Ahad, 10 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Megan, Julie, Zher pegang adat lama

Posted:

Megan, Julie, Zher pegang adat lama

Megan, Julie, Zher pegang adat lama

BIARPUN bergelar selebriti dan hidup sebagai wanita yang terdedah dengan kemodenan, tiga personaliti ini masih berpegang teguh kepada kepercayaan nenek moyang seperti tidak boleh membasuh rambut dan menyapu sampah sepanjang hari pertama Tahun Baru Cina.


TIGA dara ini sering berceloteh di hadapan kaca televisyen. Menggalas tugasan sebagai hos program Quickie yang bersiaran di saluran 8TV, keletah dan kredibiliti pengacara itu terserlah saat di belakang kamera. Tiga bunga ini ialah bunga asahan saluran televisyen urban, 8TV. Kembangnya sedang mengharum di mata khalayak.

Megan Tan, Julie Woon dan Zher datang dalam gaya sederhana. Gaya anak berketurunan Cina yang moden tersalut dalam penataan solekan dan pertuturan mereka. Bijak dan bersahaja dalam banyak perkara namun semarak untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina sudah dirasakan ketika sama-sama bercerita tentang jadual cuti dan raya mereka.

Megan pulang ke utara, bersama famili menuju George Town, Pulau Pinang. Julie dan keluarga kecilnya memilih untuk beraya di Tengkera, Melaka manakala Zher beraya gaya urban di Damansara sahaja.

Masa untuk bercuti

"Saya pernah terperangkap dalam kesesakan trafik selama 10 jam daripada Pulau Pinang menuju Kuala Lumpur," luah Megan, 24.

Masuk ke dalam situasi yang sama ditempuh pada setiap perayaan, kesesakan trafik yang dialami rakyat Malaysia terjadi kerana rata-rata bercuti pada musim perayaan.

"Ramai yang memilih untuk pergi bercuti keluar negara atau tempat percutian pada Tahun Baru Cina. Tetapi keluarga kami bertiga tidak mempraktikkan 'percutian' tersebut," ujar Megan lagi.

Masih berpegang kepada persediaan dan budaya tradisi, Tahun Baru Cina dimulakan dengan pantang larang yang mereka pegang sejak lama.

"Kami masih mengamalkan pegangan seperti tidak menyapu rumah atau mencuci rambut bermula malam tahun baru," ujar Julie.

"Ya, keluarga saya masih mengamalkan tradisi seperti itu, bukan hanya kerana kepercayaan tetapi kerana sudah lama dilakukan sejak turun-temurun," tambah Zher.

Sepakat berkata, persiapan awal juga dibuat seperti membeli baju baharu, biskut raya serta menghias rumah.

"Tapi sekarang banyak yang sudah dikomersialkan, cuma perlu beli sahaja seperti tanglung. Kalau dulu, ramai yang buat sendiri, begitu juga kad ucapan yang kini sudah sukar diperolehi," terang Megan yang masih banyak berpegang pada budaya lama.

"Pada hari raya Cina, kami mengekalkan lawatan rumah saudara, makan besar dan main kad pada malam raya pertama. Tapi selalunya saya kalah kalau 'berjudi' kad. Lagi pun itu hanya untuk berseronok-seronok bersama keluarga," ketawa Julie yang memberitahu bahawa mata wang taruhan selalunya ialah kacang berbanding duit.

"Keluarga saya masih meneruskan amalan berdoa di tokong," senyum Megan.

"Manakala keluarga saya hanya mengekalkan amalan menyediakan meja di luar rumah dan berdoa bersama-sama," tambah Zher.

Tradisi yang dilupakan

Di samping masih meneruskan tradisi yang sudah dipegang lama, ketiga-tiga selebriti televisyen itu akur bahawa ada amalan-amalan dalam perayaan hari ini yang sudah dilupakan atau tidak diikuti generasi baharu.

Mengaku panas dalam busana ceongsam, Megan, Julie mahupun Zher tidak memakai pakaian tradisional itu atas faktor cuaca.

"Biasanya pakai ceongsam hanya untuk sesi penggambaran seperti hari ini atau menghadiri acara besar. Pemakaian ceongsam pada pagi tahun baru bagi saya ialah tradisi yang sudah dilupakan oleh anak-anak zaman kini," luah Julie.

"Pun begitu kami masih kekal memakai pakaian yang berwarna cerah dan baharu. Lagi pun jarang hujan pada Tahun Baru Cina," tambah Megan.

"Melalui pemerhatian saya, acara minum teh bersama-sama juga sudah lama tidak dipraktikkan. Sejak datuk saya meninggal dunia, acara ini sudah tidak diadakan. Cuma pada hari perkahwinan sahaja," terang Zher.

Namun satu amalan yang mereka tunggu-tunggu pada hari perayaan adalah amalan bertukar angpau.

"Jujurnya kini selepas bekerja, jumlah wang yang keluar untuk angpau lebih banyak diberi daripada yang diterima," ketawa kecil Julie namun jujur.

Ditanya berapakah jumlah angpau yang mereka dapati pada tahun baru lalu, ketiga-tiganya teruja menjawab:

"Saya selalunya dapat RM100," jerit Julie kecil.

"Saya pula dalam lingkungan RM100 hingga RM200 sahaja," ketawa Zher.

Ditambah oleh adik kecil dalam kumpulan temu ramah, Megan tersenyum menjawab: "Terpulang kepada kerajinan untuk melawat rumah saudara-mara. Biasanya saya akan dapat dalam beberapa ratus."

Mencuri perhatian dengan celotehnya yang berbunyi nakal tetapi sangat menggambarkan sikapnya, Julie tampil dengan satu lagi pengakuan yang jujur.

"Saya tidak begitu gemar dengan program-program televisyen sepanjang hari pertama tahun baru, begitu juga dengan kanak-kanak yang menyanyi lagu wajib yang dinyanyikan sepanjang hari setiap kali Tahun Baru Cina," luahnya sambil ketawa.

Tidak habis dengan Julie, Megan, si gadis moden yang dalamannya sarat dengan kepercayaan dan amalan tradisi orang Cina tiba-tiba mencelah.

"Bagi saya nyanyian-nyanyian itu satu perkara yang beri semangat kepada perayaan itu sendiri. Bapa saya boleh dengar lagu-lagu perayaan sepanjang perjalanan kami balik ke Pulau Pinang. Kami juga akan tonton semua program berkaitan dengan perayaan di televisyen. Memang program semasa Tahun Baru Cina kurang menarik, tapi program di 8TV semuanya menyeronokkan," kata Megan dengan senyum manisnya.

Neelofa terima Hans jika ada jodoh

Posted:

Neelofa terima Hans jika ada jodoh

Neelofa terima Hans jika ada jodoh


NEELOFA benar-benar tidak menduga dengan sambutan hari lahir mengejut yang diadakan di Kota Damansara baru-baru ini.


HANYA satu doa ibu selebriti Neelofa, Noor Kartini Nor Mohamad. Dia mahukan seorang lelaki beriman dan soleh untuk menjadi pemimpin dunia dan akhirat buat pengacara Meletop yang dikatakan sedang intim dengan pelakon dan penerbit Hans Isaac itu.

"Sekali sahaja jika Tuhan hendak buka pintu hatinya, walau sesiapa pun, orang bukan Islam pun akan boleh berubah sekelip mata menjadi lebih soleh dan beriman daripada orang Islam yang sudah lama beragama Islam. Iman itu subjektif," jelas Neelofa bersahaja berhubung kenyataan ibunya yang berharap agar dirinya bertemu lelaki yang beriman sebagai calon suami.

Kata Neelofa juga, dia yakin dan percaya kepada kuasa jodoh. Masa depan juga bukan hak mutlak seseorang manusia.

"Pada saya kalau sudah ditakdirkan berkahwin dengan Hans Isaac, maka kahwinlah kami tapi kalau bukan dia jodoh saya, saya mungkin kahwin dengan orang lain," kata Neelofa membayangkan kedudukan istimewa Hans kini sebagai lelaki yang sedang bertapak di hatinya.

Ibunya yang lebih selesa membahasakan diri sebagai mama dalam kalangan media juga tidak betah jika Neelofa hendak berkahwin dalam usia muda. Siapa pun pilihan anaknya itu, dia tidak akan menghalang kerana bagi Kartini soal hati dan perasaan seseorang tidak boleh dipaksa.

"Saya jaga Neelofa dari hari pertama dia dilahirkan sehinggalah sekarang umurnya 24 tahun. Dia pun kata nak kahwin pada umur 27 tahun. Saya dulu kahwin selepas habis sekolah menengah dan perkahwinan pertama saya itu awalnya tidak mendapat persetujuan daripada keluarga, tapi lama-lama kami diterima," kata Kartini kepada media semasa ditemui pada majlis kejutan hari lahir Neelofa di Kota Damansara, Petaling Jaya Khamis lalu.

Senyuman seperti tidak mahu lekang daripada bibir Neelofa. Mata bundarnya bersinar-sinar dan ketawanya girang dari awal hinggalah majlis tamat bersurai kira-kira pukul 12 tengah malam itu. Tiga hari sebelum genap 24 tahun hari ini, dia diberikan satu kejutan oleh peminat, keluarga, penaja termasuklah media dalam satu majlis hari jadi yang sangat terancang ilham pengurus peribadinya, Shawn Amer.

"Saya benar-benar terkejut. Ini kejutan hari lahir yang sangat menjadi dan sungguh terancang. Saya diberitahu bahawa malam ini (Khamis), saya ada makan malam bersama sebuah syarikat petroleum," kata Neelofa ceria.

Menyambung harapannya sempena usia baharu dalam hidup, kata Neelofa dia mahu fokus kepada bisnes dan karier sebelum berfikir tentang jodoh.

"Saya malas hendak cakap pasal kahwin, saya akan kahwin tapi mungkin tiga atau empat tahun lagi. Sekarang saya mahu fokus kepada produk BellaVita, banyak pelaburan yang dibuat untuk produk berkenaan dan banyak lagi yang harus diusahakan. Tapi tak bermakna saya nak ketepikan karier seni. Bulan April nanti saya akan masuk lokasi drama bersiri Azura. Ada juga dua buah filem yang sudah saya setuju iaitu Gengster Superstar dan Pilot Cafe," kata Neelofa yang kini bercuti di Singapura bersama keluarganya.

Erra dahagakan akhirat

Posted:

Erra dahagakan akhirat

Erra dahagakan akhirat


ERRA FAZIRA benar-benar tidak menyangka pertemuannya bersama beberapa orang kuat Astro di Hotel Vivatel, Cheras, pada Jumaat lalu rupa-rupanya satu helah yang dirancang untuk kejutan sambutan hari lahir ke-39 yang jatuh semalam.


WANITA bernama Erra Fazira Wan Chik masih primadona dalam jagat seni tanah air. Semalam usianya menginjak angka 39 tahun dan sepanjang lebih 20 tahun memberikan senyuman dan variasi emosi kepada pemujanya, Erra mengakui hidupnya tidak sempurna seperti apa yang dilihat di mata kasar.

Menyedari sumbang jika merasakan hidupnya sudah memiliki segala-galanya, kata Erra: "Doa dan harapan saya, moga pada usia yang mendatang ini saya memperoleh kehidupan yang bahagia dan tenang berdepan apa sahaja kesusahan dan kesakitan dalam hidup."

Sekilas pandang ungkapan itu terlalu kedengaran umum namun tegas ibu kepada Engku Aleesya itu, sebagai manusia dia seharusnya bersyukur kerana masih bernafas untuk meneruskan kehidupan.

"Saya pinjam semangat masa lalu untuk hari ini dan saya ambil kesusahan hari ini untuk bekal hari depan yang tidak boleh dijangka untung nasibnya," kata Erra yang ditemui selepas sambutan hari lahirnya yang dirancang oleh pihak produksi program bual bicara Primadona di Vivatel Hotel, Cheras, Jumaat lepas.

Membuka lembaran usia baharu, masih terlalu banyak kesempurnaan sebagai wanita yang mahu dikecapi oleh ibu beranak satu itu.

"Saya tidak sempurna, kehidupan dunia dan akhirat saya tidak cukup seimbang. Kemuncak impian saya sebagai seorang manusia ialah untuk mencapai keseimbangan itu. Mungkin pihak luar melihat saya lebih mengejar keduniaan berbanding akhirat namun dalamannya, saya juga dahagakan akhirat.

"Saya ada terfikir sampai bila lagi saya harus berlakon dan menyanyi, tak mungkin untuk selama-lamanya saya akan terus berlakon. Saya mahu cari landasan yang lebih stabil. Saya juga mahukan anjakan paradigma. Sebenarnya banyak cabang menanti untuk saya masuk dan memulakan sesuatu yang baru," jelas Erra lagi.

Dalam erti kata yang lain, Erra kini dalam proses penyucian minda agar hala tuju di depannya nampak jelas yang mudah dilangkahi.

"Dari segi kekeluargaan, saya sentiasa berfikir untuk mencari setiap kekurangan yang ada dan mahu perbaiki keharmonian dan tanggungjawab. Setakat itu sahaja yang mampu saya katakan," jelasnya tanpa mahu secara khusus memperincikan huraian tersirat yang mengalir dalam darahnya.

Faham benar apa lagi kisah peribadinya yang masih ditagih peminat, tentang kerukunan rumah tangganya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin yang selama ini berdepan bermacam-macam andaian. Erra tetap tidak mahu lagi bercerita lanjut. Cukuplah dengan ungkapan-ungkapan yang telah terluah daripada bibir itu. Selebihnya, jawapan kepada persoalan dan andaian ramai selama ini, hak mutlaknya tergantung di tangan Erra Fazira.

Bercakap tentang perjalanan kariernya yang masih berterusan, Erra yang masuk tahun kelima bergelar Bintang Eksklusif Astro berkemungkinan besar akan menyambung setahun lagi kontraknya yang bakal tamat pada Mei depan.

"Buat masa ini kontrak tetap akan disambung tetapi kontrak untuk pengacaraan dalam Primadona sahaja. Tentang kontrak sebagai Bintang Eksklusif itu, saya masih belum membuat keputusan. Kalau pun disambung, syarat-syarat yang diterima pakai selama ini akan dirombak semula. Tapi, dalam waktu yang sama, saya masih mahu mengekalkan nilai eksklusif itu," jelas Erra yang dijadualkan memulakan penggambaran tiga buah super telemovie terbaharu tidak lama lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved