Jumaat, 1 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

Posted:

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

PUAS menyaksikan tiga episod awal drama arahan Zul Huzaimy yang diberi judul Bunga Merah Punya pada sesi tayangan bersama peminat dan media di Auditorium P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada minggu lalu.

Bukan hanya tumpuan dan garapan sempurna diberikan kepada dua pelakon cilik, Izz Ilham Zulkifly dan Puteri Sasha yang masing-masing mendukung peranan Merah dan Bunga semasa kanak-kanak dalam drama itu, tetapi juga kekuatan bertunjang pada keupayaan menjayakan dua watak penting drama tersebut ketika dewasa itu yang dijayakan pula oleh Izzue Islam dan Sharifah Sakinah.

Mengakui berdepan kesukaran pada awal penggambaran, namun kata Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior banyak membantunya mencorakkan karakter.

"Cabaran dalam drama ini bukan hanya berlakon tapi saya juga perlu menyanyi dan bermain gitar pada masa yang sama. Saya perlu mendalami perasaan seorang busker (penghibur jalanan) yang sememangnya sukar.

"Mujur pengalaman saya ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu memberikan sedikit sebanyak panduan berguna selain saya turut meninjau kehidupan busker sekitar Bukit Bintang, Sogo dan Pasar Seni setiap minggu," ujarnya.

Tambah Izzue, 23, latar kehidupan penghibur jalanan kini tidak sama seperti yang diceritakan dalam Bunga Merah Punya kerana kebanyakan mereka mempunyai rumah dan keluarga di Kuala Lumpur.

Penghibur jalanan

Mengimbas kembali pengalaman pertama anggota kumpulan Forteen itu ketika mula-mula tiba di ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2009, kata Izzue, dia pernah berdepan pelbagai kesukaran sebelum bergelar artis.

"Saya pernah menjadi busker lima tahun lepas ketika mula-mula berhijrah dan saya juga pernah tidur di bilik stor sebuah kedai jual pakaian terpakai tempat kawan saya berniaga di Kelana Jaya, Selangor. Ia bukan menyeksakan tapi itulah sebenarnya pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk merasainya.

"Oleh kerana itu juga, sampai sekarang saya lebih gemar tidur tanpa tilam tidak kira di rumah sendiri di Kuala Lumpur atau apabila balik ke kampung (Kelantan)," kata Izzue.

MESRA. Izzue dan Sakinah sudah tidak kekok bergandingan dalam produksi lakonan.


Percaya pada rezeki yang dianugerahkan kepadanya hari ini, getus Izzue, dia pasrah sekiranya perjalanan hidupnya kembali ke keadaan asal ketika mula-mula berada di Kuala Lumpur.

"Saya terima jika saya menjadi seperti mana diri saya yang sebelum ini malah, menjadi seorang artis sekarang ini tidak bermakna saya hidup mewah. Cuma perlu menjaga penampilan lebih daripada sebelum ini.

"Tiada siapa yang mahu kembali kepada kisah silam dan harapnya tidak. Pastinya setiap hari kita mahu semakin maju ke depan," ujarnya yang baru selesai penggambaran telefilem Mencari Syifa yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada bulan April nanti.

Selain itu, sebuah drama 13 episod berjudul Aku Tak Percaya Cinta sedang rancak ditayangkan menerusi saluran RTM di TV1 setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 6.05 petang yang menggandingkan Izzue bersama Sura Sojangi dan Reen Rahim.

Tiada keghairahan menyanyi

Bunga Merah Punya yang bersiaran setiap hari Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora TV9 pula menyaksikan permainan emosi, percintaan, persahabatan dan kehidupan mengenai Bunga yang diamanahkan untuk mencari Merah yang melarikan diri itu ketika berusia 10 tahun oleh Tuk Baen iaitu penjaga mereka sejak kecil.

Drama 13 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu juga memuatkan 15 buah lagu baharu yang ada antara lirik lagunya ditulis sendiri oleh pengarah Zul Huzaimy, sekali gus dinyanyikan oleh Izzue dan Sakinah.

Bagi Izzue, menyanyi mungkin tidak menjadi masalah besar namun berbeza pula perspektif Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, mengenai dunia nyanyian.

"Pertama kali menyanyi dalam drama lakonan adalah menerusi drama bersiri Hotel Mania tapi ketika itu peranan yang diberikan kepada saya cuma watak kecil sahaja.

"Kali ini saya perlu menyanyikan beberapa buah lagu dan dibantu oleh Izzue walaupun ada antara lagu-lagu itu dirakam pada saat-saat akhir tanpa latihan yang cukup. Namun Alhamdulillah, hasil akhirnya sedap didengar.

DRAMA BUNGA MERAH PUNYA turut menampilkan lakonan pelakon Sura Sojangi (kiri) yang bergandingan bersama Sakinah dan Izzue.


"Saya tidak suka menyanyi dan bagi saya, menyanyi hanya sekadar hobi. Lagipun pasaran semasa sudah terdapat ramai penyanyi berbakat dan saya tidak berminat untuk menceburi bidang nyanyian secara serius.

"Minat saya lebih kepada berlakon dan saya langsung tiada keghairahan untuk menyanyi. Kalau jadi penyanyi pun saya mungkin buat sambil lewa, tidak segigih berlakon," kata Sakinah.

Menerusi drama tersebut, Sakinah menyanyikan tiga buah lagu iaitu Sampaikan Rindu, Oh Bulan dan Rajuk.

Perlu jadi pendiam

Bagaimanapun tegas Sakinah, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menyanyi, malah ada antara kerja pengacaraannya memerlukan dia turut menyanyi.

"Saya boleh membuat persembahan nyanyian tapi perlu ada latihan dan individu yang menyokong serta membimbing saya," simpulnya.

Sakinah mengakui drama Bunga Merah Punya menuntut permainan emosinya yang lebih serius dan mendalam berbanding naskhah lakonan sebelum ini antaranya, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.

"Sebelum mula penggambaran lagi saya perlu mula berdiam diri untuk mendapatkan karakter Bunga yang serius dan lemah-lembut.

"Watak ini sangat berlawanan dengan karakter sebenar saya dan saya berbesar hati dapat berlakon di bawah arahan Zul Huzaimy," tambah Sakinah.

Selain Bunga Merah Punya, Sakinah bakal muncul dalam telefilem Gadis Penjual Petai dan Racun Menantu serta sebuah dram berjudul, Tiga Abdul.

Bunga Merah Punya turut dilakonkan oleh Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Zalfie Roul, Idzham Ismail, Roslan Madun, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan Nasir Bilal Khan.

Patrick pernah dibuang kerja

Posted:

Patrick pernah dibuang kerja

Patrick pernah dibuang kerja

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


PATRICK J. ADAMS (tiga dari kanan) bersama barisan siri drama Suits yang kini bersiaran untuk musim kedua.


PEMINAT setia siri drama Suits yang kini sedang bersiaran di saluran Diva Universal pastinya mengenali jejaka kacak yang membawa watak seorang peguam bernama Mike Ross. Bagi sesiapa yang mula mengikuti kisah peguam dalam Suits, drama ini sedang ditayangkan di Astro saluran 702 dan telah pun masuk musim kedua.

Bagi mempromosi drama yang sedang hangat meraih sambutan di serata dunia ini, salah seorang pelakon utamanya, Patrick J. Adams telah pun menjelajah ke beberapa negara termasuk hadir ke Malaysia.

Ternyata kehadiran Patrick tidak mengecewakan pihak media kerana jejaka kelahiran Kanada ini menjawab segala persoalan yang diajukan kepadanya dengan mesra sekali.

Sidang media yang berlangsung selama hampir dua jam itu telah diadakan di Hotel Le Meridian, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Soalan demi soalan ditanya, dan mungkin ramai yang tidak tahu, Patrick pernah dibuang kerja sebelum berlakon dalam siri Suits.

Mengakui perkara tersebut, ujar Patrick ia berlaku selepas dia muncul dalam episod pengenalan siri Friends With Benefits pada tahun 2011, apabila namanya tiba-tiba digugurkan daripada barisan pelakonnya.

PENGALAMAN pahit masa lalu membuatkan Patrick bangkit untuk lebih berjaya di masa hadapan.


Kejadian itu bagaimanapun telah menjadikan dirinya lebih matang untuk membuat keputusan.

"Saya akui perkara tersebut memang pernah meruntuhkan sedikit keyakinan dan merasakan diri tidak bagus. Namun, dalam masa yang sama juga, saya merasakan ia perkara terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya.

"Setelah saya dipecat (daripada membintangi Friend With Benefit), saya mula berfikir tentang diri saya. Jika sebelum ini, saya cuba untuk menjaga hati semua orang dan saya buat apa yang orang lain mahukan dan bukan saya.

"Ia membuatkan saya berusaha melakukan apa yang saya inginkan dalam hidup," jelasnya.

Disebabkan itu, ketika mendapat tawaran membintangi Suits, dia hanya memikirkan ingin melakukan yang terbaik kerana baginya, ia suatu peluang keemasan yang cukup hebat.

Jelajah dunia

Walaupun terlibat dalam banyak drama bersiri lain dan filem, Suits merupakan antara yang paling istimewa buat Patrick. Ini kerana, katanya, terlibat dengan produksi Suits selama dua musim, telah banyak memberinya pengalaman berharga.


PATRICK (kiri) memuji rakan gandingannya dalam Suits, Gabriel Macht sebagai seorang aktor yang bagus dan mempunyai keserasian dengan dirinya.


"Setakat ini, saya rasa ini merupakan tawaran terbesar dalam perjalanan karier saya sebagai seorang aktor. Ini kerana, selain saya dapat menimba pengalaman, saya juga mendapat peluang yang jarang diperoleh.

"Sebagai contoh, sebagai mempromosi drama ini, saya berpeluang jelajah ke beberapa buah negara termasuk hadir ke Malaysia.

"Saya juga dapat berjumpa dengan peminat di beberapa negara yang tidak pernah saya sangka akan sampai," tutur Patrick yang berpeluang melawat Menara Berkembar Petronas, KLCC serta Batu Caves.

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

Posted:

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

JOHAN dan pelakon baharu, Nur Risteena merupakan pelakon utama drama Karlos.


PENGALAMAN dan cerita berbeza keluar daripada mulut Johan As'ari kali ini apabila dia mengaku berdepan situasi cemas hampir diliwat awal bulan Februari lalu.

Kejadian itu berlaku di dalam sebuah tandas apabila dia diserang oleh rakan baiknya sendiri, aktor Jay Iswazir ketika di set penggambaran drama bersiri Karlos yang akan ditayangkan di TV3.

Usah salah sangka kerana itu juga sebahagian kecil daripada babak yang dilakonkan Johan selaku watak utama bernama Irwan Zaid atau Karlos ketika dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Kuala Kubu Baru, Selangor.

Kata Johan yang pertama kali melakonkan aksi hampir diliwat oleh seorang lelaki, perasaan cuak, cemas dan kekok mengatasi segalanya.

"Babak itu sangat berat bagi saya selain perlu bertumbuk. Namun sebenarnya, babak itu bukan dirakamkan sekali gus, banyak juga bermain teknik kamera. Berat juga pada mulanya untuk melakonkan aksi sedemikian dan pada ketika itu saya melihat Jay seorang yang psiko sampai rasa cuak.

"Saya melalui proses perbincangan awal dengan pengarah (Feroz Kader) dan Jay yang mana sepatutnya babak itu memerlukan saya diliwat. Kami tukar menjadi situasi itu hampir diliwat atas faktor tertentu," ujar Johan yang menggalas watak utama dalam drama bersiri Karlos.

Karlos diadaptasi daripada kisah sebenar yang menelusuri perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid atau Karlos setelah dipinggirkan keluarga sendiri dan terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal.

PELAKON baharu Jay Iswazir diberikan kepercayaan untuk bergandingan dengan Johan menerusi babak serangan seksual.


Dia kemudiannya dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dan mengenali seorang pelatih bernama Kenji (Syazwan Zulkifli). Selepas dibebaskan Karlos tidak mendapat pekerjaan kerana rekod jenayahnya sebelum ini.

Akhirnya, Karlos memilih untuk menjadi penyamun dan terlibat dengan aktiviti pecah rumah sekali gus menjadi sasaran polis.

Selain, Jay dan Syazwan, Karlos turut dibintangi Namron, Sherry Merlis, Azhar Sulaiman, Elmy Moin dan pelakon baharu Ika Zulkifli serta Nur Risteena.

Sekali imbas drama Karlos dilihat seolah-olah menyerupai drama rantaian popular Juvana memandangkan latar tempat dan watak utama yang ditonjolkan memegang peranan antagonis.

Bagi pengarahnya, Feroz Kader, Karlos berbeza daripada Juvana kerana mementingkan elemen kekeluargaan, persahabatan dan lebih banyak aksi.

"Tidak akan ada persamaan dengan Juvana kerana jalan cerita Karlos sangat berbeza walaupun ada babak di pusat pemulihan. Tapi babak itu cuma dipaparkan dalam dua episod awal sahaja," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra drama Karlos di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Johan yang bakal muncul dalam tiga buah filem Tokan, Pencinta dan Paku pada tahun ini, mendedahkan dia bakal mengerjakan umrah pada 27 Mac nanti mengikuti rombongan bersama Hafiz Hamidun.


FEROZ KHAN (berdiri, kanan) bersama barisan karyawan drama Karlos.


"Beberapa hari lepas saya terdetik ingin mengikuti rombongan umrah yang diketuai Hafiz Hamidun selepas membaca Twitternya dan sekarang sedang menguruskan hal berkaitan pasport dan visa.

"Saya tidak memaklumkan kepada sesiapa lagi kecuali keluarga terdekat akan hajat saya ini. Bagi saya, ini peluang untuk saya mendekatkan diri dengan Allah memandangkan masih berkemampuan dan muda.

"Lebih manis kerana urusan kali ini menggunakan hasil titik peluh saya selama ini sepanjang bergelar anak seni. Mudah-mudahan hasrat saya yang sudah lama terpendam ini menjadi kenyataan," jelasnya yang sebelum ini pernah mengerjakan umrah dengan produksi Syahadah Cinta arahan Erma Fatima tahun lalu.

Tayangan drama bersiri Karlos bermula 4 Mac ini setiap hari Isnin pukul 9 malam menerusi slot Aksi TV3. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved