Rabu, 20 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berkarya bukan kerana duit

Posted:

Berkarya bukan kerana duit

Berkarya bukan kerana duit

SEKIRANYA masih hidup, arwah Tan Sri P. Ramlee yang lahir pada 22 Mac 1929 kini sepatutnya sudah berusia 84 tahun - empat tahun lebih muda daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 88, yang masih kelihatan kacak dan sihat.

Andai juga seniman agung itu masih hidup, sudah tentu Kosmo! berusaha bertemu dan menemu bual serta mendengar sendiri daripada mulutnya tentang kisah hidup dan bagaimana karya-karya hebatnya dihasilkan.

Hakikatnya, itu hanyalah harapan dan impian yang tidak akan kesampaian kerana pada hakikatnya beliau sudah lama meninggal dunia iaitu sejak 29 Mei, 1973.

P. Ramlee akan terus hidup dalam jiwa kita dan mereka yang tidak pernah kenal mahupun yang lahir selepas kematiannya juga boleh menjadi peminatnya menerusi filem-filem lakonannya.

Sememangnya, P. Ramlee meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan sampai bila-bila.

Pujian terhadap karya P. Ramlee itu bukan sekadar retorik sebaliknya beliau adalah insan genius anugerah Allah dalam bidang seni dan budaya kepada rakyat Malaysia.

Kehebatan dan karya-karya P. Ramlee akan sentiasa ditonton dan diperkatakan tanpa rasa jemu apatah lagi membuatkan penonton kering gusi menontonnya.

Begitu juga dialog dan telatahnya dalam filem juga sering diajuk dan ditiru oleh peminatnya.

Sehingga kini, filem-filemnya seperti Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu Labi, Ibu Mertuaku, Do Re Mi, Anak Bapak, Tiga Abdul dan banyak lagi masih ditayang di kaca TV.

Biarpun sudah 40 tahun P. Ramlee meninggal dunia, generasi baharu termasuk dalam kalangan kanak-kanak kecil mengenali P Ramlee.

Mereka hanya mengenali fizikal serta gelagat P. Ramlee menerusi lakonan tetapi mungkin tidak mengetahui akan kisah hidup dan pemikiran seniman agung tersebut.

Justeru, menerusi teman-teman seangkatan dengannya sahaja kisah hidup penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah dan penerbit filem yang tiada penggantinya itu dikupas buat bacaan para peminatnya.

Dia seorang pemikir dan pemerhati - Sarimah

Mengenalinya sebagai teman lakonan dan juga pengarah, menurut Datuk Sarimah Ahmad, 71, P. Ramlee adalah seorang yang ikhlas dalam bekerja dan melakukan sesuatu kerja bukan kerana duit tetapi kerana cintanya yang begitu kuat terhadap seni.


NOSTALGIA. P. Ramlee (tengah) bergandingan dengan S. Samsudin (kanan) dan Aziz Satar dalam filem Seniman Bujang Lapok.


"Dia ada banyak kelebihan yang Allah berikan dan paling penting, dia buat sesuatu benda seperti filem atau lagu kerana perasaan cintanya terhadap seni.

"Dia ikhlas menghasilkan karya bukan semata-mata untuk mendapatkan duit, disebabkan itu karyanya bermutu dan kekal sehingga kini," jelas Sarimah mengenai rahsia di sebalik ingatan yang tidak pernah padam terhadap karya-karya ciptaan P. Ramlee.

Mengulas lanjut, kata Sarimah, P. Ramlee adalah seorang pemikir dan pemerhati, malah seorang yang berfikiran melangkaui masa depan.

Kata Sarimah, karya-karya P. Ramlee juga meliputi kisah benar yang berlaku terhadap masyarakat.

"Dia banyak bergaul dan banyak melakukan kajian. Dia hasilkan filem melalui kisah masyarakat yang berlaku di sekelilingnya," ujarnya yang memberitahu, P. Ramlee juga pandai mengambil hati penonton melalui karya-karyanya.

Memberi beberapa contoh, Sarimah memberitahu, filem-filem P. Ramlee juga banyak diselitkan dengan mesej-mesej berguna.

Antara filem yang terselit mesej bagi Sarimah adalah Anakku Sazali. Katanya, filem yang menyaksikan P. Ramlee membawakan dua watak iaitu bapa dan anak derhaka itu mempunyai banyak mesej dan pengajaran.

Begitu juga filem Antara Dua Darjat yang membawa mesej manusia dari dahulu sememangnya mementingkan darjat sedangkan budi bahasa sepatutnya diberi keutamaan dulu.

"Semua filem-filem P. Ramlee dibuat ada mesej, bukan kosong. Dia juga bijak menggunakan dialog-dialog yang menarik sehingga menbuatkan orang ingat sehingga kini.

"Contoh dialog filem yang masih orang cakap kepada saya sampai sekarang adalah yang terdapat dalam filem Tiga Abdul," jelasnya.

Menurut Sarimah, P. Ramlee juga seorang pengarah yang lain daripada lain.

"Dia seorang pengarah yang serius. Dia tidak suka pada pelakon yang tidak buat homework sebelum memulakan penggambaran," ujarnya.

Begitupun, dedah pelakon filem Madu Tiga itu, di luar bidang pengarahannya, P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri dan suka berjenaka.

Ujar Sarimah, P. Ramlee juga tidak pernah merendah-rendahkan orang lain.

"Jika ada pelakon yang lupa dialog berkali-kali dia tidak pernah memaki hamun pelakon tersebut, sebaliknya dia akan hentikan penggambaran dan menyambungnya pada keesokan harinya," jata Sarimah yang mengakui pernah menangis kerana usikan P. Ramlee.

Sarimah mendedahkan lagi, P. Ramlee merupakan seorang yang suka mengusik tetapi usikannya terkandung kata-kata nasihat.

Sarimah turut bercerita tentang pengalaman dirinya sendiri bersama P. Ramlee ketika mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan.

"Ketika mula berlakon pada usia 17 tahun saya masih lagi tidak pandai bergaya. Ketika itulah, P. Ramlee sering menggelarkan saya sebagai 'Sarimah Kayu' berdasarkan penampilan saya ini.


SARIMAH pernah melalui pengalaman pahit semasa mula-mula berlakon di bawah arahan P. Ramlee.


"Saya pula terasa hati dan menangis. S. Sudarmaji yang banyak memujuk dan memberitahu saya, sebenarnya usikan P. Ramlee itu untuk memberi kesedaran agar mengubah penampilan saya itu," ceritanya.

P. Ramlee tidak tamak - Aziz Satar

Menurut Datuk Aziz Satar, 88, pula, semasa zaman kegemilangan P. Ramlee, dia pernah menasihati sahabatnya itu agar mengambil peluang untuk membuat duit lebih banyak. Namun, P. Ramlee memberikan jawapan yang tersendiri.

"Dia (P. Ramlee) cakap, 'Seni bukan untuk duit tetapi untuk masyarakat'," ujar Aziz mengenai kata-kata P. Ramlee yang diulang semula kepada dirinya sebelum seniman agung itu meninggal dunia.

Mengulas lanjut, kata Aziz, walaupun P. Ramlee mendapat bayaran sedikit hasil lakonan atau arahannya, dia tidak mempedulikannya kerana apa yang penting baginya, karya yang terhasil adalah bermutu.

Tambah Aziz, sifat diri P. Ramlee yang tidak ingin menjadi bagus seorang diri juga menjadikan dia istimewa dan lain daripada lain.

"P. Ramlee kalau berlakon atau mengarah dia tidak mahu bagus seorang diri. Sebaliknya, dia mahu semua orang bagus. Walaupun ada sebilangan pelakon pada masa dulu yang sukar menghafal dialog tetapi P. Ramlee sanggup menunggu dan mendidik sehingga pelakon tersebut menjadi bagus. P. Ramlee juga tidak mengajar setiap pelakonnya separuh jalan tetapi memberi tunjuk ajar secara menyeluruh.

"Disebabkan itu, pelakon-pelakon dahulu bagus daripada segi mutu lakonan," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Mengulas mengenai karya P. Ramlee, kata Aziz, P. Ramlee adalah seorang yang sangat teliti dalam menghasilkan karya.

Ujar Aziz, P. Ramlee akan menjaga daripada segala aspek sama ada dari segi skrip, jalan cerita termasuklah pakaian setiap pelakonnya.

Ujarnya, P. Ramlee juga boleh berfikir sehingga ke 40 tahun akan datang melangkaui zamannya.

"P. Ramlee menghasilkan karya yang tidak ditelan zaman. Walaupun sudah 40 atau 50 tahun, nilai karyanya masih dihargai. Buktinya, adalah menerusi filem-filem dan lagu-lagu ciptaannya yang masih ditonton dan didengar tanpa rasa jemu sehingga kini."

"Dia menghasilkan karya yang dekat dengan masyarakat. Benda yang berlaku dan diamalkan oleh masyarakat sehingga kini diselitkan dalam karyanya.

"Ceritanya juga mengandungi macam-macam. Hiburan ada. Sindiran ada. Mesej ada. Semuanya ada. Dengan segala ramuan tersebut filem-filemnya bermutu dan menarik," jelas Aziz.

Tegas Aziz: "Jika generasi sekarang mahu menghasilkan karya bermutu seperti P. Ramlee, contohilah cara kerjanya. Dia begitu teliti dan mengambil kira semua aspek dalam menghasilkan karya."

Bercerita mengenai pengalaman dirinya bekerja dengan P. Ramlee, akui Aziz, hanya kenangan manis yang terpahat dalam memori dirinya.

"P. Ramlee merupakan seorang teman yang sangat merendah diri. Saya banyak belajar cara-cara mengarah, menyanyi dan menulis skrip daripada dia. Tetapi kalau dari segi membuat pertunjukan di pentas, dia hormat pada saya.

"Sebabnya, saya lebih berpengalaman daripada dia. Kalau saya suruh dia buat apa sahaja, dia akan ikut, "jelasnya yang ketika dahulu mengadakan pertunjukan pentas di merata negeri bersama P. Ramlee, Saloma dan Norizan.

Tidak sempat kenali P. Ramlee - Najua

Tidak lengkap kalau tidak menemu bual individu yang mempunyai perkaitan darah dengan P. Ramlee. Cucu P. Ramlee, Najua Mohd. Nasir, 27, dikatakan antara yang paling mirip dengan seniman agung itu.

Menurut Najua, walaupun dia tidak sempat mengenali P. Ramlee semasa hayatnya dan juga tidak pernah diberi apa-apa pendedahan mengenai datuknya itu oleh bapanya, Nasir P. Ramlee, dia bersyukur kerana mengenali karya-karya seniman agung itu.

Ujarnya, melalui karya-karya P. Ramlee itu dia dapat mengetahui bahawa datuknya adalah seorang pengkarya yang sangat hebat.

"Saya tidak diberi apa-apa pendedahan mengenai P. Ramlee oleh bapa saya tetapi kawan-kawannya seperti Datuk Aziz (Satar) dan nenek Mariani (Ismail) banyak bercerita tentang dia (P. Ramlee) kepada saya. Daripada situ, saya mengenalinya.

"Saya juga bersyukur kerana berpeluang melihat karya-karyanya. Bagi saya, karya-karya yang dihasilkan dia sangat hebat," ujarnya.

Jelasnya, filem-filem P. Ramlee juga banyak dihasilkan berkisar kisah hidupnya dan juga masyarakat di sekelilingnya. Itu menyebabkan karya-karyanya hebat dan masih diterima sehingga kini.

Kata Najua lagi, lagu-lagu ciptaan P. Ramlee juga tidak hanya menjurus kepada cinta semata-mata sebaliknya menjurus tentang seluruh aspek.

Biografi P. Ramlee

Posted:

Biografi P. Ramlee

Biografi P. Ramlee

Kad pengenalan merupakan antara peninggalan P. Ramlee buat tatapan peminat.


SIAPA yang tidak mengenali Tan Sri P. Ramlee. Beliau digelar seniman agung negara kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Perjuangannya dalam arena seni selama 25 tahun membawa P. Ramlee ke mercu kejayaan sebagai penyanyi, penggubah lagu, pemuzik, pelakon, pengarah filem, dan sebagai penerbit filem.

Latar belakang

Hasil perkongsian hidup Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein sejak tahun 1925, P. Ramlee dilahirkan pada 22 Mac 1929 pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Beliau dilahirkan di rumah neneknya di Pulau Pinang.

P. Ramlee memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya di Francis Light School. Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Semasa Perang Dunia Kedua, P. Ramlee telah mendapat pendidikan di Japanese Navy School.

P. Ramlee telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa, 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Menerima pingat kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1962.


Perkahwinan

P. Ramlee pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Junaidah Daeng Harris (1950), Noorizan Mohd. Noor (1955) dan Salmah Ismail atau Saloma (1961).

Beliau hanya dikurniakan dua orang anak melalui hasil perkahwinannya bersama Junaidah iaitu Mohd. Nasir dan Arfan. P. Ramlee juga mempunyai anak tiri iaitu Abdul Rahman (anak Junaidah), Norma (anak Noorizan) dan Armali (anak Saloma dan A.R.Tompel). Bukan itu sahaja, P. Ramlee juga mempunyai anak angkat iaitu Sazali, Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan Dian.

Filem dan lagu

P. Ramlee telah berlakon dalam 66 buah filem. Bermula dengan filem pertama Chinta (1948) sehinggalah filem terakhirnya Laksamana Do Re Mi (1972). Dalam dunia seni suara pula, P. Ramlee telah mendendangkan sebanyak 359 buah lagu termasuklah hit seperti Dendang Perantau, Azizah, Bunyi Gitar, Getaran Jiwa dan Madu Tiga.


Meraikan kejayaan meraih anugerah pada Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun pada tahun 1960 bersama pelakon Bat Latiff.


Penghargaan

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya terhadap negara, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Selain itu, rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur telah diubah suai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee pada tahun 1986.

Nama P. Ramlee turut diabadikan pada sebatang jalan di tengah ibu kota Kuala lumpur iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982.

Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran Doktor.

Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Timbunan tayar cemari Madrid

Posted:

Timbunan tayar cemari Madrid

Timbunan tayar cemari Madrid


MADRID merupakan sebuah destinasi popular pelancongan namun penduduk di pinggir bandar itu khususnya Sesena sedang gelisah.


KIRA-KIRA 40 hingga 60 juta kilogram tayar pelbagai saiz dilonggokkan di sebuah bandar yang terletak 80 kilometer dari selatan Madrid, Sepanyol. Kawasan lapang di bandar Sesena itu menjadi pusat buangan tayar kereta dan trak yang sebahagiannya masih dalam keadaan baik.

"Ia amat menyakitkan mata dan memusnahkan keindahan alam sekitar. Kekotorannya dapat dilihat dengan jelas dari lebuh raya menghala ke Andalusia," ujar aktivis, Vicente Garcia de Paredes, yang berkhidmat untuk sebuah kumpulan pejuang alam sekitar di Sepanyol, Ecologists in Action.

Menurut Datuk Bandar Sesena, Carlos Velazquez, timbunan tayar itu mula terjadi pada tahun 1990-an ketika sebuah syarikat menggunakan lokasi tersebut sebagai tapak longgokan sementara tayar sebelum dikitar semula.

Bagaimanapun, jumlah tayar kemudiannya meningkat dari tahun ke tahun. Berjuta-juta tayar terkumpul di kawasan berkeluasan 10 hektar itu yang kini menjadi kediaman arnab liar. Kawasan itu juga masih diselia pengawal keselamatan.

Golongan pencinta alam sekitar memberi amaran bahawa penyakit yang dibawa nyamuk mungkin tersebar ekoran air bertakung yang terbentuk di dalam ruang kosong tayar-tayar tersebut.

LONGGOKAN tayar di Sesena meningkatkan kebimbangan penduduk di sekitarnya.


Penduduk bandar Sesena juga bimbang terhadap kemungkinan timbunan barangan getah itu untuk terbakar.

Kata Velazquez: "Tayar yang dibuang ke sini akan kekal dan tiada satupun tayar dibawa keluar. Sekiranya ia terbakar, memang sukar untuk memadamkannya.

"Barang buangan itu terkumpul sedikit demi sedikit. Syarikat yang bertanggungjawab itu pula tidak memiliki lesen meninggalkan tayar-tayar tersebut tetapi inilah kenyataannya."

Abai pengurusan

Selepas tapak buangan itu diharamkan pada tahun 2003, syarikat yang menyelia operasi buangan itu telah diheret ke mahkamah dan terus mengabaikan pengurusannya.

Pada tahun 2010, hakim memutuskan bahawa tayar-tayar tersebut adalah bahan buangan terbiar dan tugas membersihkannya terletak pada bahu majlis perbandaran.

"Kawasan tersebut hanya terletak 500 meter dari bandar yang mempunyai penduduk seramai 10,000 orang. Lebih menakutkan apabila mengetahui bahan buangan itu mudah terbakar," tutur Vicente Garcia.

Garcia turut menunjukkan sebuah kawasan perumahan yang terletak di pinggir bandar. Jelasnya, pihak pemaju telah membina perumahan itu ketika industri pembangunan Sepanyol sedang berkembang pada penghujung tahun 1990-an.


SELAIN menjadi tumpuan haiwan perosak, longgokan tayar ini juga menjadi tempat pembiakan nyamuk.


Ia bertujuan menarik ribuan orang bagi membeli rumah di situ. Namun hari ini, Sesena seperti bandar hantu yang melambangkan kejatuhan ekonomi Sepanyol bermula tahun 2008.

Seperti yang diberitahu Velazquez, dewan perbandaran telah menandatangani perjanjian bersama sebuah syarikat berpangkalan di Senegal yang akan melakukan kerja-kerja pembersihan tayar selama tiga tahun.

Syarikat tersebut akan menggunakan mesin bagi memecahkan tayar-tayar itu sebelum pecahan-pecahan kecilnya dihantar ke pusat kitar semula.

Tayar terpakai itu berkemungkinan dijadikan bahan pembinaan untuk jalan raya, trek sukan dan taman permainan kanak-kanak. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved