Ahad, 13 Januari 2013

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Sedar makanan luar kurang khasiat

Posted:

Sedar makanan luar kurang khasiat

Sedar makanan luar kurang khasiat

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

MENYEDIAKAN makanan hasil masakan sendiri adalah antara kepuasan bagi suri rumah, Mariana Mat Saad, 32. Ibu kepada dua orang anak itu akan memastikan dapurnya berasap setiap hari dan hidangan yang disediakan itu pula berkhasiat, khusus untuk keluarganya.

Mungkin kerana tidak bekerja dan tertumpu kepada tugas menjaga anak dan rumah, Mariana mengakui wanita yang hidup di bandar besar sepertinya sukar meluangkan masa di dapur jika mempunyai kerjaya.

"Menjaga anak-anak kecil ini pun sungguh memenatkan, apatah lagi jika bekerja. Ketika bekerja dulu sebelum kahwin, saya memang jarang memasak," kata Mariana yang tinggal di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Apabila ditanya tentang pilihan makanan segera, Mariana memberitahu, dia memang sedar bahawa ia bukan pilihan yang sihat, tetapi ramai orang yang tidak boleh mengelakkannya. Adakalanya makanan seperti mi segera terpaksa dijadikan pilihan.

Dalam senario lain, kesibukan sepanjang hari bertugas di pusat perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pegawai penerangan dan kemudian kembali ke rumah untuk melaksanakan tugas menjaga anak, tidak sama sekali menghalang wanita muda, Nurul Hayati, 32, daripada mengamalkan rutin memasak di rumah.

Tatkala ramai wanita yang berkeluarga dan berkerjaya merungut tentang masalah tidak dapat meluangkan masa di dapur, Nurul yang tinggal di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pula memastikan dirinya sedaya upaya untuk memasak.

Nurul memberitahu, dia lazimnya hanya sempat masak satu atau dua menu selain nasi, ataupun sekadar memasak nasi goreng, mi goreng dan lain-lain hidangan yang mudah.

"Saya suka memasak. Suami juga memilih masakan rumah berbanding dari luar. Apabila memikirkan tentang khasiat makanan itu sendiri khususnya kepada anak, saya tidak keberatan memasak," kata ibu kepada anak yang baru berusia setahun lapan bulan itu.


MARIANA (tengah) memastikan keluarganya dapat menikmati makanan yang berkhasiat hasil daripada air tangan sendiri.


Sejuk beku

Wanita urban sering kali memilih untuk makan di luar, mengambil makanan segera atau yang disejuk beku untuk mengimbangi masa di pejabat dan urusan domestik.

Segolongan lagi gemar memilih makanan siap yang hanya perlu dipanaskan semula sementara selebihnya pula memesan makanan melalui telefon dan dalam talian.

Alternatif tersebut kini dianggap rutin kerana kebanyakan daripada wanita yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur sudahpun dilimpahi pilihan makanan dan perkhidmatan seumpama itu.

Kaedah tersebut memudahkan mereka menyediakan hidangan buat keluarga kerana sebahagian besar masa telah 'terkorban' di tempat kerja dan di dalam kesesakan lalu lintas.

"Walaupun penat, sebenarnya saya rasa berpuas hati kalau dapat masak sendiri. Namun, ini tidak bermakna kami tidak makan di luar atau memilih makanan segera sekali sekala. Dalam situasi tertentu seperti waktu banyak kerja, saya terpaksa menerima hakikat tersebut sebagai wanita urban," katanya.

Bagaimanapun pada hujung minggu, Nurul tetap akan memasak malah menggunakan peluang cuti itu untuk mencuba lebih banyak resipi baharu.

Berbeza dengan Nurul, Amyza Azura Omar dari Shah Alam pula berpendapat, lebih elok makan di luar sahaja. Katanya, selain sibuk sepanjang hari di tempat kerja dan kepenatan sekembalinya ke rumah, dia merasakan bahawa memasak memerlukan kudrat yang banyak.

"Lagipun kami tinggal suami isteri sahaja. Saya rasa, daripada memasak sendiri, adalah elok dan jimat jika kami makan di luar. Dalam sebulan, kira-kira 10 kali saya masak dan selebihnya makan di luar," katanya yang bagaimanapun tetap bersetuju bahawa makan di luar lebih mendedahkan seseorang pada masalah kesihatan.

Menurut Amyza, sebab utama dia memilih untuk makan di luar adalah kerana belum mempunyai cahaya mata. Begitupun, dia mengakui tidak mengamalkan budaya makanan segera atau dibekukan.

"Saya rasa ramai wanita seperti saya kurang memasak di rumah, kalau ada pun mungkin kerana anak-anak," katanya yang percaya ramai lagi wanita bekerjaya pada masa ini mempunyai minat terhadap skil memasak.


MAKAN di luar menjadi pilihan Amyza (kiri) dan rakan-rakannya.


Kesesakan lalu lintas

Bagi pasangan suami dan isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, V. Danny Kumar, 28 dan Jaya Shalini Selver Dass, 28, mereka mengakui jarang memasak tetapi pada masa yang sama menolak pengambilan makanan segera atau makanan yang diproses.

Pasangan dari Klang Jaya itu sememangnya meminati makanan masakan di rumah. Begitupun, oleh kerana masing-masing terikat dengan kerja, mereka akur dengan keadaan lalu terpaksa makan di luar.

"Sesudah diketepikan pilihan makanan segera atau sejuk beku, maka pilihan yang kami ada ialah makan di restoran atau kafe yang menyediakan makanan panas," kata Danny.

Pasangan tersebut lazimnya tiba di rumah dari pejabat pada pukul 9.30 malam setiap hari memandangkan Danny bekerja di Cyberjaya manakala Jaya pula di Petaling Jaya.

Jika berlaku situasi tertentu seperti hujan lebat ataupun insiden yang mengganggu kelancaran jalan raya, alamatnya mereka akan tiba lebih lewat.

"Sebaik sahaja sampai di rumah, melalui Lebuh Raya Persekutuan yang sentiasa sesak pada waktu puncak, saya sudah kepenatan.

"Selepas membersihkan diri, kami perlu beristirehat demi mengulang rutin yang sama keesokannya," ujar Jaya.

Hanya jika mereka berdua atau salah seorang daripada mereka dapat sampai lebih awal, maka makanan yang ringkas seperti sambal, telur goreng dan sayur goreng dapat disiapkan.

Terjemahan lensa pelajar UiTM

Posted:

Terjemahan lensa pelajar UiTM

Terjemahan lensa pelajar UiTM

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


PARA pelajar bergambar beramai-ramai selepas perasmian pameran fotografi Malaysia:Dari Lensa Mahasiswa di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah, UiTM Shah Alam.


JABATAN Fotomedia Kreatif, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan pameran fotografi di Galeri Seni Tuanku Zahirah pada penghujung tahun lalu.

Galeri yang bertempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itumenjadi tumpuan ramai bagi menghayati pameran fotografi Malaysia: Dari Lensa Mahasiswa.

Ia melibatkan hail karya seramai 60 pelajar dengan bimbingan pensyarah fakulti tersebut.

Tajuk yang ditonjolkan menerusi pameran itu memberi penekanan kepada kepentingan fotografi dalam penyampaian mesej perpaduan yang mengandungi mesej 1Malaysia.

Pameran yang menampilkan 400 karya fotografi pelajar semester akhir FSSR itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Pensyarah yang mengetuai projek tersebut, Mohamad Azlan Mohamed Amin memberitahu, dengan menggunakan teknik-teknik yang dipelajari semasa sesi kuliah, pelajar-pelajar berpeluang merakamkan momen sebenar kehidupan masyarakat di Malaysia.


BANYAK yang boleh dihayati daripada setiap gambar yang dipamerkan.


"Karya fotografi yang dihasilkan penuh dengan elemen semula jadi dan ia dirakamkan di seluruh Malaysia. Projek ini juga merupakan tugasan terakhir mereka sebelum menamatkan pengajian di UiTM.

"Pihak JPNIN turut memberi dana untuk digunakan oleh pihak fakulti bagi membawa rombongan pelajar ke beberapa negeri seperti Kelantan, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Kedah," ujarnya ketika ditemui selepas sesi pelancaran pameran itu baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut hadir sebagai tetamu terhormat bagi merasmikan pameran Malaysia: Dari Lensa Mahasiswa.

Selain itu, karya-karya fotografi yang dipamerkan cukup unik kerana ia mengalunkan nada-nada visual yang harmoni, penceritaan yang berbentuk visual dan hujahan visual yang padat dengan mesej perpaduan di Malaysia.

Momen penting

Seorang pelajar yang terlibat dalam pameran tersebut, Amierah Noor Ibrahim, 22, memberitahu, tema 1Malaysia yang ditetapkan oleh JPNIN itu telah memberi idea kepadanya untuk merakamkan momen penting sekitar Festival Citrawarna Malaysia 2011.

"Saya telah menghabiskan banyak masa ketika berada di festival itu untuk mendapatkan momen semula jadi yang bertepatan dengan tema yang diberikan. Hasilnya ialah ia melambangkan pertukaran budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menggunakan aspek pakaian subjek utama.

"Pilihan pelbagai acara yang melibatkan perpaduan ketika itu juga banyak dan saya serta rakan-rakan terpaksa berkejar-kejar untuk ke setiap acara itu," ujarnya yang telah menamatkan pengajian di UiTM hujung tahun lalu.

Sementara itu, pelajar semester lima Jabatan Fotomedia Kreatif, FSSR, Aiman Zhafran, 22, pula berpendapat bahawa pameran itu telah memberikan sumber inspirasi kepadanya untuk menghasilkan karya fotografi yang mantap.

"Saya dapat melihat bahawa sumber rujukan kebanyakan senior saya menerusi pameran ini lebih terarah kepada teknik fotografi yang dihasilkan oleh saluran dokumentari National Geographic. Ini juga telah memberi pendedahan kepada saya mengenai pelbagaian dalam teknik fotografi," ujarnya.

Nilai kepada wang jaminan TLC

Posted:

Nilai kepada wang jaminan TLC

Nilai kepada wang jaminan TLC

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my


MODEL terkenal, Amber Chia turut memeriahkan majlis pelancaran pasar raya besar TLC.


GAYA hidup warga urban dalam membeli barangan runcit sudah lama berubah, khususnya mereka yang tinggal di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.

Perubahan yang dilakukan seiring dengan trend yang dikemas kini oleh peruncit dengan menawarkan pengalaman beli-belah yang sempurna semakin mendapat perhatian.

Kini, ramai pengguna memilih untuk membeli barangan di pasar raya yang sudah sedia ada di kompleks niaga, pusat beli-belah atau di kawasan yang paling strategik lagi selesa. Mengambil kira cita rasa dan keperluan pengguna kota, pasar raya besar TLC baru-baru ini dibuka di tingkat 3, pusat beli-belah 1 Shamelin, Shamelin Perkasa, Cheras.

Dilengkapi prasarana moden dan persekitaran kontemporari, pasar raya besar TLC adalah rangkaian pertama dan mempunyai sejarahnya tersendiri.

"TLC berasal daripada nama kedai runcit tradisional yang dibuka oleh datuk saya lebih 80 tahun dahulu di Tongkah Morib, Banting. Sebagai menghormati dan menghargai pengorbanan beliau, saya menamakan kedai ini seperti yang dinamakannya dahulu, iaitu akronim bagi Tong Lee Chan," demikian kata Pengarah Urusan TLC Supersaver Sdn. Bhd., Yong Kee Mee.

Tambahnya, TLC menjamin pelanggan mendapat nilai yang lebih daripada wang yang dibelanjakan. Pihaknya amat optimis dalam memastikan wang yang dibelanjakan itu mendapat pulangan kepuasan di samping memastikan pengalaman beli-belah dalam suasana mesra pelanggan.


SUSUN atur barangan yang kemas dan ruang laluan yang lebar memudahkan orang ramai membeli-belah.


Beroperasi di kawasan seluas 115,000 kaki persegi (10,680 meter persegi), pasar raya besar itu membekalkan hampir semua jenis produk baik daripada produk makanan segar seperti sayur-sayuran, daging, ayam dan ikan hinggalah kepada keperluan umum lain termasuk produk sanitasi, kecantikan, kosmetik dan barangan bayi.

Sementara itu, bahagian jualan produk bukan halal diasingkan sebagai menghormati sensitiviti pelanggan Islam.

"Kami mahu pelanggan berasa selesa dan mendapatkan semua produk di dalam satu hentian pada harga murah," kata Kee Mee yang teruja dengan respons oleh pelanggan pada hari pertama pembukaan.

Dibuka di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah kawasan perumahan dan komersial yang sibuk, TLC di pusat beli-belah 1 Shamelin mempunyai akses pengangkutan yang sangat mudah.

Pusat beli-belah 1 Shamelin itu sendiri menawarkan pelbagai kemudahan dan prasarana seperti pusat gim Gorgeous Fitness, pawagam TGV, karaoke K-City Family, Akademi Badminton Pioneer, pelbagai gerai makanan dan minuman serta butik pakaian.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pasar raya besar TLC, sila layari www.TLChypermarket .com.my.

Dalam pada itu, TLC juga mengalu-alukan para pelanggan berdaftar sebagai ahli kad kesetiaan untuk mendapatkan lebih banyak manfaat dan keistimewaan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved