Jumaat, 29 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Backstreet Boys kembali

Posted:

Backstreet Boys kembali

Backstreet Boys kembali

BACKSTREET BOYS akan menyambut ulang tahun ke-20 mereka pada 20 April ini dengan melancarkan album terbaharu.


KUMPULAN Backstreet Boys satu nama yang cukup gah pada penghujung tahun 90-an dengan 130 juta unit album terjual di seluruh dunia. Tanyalah kepada mana-mana wanita yang membesar pada zaman itu, pastinya mereka cukup mengenali lima jejaka kacak, A.J McLean yang kini telah berusia 35 tahun, Howie Dorough, 39, Brian Littrell, 38, Kevin Richardson, 41, dan anggota termuda mereka, Nick Carter, 33.

Selepas 20 tahun, mereka berlima masih lagi berdiri di pentas menghiburkan peminat tanpa jemu. Bagaimanapun, peningkatan usia jelas kelihatan pada wajah mereka ketika berkunjung ke Malaysia atas undangan persembahan di Konsert Twin Tower @Live 2013 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Empat daripada mereka telah berkahwin dan mempunyai anak dengan pasangan masing-masing, manakala Nick telah bertunang dengan kekasihnya selama empat tahun, Lauren Kitt pada Februari lalu.

"Ya, kehidupan kami telah banyak berubah sepanjang 20 tahun. Kebanyakan daripada kami semuanya telah berkahwin dan mempunyai anak dan tidak lama lagi Nick akan menyertai kami (ketawa).

"Sekarang kehidupan kami lebih stabil dan lengkap. Memang kami seronok bergelar bapa dan menghabiskan masa bersama anak-anak tetapi minat kami pada muzik tidak pernah pudar sehingga ke hari ini. Mungkin sebab itu Backstreet Boys tidak pernah bubar dan terus berada di atas pentas menghiburkan peminat," kata Howie.

Bercakap tentang muzik Backstreet Boys yang telah melalui perubahan seiring dengan peredaran waktu dan penambahan usia anggotanya, Brian mengatakan dia cukup bersyukur kerana Backstreet Boys diterima dan terus diminati selepas 20 tahun.

"Tidak sangka dan sangat bersyukur kerana kami mempunyai peminat yang setia serta sentiasa memberi sokongan di mana sahaja kami berada. Saya akui Backstreet Boys banyak mengalami perubahan bukan sahaja pada kehidupan peribadi sahaja tetapi secara keseluruhannya.

"Muzik kami juga telah berubah ke arah lebih dinamik dan matang sesuai dengan usia kami ketika ini. Namun, semua itu tidak mengubah identiti kumpulan Backstreet Boys, kami tetap sama seperti dahulu cuma komitmen kini lebih besar memandangkan masing-masing sudah berkeluarga," balas Brian.

Disoal bagaimana mereka bersaing dengan kumpulan dan penyanyi baharu yang muncul, balas Howie, mereka tidak perlu bersaing kerana Backstreet Boys mempunyai pengikut yang setia.


BACKSTREET Boyz teruja untuk kembali bertemu peminat mereka pada masa akan datang.


"Kami tidak perlu bersaing, sebaliknya kami menyokong penyanyi dan kumpulan generasi baharu. Apa yang penting kami harus sentiasa menghasilkan lagu-lagu berkualiti dan juga persembahan yang terbaik untuk peminat," ujar Howie.

Sungguhpun begitu, akui Nick perasaan berada kembali di atas pentas dan mengadakan persembahan di seluruh dunia cukup mengujakannya.

"Saya rasa seperti kembali ke masa dahulu, di mana kami mengadakan konsert jelajah. Cukup seronok dan bersyukur apabila kami kembali di atas pentas persembahan selepas senyap seketika daripada industri seni.

"Bagaimanapun pada usia kami sekarang, kami harus bekerja lebih kuat untuk mengekalkan stamina di atas pentas," tuturnya yang pernah muncul dengan program realiti House Of Carter bersama adik-beradiknya.

Penyatuan Kevin

Kevin yang merupakan sepupu kepada Brian, sebelum ini pernah mengundurkan diri daripada kumpulan Backstreet Boys pada tahun 2006 selepas 13 tahun bersama untuk memberi fokus kepada keluarga dan kehidupannya.

Namun, pada April 2012, kumpulan Backstreet Boys mengumumkan Kevin telah kembali bersama mereka secara tetap dan akan terlibat dalam pembikinan album terbaharu yang dijangka keluar pada 20 April ini.

"Keputusan untuk keluar daripada Backstreet Boys sangat sukar bagi saya tetapi ketika itu, mengundur diri merupakan keputusan yang terbaik. Hubungan kami tetap rapat meskipun saya tidak bersama mereka.

"Tahun lepas, saya mengambil keputusan untuk kembali bersama Backstreet Boys kerana hati saya mengatakan sudah sampai masanya untuk saya kembali," kata Kevin.

Album terbaharu yang akan muncul pada tahun ini merupakan album pertama mereka rakamkan bersama semua ahli asal selepas album Unbreakable (2007) dan This Is Us (2009) yang dirakamkan tanpa Kevin.

Menurut Brian, meskipun Kevin telah keluar daripada Backstreet Boys, tetapi mereka tidak pernah menghalang andai Kevin ingin kembali semula bersama mereka.

"Selepas Kevin kembali, saya rasakan seperti abang sulung telah kembali ke pangkuan keluarga (ketawa). Adanya Kevin kami lebih stabil dan kuat kerana Kevin merupakan tenaga positif dalam kumpulan ini," ujar Brian yang berkahwin dengan model dan aktres Leighanne Wallace yang ditemui pada pembikinan muzik video lagu As Long As You Love Me.

Tambah Kevin, mereka berlima telah tinggal bersama selama sebulan di London untuk pembikinan album terbaharu dan bekerja bersama penerbit Martin Terfere yang pernah bekerja dengan penyanyi Train dan Jason Mraz.

"Tinggal bersama telah membuatkan kami mengimbas seperti zaman muda. Kami hanya tinggal bersama buat sementara waktu sahaja iaitu sebulan, saya tidak boleh tahan jika tinggal lebih lama bersama mereka kerana mereka akan berperangai gila-gila (ketawa)," ucap Kevin.


LEBIH 20, 000 peminat setia Backstreet Boysberpuas hati dengan persembahan sulung mereka di Malaysia.


Ulang tahun

Tanggal 20 April ini merupakan tarikh keramat buat kumpulan Backstreet Boys apabila mereka akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-20 Backstreet Boys dan dalam pada masa yang sama melancarkan album terbaharu mereka.

Majlis ulang tahun itu akan diadakan diadakan di California, Amerika Syarikat bersama peminat. Kemudian pada 22 April kumpulan itu sekali lagi diraikan apabila nama mereka terpahat di Hollywood Walk Of Fame yang menjadi mercu tanda di Hollywood.

"Kami sudah tidak sabar untuk bersama peminat meraikan ulang tahun ke-20 kami. Apa yang pasti sambutannya akan dibuat secara besar-besaran khas buat peminat yang bersama kami selama 20 tahun.

"Kami juga cukup berbangga kerana selepas 20 tahun di dalam industri seni, akhirnya kami diberi penghargaan untuk nama Backstreet Boys berada di Hollywood Walk Of Fame yang menjadi tanda kejayaan kami. Terima kasih kerana terus menyokong kami," ujar A.J.

Selain itu, bermula bulan Mei depan, kumpulan itu akan memulakan siri konsert jelajah ke seluruh dunia dan Malaysia turut tersenarai sebagai destinasi konsert tersebut.

"Kami akan bertemu anda selepas ini di konsert jelajah. Kamu semua peminat yang hebat. Ini hanyalah sebuah konsert pemanas badan sahaja, nantikan konsert yang sebenar tidak lama lagi. Kami sayang anda semua," kata Kevin ketika membuat persembahan di Konsert Twin Tower @Live 2013.

Maskara bukan Desperate Housewife

Posted:

Maskara bukan Desperate Housewife

Maskara bukan Desperate Housewife

DARI kiri: Anzalna, Lisa Surihani, Adrea Abdullah dan Nasha Aziz menjadi tunjang utama drama Maskara.


SELEPAS kali terakhir mengarahkan drama bersiri Dottie tiga tahun lalu, pengarah drama Maskara, Nizam Zakaria kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi drama komedi ringan, Maskara.

Maskara mengisahkan kehidupan empat wanita daripada pelbagai peringkat usia bernama Lynn (Lisa Surihani), Liza (Nasha Aziz), Hani (Anzalna Nasir) dan Sue (Adrea Abdullah) dalam mengharungi kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur.

Berlakon bersama pelakon senior seperti Nasha Aziz yang telah banyak melakar kejayaan, kata Lisa, ia memberikan pengalaman baharu kepadanya.

"Tambah teruja sebenarnya apabila dapat berlakon bersama Nasha. Dia mempunyai cara tersendiri dan dia telah mengkaji karakter pelakon lain sebelum masuk ke dalam set," ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran drama Maskara di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Nizam, Maskara mengetengahkan elemen mockumentary (penceritaan ala dokumentari di luar realiti selepas sesuatu kejadian berlaku) dan pada masa sama menyampaikan mesej dalam mengangkat martabat golongan wanita.

"Proses sebelum penggambaran drama ini mengambil masa lebih setahun untuk saya mengolah skrip, jalan cerita, memilih warna serta konsep. Seperti karya saya sebelum ini, saya lebih menitikberatkan elemen pengarahan seni," kata Nizam.

Tegasnya, drama tersebut tidak meniru drama bersiri popular Amerika Syarikat, Desperate Housewife biar pun intipati dan subjek yang ingin ditonjolkan dilihat seakan-akan sama.

"Konsep mockumentary yang digunakan langsung tidak sama seperti Desperate Housewife, cuma momen dan subjek yang digunakan hampir sama kerana ia adalah satu genre.

"Maskara tidak meniru Desperate Housewife. Genre ini juga banyak digunakan dalam drama atau filem di Barat sama seperti cerita adiwira dan seram, cuma olahannya saja yang membezakan setiap cerita," ujarnya.

Drama terbitan KRU Studios itu memberikan hak penyiaran eksklusif secara digital bersama Maxis, Digi dan khususnya pengguna telefon pintar iPhone.

Maskara akan bersiaran secara rasmi di slot Arca pukul 10 malam di saluran RTM1 setiap hari Khamis dan Jumaat bermula April ini.

Aura kehebatan 2NE1

Posted:

Aura kehebatan 2NE1

Aura kehebatan 2NE1

Oleh HARYATI KARIM


2NE1 yang kali pertama hadir ke Malaysia baru-baru ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan oleh peminat mereka.


KEMUNCULAN kumpulan wanita popular dari Korea Selatan 2NE1 amat dinanti-nantikan peminat selepas konsert New Evolution yang sepatutnya berlangsung pada Disember tahun lalu di Kuala Lumpur telah dibatalkan.

Kunjungan kali pertama mereka di Malaysia atas undangan persembahan di konsert Twin Tower @Live 2013 pada Sabtu lalu bersama kumpulan Backstreet Boys menerima sambutan hangat apabila lebih 20,000 penonton membanjiri pekarangan KLCC.

Selepas persembahan Caprice, One Nation Emcee dan Mizz Nina, kumpulan 2NE1 yang dianggotai empat gadis, CL, Minzy, Sandara Park dan Park Bom muncul pada pukul 10.20 malam telah membuatkan peminatnya terutama remaja menjerit kegembiraan.

Muncul di atas pentas dengan gaya santai, sesuai dengan cuaca panas di Malaysia, mereka mendendangkan enam buah lagu iaitu Fire, Can't Nobody, Lonely, Ugly, I Am The Best dan I Love You.

Tidak hanya menyanyi, sesekali mereka juga berinteraksi dengan peminat dan memberitahu kini mereka dalam proses menyiapkan album terbaharu.

"Terima kasih kerana hadir, anda semua peminat yang hebat. Kami tidak dapat berada lama di Malaysia dan sebab itu kami tidak sempat untuk menerokai keindahan Malaysia.

"Kami berharap dapat bertemu dengan peminat dan mengadakan konsert sulung di Malaysia pada masa akan datang. Buat masa sekarang kami sedang sibuk menyiapkan material untuk album terbaharu," ujar CL.

Bukan itu sahaja, mereka berempat juga mencuit hati peminat apabila cuba mempelajari bahasa Melayu dengan bertutur: "Apa khabar Malaysia dan saya sayang Malaysia."

Ternyata, 2NE1 yang digelar Big Bang versi wanita telah membuat persembahan yang memuaskan hati penonton terutamanya ketika mendendangkan lagu berhantu mereka I Am The Best dengan cukup bertenaga sekali.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved