Jumaat, 22 Februari 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Rawat guna tapak tangan

Posted:

Rawat guna tapak tangan

Rawat guna tapak tangan

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

SEMASA rawatan Jariah akan meletakkan tangan ke tubuh pesakit untuk membuang gelombang negatif.


SEBATANG tongkat kristal sepanjang 40 sentimeter diangkat ke arah penulis yang sedang duduk oleh wanita berusia 67 tahun itu.

Batang tongkat tersebut seperti rod plastik boleh lentur berputar ke kiri dan ke kanan saat ia ditujukan ke beberapa bahagian tubuh penulis untuk 'mengimbas' masalah yang dihadapi.

"Jika tongkat ini berpusing ke kanan, ia menunjukkan anda tiada masalah, namun jika ia berlaku sebaliknya, ada sesuatu yang tidak kena dengan aura anda.

"Anda tiada masalah spiritual, cuma ada sedikit masalah dengan aura emosional dan mental," kata bekas pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jariah Abdullah ketika ditemui di premisnya, Dr. Marya Health & Beauty di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Jalan Sungai Merab, Bangi, baru-baru ini.

Timbul persoalan bagaimana tongkat tersebut boleh bergerak sedangkan tangan Jariah tidak bergerak sama sekali.

Seolah-olah memahami apa yang bermain di fikiran penulis, Jariah memberitahu rod plastik tongkat tersebut digerakkan oleh gelombang atau tenaga tubuh seseorang yang dirawat.

Selepas diimbas, pesakit yang mempunyai masalah akan dibawa ke bilik rawatan bagi menjalani terapi reiki dengan menggunakan tapak tangan.

"Rei dalam bahasa Jepun membawa maksud universal, manakala ki pula bermaksud tenaga.

"Reiki merupakan satu bentuk tenaga penyembuhan semula jadi dan ia tiada sangkut paut dengan keagamaan," ujarnya yang mempunyai pengalaman 11 tahun dalam rawatan reiki.

Tambahnya, reiki adalah teknik mudah, cepat dan sangat efektif untuk mengalirkan tenaga penyembuhan daripada pengamal (penyalur) kepada pesakit (penerima).

Walaupun reiki pada asalnya diperkenalkan oleh seorang sami Buddha Jepun iaitu Mikao Usui pada tahun 1922, Jariah yang mempelajari ilmu reiki daripada dua orang reiki master di negara ini sudah mengubah teknik reiki dengan menerapkan elemen Islam menggantikan simbol-simbol Jepun kepada Asma' al-Husna yang sesuai dikenali sebagai reiki-I.

Berunsurkan Islam

Ditanya sama ada reiki-I mempunyai persamaan dengan yoga atau tidak, Jariah memberitahu bahawa ia adalah dua perkara yang berbeza.

JARIAH melakukan beberapa ujian sebelum seseorang pesakit dirawat.


"Yoga lebih kepada senaman dan memberikan pemulihan sendiri (self-healing), tetapi tidak boleh merawat orang sama seperti tai chi dan qi gong.

"Reiki-I pula boleh berfungsi untuk merawat diri sendiri dan orang lain. Reiki-I terbahagi kepada empat tahap iaitu reiki-I (1), reiki-I (2), reiki-I (3) dan reiki-I (master)," katanya sambil memberitahu mereka yang mendalami reiki pada tahap master boleh melakukan pengubahsuaian mengikut kepercayaan sendiri.

Pada asalnya, reiki mempunyai 500 simbol, namun kini hanya tinggal tujuh simbol yang digunakan.

Setiap simbol ada maknanya dan ia langsung tiada kaitan dengan penyembahan. Setiap simbol mewakili kekuatan, minda, emosional dan sebagainya.

Tujuh simbol tersebut diubah kepada simbol pada Asma' al-Husna kerana mudah diingati dan mempunyai maksud yang sama.

"Ia dapat merawat semua jenis penyakit bergantung kepada keikhlasan pengamalnya. Reiki ini tenaga, bukan tenaga pengamalnya, tetapi tenaga alam milik Yang Maha Esa.

"Tenaga ini akan masuk ke kepala dan keluar melalui tangan. Pengamal hanya bertindak sebagai medium," ujarnya sambil memberitahu reiki mampu memulihkan penyakit spiritual (gangguan makhluk halus), kemurungan, gangguan emosi, gangguan mental dan sebagainya.

Jariah memberitahu, pesakit akan berasa panas di bahagian yang sakit ketika sesi rawatan dijalankan dan apabila rasa panas tersebut hilang, itu bermakna tenaga di kawasan tersebut mencukupi.

Reiki menggunakan tenaga yang paling harmoni. Andai pesakit tidak tahu lokasi punca penyakitnya, memadai perawat meletakkan tangan pada badan pesakit.

Aura

Menurutnya terdapat tujuh lapis aura di sekeliling badan. Aura yang besar dan tebal adalah bagus dan jika aura seseorang itu nipis, itu menandakan dia ada masalah.

Sebagai contoh, jika seseorang itu selalu emosional, sensitif, baran, mudah terasa dan cepat marah, ia menunjukkan aura emosinya nipis.

"Sesiapa sahaja boleh menjalani rawatan ini. Tidak kira peringkat umur, bangsa dan agama. Reiki juga boleh dilakukan ke atas bayi di dalam perut ibu untuk memastikan ia sihat atau tidak.

"Rawatan reiki juga boleh dilaksanakan walaupun pengamal tidak bertemu muka dengan pesakit atau jaraknya ribuan kilometer sekalipun kerana ia melibatkan penghantaran gelombang," katanya yang memberitahu ramai yang tidak percaya kaedah rawatan reiki dan mengaitkannya dengan penggunaan makhluk halus.

Tapak tangan pengamal akan berasa sakit, panas dan seperti dicucuk apabila mengimbas badan pesakit yang bermasalah.

Namun, Jariah lebih senang 'mengimbas' pesakit dengan menggunakan tongkat kristal. Selesai mengimbas, pesakit akan dibawa ke dalam bilik untuk rawatan selanjutnya.

"Ketika di bilik rawatan, sebatang jarum akupuntur halus dicucuk di bahagian cakra di atas kepala. Kemudian pesakit diimbas sekali lagi dengan menggunakan kristal bagi mengesan tempat yang bermasalah.

"Tubuh badan pesakit diimbas dengan menggunakan tapak tangan bermula dari atas kepala hingga ke kaki. Gelombang negatif di bahagian bermasalah akan dibuang dan dimusnahkan," ujarnya sambil memberitahu pesakit perlu bebas daripada bahan metal ketika rawatan dijalankan kerana ia boleh mengganggu.

Gelombang negatif yang dibuang tersebut digantikan dengan gelombang baharu. Proses penggantian gelombang diiringi dengan bacaan ayat-ayat empat Kul dan Asma' al-Husna.


PUSAT rawatan Dr. Marya Health & Beauty di Bangi menyediakan rawatan reiki-I.


Jariah memberitahu, seseorang pesakit itu perlu merawat masalah spiritual terlebih dahulu jika ada, sebelum meneruskan rawatan mental dan emosional.

Sesi rawatan biasa mengambil masa kira-kira satu jam, manakala tempoh tiga jam diperlukan bagi mengubati masalah spiritual.

Kebanyakan pesakit spiritual akan mempelajari reiki daripada Jariah selepas dirawat.

"Seseorang yang menguasai reiki 1 mampu merawat penyakit-penyakit fizikal seperti sakit kepala, sakit perut dan sebagainya, manakala reiki 2 pula membolehkan seseorang itu merawat masalah emosional, mental dan merawat pesakit jarak jauh.

"Seseorang pada tahap reiki 3 boleh merawat masalah spiritual dan tahap master pula membolehkan seseorang itu menjadi guru reiki yang bertauliah dan merawat pelbagai jenis penyakit dengan izin Allah," katanya yang sudah merawat lebih 1,000 pesakit.

Mereka yang mahu mempelajari reiki akan didedahkan dengan kelas teori disusuli dengan sesi meditasi yang diiringi bacaan ayat-ayat al-Quran dan selawat selain meminta ampun kepada pencipta dengan tujuan pembersihan diri.

Karnival Jom Fiesta! UKSB

Posted:

Karnival Jom Fiesta! UKSB

Karnival Jom Fiesta! UKSB

Oleh SUHANA VERU
rencana@kosmo.com.my


Najwa turut menghiburkan pengunjung dengan beberapa lagu popularnya.


SEBAGAI tanda penghargaan kepada pembaca setia yang sentiasa memberi sokongan berterusan, Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) mengadakan karnival Jom Fiesta! selama empat hari hujung bulan lalu.

Pelbagai aktiviti disusun untuk orang ramai antaranya peragaan fesyen muslimah, pameran jenglot, gerai majalah dan buku, pemeriksaan kesihatan secara percuma, konsert URTV, cabutan bertuah, pertandingan karaoke, ceramah agama serta banyak lagi.

Program yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal seperti Aaron Aziz, Ifa Raziah, Nassier Wahab, Najwa Latiff dan Jay Jay.

Seorang pengunjung Syahida Muhammad Dahlan, 23, berkata, dia teruja dengan pameran tersebut kerana terdapat buku yang mengajar cara-cara berhijab dengan menggunakan selendang dan turban.


AARON (dua dari kiri) yang bertindak sebagai pengacara majlis sempat mengusik seorang pengunjung karnival.


"Jika melihat cara-cara memakai tudung dalam internet, ia agak sukar tetapi dengan adanya buku, ia lebih mudah. Malah, harga buku dan majalah yang dijual juga berpatutan. Memang rambang mata tengok buku yang banyak di sini. Kalau boleh mahu beli semua," ujarnya lagi.

Bertemu artis

Menurut Syahida, dia yang pertama kali menghadiri pameran tersebut berharap ia dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Bagi Hasnah Omar, 29, pula dia tidak sangka dapat bertemu dengan pelakon drama Adam dan Hawa, Aaron semasa berkunjung ke program Jom Fiesta!.

"Saya memang meminati setiap lakonan beliau. Hari ini, saya tidak sangka dapat bertemu dan bergambar dengannya," tutur Hasnah.

Karnival tersebut mendapat kerjasama syarikat Jamu Mak Dara selaku penaja utama, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi), Kementerian Kesihatan dan Suria FM sebagai penyiar rasmi.


PELBAGAI aktiviti dianjurkan sempena karnival Jom Fiesta! pada potongan harga sehingga 70 peratus.


Sementara itu, Pengarah Projek Jom Fiesta!, Zurzaliza Bajuri yang juga Ketua Pegawai Operasi UKSB berkata, ia diadakan buat kali kedua untuk orang ramai.

"Karnival ini bertujuan untuk mendekatkan para pembaca dengan pihak UKSB. Selain mengadakan acara di pentas, kami juga membuat jualan majalah serta buku terbitan UKSB, Utusan Publications & Distributors dan Print Corp. dengan potongan harga sehingga 70 peratus.

"Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan bahan bacaan pada harga istimewa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan karnival berkenaan.

Dalam pada itu, UKSB turut melancarkan majalah dan buku baharu terbitannya iaitu Hijab Mode, Lawak Bumper dan Siri Lawak Terbaeeekkk Mastika Volume 1 dan 2.

Cara mudah kekal aktif

Posted:

Cara mudah kekal aktif

Cara mudah kekal aktif

JIKA rutin senaman anda selama ini adalah dengan mengunjungi gimnasium, teruskan sahaja rutin tersebut. - Gambar hiasan


PERNAHKAH anda mengalami masalah mencari motivasi untuk melakukan senaman? Pasti kebanyakan daripada anda mengalami masalah sedemikian. Ia merupakan perkara biasa yang lazim berlaku.

Mereka yang begitu dedikasi dan komited melakukan senaman juga kadangkala terpaksa menggagahkan diri untuk ke gim. Sungguhpun begitu, jika anda mencuba sesuatu rutin baharu, jangan paksa diri anda melakukannya.

Jika anda jenis yang suka ke gim, teruskan sahaja rutin tersebut, tetapi jika anda bukan jenis orang yang melakukan senaman di gim, anda tidak perlu pergi. Kenapa perlu menyeksa diri sendiri?

Tidak dinafikan bahawa senaman sangat penting dalam pelan gaya hidup sihat, jadi anda perlu lakukan sesuatu untuk bersenam, tetapi tidak perlulah senaman yang terlalu berat.

Pada Januari 2013, kajian American Journal of Health Promotion mendapati aktiviti fizikal yang dilakukan dalam jangka masa pendek walaupun sekadar satu ke dua minit dengan peningkatan sehingga 30 minit sepanjang hari mempunyai manfaat sama seperti senaman yang dilakukan dalam masa yang panjang seperti latihan di gim.

Tidak salah jika melakukan senaman mengikut cara sendiri, namun bagi memastikan anda tidak terjebak dalam corak hidup sedentari (lebih banyak duduk dan tidak melakukan aktiviti fizikal), berikut disediakan beberapa garis panduan kesihatan untuk dicuba:

n Berusaha untuk aktif

Fikirkan diri anda sebagai seorang yang aktif. Adakah orang yang aktif akan menggunakan tangga atau lif? Adakah orang yang aktif akan mengupah orang untuk menyapu sampah atau melakukannya sendiri? Apabila anda mempunyai pilihan, pilih sesuatu yang akan membuatkan anda aktif.


RANGKA aktiviti senaman ringkas yang membuatkan anda aktif setiap hari supaya tidak kembali ke tabiat lama. - Gambar hiasan


n Bangun awal pagi

Kajian yang disiarkan dalam British Journal of Nutrition pada Januari 2013 mendapati lelaki yang melakukan senaman sebagai perkara pertama selepas bangun daripada tidur sebelum mengambil sarapan membakar lebih 20 peratus lemak badan berbanding mereka yang senaman selepas sarapan.

n Senaman segera

Tidak dinafikan anda akan menempuh hari-hari yang membuatkan anda terpaksa duduk melakukan kerja di komputer di pejabat dan tidak bergerak aktif.

Apabila perkara tersebut berlaku, berhenti sebentar daripada melakukan kerja dan cuma buat senaman ringkas yang cepat.

Mungkin anda boleh cuba melakukan lompat bintang atau tekan tubi bagi meningkatkan kadar denyutan jantung untuk seminit dua. Cara ini dinamakan quick bursts exercise.

n Rutin senaman dalam diari

Bukan mudah untuk mengekalkan gaya hidup aktif secara berterusan kerana pada suatu ketika anda mungkin kembali kepada tabiat lama.


SENAMAN seperti tekan tubi ini boleh dilakukan jika rutin anda di pejabat tidak memerlukan banyak pergerakan. - Gambar hiasan


Jadi, bagi memastikan anda melakukan pergerakan yang cukup setiap hari, rangka aktiviti tersebut dalam jurnal diari anda.

Tidak perlu menyediakan akaun teknikal seperti berapa banyak kalori yang anda telah bakar, cukup sekadar menulis 'peringatan' bahawa anda perlu melakukan senaman selama 30 minit sehari.

Selepas sebulan atau dua bulan berbuat demikian, menjadi aktif dan bersenam akan sebati dalam diri anda.

Sumber: www.myhealthnewsdaily.com

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved