Isnin, 28 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Harimau Malaya tempang

Posted:

Harimau Malaya tempang

Harimau Malaya tempang

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

SKUAD negara kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.


HARIMAU Malaya tempang, namun perjuangan tetap diteruskan.

Adakah kepincangan ini membawa petanda buruk atau sebaliknya, ketika kempen kelayakan Piala Asia 2015 semakin hampir untuk membuka tirainya.

Prestasi buruk di pentas antarabangsa kebelakangan ini, masalah kecederaan yang dialami beberapa pemain utama serta momentum yang tidak konsisten dalam beberapa perlawanan yang diharungi, semuanya seolah-olah membawa petanda bahawa Harimau Malaya akan terus dihimpit derita.

Bukan untuk merendahkan kewibawaan skuad yang ada, tetapi suasana yang kurang enak menyelubungi skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu, bagaikan memberi petunjuk awal terhadap hala tuju mereka dengan tugasan-tugasan di pentas antarabangsa selepas ini.

Bukan itu sahaja, prestasi hambar yang dipamerkan oleh beberapa pemain kebangsaan dalam saingan Liga Malaysia ketika ini, juga menghadirkan seribu satu macam kebimbangan.

Bagi mengharungi aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha pada 6 Februari ini, Harimau Malaya tampil dengan barisan yang serba baharu, yang masih terlalu cetek pengalaman beraksi pada kejohanan berprestasi tinggi seperti itu.

Namun, itu adalah pilihan terbaik ketika ramai pemain senior sedang mengalami kecederaan mahupun masalah penggantungan.

Atas kertas, misi untuk melepasi saingan pembuka tirai memang dilihat payah kerana barisan pemain yang disenaraikan, boleh dikatakan sebagai kurang berdaya saing di pentas antarabangsa.

Bukan untuk merendahkan kewibawaan mereka, tetapi inilah hakikat yang perlu diterima kerana sebahagian besar pemain yang ada dalam skuad negara ketika ini dilihat kurang berpengalaman bersaing di pentas antarabangsa.

Nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor, S. Kunanlan, Bunyamin Omar, K. Gurusamy, Amar Rohidan serta Safiq Rahim tercicir daripada senarai akibat kecederaan serta penggantungan.

Semalam, 24 pemain disenaraikan untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar dan beberapa muka baharu diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran.

Meskipun berada dalam keadaan yang serba tidak lengkap, pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal belum mahu menyerah kalah.

Ketika mengesahkan masalah kecederaan yang dialami Norshahrul, Subahan tetapi yakin pemain yang dipilih itu mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.

"Hanya 24 pemain sahaja yang akan berlepas esok (hari ini) bagi berdepan Iraq dalam satu aksi persahabatan (Khamis ini) sebelum menentang Qatar, minggu depan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

"Saya anggap ini sebagai cabaran dan tidak adil menyalahkan jadual perlawanan liga yang ketat sehingga menjadi punca beberapa pemain utama negara mengalami kecederaan.

"Tambahan pula, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) telah mengambil kira segala faktor ketika memperkenalkan jadual liga termasuk mengelak daripada beraksi pada Ramadan dan sebagainya.

"Saya harap pemain negara dapat memberikan yang terbaik kali ini dan jangan tewas sebelum berjuang," kata Subahan.

Berpotensi dirombak

Posted:

Berpotensi dirombak

Berpotensi dirombak

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


SKUAD lebuh raya negara besar kemungkinan akan mengalami perubahan bagi menghadapi saingan LTdL 2013 yang akan bermula bulan depan.


BIARPUN baru seminggu menjalani latihan mengikut laluan sebenar Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, ketua jurulatih kebangsaan, Aminuddin Sulaiman sudah memberi bayangan bahawa pertukaran bakal berlaku dalam skuad lebuh raya negara.

Menurut Aminuddin, beliau kini dalam pemerhatian serta membuat penilaian ke atas beberapa pelumba simpanan yang lain yang dibawa bersama dalam skuad utama sejak latihan mereka bermula 22 Januari lalu.

"Setiap pelumba telah mempamerkan prestasi yang baik dan saya tidak lagi menerima sebarang aduan atau melihat ada masalah dalam kalangan antara mereka.

"Begitupun, saya dapat lihat ada pelumba-pelumba tambahan lain yang saya bawa menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan telah menunjukkan prestasi lebih baik daripada pelumba yang telah disenaraikan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Skuad lebih raya telah menamakan enam pelumba yang akan berentap pada kejohanan edisi ke-18 itu yang akan berlangsung pada 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Antara nama yang disenaraikan ialah Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rosli, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd. Fakhrullah Alias dan Mohd. Ekbar Zaman Huri.

Aminuddin berkata, dua daripada pelumba tersebut mungkin akan digantikan dan perubahan tersebut akan dilakukan berdasarkan prestasi semasa mereka dan strategi yang akan digunakan kelak.

"Buat masa sekarang saya tengah menilai dan 'membanding-bandingkan' prestasi mereka. Saya bawa 14 orang pelumba termasuk enam pelumba yang disenaraikan sebelum ini.

"Pelumba yang kami senaraikan sebelum ini pun mengambil kira pencapaian mereka tahun lalu, namun seminggu sebelum LTdL barulah kami buat keputusan siapa yang akan beraksi nanti. Kadang-kadang ada yang meningkat secara mendadak apabila perlumbaan semakin dekat.

Perginya seorang legenda

Posted:

Perginya seorang legenda

Perginya seorang legenda

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

SEMASA hayatnya, Eddy sentiasa memastikan koleksi trofinya berada dalam keadaan yang baik dan sempurna.


LEGENDA badminton negara semasa era 50-an yang juga juara empat kali acara perseorangan Kejohanan Badminton Seluruh England, Datuk Eddy Choong Ewe Beng, 83, meninggal dunia di Hospital Loy Guan Lye, George Town Pulau Pinang semalam.

Anak sulung mendiang, Datuk Finn Choong Khuat Seng, 53, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.30 petang di sisi anak-anaknya setelah dirawat di hospital tersebut sejak Sabtu lalu.

Menurut beliau, bapanya sepatutnya dijadualkan keluar hospital oleh doktor pagi semalam sebelum tiba-tiba muntah dan dimasukkan semula ke wad untuk rawatan.

"Saya dan adik-beradik yang lain berada di sisi bapa semasa dia sedang tenat sehingga menghembuskan nafas terakhir kerana sepatutnya kami menjemput beliau pulang ke rumah hari ini (semalam).

"Sebelum dimasukkan ke hospital, bapa ada memberitahu hasrat untuk menonton perlawanan Seluruh England di Birmingham pada Mac nanti sebagai sokongan kepada pemain negara, tetapi hasratnya tidak kesampaian," ujar beliau ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Jalan Bell, Pulau Tikus.

Sementara itu, isteri mendiang, Datin Maggie Thean Sun Lim, 79, yang kelihatan sedih pula memberitahu, suaminya adalah seorang pencinta badminton sejati dan cukup mengambil tahu perkembangan sukan tersebut.

Upacara pengkebumian mendiang akan dilakukan pada Jumaat ini di Batu Gantung.

Eddy Choong dilahirkan di George Town pada tahun 1930. Mendiang merupakan jaguh yang sukar digugat semasa era kegemilangannya apabila berjaya mengekalkan kejuaraan Seluruh England pada tahun 1953, 1954, 1956 dan 1957.

Ketika itu, kejuaraan tersebut merupakan kejohanan paling berprestij bagi sukan badminton yang menyamai Kejohanan Piala Dunia ketika ini.

Selain itu, mendiang juga berjaya melangkah ke peringkat akhir kejohanan yang sama pada tahun 1952 dan 1957 selain memenangi acara beregu pada kejohanan itu bersama abangnya, David Ewe Choong pada tahun 1951 dan 1953.

Ewe Choong meninggal dunia pada tahun 2011 di rumahnya di Tanjung Tokong kerana sakit tua.

Mendiang bersama rakan-rakan sepasukan turut berjaya menjulang Piala Thomas pada tahun 1955 di Singapura apabila menewaskan Denmark 8-1 sebelum menyerahkan gelaran juara itu kepada Indonesia pada tahun 1958.

Semasa menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80 tiga tahun lalu, mendiang telah menerbitkan buku biografinya yang berjudul Ex-Badminton Player: Dato Eddy Choong Talk About History.

Buku setebal 110 halaman itu ditulis oleh seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, Kiu Boon Huat dan turut diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.

Tahun lalu, mendiang pernah menyuarakan kebimbangan mengenai prestasi pasukan badminton negara berikutan ketandusan pemain perseorangan berkaliber dan hanya bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei.

Katanya, tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lambat mengetengahkan pemain muda ke kejohanan senior antara faktor yang menyebabkan berlaku jurang besar di antara pemain muda dan Chong Wei.

Mendiang berpendapat BAM perlu berpandangan jauh dengan menyiapkan pemain muda lebih awal dengan mendedahkan mereka ke kejohanan bertaraf senior dan bukan lagi mengikut peringkat umur.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved