Rabu, 20 Februari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Asakan ganas sang sebarau

Posted:

Asakan ganas sang sebarau

Asakan ganas sang sebarau

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

BOT gentian kaca sepanjang tujuh meter menyusuri tasik dengan perlahan sementara empat orang pemancing tidak henti-henti membaling umpan tiruan (gewang) ke arah tebing.

Mata masing-masing melilau melihat kelibat ikan yang muncul di permukaan air, perasaan ketika itu agak berdebar-debar kerana spesies yang diburu bukan sembarangan ikan.

Jika tidak kena gaya, harapan hendak menangkap ikan sebarau yang menjadi idaman kaki pancing hancur lebur.

Ini merupakan kali keempat penulis berpeluang untuk memburu sebarau. Kali pertama di Tasik Kenyir, Terengganu namun hasilnya hampa, kali kedua di Empangan Bersia, Perak, dapat juga menaikkan sebarau sebesar tapak tangan, manakala kali ketiga di Empangan Pergau, Kelantan juga pulang kecewa.

Sebaik sahaja mendapat tahu Nahar Desa (Pokcik), seorang pemancing tegar dari Gerik, Perak menganjurkan trip Taman Negeri Royal Belum Perak (Royal Belum) baru-baru ini, peluang tersebut tidak boleh boleh dilepaskan begitu sahaja.

Penulis terus menghubungi Pokcik dan bertanya sama ada masih ada peluang untuk turut serta dan jawapan yang diberikan cukup menggembirakan hati.

Provokasi

Apabila tarikh kunjungan semakin dekat, Pokcik mula melakukan provokasi dengan menunjukkan gambar-gambar ikan yang berjaya ditangkap, gewang yang pecah, mata kail lurus dihentam ikan toman dan laporan cuaca di kawasan itu menyebabkan hati penulis menjadi semakin tidak keruan.

Ikan sebarau atau nama saintifiknya Hampala macrolepidota iaitu sejenis ikan air tawar yang mempunyai banyak tulang halus, hidup di sungai-sungai yang mengalir deras dan tasik. Spesies itu juga aktif selepas hujan.

Ini bererti, waktu terbaik untuk mencari sebarau ialah ketika musim hujan antara bulan Disember sehingga Mac.

Ikan tersebut mampu membesar sehingga lima hingga enam kilogram (kg) dan suka makan anak-anak ikan kecil dan udang yang banyak terdapat di tepi-tepi tebing tasik, pokok-pokok kayu balak di dalam sungai dan kawasan berbatu.

Umpan tiruan

Sebarau begitu kuat hingga berupaya memutuskan tali pancing, menyebabkan mata kail yang bengkok menjadi lurus dan bijak melepaskan diri dengan membelitkan tali pancing ke pokok-pokok kayu dalam air.


PENULIS akhirnya berjaya mendapat 'lesen' sebarau.


Disebabkan ia begitu agresif maka penggunaan umpan tiruan cukup berkesan untuk menangkap sebarau.

Antara umpan tiruan yang berkesan ialah spoons, top water, soft plastic, spinnerbaits dan minow.

Penggunaan mata tiga juga tidak digalakkan kerana ia mampu meloloskan diri dan mudah tersangkut di pokok-pokok kayu. Sebab itulah ramai pemancing sebarau akan menggunakan mata kail tunggal.

Sebarau yang dicari sejak awal pagi masih belum memunculkan diri. Hujan yang mula turun renyai-renyai menyebabkan empat pemancing terpaksa mengenakan baju hujan masing-masing.

Umpan tiruan jenis spoon atau sesudu berwarna emas dibaling tepat menuju ke celah-celah pokok kayu balak lalu tenggelam ke dasar sebelum dikarau dengan laju.

Disentap kuat

Tiba-tiba, batang pancing terasa disentap kuat, ia melentur membentuk huruf 'U', tali pula tegang menahan asakan ikan. Permainan bermula!

Drag mesin pancing diketatkan, dengan hati berdebar penulis cuba tidak panik dan memberi tumpuan sepenuhnya.

Asakan demi asakan seolah ia tidak mahu menyerah kalah. Selepas beberapa minit akhirnya sang ikan mula keletihan dan mula kelihatan dipermukaan. Sah! Ikan yang menjadi impian selama ini berjaya ditangkap.

Dengan berhati-hati, penulis membawa naik ikan seberat satu kilogram (kg) itu ke dalam bot dan seterusnya sesi bergambar bersama hasil tangkapan adalah satu kewajipan sebagai kenangan.

Tangkap dan lepas

Ikan itu tidak diambil dan dibawa pulang sebaliknya dilepaskan kembali ke dalam air.

Mungkin ada yang beranggapan tindakan itu sebagai merugikan sedangkan segala usaha dan wang ringgit yang dihabiskan untuk memburu sebarau bukan sedikit bahkan mencecah ratusan ringgit.

Inilah perkara yang hendak diterapkan kepada pemancing di negara ini iaitu amalan tangkap dan lepas (CNR). Amalan ini adalah bagi memastikan ikan tersebut tidak pupus dan terus membiak dalam habitatnya. Hanya ikan bersaiz melebihi 2kg sahaja akan dibawa pulang.

Walaupun terdapat banyak perdebatan mengenai amalan ini dalam kalangan pemancing namun perkara yang paling penting ialah penggunaan mata kail tunggal, cara memegang ikan dan melepaskan kembali dengan cara yang betul perlu diketahui.

Pemancing yang turut bersama penulis dalam trip tiga hari itu bukan calang-calang orang, seorang daripadanya ialah Sham Piman, seorang warga Malaysia yang sudah lebih 20 tahun menetap di Jepun.


HASIL tangkapan yang menjadi santapan para pemancing di atas bot.


Terkejut

Menurut Sham, jika orang Jepun melihat cara memancing orang Malaysia, sudah tentu mereka akan terkejut dan kagum.

"Kawasan tasik di Jepun tidak ada pokok-pokok kayu dalam air dan mereka tidak ada kemahiran memancing di celah-celah pokok balak," katanya yang berasal dari Perak dan bertugas dengan sebuah syarikat pelancongan khusus untuk pelancong Muslim ke Jepun.

Penyertaan Sham dalam lawatan ini begitu mengujakan kerana dia membawa bersama teknologi Negara Matahari Terbit terutamanya dari segi peralatan memancing, malah penulis berpeluang menyaksikan sendiri umpan-umpan tiruan yang dibawa oleh Sham.

Agak melucukan kerana ada antara umpan yang dibawa berbentuk pelik seperti botol susu bayi dan bibir wanita yang besar.

"Saya tertarik dengan teknik casting sejak beberapa tahun dahulu apabila abang saya sering mengirim umpan tiruan dari Jepun," katanya yang turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan mengimport umpan tersebut ke Malaysia.

Jika anda ingin melihat koleksi barang-barang memancing daripada Jepun boleh melayari laman web milik Sham iaitu www.pimantackle.com.

Kejadian tidak diingini

Hari terakhir memancing di Belum, berlaku kejadian yang tidak diingini apabila tekong bot yang dikenali sebagai Lebir terpijak mata kail umpan tiruan Risto Rap jenama Rapala.

Mata kail itu tertusuk masuk ke ibu jari kaki Lebir menyebabkan dia hampir pengsan dan muntah kerana menahan kesakitan.

Mujur sebuah bot berhampiran memberikan pertolongan kerana kesemua pemancing yang ada dalam bot tidak berani menarik keluar mata kail itu.

Bagaimanapun kejadian yang bukan pertama kali berlaku itu dapat diuruskan dengan baik apabila rakan Lebir mencelupkan jari kakinya ke dalam minyak petrol sehingga menjadi kebas dan akhirnya berjaya dikeluarkan dengan menggunakan playar.

Lawatan sepanjang tiga hari itu berakhir dengan penuh kepuasan dan keseronokan terutamanya di wajah rakan-rakan.

Pokcik pula diberikan penghargaan kerana menganjurkan trip dengan baik kerana makanan yang disediakan oleh tukang masak sangat sedap malah keselesaan dan tunjuk ajar yang diberikan juga cukup bermakna.

Rumah bot dinamakan sebagai Sahabat Alam dimiliki oleh Zulkarnain atau Abang Nan juga selesa dan boleh menampung seramai 15 orang pemancing pada satu-satu masa.

Bagi mereka yang berhajat untuk memburu sebarau bolehlah menghubungi Abang Nan di talian 019-590 0144 atau emel shbt_alam@yahoo.com.

Dipukau salji putih Korea

Posted:

Dipukau salji putih Korea

Dipukau salji putih Korea


AKTIVITI meluncur bukan sahaja menguji kemahiran peserta malah ketahanan tubuh terhadap cuaca sejuk.


TANPA keluarga mahupun teman, saya bertekad untuk menjejakkan kaki ke negara empat musim yang sering menjadi igauan para peminat K-Pop di Malaysia.

Sebelum ini, saya hanya menonton di kaca televisyen tentang Korea Selatan yang sering memaparkan kehebatannya sebagai kota kosmetik, terutamanya produk krim BB. Saya juga ingin merasai perasaan romantik seperti drama Lovers in Paris dan Full House yang banyak kali saya tonton.

Saya memilih pakej pelancongan musim sejuk kerana ingin mengabadikan kenangan indah tersebut dalam rintik salji. Ejen pelancongan Safirgotravel telah membuatkan mimpi saya menjadi kenyataan pada 5 hingga 10 Disember lalu.

Meskipun kali pertama melakukan perjalanan bersendirian, ia tidak tidak menggusarkan kerana saya mudah mendapat kenalan baharu.

Rombongan tersebut juga disertai selebriti seperti Iqram Dinzly yang tidak asing dalam drama-drama Melayu yang selalu saya tonton.

Sebaik perjalanan bermula, saya sudah cukup teruja. Boleh dikatakan, saya seperti rusa masuk kampung, maklumlah kali pertama keluar negara.

Belum lagi menjejakkan kaki ke bumi Korea, saya sudah merasai perasaan terharu dan bersyukur ke hadrat Allah dan orang yang disayangi kerana memberi peluang serta keizinan.

Penerbangan malam memakan masa selama tujuh jam tetapi saya tidak mampu melelapkan mata dek perasaan berdebar dan tidak sabar untuk melihat salji.

Rasa teruja

Akhirnya sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Icheon, mungkin ada yang tersengih melihat mulut saya sedikit terlopong kerana melihat salji di tempat pesawat kami mendarat. Susah hendak digambarkan perasaan saya ketika itu, cuma ungkapan 'Subhanallah' mampu diucap di dalam hati.

Pemandu pelancong muncul untuk memandu perjalanan kami dengan jadual perjalanan yang padat selama lima hari empat malam. Ketika mula mengenakan pakaian musim sejuk, perasaan teruja kembali menguasai diri dan saya tidak melepaskan peluang menikmati keindahan kota Seoul yang putih bersih.

Saya seperti tidak percaya apabila dapat bermain salji di Pulau Nami yang terkenal dalam drama Winter Sonata. Pulau ciptaan manusia itu memperlihatkan keindahan deretan pokok yang unik serta panorama indah.


PARA peserta mengabdikan kenangan melancong di Korea Selatan.


Begitu juga ketika menyusuri sepanjang Sungai Han sambil menikmati cahaya lampu kota, terasa suasana yang romantik.

Kami turut dibawa meluncur di Oak Valley Ski Resort. Harapan saya di situ adalah untuk menguasai kemahiran meluncur, namun ia bukan mudah kerana beberapa kali saya terjatuh ketika cuba mengimbangkan diri.

Dalam pada saya teruja menikmati aktiviti tersebut dan keindahan panorama, adakalanya saya berasa tidak mampu menahan kesejukan walaupun matahari terik di atas kepala.

Berbeza pula apabila kami berada di dalam taman tema terbesar iaitu Lotte World. Baju yang berlapis-lapis tebalnya membuat saya berpeluh-peluh, ditambah lagi apabila bermain pelbagai permainan yang sangat menghiburkan sambil menikmati persembahan sempena Krismas yang memukau mata.

Di restoran Korea, mungkin kerana kesukaran mendapatkan makanan yang halal, biasanya kami dihidangkan dengan sup sayur, telur goreng dan kimchi yang terkenal sebagai sajian tradisi. Bagaimanapun, lidah saya yang sudah bertahun-tahun sebati dengan belacan susah hendak menelannya. Justeru, mi segera menjadi antara sajian setia buat saya ketika lapar.

Dari segi harga makanan, untuk secawan milo panas dan setongkol jagung harganya ialah RM15. Sememangnya Korea Selatan bukanlah tempat yang sesuai untuk membeli-belah apatah lagi orang yang tidak mementingkan fesyen macam saya.

Menyusuri jalan-jalan di kota Iteowon memberi persepsi positif tentang cara hidup orang Korea yang amat menitikberatkan kebersihan terutamanya tandas.

Kulit cantik

Jika didengar cerita daripada pemandu pelancong, kami tidak perlu khuatir tentang jenayah di sini termasuk jika berlaku kehilangan barang pasti akan ditemui semula. Selain itu, Korea Selatan juga terkenal dan berbangga dengan teknologi kosmetik mereka.

Saya terpegun melihat artis-artis Korea di kaca televisyen yang mempunyai kulit mulus serta potongan badan yang cantik.

Apabila berada di sini, kenyataan itu sememangnya benar kerana orang biasa juga boleh jadi secantik atau setampan artis. Ia ditambah pula dengan cara mereka berpakaian mengikut fesyen semasa.


KEDAMAIAN suasana dalam salji yang sempat dirakamkan.


Seorang teman saya pernah berkata tentang trend remaja Korea. Apabila mencapai usia 18 tahun, anak-anak itu akan meminta daripada ibu bapa membuat pembedahan plastik sebagai hadiah hari lahir.

Cuma bagi saya fesyen yang digayakan segelintir lelaki di sana agak keterlaluan. Setiap hari saya akan tersenyum simpul melihat fesyen pemandu pelancong kami yang agak keterlaluan dan feminin.

Pada hari kelima, kami bersiap sedia untuk pulang ke tanah air. Terus terang, memang saya sedih untuk meninggalkan Korea Selatan. Hendak menangis pun ada. Bagi saya, pengalaman di negara itu tidak ternilai harganya.

Semua tempat yang kami lawati sangat mengagumkan dan kami dapat mengenali budaya, sejarah dan adat resam sebuah bangsa yang sangat berbeza. Begitu juga dengan pelbagai kenangan manis sepanjang bersama ahli rombongan.

Kehadiran beberapa wartawan menambahkan lagi seri dalam rombongan kami. Keakraban yang ditunjukkan membuat saya terharu dan ia sangat berharga untuk dikenang seumur hidup. Kamsahamnida! (Terima kasih!).

Hotel butik UTM

Posted:

Hotel butik UTM

Hotel butik UTM

Oleh NASRI JAMALUDIN


KAKITANGAN sedia menyambut ketibaan tetamu di Scholar's Inn, Johor Bahru.


BERKONSEP hotel butik, Scholar's Inn, Johor Bahru, Johor menjanjikan satu suasana penginapan yang berbeza kepada para pengunjung. Lebih menarik, kedudukannya dalam kawasan kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai mampu mengimbau kembali zaman anda menuntut di menara gading.

Anak-anak pasti teruja apabila dapat menyaksikan kehidupan pelajar universiti secara lebih dekat sekali gus memberikan semangat kepada mereka agar belajar lebih tekun.

Sebaik sahaja melangkah kaki dalam kawasan hotel, para pengunjung disambut oleh landskap-landskap hasil kreativiti para pelajar dan kakitangan UTM.

Ketika berjalan di koridor hotel menuju ke bilik, tubuh bakal disapa siliran udara yang menyegarkan. Perasaan terasa tenang saat menikmati keindahan panorama alam di sekitar kampus tersebut.

Para ilmuwan

Apabila tiba di hadapan pintu bilik jenis Scholar, pengunjung disambut papan tanda yang memaparkan nama para ilmuwan dunia seperti Ibnu Sina, Isaac Newton dan Raja Ali Haji. Kesemua 40 bilik jenis tersebut dinamakan dengan nama tokoh-tokoh berkenaan.


KESEMUA bilik jenis Scholar dinamakan sempena nama tokoh-tokoh ilmuwan dunia.


Di setiap bilik diletakkan rak buku bagi kemudahan para tetamu membaca bahan-bahan yang disediakan.

Seiring dengan pemilihan nama-nama tokoh terkenal dari seluruh dunia itu, para tetamu berpeluang meminjam buku berkaitan tokoh-tokoh berkenaan daripada pihak hotel. Sesetengah buku tersebut sukar diperoleh di tempat lain dan sesetengah daripadanya mencecah ribuan ringgit.

Justeru, para tetamu dinasihatkan menjaga buku-buku tersebut dengan baik dan memulangkannya semula selepas dibaca supaya orang lain berpeluang membacanya.

Bilik asrama

Sepanjang anda berada di hotel tersebut, anda pasti berasa pelik ekoran keadaan bangunan yang seakan-akan bilik asrama.

Telahan anda itu memang tepat kerana bangunan tersebut asalnya bangunan asrama pelajar dan telah diubah suai secara berperingkat menjadi hotel.

"Pembukaan hotel ini pada mulanya bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahu menginap ketika melawat anak-anak mereka. Selain itu, para tetamu UTM seperti pelawat akademik lebih berminat tinggal dalam kawasan UTM kerana mereka mahu melihat kehidupan dan suasana sebenar di sini.


BAHAGIAN ruang tamu bilik yang sesuai untuk aktiviti santai.


"Pada tahun 2005, bangunan asrama ini dinaik taraf secara berperingkat dan dibuka kepada orang ramai. Istimewanya, hotel ini berkonsep hijau. Selain dikelilingi kehijauan pokok-pokok, kita turut menggunakan produk atau peralatan boleh membantu mengurangkan pencemaran alam," katanya Pengurus Scholar's Inn, Ismadi Ismail.

Susun atur

Ketika berada di dalam bilik, pemilihan perabot dan susun aturnya membuatkan diri terasa teruja untuk berehat. Kedudukan kerusi di bahagian ruang tamu juga memberi kelebihan kepada mereka yang ingin melakukan perbincangan tentang sesuatu perkara.

Suasana sunyi dan kehijauan alam pasti perbincangan yang dilakukan berjalan lancar.

"Para pelawat akademik UTM memilih bilik hotel ini untuk bertemu tetamu mereka dan melakukan perbincangan di dalam bilik. Mereka lebih selesa berada di dalam bilik berbanding bilik-bilik seminar," kata Ismadi lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved