lazimnya, hanya tuli kiri berperanan membantu operasi menghidupkan enjin skuter. Tuli kanan tidak menjadi pilihan pengeluar lain kerana ia berkait rapat dengan soal keselamatan.

Andainya tongkat tunggal tidak dinaikkan, enjin tetap boleh dihidupkan. Saya mendapati tiada suis untuk mematikan enjin dipasang pada tongkat tunggal SkyDrive. Jadi, sila pastikan tongkat sudah dinaikkan sebelum anda memulakan tunggangan.

Deruman bunyi ekzos cukup lembut walapun saya memulas pendikit minyak secara mendadak. Enjin tidak meraung dengan kuat. Hamburan kuasa cukup lancar dan sempurna dengan adanya teknologi kotal gear CVT.


SET lampu belakang kelihatan moden dan memainkan tugas dengan cemerlang.


Saya menunggang jentera menyusuri laluan di sekitar ibu negara dan Selangor selama sembilan hari sebagai motosikal kegunaan harian.

Sepanjang tempoh itu, saya membuat pengisian minyak petrol sebanyak tiga kali (RM5 setiap pengisian). Saiz tangki minyak ialah empat liter.

Pengisian pertama membabitkan kelajuan tunggangan antara 90 kilometer sejam (km/j) sehingga 110kmj. Saya mencatat jarak perjalanan sekitar 68km sahaja.

Jarak itu sama seperti menunggang dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di ibu negara ke bandar Seremban, Negeri Sembilan.

Ujian kedua dengan nilai isian minyak petrol sama dilakukan untuk tunggangan santai. Saya mencatat perjalanan sehingga 116km dengan mengekalkan kadar kelajuan tunggangan di bawah paras 60kmj.

Sepanjang sesi tunggangan saya mendapati suspensi teleskopik untuk tayar hadapan dan penyerap hentak tunggal pada roda belakang menawarkan tahap keselesaan yang masih boleh diterima.

Saiz tayar hadapan bersaiz 70/90 dan 80/90 (roda belakang) pada rim berukuran 14 inci sedikit sebanyak membantu meningkat kestabilan ketika menyusuri selekoh.

Kelajuan maksimum berjaya diperoleh ialah 110kmj.

Keupayaan memberhentikan SkyDrive diserahkan kepada brek cakera hadapan dan gelendong pada roda belakang.

Tugas tersebut disifatkan sebagai bersesuaian untuk mengawal hamburan kuasa enjin skuter berkenaan.

Satu kekurangan nyata jentera Suzuki ini adalah kapasiti ruang simpanan barang di bawah tempat duduknya. Ia agak terhad. Untuk menyelesaikannya, anda boleh memasang kotak simpanan barang.

Ada khabar mengatakan Suzuki Assemblers bakal membawa masuk beberapa model motosikal berkuasa tinggi untuk pasaran Malaysia dalam beberapa bulan akan datang. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikannya nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved