Ahad, 24 Februari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Filipina hantar kapal bawa pulang penceroboh

Posted:

Filipina hantar kapal bawa pulang penceroboh

Filipina hantar kapal bawa pulang penceroboh

SEBUAH bot peronda laju Tentera Laut Diraja Malaysia mengawal kawasan pantai Tanjung Labian, Lahad Datu kelmarin.


KUALA LUMPUR - Kerajaan Filipina telah menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

Kapal yang bernombor AT296 itu belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan itu berlangsung malam tadi.

Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina dalam satu kenyataan berkata, pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada Kedutaan Malaysia di Manila semalam.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F. del Rosario dalam satu kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah serta keluarga mereka dan pada masa yang sama pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan.

"Sila lakukan ini demi keselamatan anda sendiri," katanya.

Mengenai kapal berkenaan, Rosario berkata: "Kami amat mengambil berat tentang kehadiran lima wanita dan beberapa orang awam dalam kumpulan itu dan kami menggesa mereka segera menaiki kapal dan pulang ke tanah air."

Menurut kenyataan itu, di atas kapal berkenaan ialah pemimpin Islam-Filipino serta sukarelawan dan petugas perubatan.

Pada 12 Februari lalu, bot yang mengangkut lebih 100 lelaki bersenjata yang memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu.

Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai Askar Diraja Sulu dan tidak mahu warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.

Askar itu telah bertahan di kampung itu sejak dua minggu lepas dan kerajaan Malaysia memberikan mereka masa hingga Jumaat lepas untuk meninggalkan negara ini.

Bagaimanapun, tarikh penamat itu dilanjutkan selama 48 jam selepas kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan Manila sedang berusaha memujuk kumpulan itu supaya membatalkan pendirian mereka. - Bernama

Lagi amah Indonesia direman dera budak

Posted:

Lagi amah Indonesia direman dera budak

Lagi amah Indonesia direman dera budak

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo

SEORANG amah warga Indonesia ditahan polis selepas disyaki mendera anak majikannya di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang lagi amah warga Indonesia ditangkap polis kerana disyaki mendera anak majikannya yang berusia satu tahun tiga bulan dengan mencubit dan meliukkan tubuh budak itu ke belakang sebanyak dua kali di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini, malam kelmarin.

Perkara itu terbongkar akibat tindakan ibu bapa kanak-kanak perempuan itu yang meletakkan kamera video digital tersembunyi di bilik amah berusia 41 tahun itu setelah mengesyaki sesuatu berlaku pada anaknya yang sering dilihat lebam-lebam di badan sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, wanita terbabit yang mula diambil bekerja melalui ejen yang sah sejak 2009 dan kontraknya disambung memandangkan sikapnya yang rajin melakukan kerja-kerja rumah.

"Majikannya hanya menyedari anaknya itu didera oleh pembantu rumah berkenaan selepas melihat kesan-kesan lebam pada badan anaknya, lalu bertanyakan hal itu kepada wanita terbabit, namun dia memberi alasan kanak-kanak itu terkena bucu meja ketika bermain.

"Curiga dengan pengakuan wanita itu, majikannya memasang kamera video digital yang diletakkan dalam bilik amah terbabit selepas melihat aksi rakaman bayi yang berusia empat bulan di Kuantan didera amah yang turut dipaparkan dalam televisyen," katanya kepada Kosmo! semalam.

Azham berkata, tindakan pasangan suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu, berjaya merakam aksi wanita terbabit yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan yang turut ditinggalkan bersama abangnya yang berusia dua tahun setengah apabila majikan terbabit keluar rumah kira-kira pukul 9.15 malam kelmarin untuk ke klinik berdekatan.

"Selepas pulang dari klinik kira-kira pukul 10.30 malam, pasangan itu masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan kedua-dua anak mereka dan pada masa yang sama mengambil kamera video yang disorokkan dalam bilik amah terbabit.

"Pasangan terbabit terkejut melihat rakaman itu dengan aksi wanita terbabit yang meliukkan badan kanak-kanak itu ke belakang sebanyak dua kali.

"Dia kemudian meletakkan kanak-kanak itu dengan kasar ke atas kereta mainan. Disebabkan budak itu tidak berhenti merengek, dia pun meletakkannya ke atas tilam dengan kasar dan mencubit di bahagian paha.

"Abang kanak-kanak itu tidak diapa-apakan," katanya.

Azham berkata, pasangan berkenaan membuat laporan di balai polis berhubung kejadian itu pada pukul 12.30 tengah malam dan 15 minit kemudian amah tersebut ditangkap polis.

"Amah tersebut ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) dan disiasat di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Nenek ditampar sebelum disamun

Posted:

Nenek ditampar sebelum disamun

Nenek ditampar sebelum disamun

Oleh SAIFUL BAHARIL BASERI
berita@kosmo.com.my


MEK YA menunjukkan parang yang digunakan penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Parit Tanjung
Piandang Tengah, Parit Buntar semalam.


PARIT BUNTAR - Seorang penyamun yang menceroboh masuk rumah seorang warga emas yang hidup sebatang kara di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah dekat sini semalam menghulurkan wang tunai RM20 dan memohon dihalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, warga emas yang mahu dikenali sebagai Mek Ya, 75, kerugian RM3,000 apabila wang tunai dan rantai leher miliknya dilarikan seorang penjenayah yang masuk ke rumahnya.

Menceritakan kejadian tersebut, Mek Ya berkata, dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu bangun daripada tidur untuk mengambil wuduk di bilik air, tiba-tiba terasa bahunya ditepuk dari belakang.

"Sebaik menoleh ke belakang, muka saya ditampar berkali-kali manakala leher diacu parang. Selepas itu saya nampak seorang lelaki tanpa menutup muka mengugut untuk mencederakan saya jika saya menjerit," ceritanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut warga emas itu lagi, dia kemudian dibawa ke ruang tamu rumah dan diminta duduk diam manakala penjenayah itu pula menggeledah rumahnya.

Mek Ya memberitahu, kira-kira setengah jam selepas menggeledah, suspek menjumpai wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan di bawah tilam di bilik tidurnya.

Wang tersebut merupakan wang simpanannya yang menyara hidup dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mek Ya tiada zuriat dan hidup di rumah yang dibina di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Penjenayah itu kemudian merentap kasar rantai leher bernilai RM1,000 yang saya pakai.

"Sebelum penjenayah itu meninggalkan saya, saya merayu agar dipulangkan wang dan rantai leher saya kerana itu saja harta yang saya ada," katanya.

Dia memberitahu, penjenayah itu yang dipercayai warga tempatan mungkin tersentuh dengan rayuannya lalu memulangkan wang tunai RM20 sebelum meminta dia menghalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.

Mek Ya pasrah dengan ujian Allah tersebut bagaimanapun dia tidak akan memaafkan perbuatan penjenayah terbabit.

Warga emas itu memberitahu, dia percaya penyamun tersebut menceroboh rumahnya melalui tingkap bilik air berdasarkan dua rangka besi cermin tingkap yang patah.

Difahamkan, penjenayah yang menceroboh masuk rumah Mek Ya turut masuk ke sebuah rumah lain di kampung sama sebelum itu menyebabkan pemilik rumah terbabit hilang sebuah basikal, telefon bimbit dan wang tunai RM40.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kes tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved