Khamis, 14 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Empat jiwa berkongsi rasa

Posted:

Empat jiwa berkongsi rasa

Empat jiwa berkongsi rasa

DARI kiri: Talha, Amar, Nelydia dan Hairul sukses dalam memainkan peranan masing-masing dalam drama bersiri, Setia Hujung Nyawa.


FOTOGRAFI saat akhir bersama empat bintang drama Setia Hujung Nyawa yang kini menjadi buah mulut ramai iaitu Nelydia Senrose, Amar Asyraf, Talha Harith dan Hairul Azreen berjalan lancar pada petang hari Rabu lalu.

Berkongsi cerita pahit manis di sebalik kejayaan drama rantaian yang meraih tontonan tiga juta penonton menerusi saluran TV3 itu, keempat-empatnya tidak menolak bahawa Setia Hujung Nyawa meninggalkan kenangan terindah dalam kerjaya lakonan mereka.

Tidak menafikan tawaran yang bertandang bagai mencurah-curah impak kemunculan dalam drama tersebut, mereka bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu lekas tamak tanpa menghiraukan sisi eksklusif masing-masing.

Di sebalik impak positif yang diterima, ada antara mereka yang turut terkena tempias dicaci dan dimaki di luar set penggambaran kerana bencikan karakter antagonis yang dibawakan mereka dengan amat berkesan.

Romantika pertama Amar

Ketika mengadakan sesi bergambar dan temu ramah di studio Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, tidak dinafikan, Amar kelihatan sedikit pemalu pada mulanya. Perkara itu juga diakui oleh tuan punya badan sendiri ketika ditanya tentang dirinya.

Walaupun dalam Setia Hujung Nyawa, Amar kelihatan selesa melakonkan watak seorang suami romantik bernama Zain, namun hakikatnya, itu merupakan cabaran terbesar buat diri jejaka berusia 26 tahun ini.

"Sejujurnya, ini kali pertama saya melakonkan watak lelaki romantik seperti Zain dan bagi saya, ia sangat sukar. Ini kerana mungkin sebelum ini saya jarang mendapat tawaran untuk bawa watak sebegini.

"Zain merupakan seorang lelaki yang lemah lembut dan baik, jadi susah mahu lakonkan watak itu. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berlakon dengan perempuan. Namun Alhamdulillah, saya dapat pasangan yang senang bekerjasama dan kami terus punya keserasian dalam set, begitu juga dengan pelakon lain," tutur Amar yang tidak menyangka impak besar drama tersebut terhadap masa depan karier lakonannya.

Tambah Amar, pada mulanya dia memang ingin menolak tawaran berlakon drama ini - salah satu faktornya kerana dia perlu memotong rambut panjang yang disayanginya. Selain itu juga, tutur Amar, dia mungkin belum bersedia untuk memegang watak utama dalam drama rantaian 28 episod itu.

Namun akui Amar, atas sokongan dan mengikut kata hati tunangnya, dia akhirnya menerima watak Zain dalam drama yang telah mencetuskan fenomena ini sekali gus menaikkan namanya dalam industri seni.

Amar mengakui menghabiskan lebih RM7,000 untuk membeli pakaian dan menukar imejnya untuk Setia Hujung Nyawa.

Tambahnya, setiap kali penggambaran dia mengambil masa lebih sejam untuk mendandan rambutnya.

Selain lakonan, Amar bakal menerbitkan sebuah teater di bawah syarikat miliknya sendiri iaitu AVA Stage yang berjudul, Lelaki Dari Gua bermula 28 Februari ini di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi urusan pembelian tiket, boleh hubungi 013-697 0786.

Diri sebenar Nelydia

Tidak menjangka drama lakonannya kali ini mencipta magis tersendiri sehingga sering menjadi bahan 'panas' (trending) di Twitter, kata pemilik nama Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen atau mesra disapa Nely, dia percaya kekuatan drama ini adalah pada jalan cerita dan pengarahannya.

"Cerita yang sudah mempunyai peminat sendiri menerusi populariti novel ditambah sentuhan pengarah yang sangat unik memberikan nyawa kepada drama kali ini.

"Secara tidak langsung orang sekeliling makin kenal saya, malah penuntut dari luar negara di kolej saya pun selalu memanggil saya dengan nama El sempena watak lakonannya, Elsalina.

"Memang berbaloi mengorbankan masa siang malam untuk penggambaran Setia Hujung Nyawa kerana akhirnya ia membuahkan hasil. Alhamdulillah, watak manis dan manja kali ini menarik tumpuan penonton," ujarnya.

Nely mengakui karakter Ersalina dalam drama itu merupakan dirinya yang sebenar di rumah.

Talha diiugut

Bagi Talha Harith pula, Juvana adalah drama yang mula membantu dirinya membina nama dalam industri lakonan.

Sejak itu, apa sahaja watak yang dilakonkannya, pasti akan diingati oleh peminat yang mengikuti perkembangannya.

Menerusi Setia Hujung Nyawa, watak Hadi lakonannya pula menjadi sebutan ramai. Namun, berlainan dengan apa yang dialami Amar yang diingati kerana watak baik lakonannya, Talha sebaliknya pula.

"Sejak berlakon watak Hadi, ramai yang membenci dengan watak tersebut terbawa-bawa hingga ke kehidupan sebenar saya. Pernah sekali, kepala saya diketuk oleh seorang wanita di dalam lif dan wanita tersebut mula meluahkan kata-kata benci.

"Tidak cukup dengan itu, dalam laman Twitter dan Instagram, mereka yang tidak puas hati dengan Hadi, memaki hamun saya dan mengugut ingin membunuh serta menyimbah asid jika berjumpa dengan saya. Risau juga jika ia benar-benar terjadi," cerita Talha yang kini sering keluar bersama teman kerana khuatir perkara buruk berlaku.

Bicara Talha mengenai watak Hadi, ia agak mencabar dirinya. Ini kerana Hadi bukan watak antagonis yang biasa ditampilkan dalam kebanyakan drama. Talha perlu memberikan dua sisi berbeza iaitu nampak baik dari segi luaran namun, pada hakikatnya, Hadi seorang yang jahat serta ingin menghancurkan kehidupan rakan baiknya sendiri.

Walaupun mungkin dia dibenci ramai, akui Talha, itu tidak membuatkan dirinya untuk mengambil keputusan untuk tidak lagi menerima watak antagonis.

"Sebenarnya ia bagus untuk saya kerana, melalui respons yang diberikan oleh masyarakat sebegitu, saya tahu bahawa watak yang dibawa itu menjadi dan berkesan. Namun, pelik juga saya kerana selama ini saya fikir orang sudah boleh menerima ini semua lakonan semata-mata," jelas Talha.

Dialog Hairul jadi ikutan

Menariknya drama Setia Hujung Nyawa bagi Hairul Azreen Idris atau lebih dikenali dengan panggilan Hairul, penangannya terasa ketika pertengahan hingga akhir penggambaran drama itu.

"Kali pertama sebenarnya ,saya melakonkan watak 'comel-comel' sebegini. Susah nak mencari formula untuk membuatkan penonton suka tetapi Alhamdulillah resipi kali ini menjadi.

"Drama ini memerlukan saya memotong rambut saya menjadi pendek. Sebenarnya saya enggan menerima tawaran drama ini tetapi apabila dijanjikan watak saya cuma untuk 30 babak, jadi saya terima. Tidak sangka pula karakter Ikram dipanjangkan hingga ke episod akhir.

"Saya anggap watak saya penting kerana saya adalah pencetus cerita dan menyatukan El dan Zain semula. Perkara lebih menarik apabila dialog saya seperti 'Kak Bedah hok aloh' dan 'omey angat' menjadi ikutan dan jenaka kawan-kawan," katanya yang pernah disapa sebagai Ikram Kak Bedah.

Tambahnya, dialog yang sering ditokok tambahnya sendiri menggunakan bahasa perbualan sehari-harian mencorakkan watak itu yang dirasakan berjaya mencabar kemampuannya.

Hot FM rai ulang tahun ketujuh

Posted:

Hot FM rai ulang tahun ketujuh

Hot FM rai ulang tahun ketujuh


KELUARGA besar Hot FM yang turut bersiaran di TV9 menerusi slot Hot TV.


SELEPAS tujuh tahun bersiaran, radio swasta Hot FM terus menongkah arus dalam memberikan apa yang diinginkan pendengar mereka.

Selari dengan tujuh tahun pencapaian dalam bidang penyiaran radio, Hot FM terus berusaha mencetuskan variasi idea menarik untuk mewarnai industri.

Bagi meraikan ulang tahun ketujuh Hot FM, baru-baru ini telah diadakan majlis doa selamat di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur membabitkan kesemua warga penyampai dan kakitangan Hot FM.

Antara kejayaan yang diraih Hot FM adalah siaran Hot FM telah diperluaskan ke Pantai Timur bermula Januari tahun lalu dengan jenama Hot FM Klate dan Hot FM Tganu.

Bermatlamat ingin merapatkan lagi antara pendengar dan penyampai, Hot FM kini mula bersiaran di TV9 selama 15 minit dari pukul 11.30 malam hingga 11.45 malam, Isnin hingga Rabu menerusi slot Hot TV.

Bertemakan program santai dan komedi, Hot TV dibintangi oleh penyampai Hot FM sendiri iaitu Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG, Kieran, Leya, Ikhwan, Chad, Deen dan Suraya. Setakat ini, setelah seminggu bersiaran, Hot TV telah berjaya memikat hampir 250,000 penonton.

Pengurus Besar Rangkaian Program Hot FM, Anida Mohd. Tahrim berkata, Hot FM sentiasa memberi yang terbaik dan selalu berada dekat dengan pendengar apabila sering bertemu peminat secara langsung.

"Kami selalu memerah idea untuk beri yang terbaik dan sering bersiaran secara langsung di lokasi acara berlangsung untuk lebih dekat dengan pendengar.

"Tidak hanya menghiburkan, tugas kami di radio Hot FM juga mendidik dan memberi info terkini yang tepat. Selama tujuh tahun kami berharap Hot FM telah memenuhi segala selera dan permintaan pendengar," kata Anida.

Bagi tahun 2013, kalendar Hot FM program kemanusiaan membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menerusi dua program anjuran Hot FM iaitu Busking Amal Hot FM dan Hot FM Bersama Anda.

Hot FM cukup sinonim dengan acara Hot FM Big Jam, tetapi sebagai usaha memberikan kelainan, Hot FM bakal hadir dengan Liga Juara Hot FM pada April ini.

Program ini akan menampilkan barisan penyampai radio Hot FM, selebriti pilihan, pemain bola sepak Malaysia dan pendengar setia Hot FM bergabung dan menentang satu sama lain dalam sukan futsal. Tidak terhenti di situ, Hot FM akan terus menampilkan pelbagai program menarik sepanjang tahun 2013.

Aiman enggan ikut cakap orang lagi

Posted:

Aiman enggan ikut cakap orang lagi

Aiman enggan ikut cakap orang lagi


AIMAN mengakui jadualnya agak ketat kerana terikat dengan jadual penggambaran drama-drama lakonannya.


KERJAYA seni Aiman Hakim Ridza atau dikenali sebagai Aiman kelihatan kini lebih terarah ke bidang lakonan meskipun bakatnya terlebih dulu dicungkil daripada program realiti TV, Mentor 5.

Aiman lebih popular sebagai pelakon berbanding penyanyi selepas drama bersiri Vanilla Coklat mendapat sambutan hangat.

Hakikatnya, dia sudah muncul dengan single duetnya bersama penyanyi Ernie berjudul, Kalimah Janji.

Tidak kecewa lagu tersebut kurang mendapat sambutan, Aiman, 24, yang kini muncul dengan drama terbaharu lakonannya, Rindu di Abu Dhabi mempunyai perancangan tersendiri untuk kerjaya nyanyiannya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aiman yang ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Aiman kini lebih menyerlah sebagai penyanyi berbanding pelakon. Komen Aiman?

AIMAN: Memang benar, kerjaya lakonan saya lebih menyerlah daripada nyanyian. Namun, tidak ada sebarang kesan negatif dan saya tidak kisah kerana bagi saya kedua-dua bidang merupakan peluang yang bagus untuk diri saya.

Adakah Aiman kecewa lagu Kalimah Janji duet bersama Ernie tidak mendapat sambutan?

Saya tidak kecewa lagu Kalimah Janji kurang diputarkan menerusi radio walaupun ia telah diterbitkan pada bulan Julai tahun lalu. Mungkin ada silap di sana sini ataupun belum tiba tuah untuk saya dalam bidang nyanyian.

Di manakah silapnya sehingga lagu itu tenggelam begitu sahaja?

Sebelum ini mungkin saya terlalu ikut kata orang lain sebab itu jadi begitu. Selepas ini, saya harus buat semuanya sendiri. Bagi single yang seterusnya, sekurang-kurangnya saya mahu lagu itu diketahui pendengar radio.

Anda ada sebarang rancangan untuk meningkatkan semula kerjaya nyanyian?

Buat masa ini belum ada lagi kerana jadual terikat dengan penggambaran drama. Sebenarnya untuk mendapatkan sebuah lagu yang baik perlukan masa bukan boleh diperolehi dengan kadar segera. Selepas ini, segala hala tuju kerjaya muzik terletak di tangan saya sendiri kerana hanya saya tahu apa yang saya inginkan.

Apa yang Aiman inginkan dalam bidang muzik?

Saya ingin menghasilkan muzik yang bagus dan lagu nyanyian saya boleh diterima semua lapisan umur. Mungkin saya tidak boleh terlalu tamak kerana buat masa ini, fokus saya lebih ke bidang lakonan. Jika lakukan kedua-dua serentak dengan jadual yang padat, agak sukar untuk saya tetapi kalau diberi peluang untuk membikin lagu dan album, jiwa saya lebih ke arah genre muzik R&B dan pop rock. - HARYATI KARIM

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved