Khamis, 7 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pekin, Fezrul rebut cinta Yana

Posted:

Pekin, Fezrul rebut cinta Yana

Pekin, Fezrul rebut cinta Yana


DARI kiri: Fezrul Khan, Yana Samsudin dan Pekin Ibrahim menjadi tunjang filem Cerita Kita.


TIGA orang pelakon, Fezrul Khan, Pekin Ibrahim dan Yana Samsudin bersatu dalam sebuah filem cinta tiga segi. Tampak seperti klise, namun Cerita Kita punya kekuatan tersendiri.

Filem Cerita Kita mengisahkan Kamal yang bekerja sebagai pencuci kereta mengambil keputusan untuk berubah atas nasihat yang diberikan oleh Ika, seorang gadis yang dicintainya dalam diam.

Kemudian konflik bermula dengan kehadiran Malek, seorang lelaki kaya yang juga rakan kepada Kamal turut mempunyai perasaan terhadap Ika sejak kali pertama mereka bertemu.

Situasi tersebut menyebabkan Ika terpaksa membuat pilihan, sama ada memilih Kamal yang dikenalinya selama tiga tahun atau Malik yang dilihat mampu menjamin kehidupan masa depannya.

Kesudahan filem terbitan Metrowealth Pictures (Metrowealth) yang ke-74 itu akan dapat disaksikan apabila ia mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 7 Mac ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai filem tersebut, pelakon Yana Samsudin selaku teraju utama menjelaskan, dia membawakan watak sebagai Ika iaitu seorang gadis biasa yang tinggal di rumah pangsa dan bekerja di kedai buku.

"Pada peringkat permulaan jalan cerita filem ini penonton akan melihat perwatakan Ika, seorang gadis yang periang. Namun, pada pertengahan cerita barulah penonton akan tahu Ika sebenarnya mempunyai keinginan untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa.

"Tidak dinafikan cerita mengenai percintaan tiga segi sudah banyak dipaparkan dalam drama atau filem, tetapi saya percaya penonton akan melihat kelainan dalam filem ini," ujarnya sewaktu menghadiri sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.

Mengenai gandingannya bersama Pekin Ibrahim dan Fezrul Khan pula, pelakon itu menganggap ia sebagai satu gandingan yang mantap kerana kedua-dua mereka merupakan pelakon yang sangat bagus.

Ujarnya, sebelum ini dia sudah kerap berlakon bersama-sama dengan Fezrul, sebaliknya ini kali pertama dia dapat bergandingan dengan Pekin dalam filem.

"Sebenarnya banyak pengalaman yang saya lalui semasa berlakon bersama Pekin. Salah satu yang paling saya ingat ialah babak tampar yang membabitkan kami berdua.

"Pengarah filem ini iaitu Pierre Andre meminta Pekin menampar saya. Apabila saya ditampar secara tiba-tiba saya bertindak balas dengan menamparnya pula, sedangkan saya tidak diarahkan berbuat demikian," cerita Yana mengenai pengalaman lucunya semasa menjalani penggambaran.

Menurutnya, pengalaman dapat berlakon dengan Pekin merupakan suatu kenangan yang cukup istimewa kerana dia mengakui pelakon itu memang hebat dan berpengalaman luas.

"Sewaktu penggambaran berlangsung saya lihat Pekin seorang yang serius dan begitu komited dengan kerja, tetapi dia seorang yang suka berborak dan kami saling berkongsi pengalaman mengenai dunia lakonan," ujarnya.

SUDAH SERASI. Yana dan Fezrul tidak mempunyai masalah untuk berlakon sama kerana telah kerap berganding dalam filem atau drama.


Empat filem

Tidak dinafikan pada masa ini Yana Samsudin merupakan pelakon wanita yang paling aktif berlakon filem. Buktinya, dalam tempoh empat bulan terdapat empat buah filem lakonannya yang akan ditayangkan di pawagam.

Antara filem-filem lakonannya yang telah ditayangkan pada tahun ini ialah Minyak Dagu (3 Januari), Wawa Semput (31 Januari), Cerita Kita (7 Mac) serta Dua Kalimah yang bakal menemui penonton pada 4 April ini.

Ketika ditanya sama ada dia tidak risau penonton akan muak dengan penampilannya secara kerap di layar perak, pelakon itu beranggapan ia sebagai satu tanda yang positif terhadap karier lakonannya.

"Pertama sekali saya ingin berterima kasih kepada semua pihak terutamanya para peminat dan pihak media yang banyak mempromosikan filem-filem lakonan saya.

"Mengenai perkara tersebut saya rasa penonton tidak akan berasa muak atau bosan kerana kebanyakan filem yang saya berlakon menampilkan genre yang berbeza," jelasnya.

Pengalaman baharu

Bagi Pekin Ibrahim pula, kali pertama berlakon dengan syarikat produksi Metrowealth memberikan pengalaman baharu buat dirinya yang sudah sembilan tahun bergelar pelakon.

Mengakui ada beberapa pihak yang hairan apabila dia mengikat kontrak dengan syarikat berkenaan, Pekin menjelaskan peluang yang ada untuk mengembangkan lagi kerjaya lakonan tidak harus ditolak.

"Saya tidak kisah dan terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Lagipun saya ditawarkan berlakon lima buah filem bersama Metrowealth dan mereka memberikan kebebasan kepada saya untuk bekerja dengan produksi lain.

"Pada mulanya saya memang terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menerima tawaran tersebut, tetapi setelah puas berfikir rasanya ia mampu memberikan impak yang positif terhadap kerjaya saya," ujarnya.

Bercerita tentang pengalaman filem pertamanya bersama Metrowealth itu, dia berkata tidak sukar untuk mencari keserasian bersama Yana dan Fezrul, malah masing-masing telah membawakan watak yang diberikan dengan baik.

"Bekerjasama dengan Pierre juga tidak sukar kerana dia telah memberikan kebebasan untuk saya menghidupkan watak sebagai Kamal dengan cara saya sendiri.

"Cuma pada mulanya saya berasa agak sukar kerana tiada praproduksi atau latihan awal dilakukan sebelum penggambaran bermula, jadi kami banyak melakukan perbincangan ketika di lokasi penggambaran," ujarnya.

Berkenaan dengan wataknya dalam filem Cerita Kita, pelakon itu mengatakan Kamal merupakan seorang lelaki yang hidup miskin, tetapi memang berniat untuk mengubah kehidupannya demi wanita yang dicintainya.

PEKIN pertama kali berganding dengan Yana dalam sebuah filem.


"Permasalahan paling besar yang dilalui oleh Kamal adalah dia sangat takut berterus-terang tentang perasaan cintanya terhadap Ika. Kemudian dia terpaksa pula bersaing dengan rakannya sendiri untuk mendapatkan wanita pujaannya itu," jelasnya tentang watak yang dibawakannya itu.

Tidak kejar anugerah

Pelakon yang memegang watak Malek dalam Cerita Kita iaitu Fezrul Khan pula mengakui gembira apabila diberi peluang berlakon dalam filem bercorak romantik memandangkan sebelum ini dia lebih dikenali dalam filem bergenre seram.

Menurut Fezrul, jalan cerita yang dipaparkan juga sangat menarik kerana ia menggambarkan realiti yang pernah berlaku oleh segelintir orang apabila berada dalam dilema untuk membuat pilihan.

"Saya membawakan watak sebagai seorang lelaki kaya dan mungkin orang melihat ia bukanlah watak yang berat. Namun begitu, saya tetap berusaha untuk mendalami karakter Malek supaya ia memberi impak kepada jalan ceritanya.

"Selain itu, saya sangat yakin filem ini akan diminati ramai berdasarkan maklum balas positif daripada beberapa orang yang telah berpeluang menontonnya," ujarnya Fezrul yang berharap filem terbaharunya itu mendapat sambutan ramai.

Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya pula, Fezrul meluahkan rasa gembiranya kerana semakin kerap mendapat peluang berlakon filem dan drama bersiri.

Menurutnya, sepanjang pembabitannya sebagai pelakon, dia langsung tidak menaruh harapan yang tinggi untuk merangkul anugerah. Sebaliknya, kerjaya lakonan merupakan punca rezekinya untuk menyara keluarga.

"Pembabitan saya sebagai seorang pelakon bermula dari bawah, tidak seperti kebanyakan pelakon lain. Jadi, saya perlu gunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya serta memberikan komitmen terhadap kerja," ujarnya yang sudah berumah tangga pada tahun lalu.

Biarpun kini semakin sibuk dengan aktiviti lakonan, Fezrul memberitahu dia turut menjalankan, perniagaan menyewa peralatan penggambaran menerusi syarikatnya MRG Entertainment Sdn. Bhd.

"Kebanyakan wang yang diperoleh hasil daripada lakonan saya gunakan untuk membeli peralatan penggambaran seperti kamera dan lampu. Meskipun melibatkan kos yang besar, saya bersyukur kerana perniagaan saya sekarang semakin berkembang," ujarnya.

Marsha mahu jumpa Fathia

Posted:

Marsha mahu jumpa Fathia

Marsha mahu jumpa Fathia

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

MARSHA kini selesa hidup solo selepas setahun putus cinta.


ISU rampas-merampas kekasih biasa terjadi bukan saja dalam kehidupan individu biasa, bahkan juga golongan artis.

Suhu panas yang sedang melanda dua bintang muda iaitu Marsha Milan Londoh dan Fathia Latiff kononnya berpunca daripada tindakan Fathia yang mula menjalinkan hubungan dengan bekas teman lelaki Marsha tahun lalu.

Pada pertengahan bulan Februari lalu, Fathia telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak berselisih faham atau bergaduh dengan Marsha ekoran tindakan terbabit. Malah Fathia mengakui dia telah berpisah dengan lelaki tersebut.

Kosmo! sempat mendapatkan kenyataan balas daripada Marsha yang ditemui ketika tayangan perdana filem Bola Kampung The Movie di GSC Signature The Gardens, Kuala Lumpur hari Rabu lalu.

KOSMO!: Benarkah timbul dakwaan bahawa Marsha dan Fathia sebelum ini pernah bergaduh kerana berebut teman lelaki?

MARSHA: Saya tidak pernah bergaduh dengan dia, tidak rapat dengan dia dan tidak kenal dia sebagai kawan. Kami juga tidak pernah lepak atau digandingkan bersama sebelum ini. Tuduhan itu tidak masuk akal dan sebab apa sampai kami perlu bergaduh sebenarnya? Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan dan menuduh dia merampas teman lelaki saya. Saya sendiri musykil kenapa perkara ini diperbesar-besarkan.

Adakah isu yang timbul kali ini menjejaskan nama dan reputasi anda?

Saya cuba lari daripada perkara sebegini, tapi orang sekeliling asyik bercakap mengenai hal peribadi saya sepanjang masa. Saya mahu juga dipandang dari sudut kerjaya saya, tapi sudah lumrah bergelar artis orang akan keluarkan cerita yang tidak patut. Mungkin ada orang ketiga yang cuba melaga-lagakan kami. Saya tidak suka bergaduh dan tidak pernah bergaduh dengan sesiapa pun sebelum ini.

Adakah anda ingin berjumpa dengan Fathia untuk menyelesaikan masalah ini?

Sudah tentu kalau diberikan peluang saya mahu berjumpa dan berbincang apakah sebenarnya yang berlaku. Hal ini tidak patut diperbesarkan. Saya tidak kisah kalau digandingkan bersama untuk fotografi atau lakonan dengan Fathia. Apapun yang telah berlaku adalah masa silam, dia berhak bercinta dengan sesiapa pun begitu juga saya. Terma rampas-merampas ini tidak logik!

Kenyataan anda meletakkan diri anda kini seolah-olah tidak kisah dan mungkin sudah menemui pengganti. Komen anda?

Saya sudah setahun hidup solo dan saya bahagia dengan keadaan ini. Tipu kalau saya cakap saya tidak ingin bercinta tapi saya meletakkan situasi sekarang dalam versi positif. Saya mengekspresikan diri saya melalui muzik.

Adakah anda memilih untuk berkawan dengan orang dalam industri memandangkan anda sendiri mengakui tidak rapat dengan Fathia?

Benar, saya memilih untuk berkawan dalam industri ini. Saya tidak cakap industri ini jahat, tapi sebagai selebriti saya perlu sentiasa berhati-hati. Saya juga ada ramai kawan di luar industri sebenarnya.

Sudi sekiranya anda mengulas tentang situasi genting yang sedang berlaku di Lahad Datu, Sabah sekarang?

Saya sangat risau dengan situasi yang sedang berlaku di sana sekarang dan tidak menyangka kejadian ini akan berlaku kerana Malaysia aman damai selama ini. Saya mendoakan perang ini akan tamat serta-merta.

Boleh anda kongsikan pengalaman berlakon alih suara dalam filem Bola Kampung yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini?

Sangat menyeronokkan dan ini pengalaman pertama saya. Pada mulanya saya hanya datang untuk merakamkan lagu runut bunyi filem ini berjudul Rindu bersama Haris, tapi mereka menyarankan saya untuk ujibakat dan akhirnya saya terpilih untuk memegang watak Puteri Amanda. Proses alih suara berjalan agak lama dan setiap sesi memakan masa lebih tiga jam. Selain filem ini, saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Duri Di Hati bersama Amar Asyraf dan Faralyna Idris untuk slot Azalea di TV3.

Anugerah memperingati P. Ramlee

Posted:

Anugerah memperingati P. Ramlee

Anugerah memperingati P. Ramlee

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


BARISAN para karyawan dan pelakon yang dicalonkan Anugerah Tribute P. Ramlee bergambar pada sesi sidang akhbar yang diadakan Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


BUAT julung-julung kalinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. bergabung tenaga dan idea untuk menghasilkan sebuah anugerah yang diberi nama Anugerah Tribute P. Ramlee.

Menurut Pengarah Program TV RTM, Suhaimi Jamalim, anugerah yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei 2013 itu diadakan sempena memperingati perjuangan seniman agung Tan Sri P. Ramlee serta mengiktiraf hasil kerja penggiat seni Malaysia.

Ujarnya, sebanyak sembilan anugerah akan dipertandingkan berdasarkan 10 buah telefilem yang ditayangkan di RTM1 bermula pada 4 November 2012 hingga 6 Januari 2013 melalui slot Tribute P. Ramlee di RTM1.

Pihaknya juga yakin anugerah tersebut bakal menjadi anugerah terbesar dan seterusnya diadakan setiap tahun.

"Walaupun anugerah ini pertama kali diadakan, kami akan pastikan penglibatan artis dan pengarah-pengarah lebih meluas untuk tahun-tahun yang akan datang.

"Saya juga mahu jadikan ia sebuah anugerah yang besar dan terunggul setiap tahun kerana ia melibatkan seniman agung Malaysia, P. Ramlee," jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Pencalonan Anugerah Tribute P. Ramlee, di Hotel Holiday Villa, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, ujarnya, sembilan anugerah itu mewakili Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografi Terbaik dan Penampilan Khas Terbaik.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Suhan Movies, Rosyam Nor, Anugerah Penampilan Khas Terbaik diwujudkan bagi menghargai pelakon-pelakon veteran pada era filem P. Ramlee.

"Memang saya memberi kepada setiap pengarah telefilem Tribute P. Ramlee untuk mengambil seorang pelakon veteran bagi menghargai jasa mereka," jelasnya.

Mengulas mengenai kriteria 10 telefilem yang dipilih, ujar Rosyam, ia bukan telefilem biasa. Sebaliknya telefilem tersebut dihasilkan oleh pengarah-pengarah hebat dan berpengalaman.

Ujar Rosyam, sebagai penerbit untuk 10 buah telefilem tersebut, Rosyam juga meminta pengarah-pengarah tersebut menghasilkan telefilem berkisahkan mengenai lagu-lagu popular P. Ramlee.

Antara sepuluh telefilem yang dicalonkan menerusi slot Tribute P. Ramlee adalah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Selagi Cinta Berzikir (Eirma Fatima), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman) .

Selain itu, lima lagi telefilem yang dicalonkan adalah Getaran Jiwa (Michael Ang), Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah) dan Hanya Dikau (Amie Maziah).

Sebuah panel khas juri seramai tujuh orang turut dilantik bagi menilai kualiti setiap telefilem mengikut kategori-kategori yang ditetapkan.

Anugerah tersebut turut memberi peluang buat para pembaca membuat undian melalui borang pencalonan yang disiarkan dalam akhbar-akhbar Kumpulan Utusan dan Majalah URTV.

Melalui undian yang paling tepat dan terbanyak, para pembaca turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved