Ahad, 10 Februari 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Gaya vintaj galeri Wei-Ling

Posted:

Gaya vintaj galeri Wei-Ling

Gaya vintaj galeri Wei-Ling

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA

RUANG pameran yang luas memberikan keselesaan kepada pengunjung.


TERLETAK di tengah-tengah kesesakan Brickfields, Kuala Lumpur, galeri seni Wei-Ling merupakan sebuah galeri yang menjadi ruang pameran pelbagai jenis lukisan serta arca seni hasil kreativiti pelukis tempatan dan luar negara.

Di sebalik keutuhan dan kecantikan bangunan tiga tingkat yang telah berdiri megah sejak lebih 100 tahun itu, tersirat 1,001 kisah menarik yang menceritakan permulaan perjalanan seni bagi pemiliknya, Lim Wei-Ling.

Pertama kali menjejakkan kaki ke dalam galeri seni yang berkonsepkan kontemporari itu, mata tertancap pada koleksi perabot lama yang dihimpunkan bersama-sama dengan hiasan pasu porselin bersaiz besar di tingkat bawah premis.

Kehadiran lampu malap berwarna jingga yang menyimbahi keseluruhan ruang pameran pula menambahkan lagi nilai seni yang ada pada koleksi unik berkenaan.

Selain itu, terdapat juga sebuah meja makan yang diletakkan berhampiran empat batang tiang dan beberapa buah meja solek besar lengkap dengan cermin.

Kesan terbakar

Secara keseluruhan, galeri seni Wei-Ling terbahagi kepada tiga tingkat iaitu tingkat bawah untuk menyimpan koleksi peribadi milik keluarga Wei-Ling serta tingkat dua dan tiga dijadikan ruang pameran utama.

Tingkat kedua dihubungkan dengan tangga kayu sebelum pengunjung dibawa ke dalam ruang pameran yang dipisahkan dengan sebuah pintu usang.

Sebaik penulis tiba ke tingkat dua, kelihatan sebuah ruang pameran yang dibiarkan lapang dengan dinding berona putih bersih bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung supaya dapat memberikan fokus yang sepenuhnya ketika meneliti lukisan yang dipamerkan di sana.

Ketika mengamati puluhan lukisan yang tergantung di dinding, penulis mendapati, terdapat beberapa kesan hitam terbakar di atas lantai dan dinding galeri yang dilindungi dengan cermin lutsinar.

Kesan terbakar itu seolah-olah sengaja dibiarkan oleh pemilik bangunan itu sebagai salah satu elemen tarikan buat pengunjung.

Menurut pembantu bersekutunya, Shaza Sofie, bangunan tersebut pada asalnya adalah sebuah pejabat arkitek milik bapa Wei-Ling. Ia pernah mengalami kerosakan teruk dalam satu kebakaran yang berlaku pada tahun 2004.

"Selepas berlakunya insiden kebakaran itu, bapa Wei-Ling bercadang untuk menyerahkan bangunan tersebut kepada anaknya untuk dijadikan sebagai galeri seni.

"Sebelum itu galeri Wei-Ling yang diberi nama Townhouse Gallery terletak di Bangsar, Kuala Lumpur. Setelah menjalani proses pengubahsuaian, Townhouse Gallery dijenamakan semula sebagai galeri seni Wei-Ling dan dibuka sepenuhnya pada tahun 2005 di Brickfields. Sebahagian daripada kesan-kesan terbakar sengaja ditinggalkan begitu sahaja sebagai elemen tambahan buat tatapan pengunjung," kata Shaza.

Antara pelukis tempatan yang sering mengambil bahagian dalam pameran di galeri seni Wei-Ling ialah Chin Kong Yee, Yau Bee Ling, Yusof Gani dan terkini, Noor Azizan Rahman Paiman.

Galeri seni Wei-Ling dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 12 tengah hari hingga 7 malam dan Sabtu pada pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved