Ahad, 24 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mereka kejar mutu

Posted:

Mereka kejar mutu

Mereka kejar mutu

QUE HAIDAR, Khir Rahman dan Soffi Jikan menjanjikan sebuah naskhah bertaraf dokumentasi seni muzik Malaysia kepada penonton yang akan menyaksikan filem Rock Oo! bermula 28 Februari nanti.


TIidak semua daripada tiga lelaki yang sudah bergelar suami ini terdiri dalam kelompok pelakon komersial. Tidak juga menjadikan badan berketak-ketak sebagai pelaris, sebaliknya masing-masing tampil dengan rasa dan jiwa tersendiri dalam mengalirkan kecintaan terhadap seni.

Tidak keterlaluan untuk menggelarkan Khir Rahman, Que Haidar dan Soffi Jikan sebagai pelakon serba boleh. Sementelah beberapa karya yang melibatkan mereka sebagai pelakon menjadi sebuah naskhah yang hebat.

Lakonan Que dalam filem-filem seperti KL Menjerit, Castello, Cinta, Haru Biru, Misteri Jalan Lama dan Legenda Budak Setan antara yang masih berbekas di hati penonton.

Bagi Khir pula, watak Tun Mamat dalam naskhah Puteri Gunung Ledang, Amran Askor (Los & Faun) dan Kemawas (Hikayat Merong Mahawangsa) antara watak yang masih membayangi figura kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Namun, lakonan Soffi sedikitpun tidak tenggelam biarpun hampir kesemua naskhah yang dilakonkannya sekadar pelakon pembantu. Buktinya, penonton masih terkesan dalam penampilan singkatnya menerusi filem Man Laksa, Zombie Kampung Pisang, Setem dan KL Gangster.

Tiga aset dunia perfileman tempatan itu pernah tampil bersama menerusi sebuah karya garapan pengarah terkenal Mamat Khalid dalam Rock pada 2005. Biarpun sudah menjangkau hampir lapan tahun, masih ramai yang serasi menggelarkan mereka sebagai Amy Mat Piah (Que), Jijo (Khir Rahman) dan Zul Kapan (Soffi) seperti mana watak yang dibawakan mereka dalam filem itu.

Sekali lagi untuk tahun ini, ketiga-tiga mereka kembali dengan sebuah naskhah sekuel filem tersebut, Rock Oo!: Rimba Bara Kembali. Selain diterajui nama hebat tersebut, Rock Oo! turut dibarisi pelakon Pekin Ibrahim sebagai Slash Haji Tapah dan Azmi Baharon (Mi Black).

Sebelum tirai tayangan pada 28 Februari ini dibuka, Sensasi Bintang menyatukan mereka dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru.

Que tunggu filem seni

Nama Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar sepi seketika daripada liputan media. Sementelah dia pernah mengumumkan untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan pada suatu ketika dahulu.

Que yang kali terakhir muncul menerusi filem Legenda Budak Setan dan Misteri Jalan Lama pada dua tahun lalu, tiba-tiba muncul kembali secara 'terpaksa' dalam naskhah terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd. itu.

"Sebenarnya saya tidak tahu tentang rancangan untuk filem itu (Rock Oo!), sehinggalah pada suatu hari Khir (Rahman) mengajak saya untuk lepak-lepak di Istana Budaya (Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur).

"Tidak sangka pula saya tertipu kerana apabila sampai di sana, tiba-tiba muncul Mamat (Khalid) dan Pekin (Ibrahim) yang sudah merancang untuk berbincang tentang filem itu. Akhirnya saya terima untuk berlakon memandangkan skripnya bagus dan saya percaya pada kebolehan pengarahnya," ujar Que memulakan bicara.

Kata suami kepada guru tari Linda Jasmine Hashim itu, buat masa ini dia masih kekal dengan kata hati untuk tidak lagi terlibat dalam dunia lakonan, melainkan jika syaratnya dapat dipenuhi.

Hati Que akan terbuka untuk berlakon sekiranya ada pengarah yang mampu menyahut cabarannya untuk menghasilkan sebuah filem yang mempunyai nilai seni yang tinggi.

"Saya sangat suka filem-filem yang dihasilkan oleh produksi di Iran. Banyak nilai seni terutamanya bab sinematografi. Kalau Khir mahu mengarah filem sebegitu mungkin saya tidak akan menolaknya," ujar Que berseloroh.

Tambah lelaki berusia 34 tahun itu, dia berharap agar penyanyi pujaannya, Amy Search pergi ke panggung wayang untuk menonton Rock Oo! kerana lakonannya di dalam filem tersebut merupakan tanda apresiasi buat penggiat dunia rock.

Dalam perkembangan lain, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu kini sibuk dengan bengkel lakonan selain sedang mencari lokasi yang sesuai untuk membuka butik pakaian miliknya.

Soffi tidak kejar nama

Figura kurus, berambut panjang dan berkulit hitam manis ini tidak perlu dipertikaikan karismanya dalam bidang lakonan. Biarpun tidak bersandarkan pada paras rupa, Soffi tetap mencuri perhatian dengan lakonan bersahaja.

Dia yang yang agak terbelakang dari segi populariti itu terjun dalam dunia hiburan bukan kerana nama, tetapi mencari kepuasan dalam dunia seni.

"Sejujurnya apabila menerima tawaran berlakon, saya sekarang mengambil kira soal kualiti naskhah yang mahu dihasilkan. Soalan pertama yang saya ajukan apabila menerima tawaran ialah siapakah pengarahnya. Kemudian baru saya tanya apakah watak itu," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu tersebut.

Pelakon filem Bunohan itu yang pernah terlibat dalam beberapa naskhah garapan Mamat seperti Rock pada 2005, Man Laksa (2006), Zombie Kampung Pisang (2007), Kala Malam Bulan Mengambang (2008), Estet (2010) dan Rock Oo! (2013), ternyata serasi berkerja di bawah pengarah seba boleh tersebut.

"Mamat antara pengarah paling kreatif di Malaysia. Bagi saya dia adalah Tim Burton (pengarah filem Dark Shadows) versi Malaysia.

"Apabila diberikan tawaran berlakon dalam filem Rock Oo!, saya yakin filem itu akan berjaya. Apabila membaca skripnya, saya merasakan ia sebuah naskhah yang sedih. Tetapi saya menjangkakan penonton akan ketawa menontonnya," ujar pelakon, pengarah dan penulis skrip yang berusia 43 tahun itu.

Tribute buat rock

Tidak sekadar melemparkan pujian kosong, Khir yang merupakan pengarah filem kontroversi, Dalam Botol menjelaskan bahawa Mamat merupakan seorang pengarah berstatus 'bintang' yang mengangkat martabat filem tempatan.

"Dia merupakan seorang pengarah yang genius. Dalam Rock Oo!, Mamat menggarapkan karya itu yang berunsur sedih tetapi penonton akan menerimanya dalam suasana humor," puji Khir kepada Mamat tanpa kompromi.

Tambah Khir, biarpun hampir lapan tahun kemudian baharu muncul dengan naskhah sekuel tersebut, Mamat tidak akan berdepan risiko kerana masih ramai pengikut yang mengingati karya pertamanya itu.

"Masih ada yang mengenali saya sebagai Jijo. Bahkan, ada yang percaya bahawa kumpulan Rimba Bara (seperti yang dianggotai Khir dalam filem Rock) adalah wujud," katanya.

Jelas Khir, lakonannya dalam naskhah terbaharu itu merupakan salah satu cara untuk dia menyampaikan penghargaan buat penggiat rock.

"Filem itu juga merupakan tribute daripada kami buat penggiat industri rock yang berjaya menghiburkan khalayak selama ini. Tidak mudah untuk bergelar penyanyi rock pada zaman dahulu. Babak berkongsi Maggi (mi segera) dalam filem itu merupakan salah satu kepayahan yang terpaksa ditempuhi untuk meneruskan impian," katanya lagi.

Khir yang merupakan anak kepada pasangan penyanyi irama Pop Yeh-Yeh, Datuk A. Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad kini bukan sahaja sibuk menguruskan jadual sebagai anak seni, bahkan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak.

"Keadaan ibu saya kini tidak berapa sihat. Selain sibuk mempromosikan filem Rock Oo!, saya juga banyak meluangkan masa untuk menjaga ibu bersama adik-beradik yang lain," tutup Khir yang bakal muncul dalam beberapa filem lagi untuk tahun ini.

Gambit dibenci peminat

Posted:

Gambit dibenci peminat

Gambit dibenci peminat

HARAPAN Gambit agar khalayak lebih pandai mentafsir sebuah perjalanan program realiti yang memang menyelitkan unsur-unsur kompetitif dan provokasi untuk menjadikan rancangan itu lebih menarik.


DALAM satu kaji selidik di sebuah laman internet mendapati 35 peratus daripada 587 pengundi mendakwa mereka benci menonton lakonan Gambit Saifullah. Semua rasa dan komen ini terhambat keluar selepas mereka menonton program realiti keluaran Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia yang sedang rancak ke udara kini.

Gambit dan pasangannya Alif Hadi menjadi pasukan yang paling mahu disingkirkan oleh pesaing yang masih tinggal. Bersikap kompetitif dan menjalankan strategi provokasi jelas membuatkan pasangan ini mendapat perhatian positif paling sikit daripada khalayak.

Lebih-lebih lagi Gambit yang dilihat sebagai antagonis dalam Fear Factor ini. Memburukkan keadaan apabila pergaduhan antara Gambit dan Farish turut membuah kebencian dalam hati penonton.

Gambit sedar akan hal itu. Dia tahu dia sedang berkarakter antagonis di mata khalayak. Namun dia mengakui bahawa tidak bermasalah dengan mana-mana peserta program tersebut malah persahabatan dengan Farish masih baik.

"Jujurnya, saya tidak tahu apa-apa tentang arwah bapa Farish yang meninggal kerana lemas. Setelah selesai baru saya tahu," ujarnya yang dilihat tidak sensitif terhadap peserta Fear Factor.

Dalam salah satu cabaran, Gambit menjalankan perang psikologi apabila menyatakan: "Aku harap ada yang akan lemas melakukan aksi ini."

Gambit mendakwa, dia bersikap kompetitif kerana berada dalam sebuah game show di mana semua orang ingin menang.

"Saya tertanya kenapa audiens tidak boleh faham dengan permainan program ini. Mereka terlalu sensitif dan tidak terbuka. Mereka perlu faham istilah game show," kesalnya yang merasakan bahawa penonton perlu memandang daripada sudut produksi dan permainan program.

Pada awalnya, dia mengaku enggan terlibat dalam program realiti ini malah tidak terfikir untuk menjadi antagonis dalam permainan Fear Factor.

"Saya tidak terfikir untuk jadi jahat. Saya tahu permainan game show ini kerana saya juga merupakan seorang produser dan ada produksi sendiri. Sesebuah game show memang mempunyai elemen psikologi. Itu strategi dalam permainan," katanya yang mendapat banyak luahan tidak puas hati dan kebencian di laman sosial, Twitter.

Ditanya tentang persahabatannya dengan selebriti lain dalam Fear Factor, Gambit mengaku mereka tidak bersengketa.

"Saya baik dengan semua orang. Saya tidak tahu kalau mereka terasa tentang psikologi saya tetapi sejauh ini kami baik. Saya dan Farish masih boleh main bola di padang sama-sama. Begitu juga dengan Johan dan Kaka, kami bersahabat," jelas pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini.

"Mungkin juga khalayak terbawa-bawa dengan cerita-cerita lama saya yang mengatakan saya poyo dan sombong. Ini lebih menokok tambah rasa benci penonton. Bagus juga untuk permainan Fear Factor. Cara suntingan itu yang menampakkan saya jahat. Tetapi penonton kena bijak mentafsir," senyumnya yang juga mendapat pujian khalayak kerana memberi rencah keseronokan dalam Fear Factor.

Lebih memburukkan keadaan apabila laman peminat Facebook milik Gambit diganggu seseorang yang mengakui sebagai dirinya.

Pengurus Gambit, Lina Merican mendakwa, ada individu menyamar di laman Facebook sebagai Gambit dengan menggunakan nama dan gambarnya.

"Apabila saya letakkan status, dia akan memberi komen dengan carutan dan kata-kata kesat. Walhal itu bukan Gambit. Saya tidak mahu peminat salah sangka dan memberi kesan buruk kepada Gambit," ujar Lina yang sudah membuat aduan kepada ibu pejabat Facebook namun tiada respons.

"Ada juga jenis peminat yang gila nak jatuhkan saya. Saya sedar dan perasan apabila ada isu sahaja pasti 'peminat' ini akan masuk ke laman Facebook dan memberi komen. Memperlihatkan seperti saya memaki peminat," keluh Gambit.

Ditanya tentang perkembangan terkini Gambit, dia yang masih cintakan bidang lakonan sedang mempersiapkan produksinya, Eightball Productions Sdn. Bhd. dengan sebuah program realiti berjudul Sesat.

Kali ini Gambit bertindak sebagai produser, pengarah dan hos.

Bakal dijalankan di Bandung selama dua minggu, Sesat yang akan disiarkan di saluran Astro Ria mengajak dan menduga selebriti tempatan tentang kemahiran mereka dalam melancong.

Selain itu, Gambit juga sibuk mengikuti kelas vokal untuk muncul dengan single kelak dan memilih rock balada sebagai genre nyanyiannya.

Konsep serumpun Konsert Nusantara

Posted:

Konsep serumpun Konsert Nusantara

Konsep serumpun Konsert Nusantara

JUHARI SHAARANI


WALAUPUN kadangkala terhimpit ribut dalam secawan kopi, hubungan Malaysia dan Indonesia masih padu.

Jakarta dan Kuala Lumpur tetap tidak berbeza terutama ketika berbicara soal penyanyi serumpun. Dua penyanyi besar dari Indonesia diundang khas sebagai penyanyi utama bagi menjayakan pengisian Konsert Nusantara akan berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari bermula 7 Mac nanti. Penyanyi Endang S. Taurina dan Elly Kassim akan menjadi penyanyi tunggak yang akan muncul pada setiap malam persembahan di tengah kemunculan penyanyi-penyanyi besar tempatan.

"Idea konsert ini dicetuskan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Perancangan konsert ini sudah lama diatur dan sudah ada dalam jadual Istana Budaya.

"Namun disebabkan faktor dalaman seperti tarikh pilihan raya yang belum diputuskan menyebabkan tarikh konsert itu sendiri berubah dan diawalkan 10 hari berbanding pada 17, 18 dan 19 Mac," jelas Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berhubung perubahan tarikh Konsert Nusantara.

Selain dihiburkan oleh Endang dan Elly untuk ketiga-tiga malam persembahan, kemunculan seorang lagi penyanyi dari seberang iaitu Rossa pada 7 Mac bersama Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Bob Yusof dan Jimmy Palikat dijangka menjanjikan persembahan malam pembukaan nanti cukup rencah. Persembahan untuk malam kedua pula akan menampilkan kemunculan Black dan Stacy sementara Ziana Zain dan Amy Search akan akan menggamatkan suasana malam penutup pada 9 Mac.

"Kita cuba menyajikan penonton dengan kekayaan lagu, muzik dan tari nusantara dengan penekanan pada budaya masyarakat Indonesia dan Malaysia. Konsert ini juga akan memaparkan asimilasi budaya dengan adanya lagu, muzik dan pelbagai jenis tarian daripada masyarakat Bugis, Bawean, Aceh, Minang, Jawa, Sunda, Batak dan Mendailing.

Di samping membawa sedikit kelainan kepada program terbitan Istana Budaya sendiri, pementasan konsert yang memaparkan dua negara serumpun mahu menjadi cerminan evolusi kepada penghijrahan masyarakat-masyarakat tersebut yang mewujudkan percampuran budaya di Malaysia. Biarpun terdapat sedikit persamaan namun perbezaan dua negara tetap terserlah.

"Kemunculan variasi penyanyi, lama dan baharu serta pelbagai genre itu mampu menyuntik daya tarikan yang kuat kepada semua lapisan penonton sama ada dari segi usia mahupun kecenderungan muzik masing-masing," tambah Johari lagi.

Harga tiket serendah RM50 sudah mula dijual melalui laman web redtix.airasia.com atau hubungi talian 03-8775 4666 untuk maklumat lanjut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved